Khamis, 31 Mac 2011

Belon Udara Panas (Putrajaya)






Hanya berkesempatan ke Putrajaya semasa cuti yang lalu.Dari jauh sudah nampak payung terjun terapung-apung di udara.

Ahad, 27 Mac 2011

Sudah Enam Tahun




Sudah enam tahun umur anak saya yang sulung.Seperti kebiasaannya,kek yang dibeli dipotong di rumah sahaja.Yang meraikannya hanyalah kami berempat. Sudah beberapa tahun seperti itu. Bila sudah agak besar, dia tidak mahu meraikannya di taska.Apa sebabnya,tidak pasti pula.Sekecil lima tahun lagi dia sudah diajar ke tadika dengan menaiki bas.Mudah-mudahan apabila dia menjengah tahun satu pada tahun hadapan, dia dapat berdikari dengan alam persekolahan yang sebenar.

Khamis, 17 Mac 2011

Ada-ada saja


Seronok pula mengumpul cenderahati pemberian rakan-rakan yang melancong semasa cuti sekolah yang lalu.Seminggu bercuti,saya hanya sempat ke Putrajaya melihat belon udara panas.Hari2 yang lain hanya menghabiskan masa di rumah menanda kertas ujian di samping melayan kerenah anak-anak.Dalam pada itu,sempat pula yang mencari ilham untuk menghias sudut di sisi tangga yang agak malap kerana terlalu banyak warna coklat di sudut tersebut dengan membelek-belek majalah Impiana dan Anjung Seri.Nampaknya rasa bosan dengan sudut itu dah sampai tahap kritikal.Ilham dah ada,malah berbelah bahagi pula nak mengaplikasinya kerana terlebih-lebih idea pula yang timbul.Cuma, sekarang ni kesempatan untuk membeli beberapa barang yang dirasakan perlu untuk merealisasikan idea itu belum ada. Rak untuk meletakkan koleksi novel masih ternampak-nampak di Giant.Tak sabar nak menunggu wajah baharu sudut belajar dan perpustakaan mini di rumah.

Rabu, 9 Mac 2011

Internetku

Kali ni saja nak berkongsi gambar masa Hi Tea awal bulan Feb dulu.Internet di rumah bermasalah.Dah lama tak bersosial di rumah,lawat facebook dan blog.Di sekolahlah kesempatan diambil.Sekarang budak2 sedang menghadapi ujian,jadi adalah masa untuk bersantai.

Khamis, 3 Mac 2011

Cara Membaca

Ada beberapa perkara JANGAN yang perlu ibu bapa tahu supaya tidak menyusahkan anak-anak apabila mengajar membaca.
1. JANGAN ajar nama-nama huruf contohnya ‘ei’ untuk huruf ‘a’, ‘bi’ untuk huruf ‘b’ dan seterusnya kerana anak-anak yang tahu nama-nama huruf tidak semestinya dapat membaca. Bahkan mengajar mengenal nama huruf a, b, c adalah halangan pertama membaca.
2. JANGAN ajar anak mengeja-eja huruf pada perkataan-perkataan yang dilihat kerana mengeja melibatkan dua proses iaitu menyebut nama huruf dan membatang pola-pola ejaan.
3. JANGAN ajar anak mengenal bunyi huruf sambil mengenalkan nama huruf sekaligus, contohnya seperti menyebut ‘ei’ (huruf ‘a’) bunyinya ‘a’ kerana anak tidak perlu tahu nama huruf untuk membaca.
4. JANGAN ajar anak menghafal mana-mana suku kata atau perkataan apabila mula mengenal perkataan kerana kanak-kanak akan terbeban dengan ratusan pola-pola ejaan yang menyukarkan.
5. JANGAN ajar huruf-huruf besar dahulu kepada kanak-kanak kerana huruf besar tidak penting kepada kanak-kanak pada peringkat awal.
Jadi apakah yang BOLEH dalam mengajar anak membaca mengikut kaedah fonetik? Membaca mengikut kaedah fonetik melibatkan proses awal berikut; Memperkenalkan bunyi secara sistematik
1. anak-anak perlu tahu bunyi huruf – iaitu dapat menyebut bunyi dan ingat bunyi huruf yang diajarkan
2. anak-anak perlu kenal huruf – iaitu bentuk, rupa dan cara tulis huruf tersebut
3. anak-anak dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang berkaitan.
Kanak-kanak seawal usia 3 tahun dapat mengecam dan membezakan bunyi-bunyi dan bentuk-bentuk pada usia ini. Oleh itu dengan teknik yang betul anak-anak dapat mengenal bunyi dan mengaitkan bunyi tersebut dengan bentuk huruf yang ditunjukkan dengan cepat. Anak-anak dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ (nama huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Sehubungan itu, apabila anak-anak melihat huruf ‘ani’, dia akan menyebut bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’ (iaitu bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai).
Beberapa teknik mengajar bunyi boleh dilakukan oleh ibu bapa tetapi kaedah asosiasi adalah yang terbaik. Melalui kaedah asosiasi, bunyi ‘aa’ tersebut boleh dikaitkan dengan aksi terkena api. Sakitkan? Jadi buat aksi orang terkena api sambil menjerit ‘aaaaaaa panasnya!’ Melalui asosiasi ini anak dapat mengingat dan menyebut bunyi dengan lebih berkesan, cepat dan berkekalan. Ikutilah kursus-kursus Bacalah Anakku atau rujuk buku panduan siri cepat membaca Bacalah Anakku.
Sebaik-baiknya ibu bapa tidak perlu memperkenalkan semua bunyi sekaligus. Memadai hanya beberapa bunyi asas terlebih dahulu. Sila dapatkan siri cepat membaca Bacalah Anakku yang telah disusun secara sistematik dalam pemilihan bunyi-bunyi huruf yang sesuai terlebih dahulu. Dengan mengikut susunan siri ini, anak dapat menguasai bunyi dengan lebih teratur dan berkesan. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan dengan huruf vokal ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ lebih kerap, wajarlah bunyi-bunyi ‘a i u’ diperkenalkan dahulu. Lebih-lebih lagi bunyi-bunyi ini lebih senang disebut oleh kanak-kanak. Seterusnya bunyi-bunyi konsonan lain diperkenalkan satu persatu , contohnya ‘b’ ‘n’ ‘m’ ‘s’ dan ‘k’.
Seterusnya, dengan berpandukan siri cepat membaca Bacalah Anakku, ajar anak-anak membaca gabungan huruf konsonan dan vokal yang diajarkan , contohnya ‘b’ dan ‘a’ ‘i’ dan ‘u’ untuk membaca ‘ba’ ‘bi’ dan ‘bu’. Melalui kaedah fonetik, anak-anak tidak akan mengeja ‘ba’ menjadi “ba” ; tidak juga menghafal suku kata ‘ba’; tetapi mereka membaca dengan menggabung-gabungkan bunyi ‘beh’ (bagi huruf ‘b’) dan ‘aa’ (bagi huruf ‘a’).

Rabu, 2 Mac 2011

Tugas Guru

Catatan ini bukanlah bertujuan untuk mengeluh dengan bebanan sebagai seorang guru tetapi sekadar berkongsi pengalaman supaya sesiapa yang tidak berada dalam bidang ini dapat membuka mata bahawa mencabarnya kerjaya guru buat masa kini. Masa kerja separuh hari bukan lagi keistimewaan bagi seorang guru kerana kebiasaannya guru akan membawa balik kerja ke rumah.Di rumahlah mereka akan menyiapkan kerja.Ada juga yang memang tidak membawa balik kerja tetapi mereka biasanya akan berada di sekolah sekitar jam 3 atau 4 petang untuk menyiapkan kerja-kerja yang memang tidak akan berkesudahan. Bagi saya, masa balik jam 1.15 perlu dimanfaatkan kerana kebiasaannya saya sudah keletihan menjelang jam 1.Di rumah, saya boleh melelapkan mata untuk menyambung kerja-kerja rumah pula.Beberapa tugas guru yang tidak nampak oleh orang lain:

1. Guru sebagai penyelesai masalah
Minggu lepas saya didatangi oleh seorang ibu yang mengadu mengenai masalah anaknya. Sebagai ibu, dia sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa bagi mengatasi masalah anaknya. Masalah tersebut pula merupakan masalah di rumah.Di sekolah, anaknya tidaklah pula bermasalah.Cuma, kadang kala dia hadir lewat ke sekolah. Jika begini keadaannya, terpaksalah saya mengambil tahu tepi kainnya.Latar belakangnya terpaksa dikorek walaupun saya sendiri tidak suka menyukainya. Bebanan kerja sudahlah banyak, ditambah pula dengan masalah peribadi pelajar. Tapi, demi tanggungjawab sosial,kerja-kerja tersebut dilakukan jua.Di kantin, bilik guru dan di mana-mana saja, permasalahan pelajar sentiasa di bibir guru-guru.Hal-hal yang berkaitan dengan disiplin pelajar selalu menjadi topik bualan sehingga kadang kala telinga sudah larat lagi untuk mendengarnya.



2. Guru sebagai polis trafik
Minggu ini merupakan minggu kedua saya terlibat dengan latihan “road run”.Nama merentas desa sudah tidak sesuai kerana kawasan kami yang tinggal di pinggir bandar hanya dikelilingi oleh rumah-rumah batu sahaja. Laluan jalan yang agak sibuk menyebabkan road run seakan-akan tidak sesuai lagi dijalankan kerana risiko kemalangan.Nasib baiklah saya mendapat check point yang agak selamat, maka bolehlah bersantai-santai. Lain pula halnya bagi rakan-rakan yang mendapat check point yang agak bahaya. Disebabkan check point saya habis agak awal hari ini,maka saya berkesempatan melihat rakan-rakan yang bertugas di check point yang agak bahaya di simpang tiga. Dengan keadaan jalan yang selalu menjadi tumpuan kereta keluar masuk, kehadiran 6 orang guru yang bertugas di sana sangat diperlukan.

2. Guru sebagai kerani
Bebanan yang makin bertambah dan tidak akan berkurang selagi guru tiada pembantunya.Setiap awal bulan, setiap guru tingkatan mesti merekodkan salah laku pelajar-pelajarnya ke dalam fail yang dikhaskan. Bagi kelas yang tercorot seperti kelas saya, jumlah salah laku pelajar memang banyak.Selain salah laku, guru kelas juga mesti menghantar surat peringatan bagi kes ponteng sekolah.Seperti biasa, setiap bulan, memang banyak surat yang akan dihantar. Setiap surat perlu dibuat tiga salinan pula tu.Ada ketikanya, seharian menghadap kerenah pelajar-pelajar yang pelbagai ragam, saya sudah tidak mampu bertahan di sekolah lagi kerana sudah kepenatan.Masa inilah keistimewaan masa bekerja separuh hari dimanfaatkan.


3. Guru sebagai pengurus kelas
Bebanan tugas sebagai guru kelas bagi kelas yang agak tercorot memang banyak.Hal-hal yang berkaitan dengan keceriaan kelas memang tidak boleh diserah bulat-bulat kepada murid-murid kerana mereka masih memerlukan campur tangan daripada guru kelas. Ada sesetengah guru yang melakukan sendiri kerja-kerja menceriakan kelas kerana tanpa sentuhan guru kelas, kelas akan kosong. Sudah pastinya guru kelas yang mendapat malu. Maka, tidak hairanlah jika ada guru yang membuat inisiatif sendiri membawa bingkai gambar yang tidak digunakan di rumah untuk dilekatkan di dalam kelas. Ada juga sesetengah kelas yang mengambil tindakan untuk mengecat kelas mereka. Jika begitu keadaannya, sudah pastinya kerja guru makin bertambah. Seingat saya semasa bersekolah dulu,kerja-kerja tersebut dilakukan sendiri. Tapi kini, jika guru buat endah tak endah saja, semua kerja tidak akan berjalan.