Jumaat, 20 Ogos 2010

Bubur Lambuk Citarasa Pantai Timur

pucuk miding yang sinonim dengan bubur lambuk

Sebut saja pucuk miding(sejenis pucuk paku),terbayang bubur lambuk.Sememangnya pucuk miding sinonim dengan bubur lambuk yang digemari pada bulan puasa.Hanya bubur lambuk versi pantai timur sahaja yang menggunakan pucuk miding.Teringatlah zaman remaja dulu,bila saja mak ingin memasak bubur lambuk,pasti saya akan dikerah masuk semak-samun untuk mengutip daun-daun yang akan dijadikan bahan dalam bubur lambuk.Bubur lambuk citarasa pantai timur memang berbeza dengan citarasa pantai barat kerana cara pantai timur menggunakan banyak ulam.Rasanya juga agak berlainan. Bubur lambuk pantai barat saya tidak suka,maklumlah dah sebati dengan citarasa pantai timur.Seingat saya,antara daun yang selalu diminta oleh emak untuk mencarinya ialah kangkung,kesum,mata ayam,serai kayu,pucuk manis dan pucuk miding.Apabila berada di bandar,ada antara daun tersebut memang sukar didapati,namun ia tidak membantutkan keinginan untuk memasak bubur lambuk.Pucuk miding sebenarnya hidup meliar di kawasan semak terutamanya di tepi jalan,namun tak pula saya sanggup untuk mengutipnya.Dalam banyak daun yang digunakan oleh ibu,saya hanya mengekalkan beberapa saja iaitu daun kesum dan pucuk manis.Daun kesum mesti ada supaya bubur lambuk mendapat aromanya.Tanpa pucuk miding,rasa bubur lambuk tidak terjejas.Hari ini saya berjaya memasak bubur lambuk dengan mengekalkan rasanya walaupun tanpa banyak ulaman.Sebenarnya senang sahaja untuk memasak bubur lambuk kerana ia tidak perlu banyak ramuan.
ini dah yang terakhir..jika banyak ulam/daun,lebih sedap rasanya.

Antara bahannya ialah:
beras-jika nak banyak,masukkan banyak beras.tapi saya hanya menggunakan setengah cawan sahaja
bawang merah - dikisar bersama lada hitam
1 inci halia - dihiris memanjang
ayam/daging yang dihiris nipis
sedikit kelapa goreng
serai
keropok keping-jika suka.sekadar nak mevariasi dalam masakan
daun kesum
pucuk manis
bayam
garam

Cara-cara

1. Masakkan beras dengan air yang banyak sehingga menjadi bubur.
2. Masukkan ayam yang dihiris nipis,bawang yang dikisar dan halia serta serai
3. Masukkan daun kesum
5. Masukkan kelapa goreng dan daun-daun yang lain
6. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa