Isnin, 30 November 2009

Main-main

Longkang ni dah tak ada sebab dah disimenkan sebelum raya.Ini cerita masa cuti sekolah bulan 6 lalu


Sudah seminggu cuti persekolahan berlalu.Jika tidak bijak merancang masa,waktu akan berlalu begitu saja. Untuk minggu kedua,bangun saja dari tidur jam 7 pagi, anak saya yang kedua sudah menyebut embak...embak.Maksudnya tembak kerana nak menonton cd ultraman.

Saya sekarang ni tak ada kerja lain hanyalah menemani mereka menonton tv.Anak yang sulung sudah ingat rancangan tv. Bermula dengan ultraman,conan, berlanjutanlah hingga cerita Nenek Kebaya.Cerita Nenek Kebaya pun mereka tengok sebab ibunya pula yang suka tengok.Nasib baiklah bila masa untuk cerita tu,mereka tidak buat hal.Lepas tu sambung pula cerita Upin dan Ipin.Baru seminggu cuti,anak yang kedua dah melekat dengan saya.Tak boleh berenggang lama.

Untuk hari ni,saya suruh anak yang sulung buat blok.Pandai pula dia.Dia pula yang ajar saya.Mengalahkan cikgu pula tu. Bila saja saya cakap nak ambil gambar,bukan main gembira lagi dia.Dapat pula siapkan banyak.Jika tak kerana nak bergambar,tak nak pun buat banyak.

Ahad, 29 November 2009

Kemeriahan Hari Raya

Disebabkan kami tidak balik ke Kuala Selangor pada hari raya pertama,kakak ipar saya menyangka kami telah balik ke Terengganu kerana sambutan hariraya di sana lebih meriah sangkanya.Saya sering diajukan persoalan itu dan kadang kala sukar juga untuk menjawabnya kerana pengalaman saya berhari raya di kampung sendiri tiada istimewanya.

Sambutan hari raya di rumah sendiri pada tahun ni memberi jawapan kepada persoalan tersebut.Sambutan hari raya korban mungkin meriah jika kita mengadakan acara korban kerana biasanya di kampung saya,majoriti penduduk akan melakukan acara korban.Paling tidaknya mereka akan berpakat sesama sendiri untuk mengorbankan seekor binatang ternakan atau bagi mereka memang sangat mampu,mereka mengorbankan seekor binatang ternakan.

Biasanya awal-awal pagi lagi sudah ada orang yang bertamu di rumah kita untuk mengerjakan binatang korban sehingga selesai.Jika dah ada orang yang berkunjung, sudah pastinya makanan untuk mereka patut disediakan. Untuk memasak,pastinya memerlukan tenaga yang agak ramai dan bukannya dilakukan seorang diri. Keadaan ini sudah menggambarkan kemeriahan di hari raya.

Kemeriahan ditambah lagi sekiranya daging korban yang dikerjakan dimasak untuk dijamu kepada penduduk kampung. Keadaan ini bermakna rumah kita akan dikunjungi orang sepanjang hari bermula dari acara proses korban binatang ternakan hinggalah majlis makan-makan.Jika tiada acara korban,maka di mana-manapun kita berada sama ada didesa atau bandar,kemeriahannya tidak akan dirasa.

Sekiranya tiada acara korban,pernah juga berasa hari itu seperti tiada apa-apa yang istimewa kerana tiada orang yang berkunjung dan tiada tetamu yang perlu dirai serta tiada apa-apa yang perlu dilakukan kerana pengisian hari raya Aidil Adha ialah acara korban.

Teringat pula pengalaman saya menyambut hari raya korban di Tambunan,Sabah lima tahun yang lalu.Disebabkan penduduk Islam di situ hanyalah minoriti,acara korban hanya dilakukan di masjid.Untuk memeriahkan hari raya, kami saling berkunjung ke rumah rakan-rakan yang lain sambil menikmati juadah yang dimasak.

Jumaat, 27 November 2009

Cerita Hari Raya Korban

Pakai baju raya sekadar tengok tv di rumah

Si abang sudah kepanasan dan menyalin baju lain
masuk saja dalam mikrovef,masak juga akhirnya begedil ni.

Seronoknya apabila tinggal di rumah sendiri pada malam raya. Seronok lagi apabila bangun tidur jam 5 pagi, saya sempat berinternet sementara menanti nasi masak. Pagi raya,saya hanya menyediakan nasi goreng. Tiada juadah istimewa kerana saya sangkakan kami akan bermalam di Kuala Selangor,rumah mentua tapi rupa-rupanya tidak. Jadi,saya memang tidak terfikir pun juadah hari raya. Selepas suami balik dari solat hari raya,dia memberitahu dia ingin memasak begedil dan nasi seperti dalam majalah Rasa.

Rupa-rupanya suami saya nak ‘main masak-masak’ dulu di rumah sebelum balik ke rumah ibunya. Patutlah sebelum suami ke masjid malam tadi, dia asyik membelek-belek majalah Rasa,nak singgah ke kedai beli barang-baranglah tu rupanya.Bila ditanya, tiada pula jawapan.Begitulah suami saya. Mulutnya susah nak bercakap.Ada-ada saja rahsianya. Sebenarnya saya sudah tahu dia nak cuba memasak kerana selepas dia keluar ke masjid, saya segera membelek muka surat majalah yang dibacanya tadi. Tapi saja berpura-pura tidak tahu. Pengukus yang baru dibelinya juga satu jawapannya. Kami memulakan operasi dengan membiarkan anak-anak menonton tv. Bertuah juga saya kerana suami rajin turun ke dapur walaupun bermusim.

Kasihannya anak saya, dengan berpakaian baju melayu, mereka tidak ke mana-mana tapi hanya menonton tv di rumah.Kami berdua pula bertungkus lumus di dapur menyediakan nasi kukus ayam racik dengan begedil. Begedil merupakan percubaan kali kedua kami.Nampaknya kali ini belum berjaya lagi.Bila masuk ke dalam kuali untuk kali kedua,adunan tu jadi hancur dalam kuali.Kami mencari mana silapnya.Rasa-rasanya daging beku yang menjadi penyebab kerana belumpun kering sekering-keringnya daging beku itu ,ia telah bersatu dengan kentang yang dilenyek.Tiada cara lain, masuk saja dalam mikrovef,masak juga akhirnya.

Walaupun resepi basmathi kukus ayam racik agak mudah tapi disebabkan pertama kali membuatnya,agak susah juga nak menjadinya.Belumpun nasi masak,saya dah kepenatan kerana asyik ke hulu ke hilir kerana saya ada anemia.Mencuba sesuatu perkara yang baru menyedarkan saya tentang kelemahan diri. Saya rela menghadap note book berjam-jam daripada bertungkus lumus di dapur mencuba resepi baru.Walaupun ada terniat di hati nak mempelbagaikan stail masakan,namun majalah Rasa yang dilanggan berbulan-bulan belum lagi berjaya memanggil saya bertungkus lumus seorang diri di dapur bagi mencuba resepi baru.

Khamis, 26 November 2009

Salam Aidil Adha



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Tahun ni macam tahun-tahun lepas,saya tidak balik ke Terengganu. Tambahan pula keadaan banjir belum lagi reda.Kali terakhir saya balik pada Hari Raya Haji ialah pada tahun 2007.Pada tahun tersebut, ibu saya telah mengadakan korban seekor lembu.Pada tahun tersebut juga, kami masih terasa kehilangan ayah yang telah menemui Ilahi beberapa minggu sebelum hari raya.

Sebut saja hari raya korban,terlalu banyak pengorbanan yang telah dilalui sebagai seorang anak,isteri dan ibu.Pengorbanan sebagai seorang isteri dan ibu paling ketara sekali.Hidup dengan lelaki yang mempunyai perwatakan yang berbeza dengan kita memang menuntut banyak pengorbanan.Tanpa pengorbanan,kebahagiaan tidak akan dikecapi.Yang pasti,pengorbanan itu jika ikhlas akan dapat ganjarannya.Perlu juga diingat, pengorbanan perlu berpada agar tidak tertindas.

Rabu, 25 November 2009

Mencari Kepuasan Diri(2)



Saya hanya tersenyum apabila menatap tulisan saya di Ruangan Setia Bersama.Tulisan tersebut yang dihantar beberapa bulan dahulu telah disiarkan dalam Anjung Seri untuk bulan Disember.Tulisan tersebut akan disiarkan oleh pihak penerbit telah diketahui lama, cuma tidak pasti sama ada tulisan tersebut diedit atau tidak kerana agak panjang tulisannya dan tidak pasti kesemua gambar yang dihantar akan disiarkan kerana saya menghantar beberapa keping gambar melalui emel.

Projek ini saya lakukan semasa cuti persekolahan bulan Jun yang lalu. Anak sulung saya yang berumur 4 tahun yang membantu mengambil gambar saya. Tulisan ini merupakan hasil tangan yang kedua disiarkan dalam majalah Anjung Seri.Tulisan tersebut merupakan tulisan yang paling mahal kerana hadiahnya sebuah dapur yang bernilai RM1###.Dapur ini juga nanti akan menggantikan dapur induksi yang digunakan sekarang.Tahun lepas,tulisan saya untuk ruangan surat pembaca disiarkan.Hadiahnya juga dapur.

Hadiah yang diperoleh dan nama terpampang di majalah yang memberi kepuasan.Bukannya ingin sombong dengan hasil yang tidak seberapa,cuma sekadar mencari kepuasan.Apa jua bidang yang diminati,pasti ada ganjarannya jika bersungguh-sungguh.Pastinya ibu saya akan tersenyum lagi apabila menatap majalah ini seperti senyumannya semasa menatap majalah Mingguan Wanita dulu.

Ayat-ayat Cinta



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Masa belajar dulu sempat baca quran sebelum menantikan Isyak.Bila dah ada anak,semuanya berubah.Sekarang ni pun bukannya tak sempat nak baca quran hari-hari, tetapi bila dah lama ditinggalkan,nak diamalkan semula menjadi susah pula.Kejarkan dunia hingga lupa alam satu lagi...

Selasa, 24 November 2009

Kerenah Anak-anak





Cuti sekolah yang panjang membolehkan saya menjadi suri rumah sepenuh masa melayan karenah anak-anak dan mengurus rumah tangga tanpa memikirkan bebanan kerja di sekolah. Saat inilah yang paling dinantikan oleh semua warga guru.

Pengalaman membesarkan anak-anak merupakan detik yang sangat bahagia bagi seorang ibu dan ayah.Alangkah ruginya jika seorang ibu yang telah mengandungkan anak selama sembilan terlepas peluang melihat perkembangan anaknya. Membesarkan anak-anak yang agak lincah memang mempunyai cabarannya. Namun, membesarkan anak-anak dengan kudrat sendiri memberi peluang untuk melihat perkembangan mereka. Alangkah malangnya jika anak yang dihantar ke kampung menjadi renggang dengan ibunya sendiri.

Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang bergelar ibu ialah semasa saya mula mendidik anak yang sulung supaya dapat menjaga kebersihan semasa makan. Kebiasaannya, saya akan memberikan sehelai tuala kecil untuknya mengelap air yang tumpah. Pada suatu petang, dia mahu minum air milo setelah melihat saya minum air milo. Tanpa banyak soal, saya menghulurkan satu cawan air milo berserta dengan sehelai sapu tangan kecil supaya dia dapat mengelap air yang tertumpah di lantai.

Setelah selesai minum, saya keluar untuk mengangkat pakaian di jemuran.Tanpa pengetahuan saya, dia juga mengikut saya dari belakang dengan membawa minumannya.Tiba-tiba dia bersuara dari belakang saya,”mi,air tumpah.”Apabila saya berpaling ke belakang, saya melihat sebahagian sapu tangan yang diberikan tadi telah kotor kerana dia sudah mengelap air yang tertumpah di lantai simen laman rumah. Saya hanya melopong sambil menggelengkan kepala. Nak marah pun tak jadi.

Pengalaman bagi anak kedua yang agak lasak berbanding dengan abangnya.Semasa saya mengeluarkan mainan yang disimpan, anak saya yang kedua sangat gembira apabila mendapat semula telefon yang telah lama disimpan. Semasa hendak makan, dia tidak melepaskan telefon tersebut.Sambil makan, dia masih lagi memegang telefon itu dengan tangan kirinya.Aksinya yang bercakap dengan telefon sambil makan beberapa kali seolah-olah berlagak seperti ahli perniagaan yang mendapat projek besar memang mencuit hati saya. Dengan butir percakapannya yang masih tidak jelas,aksi tersebut memang melucukan kerana percakapannya yang laju memang padan dengan gaya orang sibuk.

Isnin, 23 November 2009

Mencari Kepuasan Diri



Sejak semalam lagi rumah-rumah fasa baru di depan kediaman saya telah melalui proses ubahsuai yang rancak.Situasi ini bermakna saya akan mendapat jiran baru tidak lama lagi.Bila melihat proses ubahsuai kediaman mereka,teringat masa mula-mula saya ingin mendiami rumah ini setahu yang lalu.Belum lagi mendapat kunci, saya mula memikirkan reka bentuk kabinet dapur kerana saya tidak mahu kabinet yang dibina hanya sekadar pelengkap dapur tapi tiada kepuasan di sebalik pembikinannya.

Dalam banyak ruang yang ada,saya hanya terfikir ruang dapur saja.Hal ini disebabkan saya sudah bosan dengan keadaan yang bersepah di dapur.Dahlah barang dapur banyak tapi tiada tempat yang mencukupi untuk melonggokkan barang-barang tersebut.Sekurang-kurangnya kini ada juga satu sudut dalam rumah yang akan memberi kegembiraan bagi saya.

Saya mengambil masa yang agak lama untuk menemui reka bentuk yang diingini walaupun reka bentuk tersebut agak biasa sebenarnya.Disebabkan rekaan sebenar yang diingini tidak dapat dipenuhi, saya hanya mengambil jalan mudah dan tidak mahu pening kepala lagi dengan mengambil reka bentuk yang paling biasa. Yang pasti, dapur saya yang agak terhad ini memiliki meja sarapan.

Botol,pinggan,cawan,perkakasan memasak dan semuanya yang ada dalam kepala, ada tempatnya.Saya juga tidak menyukai dapur saya hanya dipenuhi dengan kabinet dapur semata-mata tanpa aksesorinya.Disebabkan cita rasa saya yang agak tinggi, saya mula mengumpul wang sejak mula-mula membeli rumah lagi supaya apa yang saya inginkan dapat dilunaskan.

Proses memiliki rumah baru menyebabkan minda saya sentiasa berfikir.Berfikir untuk menata hias rumah walaupun secara ala kadar.Yang penting, saya berpuas hati dengan hasil tangan sendiri walaupun tidak berseni.

Ahad, 22 November 2009

Hidup Biar Berbudi


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Kata-kata seumpama ini pernah saya tulis di bahagian akhir kertas soalan peperiksaan semasa praktikum dulu.Kata-kata itu sebenarnya nak menyedarkan murid2 supaya tahu akan peranan mereka di mukabumi ini.Bila terbaca kata-kata ini,teringatlah pula saya kenangan di SMK Paya Keladi,Kepala Batas.

Sabtu, 21 November 2009

Layan Mata

Sejak semalam saya asyik membelek kamus peribahasa.Maklumlah nak sesuaikan dengan cerita yang ditulis,perlulah diteliti berdasarkan kamus. Hari ni dapatlah serius menghadap notebook menyiapkan manuskrip.Biasanya saya serius menghadap notebook untuk membaca blog dan bukannya membuat kerja-kerja penulisan.

Sambil membuat kerja-kerja menulis, sempat lagi saya sampai ke rumah antik.Banyaklah pula koleksi pinggan mangkuk kesukaan saya ditemui.Setakat ini keinginan untuk memiliki pinggan mangkuk antik belum lagi timbul.Apa-apa yang dibeli mesti ada kegunaannya.Kalau setakat nak pamer dalam almari,tak ada ruanglah pula.Pinggan mangkuk yang dipamer di rumah pun memang jenis pinggan hiasan.Setakat layan pinggan mangkuk antik dan klasik dalam majalah dan internet sajalah.Gambar- ni diambil daripada n3 Mat Gebu.







Jumaat, 20 November 2009

Aktiviti Bila Murid Tidak Ramai

Majoriti murid dah mula cuti.Hanya mereka yang rajin saja yang datang ke sekolah.Itupun kurang daripada 10 orang dalam satu-satu kelas bila dah hari-hari terakhir persekolahan.Aktiviti dalam kelas yang dapat dijalankan ialah mencari artikel menarik dalam akhbar untuk dijadikan buku skrap.Akhbar pun tak banyak,hanya ada 3 naskah saja.

Kenal pasti artikel yang bersesuaian.Potong,catat maklumat dan tampal.Hasilnya jadilah keratan akhbar.Bila digabungkan semuanya jadilah buku skrap.

Mulai esok mereka mula bercuti.Semoga cuti ni dapat dimanfaatkan.




Rabu, 18 November 2009

Nukilan Murid

Semasa mendapati fail salah satu folder yang disimpan dalam notebook hilang,saya hilang arah sebab fail tersebut menyimpan semua tulisan saya.Setelah berjaya memujuk suami supaya membeli anti virus yang boleh mengesan fail tersebut,akhirnya fail tersebut dapat diselamatkan kembali.Lega rasanya bila barang penting dutemui semula.

Cerpen disiarkan ini merupakan hasil nukilan murid saya pada tahun 2006.Masa itu saya mengajar BM tingkatan 2.Salah satu karangan yang mesti saya ajar bagi kelas depan ialah karangan cerpen.Hajatnya nak buat koleksi untuk pameran di PSS,tapi tak pernah kesampaian sebab tiada orang yang nak menaip.Cerpen inilah yang sempat saya taip sebab tak panjang sangat.Cerpen2 yang lain panjang berjela.Cerpen ini jugalah yang dapat saya selamatkan.

Ibu…Kau Sentiasa di Hati

Sudah enam bulan pemergian ibu tersayangku. Namun, aku bagai terbayang-bayang ibu berjenaka dan ketawa di ruang tamu. Arwah ibu sempat berpesan agar aku belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi PMR tahun ini. Hatiku menjadi sebak apabila teringat bahawa ibu mengharungi penderitaan ini keseorangan.
Setelah kematian ayah akibat penyakit batuk kering, ibu terpaksa membanting tulang empat keratnya semata-mata ingin melihat kami tiga beradik bersekolah. Pada sebelah pagi, ibu menjual kuih-muih di tepi jalan dan pergi dari rumah ke rumah untuk mengutip pakaian-pakaian yang kotor untuk dibasuh. Pada sebelah malam pula, ibu akan mengambil upah menjahit baju sehingga tengah malam.
Begitulah rutin ibu setiap hari sehinggalah satu hari ibu rebah selepas habis bersembahyang. Kami menjadi panik seketika. Dengan bantuan jiran, ibu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. Lututku menjadi lemah apabila mengetahui ibu sudah lama menghidap penyakit kanser darah dan dia kini berada dalam keadaan kritikal.
Tepat pukul lapan malam, ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mataku menjadi bengkak kerana sudah puas menangis semalaman. Wajah ibu kelihatan tenang saja dan seolah-olah tersenyum ke arah kami. Betapa pilunya hati ini kerana aku telah menjadi anak yatim piatu.
“Erin, Erin tak pergi belajar ke?” Tanya kakakku. Aku menyeka air mata yang jatuh lalu tersenyu kelat. Aku kasihan melihat kakak yang terpaksa berhenti belajar untuk menggantikan ibu. Kakak sanggup melupakan cita-citanya untuk menjadi doktor dan menolak tawaran universiti demi adik-adiknya. Betapa mulianya hati kau, kakak.
Aku berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan mensia-siakan pengorbanan ibu dan kaka. Mereka telah banyak mengorbankan masa depan mereka untukku. Aku terhutang budi pada mereka dan pasti membalasnya satu hari nanti.
“Doktor Erin!”Aku tersenyum bangga. Kini aku telah menjadi seorang doktor yang berjaya. Tanpa jasa ibu dan kakak, aku tidak akan berjaya seperti sekarang. Aku mahu merawat pesakit-pesakit seperti ibu dan ayahku. Mereka pasti tidak menderita lagi seperti keluargaku.

Selasa, 17 November 2009

Cikgupun Suka Baca Novel?


Persekolahan yang tinggal beberapa hari lagi.Waktu ini memang waktu sibuk bagi cikgu.Tapi tidak bagi saya.Rezeki sayalah kerana dapat menghabiskan hari2 terakhir persekolahan dengan perasaan tenang.Biasanya jarang dapat peluang begini kerana hari2 terakhir persekolahan merupakan detik yang paling genting kerana semua perkara perlu disiapkan pada masa itu.

Semalam saya ada tugas menyusun kerusi dan meja untuk murid2 yang akan menduduki SPM.Jadual semalam memang terisi.Untuk hari ini saya membawa novel Adam dan Hawa untuk dibaca.Walaupun novel ni dah lama diterbitkan, tapi saya baru memilikinya.Entah kenapa saya tidak dapat memberi fokus terhadap bacaan saya kali ini.

Yang menariknya dalam novel ni ada dialek Kelantan dalam novel ni.Teringatlah pula pengalaman semasa di USM dulu. Semasa menonton filem Jogho,saya ada terdengar cakap2 orang di sebelah yang memang tidak faham jalan cerita yang ditontonnya kerana filem itu sepenuhnya berdialek Kelantan.Tak dapat saya nak tolong melainkan rasa simpati terhadap mereka yang mengeluh.

Semasa saya sedang membelek-belek novel yang dibawa,tiba2 saya dihampiri oleh dua murid perempuan dari kelas 4C yang bertanyakan meja cikgu sivik mereka.Pada masa itulah mereka nampak saya memegang sebuah novel."Cikgu pun suka baca novel?"Tanya salah seorang daripada mereka.Saya hanya tersenyum.Mereka tidak tahu sebenarnya cikgu sejarah mereka ni juga cikgu sastera yang sedang cuba-cuba menulis novel.Sememangnya tak ramai yang tahu percubaan saya ni.Baru nak jinak2 dah heboh satu dunia.

Pernah saya beritahu salah seorang teman semasa di sekolah lama tentang percubaan saya ni.Baru2 ni dia bertanya,"tak siap lagi novel tu?"Malulah pula bila diajukan soalan begitu sebab dari awal tahun lagi saya cuba serius untuk siapkannya tapi tak siap2 juga.Jika begitu, saya cuba siapkannya dalam diam-diam.

Mengajar sastera dengan sejarah,lebih baik mengajar sastera sebab banyak perkara yang boleh dikelentongkan.Apatah lagi jika suka menonton tv.Jika sejarah,memang tak boleh nak kelentong sebab semuanya fakta.

Esok,tak pasti lagi nak buat apa di sekolah.

Pakaian Diri



Jahilnya manusia siber
Budaya dan agama digauli
Tanpa rasa ada batasannya

Lihatlah cermin tiliklah diri
Sempurnakah kita di sisi-Nya
Menunaikan tuntutan-Nya hamba kerdil

Pakaian diri ada dalam hati
Iman, amal dan takwa
Perlu dibaja dan disemai sentiasa

Sempurnakah pakaian diri
Jika kewajipan-Nya diremeh-remehkan
Melaksanakannya sekadar menurut citarasa
Tanpa memahami erti sebenar
Setiap perlakuan ada sasarannya

Sempurnakah pakaian diri
Jika bertudung ala berfesyen
Ketentuan syarak tidak difahami
Bertudung tetapi tidak menutup aurat

Sempurnakah pakaian diri
Jika Al Quran tidak pernah disentuh
Kalam-kalam Allah langsung tiada dibibir

Sempurnakah pakaian diri
Jika solat fardhu
Jarang mencecah lima waktu
Rukuk dan sujud tidak disempurnakan

Tepuklah dada tanyalah iman

Ahad, 15 November 2009

Teks Sastera 2010





Teks sastera tahun depan.Banyaklah pula kena baca dan faham.Setakat baca novel untuk kepuasan sendiri tidak ada masalah tapi novel2 ini perlu difahami dengan betul2 sebelum diajar kepada murid2.Hanya sinopsis novel Dari Lembah ke Puncak yang saya jumpa.Novel Jeriji Kasih tak jumpa pula sinopsisnya.Antologi Anak Global merupakan himpunan cerpen,sajak dan drama.

Novel Dari Lembah ke Puncak merupakan novel terakhir yang dihasilkan. Novel ini mengisahkan perjuangan seorang anak muda menuntut kembali hak milik yang telah dijual oleh ibunya semata-mata mahu melaksanakan wasiat arwah bapanya. Perjuangan tersebut sangat mencabar kerana terpaksa menggadaikan usia mudanya demi mengumpul sumber selama berbelas-belas tahun sebelum berjaya menebus kembali maruah dan hak milik yang tergadai.

Kenanganku

Seingat saya, setelah tamat SRP(yang terakhir dan diganti dengan PMR) saya kerap berkunjung ke perpustakaan sekolah. Banyak novel remaja yang saya baca. Apabila banyak membaca, banyak pula idea yang berlegar-legar di minda. Tapi masa itu, saya belum lagi mencuba. Tak pasti pula kenapa.

Semasa di tingkatan enam, cikgu BM saya telah meminta kami secara kumpulan menulis satu esei bagi menyertai pertandingan menulis esei peringkat negeri. Pada masa itu, saya menyertainya semata-mata ingin mengambil hati cikgu saya. Baru separuh jalan, ahli kumpulan saya yang lain sudah tidak berminat untuk meneruskannya dan tinggalah saya seorang.

Satu kumpulan lagi meneruskan usaha mereka. Disebabkan saya ketua pengawas perpustakaan, tiada masalah untuk menggeledah majalah di perpustakaan. Kami sama-sama mencari bahan di perpustakaan. Cemburu juga apabila melihat orang lain berusaha dalam kumpulan tapi kumpulan saya, saya seorang saja. Akhirnya saya berjaya menyiapkannya.Tiba masa pengumuman pemenang, saya telah menddapat nombor tiga. Hadiahnya sijil dan RM 300.

Berbaloi rasanya. Kumpulan satu lagi hanya dapat sagu hati dan terpaksa berkongsi hadiah kerana esei mereka dihasikan dalam kumpulan. Sejak itu saya mula meminati penulisan dan selalu mengaplikasikan gaya penulisan yang dipetik daripada bahan bacaan yang dibaca apabila menghasilkan karangan.Selepas STPM, saya mula mencari2 buku yang berkaitan dengan penulisan.Semasa menunggu STPM,beberapa kursus penulisan sudah ada dalam kepala saya.

Memandangkan masa itu ekonomi gawat, kursus pendidikan lebih sesuai kata abang saya.Saya jadi serba salah. Disebabkan saya tidak mahu mengecewakan keluarga lagi apabila abang dan kakak yang keluar u telah menjadi penganggur terhormat, saya hanya tawakkal.Kursus pendidikan menjadi pilihan utama manakala 4 lagi pilihan saya isikan dengan kursus penulisan.Sekiranya ada rezeki,insya Allah saya akan dapat kursus penulisan.

Rezeki berpihak kepada keluarga kerana saya mendapat kursus pendidikan di USM.Disebabkan saya gagal mengambil jurusan penulisan di u,saya mengambil sastera sebagai opsyen supaya minat saya tidak berkubur.Saya belajar sastera hanya untuk mencukupkan kredit sebagai guru sastera.

Sabtu, 14 November 2009

Nilai RM 40




Beratur lagi.Ini dah kali keberapa.Birisan tak putus-putus menyebabkan saya malas nak mengambil makanan

Hari ni pihak sekolah mengadakan majlis jamuan perpisahan bagi meraikan kenaikan pangkat PK HEM yang telahpun bertukar jabatan.Rasanya sebelum ini tidak pernah pula saya membayar sejumlah itu untuk satu2 majlis jamuan.Dengan nilai yang agak mahal pada firasat saya,rasanya akan banyaklah pilihan makanan.Tapi rupa2nya tidak.Pilihan makanan hanya yang biasa saja.Mungkin tempat yang menjadi pilihan kami ini merupakan kawasan elit, jadi dengan nilai wang serendah itu...itulah pilihan makanan yang ada.

Dahlah macam tu,makanan pula diatur memanjang menyebabkan kami terpaksa beratur panjang.Jika makanan diletakkan secara berasingan, taklah kena beratur panjang kerana banyaktempat yang boleh kami serbu.Bila tiba giliran saya dan rakan2 semeja yang lain, makanan telah kehabisan dan mengambil masa untuk ditambah semula.Nampak sangat tempat jamuan kami tidak sesuai.Kerap kali rakan saya balik ke meja dengan tangan kosong.Apatah lagi semasa majlis petang tadi, tiada pula aktiviti lain kecuali makan2.Sekiranya ada persembahan atau tayangan slaid, rasanya makanan yang kehabisan itu sempat diganti semula.Terlalu ringkas majlis tadi berbanding dengan majlis yang pernah saya hadiri semasa di sekolah lama.

Apa2pun saya hanya memerhati sahaja kerana siapalah saya.Kedatangan saya ke majlis ini nampaknya bukanlah untuk makan2 tapi sekadar untuk meraikan orang yang diraikan.Yang penting saya makin mengenali rakan2 baharu di sini.Apa yang dilihat secara luaran sebenarnya tidak sama apabila kita telah mengenalinya.

Novel Yang Tak Terluah


Saya memang menggemari karya Puteri Andalas.Bila dapat tahu novelnya yang terbaharu dah lama berada di pasaran, tanpa berfikir panjang saya terus mendapatkannya.Dah lama saya membeli novel tu tapi tak mood nak baca lagi.Semalam saya cuba menghabiskannya.Bermula di sekolah saya membacanya hinggakan pot luck saya tidak hiraukan.Masuk ke kelas bawa lagi novel ni. Tengok budak2 dalam kelas hanya beberapa orang saja sebab yang dah mula bercuti,saya menyambung lagi bacaan saya.

Puteri Andalas memang ada gaya penceritaan yang tersendiri.Unsur pengembaraan untuk merungkai identiti diri memang menjadi stail penulisannya.Plotnya disusun dengan baik.Setiap peristiwa ada sebab dan akibatnya yang dijalin dengan teliti sehingga setiap peristiwa yang berlaku dapat difahami sebabnya dan kesannya.Sekecil-kecil peristiwapun ada sebabnya.Walaupun latar tempatnya hanya berkisah di Kedah dan Selangor, plotnya tetap berkembang dengan baik.Kadang kala latar yang banyak akan mengelirukan pembaca jika tidak bijak mengadunnya.Memang tidak mendukacitakan apabila membaca buku ini.

Apabila kita sukar untuk meluahkan kata-kata,keadaan akan menjadi semakin keruh.Bukan semua perkara boleh diluahkan dan kadang kala perlu disimpan.Tapi ada juga kata-kata yang ingin diluahkan tapi tak terluah kerana sikap orang yang nak diluahkan.Tak terluah, lama-lama akan menjadi nanah dalam diri.Membengkak dan bernanah hinggalah pecah dengan sendirinya.Itulah yang bahayanya.

Khamis, 12 November 2009

Cikgu Sastera...Penulis?


Sejak hari Isnin saya mula membawa notebook ke sekolah. Maklum sajalah minggu rileks sedunia.Saya hanya mengajar tingkatan 4 dan tidak memegang sebarang tugas, apa lagi kat sekolah melepak sajalah.Cadangnya nak menggunakan masa yang ada dengan menyambung manuskrip.Terus tulis di notebook dan bukan di buku lagi sebab dah banyak buku catatan digunakan.Bila tiba nak menulis, idea tak ada.Tensionnya. Lama termenung depan notebook.Bateripun makin kurang tapi tak ada hasil lagi.

Nampaknya memang tak sesuai menulis di sekolah.Di rumah ada juga kekangannya. Bila nak menulis, selau melencong membaca dan menulis blog pula.Lepas tu mta pula buat hal.Mengantuk semacam.Malam pula masa untuk melayan anak2.Bila mereka tidur, pastinya saya yang menidurkan mereka akan tertidur juga.Nak bangun semula...kadang kala je.Beginilah rutin saya menyebabkan kerja yang dah siap bertahun2 dulu tak juga siap.Susahnya nak mendisiplinkan.

Balik dari sekolah,buka emel.Ada emel dari salah satu syarikat penerbitan. Dukacitalah pula beritanya. Tema cerita yang cuba saya siapkan dah tak sesuai dengan kehendak syarikat penerbitan tu sebab tema sebegitu dah banyak.Yelah, saya cuba garap cerita tu sejak tahun 2005 lagi.Masa tu tak banyak lagi tema sebegitu.Disebabkan sekadar nak mencuba, saya tidaklah serius nak menyiapkannya.Tapi bila dah alang2 buat nak juga tengok hasilnya.Yang pasti sekarang ni kena fikir lagi supaya cerita tu ada kelainan berbanding cerita2 yang dah ada.Pengajarannya,jangan fikir orang yang ada ilmu tentang sastera dapt menghasilkan bahan sastera. Ilmu hanya berperanan sebagai bahan bantu.Jika tidak ada kesungguhan,takkan ada hasilnya.

Onar amah 3 hari kerja

Onar amah 3 hari kerja
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


RUGI...Norhafizah di samping dua anak kecilnya menunjukkan
laporan polis.

SEREMBAN: “Sebaik pulang, saya dapati dua anak kecil menangis hingga bengkak mata selain keadaan rumah berselerak,” kata seorang jurutera Pertonas yang menjadi mangsa ‘kebas dan cabut’ pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya di sebuah kondominium di Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Norhafizah Baharuddin, 29, berkata bayi lelakinya berusia empat bulan dan anak sulung berusia satu tahun 10 bulan menangis tidak henti-henti ketakutan kerana ditinggalkan bersendirian.


Inilah yang menggerunkan saya apabila mengambil pembantu rumah. Mengambil pembantu rumah ada risikonya. Dapat yang baik dan boleh buat kerja tidaklah ada masalah, tapi kalau dapat seperti dalan Harian Metro ni,tuhan saja yang tahu.Mana nak tahu dapat yang baik atau tidak sebab sifat orang susah nak dibaca.Disebabkan tidak percayakan orang luarlah saya rela tidak menggunakan khidmat pembantu rumah buat masa ini.Susah senang buat sendiri.Masa mendatang tidak tahulah pula.Jika terpaksapun, saya akan pastikan ada orang yang memantaunya nanti.Tidak ada pembantu, semua kerja kita yang perlu buat.Masa inilah kita bahagikan kerja jika sama2 kerja.Kalau semua kerja rumah dibuat oleh pembantu rumah, dari mana pula kita nak jana pahala?

Rabu, 11 November 2009

Tugas Sepanjang Tahun

Persekolahan hanya tinggal seminggu lebih saja lagi.Lepas ni saya akan bercuti selama sebulan lebih.Saya cuba mengingati tugas2 dan rutin yang dilalui sepanjang saya di sekolah lama.Rasanya ada lagi tapi dah lupa...ini yang dapat saya ingat.

Januari
-3.1 saya sudah mula bertugas kerana hari tersebut merupakan hari pendaftaran bagi tingkatan 1.Sebagai guru kelas, saya mesti hadir walaupun jadual 1 CR tidak ada dalam jadual saya.Dapat jawatan SU Nilam Pagi. Masa Road Run saya kehendaki menjaga check point di cabang 3. Walaupun dekat dengan sekolah dan tugas akan selesai awal, tapi saya perlu jadi pegawai 'JPJ' keraana saya perlu menahan kereta yang ingin membelok ke kanan(jalan ditutup).Nasib baik ada pembantu.Sebagai SU Nilam, saya perlu memberi taklimat kepada semua guru pula tu.Lecehnya..

Februari
-Sebelum sukan tahunan berlangsung, acara saringan dilakukan terlebih dahulu bagi acara padang.Saya dikehendaki menjadi hakim bagi acara rejam lembing sedangkan saya ni buta sukan.

Mac
-Dapat tugas menulis teks ucapan sempena perasmian Bulan Kurikulum.Cuti sekolah penggal pertama terpaksa datang ke sekolah semata-mata hendak menyiapkan teks ucapan tu

April
-Karnival Bahasa diadakan awal bulan.sekali lagi dikehendaki menulis teks ucapan perasmian.saya juga terlibat dengan gerai jualan air minuman untuk Persatuan Bahasa Melayu.Cuba nasib dengan mengisi borang pertukaran.30 km jarak rumah ke sekolah,tak laratlah nak ulang-alik.



Mei
-Bulan ni agak kelam kabut. Selalu pulang lambat untuk siapkan kerja2 yang ada tak juga siap-siap.Kawan semasa menuntut di USM menelefon nak menemuramah saya untuk ruangan Keranamu...guru.Tak sampai hati pula nak menolaknya.

Jun
-Masa cuti pertengahan penggal 1, saya dapat makluman bahawa permohonan saya untuk berpindah telah diluluskan.Tak percaya pula.Folio sejarah masih belum disemak. Seminggu saya ambil masa untuk menyiapkan semua kerja yang belum selesai hingga nak termuntah dibuatnya.Akhir bulan mula mendaftarkan diri ke sekolah baharu.Sedihnya nak meninggalkan kawan2 di sekolah lama

Julai-Masa untuk saya goyang kaki.Masuk kelasdan keluar kelas saja.Tahun depan, tengok sajalah tugas apa yang saya dapat.Dapat berita gembira.Saya dapat APC untuk tahun 2008.Alhamdulillah...

Selasa, 10 November 2009

Nak Tulis Apa?


Semasa menghadiri majlis Hi Tea tempoh hari, saya dimaklumkan salah seorang daripada guru BM yang mempunyai kelulusan dalam kewartawanan mula menulis.Saya juga memberitahunya bahawa saya juga turut cuba berjinak-jinak dalam penulisan.Genre novel yang menjadi pilihan saya sememangnya sukar disiapkan.Nampaknya genre novel bukan medium terbaik untuk saya luahkan isi hati dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat.Disebabkan minat menulis menebal dalam diri saya, minat itu perlu diteruskan.Membaca buku ini memberi idea kepada saya untuk menghasilkan penulisan dalam bentuk diari.

Membaca blog Dr.Ghazali dan Kak Ila memberi semangat kepada saya untuk menjadikan bidang penulisan sebagai salah satu sumber pendapatan. Apabila semangat mula berkobar-kobar untuk menghimpunkan kesemua cerpen yang telah dihasilkan, pada masa itulah saya baru perasan fail tulisan saya telah hilang dimakan virus. Ralatnya saya.Hingga sekarang saya masih terfikir-fikir genre yang sesuai untuk saya ceburi.Moga ada peluang dalam bidang ini.

Akhirnya Siap


Keempat-empat kertas peperiksaan sejarah dah siap ditanda semalam dan markahnya sudahpun diberikan kepada guru kelas.Leganya.Sekarang ni jadual makin berkurangan kerana adanya jadual blok.Masa yang ada digunakan untuk menyiapkan novel yang dah lama ditulis.Guru-guru lain yang menjadi guru kelas semestinya sedang menyiapkan kerja2 guru kelas.Hujung tahun ni saya berehat sebentar kerana sejak berpindah ke sini,tugas yang selalu dipegang itu tidak diberikan kepada saya.

Ahad, 8 November 2009

Bila Nak Siap?

Dalam seminggu ni saya asyik bawa ke hulu ke hilir kertas peperiksaan.Masuk ke kelas pun bawa.Balik rumah pun dibawa sekali walaupun tak terbuka pun plastik yang menyimpan soalan2 tu.Yang penting boleh puas hati sebab dibawa balik.Hari ni saya menyambung kerja menanda kertas sejarah tingkatan 4 tu dengan bersungguh-sungguh supaya cepat siap.Sepanjang hari, tak ada kerja lain yang saya buat melainkan menanda kertas di samping melayan karenah anak2.Disebabkan saya jenis bukan boleh beri tumpuan yang lama apabila melakukan sesuatu kerja, kerja-kerja menanda kertas dibuat sekejap2 tapi sepanjang hari.Kerja-kerja rumah tolak tepi dulu.Petang barulah ada mood nak lipat kain dan seterika baju.Lipat kain pun belum habis, buat mana yang patut. Kerja2 rumah yang tak ada 'deadline' selalu lambat selesai.Malam ni dah rasa lega sikit sebab hampir siap.Kerja2 rumah yang terbengkalai disambung esok pula.

Duniaku

1 Aktiviti hari minggu
Hari ni ada Hi Tea sempana kenaikan pangkat PK HEM.Biasanya tak ke mana-mana sebab susah nak kawal anak.Kalau keluar pun tak lama... Masa inilah saya menyiapkan kerja2 rumah,kerja sekolah dan kerja untuk diri sendiri

2 Aktiviti lepas sekolah
Masalah saya akan merayap...window shooping.Tapi bila dah pindah ke Sg Buloh,pendek sikit langkah sebab tak banyak tempat untuk shooping.
Jika tak keluar, saya akan melayari internet hingga terbabas kerja yang nak dilakukan sementara menunggu anak balik dari taska

3 Barang yang selalu dibawa apabila keluar
Dompet dan telefon bimbit

4 Pengalaman yang sukar dilupakan
Semasa melahirkan anak pertama dulu,itulah pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana sakit nak bersalin pun dapat rasa, tapi akhirnya kena caesar.Dua2 sakit.Dugaan datang lagi apabila saya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.30 tahun baru dapat dikesan..saya terpaksa menjalani pembedahan jantung...alhamdulillah kini dah sihat

5 Makanan kegemaran
Masakan yang berkuah air sahaja.Sesuailah untuk jaga kesihatan

6 Tabiat yang pelik
Suka picit jerawat dan cabut uban.Yang menjadi mangsa ialah suami

7 Aksesori yang penting
Jam tangan.Bila tak pakai rasa janggal sangat

8 Aksesori yang digemari
Gelang kristal.

Ke Manakah HalaTuju Murid Sastera?



Semalam sekolah saya mengadakan mesyuarat terakhir untuk tahun ini.Disebabkan sudah penghujung tahun, pengetua saja bercakap.Banyak pesanan yang diberikan di samping ucapan terima kasih atas sumbangan guru sepanjang tahun.Sebenarnya ucapan terima kasih sangat penting. walaupun ucapan itu hanya mengandungi dua perkataan saja tetapi membawa makna yang mendalam.Ucapan itu termasuklah atas daya usaha seorang guru BI yang telah berjaya menghasilkan sebuah buku yang ditulis oleh murid2.

Dalam banyak pesanan, pengetua ada menyebut tentang kedudukan murid2(budak yang masih pakai uniform dipanggil murid2,pelajar untuk pelajar IPT) sastera dan seni.Sesuai dengan situasi sekarang yang ingin memartabatkan BM, pengetua memberi harapan agar mereka tidak diperlekehkan.Jika dilihat senario sekarang, bidang sastera dah berkembang cuma mentaliti murid yang mengambil sastera sahaja yang tidak berkembang dan tidak nampak jalan untuk memanfaatkan ilmu mereka.

Sebagai guru, susahnya hendak membuka minda mereka supaya celik sastera kerana dalam kepala mereka, tak minat sastera.Padahal mereka tak berminat nak belajar sebenarnya. Tambahan pula sastera diajar untuk kelas yang hampir tercorot.Hendak menarik minat mereka supaya berminat untuk belajar merupakan cabaran paling besar bagi guru yang masih setahun jagung.Apatah lagi untuk membuka minda mereka yang memang cetek tentang masa depan dalam bidang sastera.

Sudah lima tahun saya tinggalkan sastera kerana sekolah saya terdahulu tiada pula mata pelajaran sastera.Bila datang ke Sungai Buloh,sastera masih wujud.Wujud atau tidak mata pelajaran itu di sekolah bergantung kepada pengetuanya.Bila saya dikehendaki mengajar sastera kembali, sekurang-kurangnya saya dapat memupuk minat murid2 untuk terus menghargai dan membaca karya2 yang ada meskipun mereka tidak mampu menghasilkan karya sendiri di samping memberi pendedahan peluang2 yang ada dalam bidang kesusasteraan.

Ke mana hala tuju murid sastera sebenarnya bergantung kepada diri sendiri.Jika murid2 yang tercorot dan tidak berminat yang mengambil mata pelajaran sastera, tak ke mana-manalah murid2 sastera kerana setiap perubahan bergantung kepada mentalitili seseorang. Untuk mengutip nilai2 yang ada dalam sesebuah karya pun tidak mampu, apatah lagi untuk mempraktikkan ilmu yang ada.Ilmu yang ada jika tidak diguna hanya akan hilang ditelan masa. Begitulah ilmu kesusasteraan saya yang ditimba semasa di u dulu. Menjadi guru sastera di sekolah tidak memerlukan pengetahuan yang mendalam dalam bidang sastera.Cukup sekadar ilmu kepengarangan untuk mengkaji sebuah karya. Apa-apa pun bidang yang nak jadi diceburi, jadilah yang Islamik.Itu yang berkat.

Jumaat, 6 November 2009

Sembang2 di Bilik Guru


1 Baru awal bulan,poket dah kering.Lambatnya gaji...
2 Banyaknya lagi paper yang tak ditanda.Kalau tak habis sebelum cuti,alamak cuti nanti terpaksa datang ke sekolahlah
3 Buku teks dah dipulangkan, budak2 dah malas nak belajar.Nak buat apa dalam kelas hah?
4 PK HEM dapat naik pangkat,siapa yang akan menggantikannya masih lagi menjadi tanda tanya
5 Setakat kelas M tu,pejam mata pun boleh tanda paper.Boleh ke tanda paper kalau mata pejam?itu sebenarnya perumpamaan bagi budak2 yang malas nak menjawab.Masa exam tidur saja.Hantar kertas kosong memang tak perlu ditandalah
6 Banyaknya kerje yang nak dibuat.Laporan prestasi....Guru2 kelas bersungut mengejar masa
7 Penatnya jadual blok.Tapi bagus juga sebab dapat habiskan tajuk untuk ulangkaji.
Antara pro dan konta jadual blok untuk tingkatan 5
8 Tahun depan ajar lagi budak tahun ni?Tak naklah...Penolakan bila kelas yang akan diajar tahun depan merupakan kelas yang kurang baik.
9 Tahun depan tak naklah jaga exam SPM lagi.Boring...lama sangat.Keluhan bagi guru2 yang terpaksa bertugas mengawas SPM
10 Kami pernah boikot kantin...dilema bagi guru sesi pagi apabila makanan di kantin 'kurang' menonjol.Tahun ni tak adalah pula kes boikot2 cuma ada sesetengah guru yang memang tak suka makan di kantin tapi bawa bekal sendiri. itu bagi yang sempat buat makanan di rumah. saya tak pernah sempatpun sebab macam2 perkara nak dibuat bila bangun tidur.

Khamis, 5 November 2009

Resepi yg Mudah dan Cepat



Petang semalam ada pasar malam di kawasan perumahan.Ingatkan suami akan membeli makanan untuk makan malam nanti, tapi rupa-rupanya tidak.Terpaksalah masak.Fikir2,saya masak sotong masak serai saja sebab tak nak bergelumang lama sangat di dapur.Sekejap saja dah boleh makan.Bahan-bahan:

sotong,bawang merah yang dimayang,
garam dan sedikit perasa
sedikit cili padi ditumbuk sekiranya ingin pedas

Cara-cara membuatnya:
1.masukkan sotong yg telah dibersihkan ke dalam periuk bersama2 dengan bawang merah yang dimayang, garam, serai yang dititik ,bahan perasa dan cili.
2.masukkan sedikit saja air sebab nanti sotong akan mengeluarkan airnya.
3.masak dengan api sederhana. Apabila sotong sudah masak, bolehlah padamkan apinya

Rabu, 4 November 2009

Hambatan Mata dan Masa

Dalam minggu ni saya selalu mengalami masalah mengantuk bila tiba jam 3.Sampai di rumah dah awal tapi tak boleh nak buat apa-apa kerana sindrom mengantuk.Selalu kalah dengan mata.Bila dah mengantuk, memang tak boleh nak buat apa-apa...terpaksa layan mata,tidurlah...berblog sempat pula sebab perkara itu yang dibuat terlebih dahulu sebelum sindrom mengantuk datang.Banyak kerja yang nak dibuat tapi tak jadi.Semak kertas sejarah belum beres lagi.Berblog dah jadi satu kemestian...entahlah apa sebabnya.Dah kemaruk kot...

Isnin, 2 November 2009

Genap Setahun



Hari ni genap setahun kami tinggal di sini.Begitu cepat masa berlalu.Doa selamat belum lagi dilaksanakan.Kami merupakan keluarga keempat yang mendiami kediaman di sini.Pada mulanya perasaan bimbang memang tidak dapat dibuang apabila mula mendiami kediaman ini.Bagaimanakah dengan jiran sebelah??Persoalan itu yang selalu berlegar dalam fikiran kerana pengalaman menyewa di Shah Alam amat memeritkan.Kini perumahan fasa kedua di depan rumah saya mula didiami,moga-moga makin meriah dan bertambah jiran tetangga.

Apa Yang Ada Dalam Diri??

Murid-murid kelas bukan aliran sains menduduki peperiksaan pendidikan seni visual hari ni. Subjek yang tidak memberi tekanan kepada mereka pada pendapat saya. Masa kedua saya masuk ke kelas yang ketiga ke belakang.Ingatkan mereka akan asyik melukis tetapi meleset pula andaian saya.Kertas soalan dah diberi pada hari Jumaat lagi supaya mereka dapat membuat persediaan.Entah apalah tujuan mereka ni ke sekolah, bila masa peperiksaan, masa itulah mereka baru nak berbincang nak lukis apa.Peralatan melukis juga tidak bawa.Panas hati juga saya apabila mereka tak pandai nak diam.Apabila saya melihat hasil kerja mereka,dalam hati macam kerja budak sekolah rendah.Memanglah bakat kurniaan Allah, tapi kalau tak ada usaha untuk menghasilkan yang terbaik ,tak ada gunanya soalan tu diberi awal.Nampak sangat murid-murid sekarang ni matlamat bila datang ke sekolah.Mereka datang ke sekolah hanya untuk melepaskan diri daripada ibu bapa,melepaskan tanggungjawab di rumah,mendapat ramai kawan dan mendapat wang saku.Untuk lulus dalam pendidikan seni pun tiada dalam kepala mereka.Bila masuk ke kelas yang sebegini, selalu saya ingatkan mereka: tak pandai pun tak mengapa,tapi jangan tak ada adab.

Ahad, 1 November 2009

USM... Memori Tercipta


Saja nak mengimbau kembali pengalaman di USM pada 1998 dulu.Seronok membaca cerita yang berlatarbelakangkan USM,percubaan saya yang pertama juga mengambil latar di USM,Penang.Semenjak meninggalkan USM, saya belum lagi sampai ke sana. Mungkin dah banyak perubahan yang berlaku.Terfikir pula sama ada cerita yang dalam percubaan ini logik atau tidak.Dah sepuluh tahun saya tidak mengikuti perkembangan USM tapi mengambil latar USM.Disebabkan kebimbangan tu, saya cuba cari kepastiannya. Tak tahu nak bertanya kepada siapa, internetlah tempat saya mencari maklumat. Alhamdulillah,,,jumpa maklumat yang dikehendaki.Lega rasanya.Memandangkan banyak peluang untuk menjadi guru,bimbang pula jika kursusu DPLI tu dah tidak wujud lagi di USM.Watak Ilyana sebagai salah seorang penuntut DPLI di USM bukan rekaan semata-mata.Filem Ali Setan juga mengambil latar USM.Lagu tema Ali Setan,combit mempunyai memori tersendiri.Masa mula-mula bergelar mahasiswi dulu,bila disebut 'saspend', saya tak faham.Bila dah lama saya pun turut sebut 'saspend' bila ditanya kursus yang diambil.Rupa-rupanya sastera dengan pendidikan(kursus bagi guru bukan aliran sains)Kebetulan pula saya mengambil Kesusasteraan dengan sejarah.
Manuskrip baru mencecah 291 muka surat yang telah disiapkan.Manuskrip tu disemak dan pengalaman di USM perlu ditambah kerana sesetengah penerbit mahu 300 muka surat.Bahagian yang ditambah mesti mengandungi maklumat, bukan sekadar catatan yang melalut.Otak masih berfikir...apa lagi yang perlu ditambah??