Memaparkan catatan dengan label Adat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Adat. Papar semua catatan

Rabu, 14 Ogos 2013

Budaya Menghulurkan Wang Semasa Raya


Salam Lebaran kepada pembaca yang singgah ke blog ini kerana hari raya masih dirai.Lebaran kali ini memang meriah dan memberi seribu makna.Semasa sesi menziarah,saya berfikir sendiri tentang kata-kata seorang rakan guru yang saya panggil akak.Sememangnya kebanyakan rakan guru di sekolah memang terdiri daripada golongan kakak yang lebih senior daripada saya pun.
Berbalik kepada kata-kata akak kepada saya tadi:"mak mentua akak dapat beribu duit raya".Kata -kata itu diucapkan apabila kami bercakap pasal duit raya.Beruntung jika kita bermurah hati menghulurkan wang apabila menziarah terutamanya kepada mereka yang bergelar warga tua.Alangkah bertuahnya jika mempunyai ibu yang selalu mengingatkan kita untuk melakukan kebaikan.
Mak saya juga sering berpesan supaya menghulurkan wang apabila menziarah ibu saudara.Kala itu kami bersepakat adik-beradik untuk menentukan nilai yang akan kami hulurkan nanti.
Perlukah kita menghulurkan wang semasa menziarah terutamanya kepada warga tua?Sukar juga nak menjawabnya tetapi manisnya perbuatan itu jika dapat diamalkan kerana melalui perbuatan yang ikhlas itu,mudah-mudahan rezeki akan diberkati.Lagipun,menghulurkan wang semasa perayaan tidak akan menjadi buah mulut malah akan sentiasa diingati.

@@Seronok dengan budaya mengulurkan wang yang diamalkan dalam keluarga.Orang memberi,kita merasa,ada hari kita akan membalas... 

Isnin, 27 Februari 2012

Adat Orang Besut



Sesetengah rakan sekerja menganggap saya berasal dari Kelantan kerana mereka pernah bertanya,Kelantan di mana tinggal?Mungkin percakapan saya menggunakan loghat Kelantan,mereka mengandaikan saya berasal dari Kelantan padahal saya berasal dari Besut,Terengganu yang bersempadan dengan Kelantan.Sememangnya orang-orang Besut bercakap sama dengan orang Kelantan kerana Besut suatu ketika dulu pernah berada di bawah Kelantan tapi daerah tersebut telah dihadiahkan kepada Terengganu.Sebabnya?Setahu saya ada kaitan dengan laga ayam,sumber daripada mana saya dapat info ni,tak pasti pula tetapi ada juga mengatakan ia tiada kaitan dengan laga ayam.Apa-apapun yang pasti saya suka menjadi anak Besut.

Disebabkan sejarah Besut agak kabur,orang Besut seolah-olah tidak mendapat tempat antara negeri Kelantan dan Terengganu.Itu andaian saya semasa belajar dulu.Semasa di u dulu,saya ada mengikuti PERMATA(Perkumpulan Anak-anak Terengganu) tetapi rasa tiada keserasian dalam anak negeri ini sehingga saya masuk pula HAAK(Himpunan Anak-anak Kelantan)tetapi tiada juga kesesuaian.Mahasiswa lain saya tidak pasti.Namun ia bukanlah masalah besar.Keadaan ini menyebabkan ada kata-kata jenaka untuk menubuhkan Anak Besut bagi mahasiswa dari Besut.Sebagai ahli tak tidak aktif,saya hanya menggunakan khidmat PERMATA apabila ingin balik ke kampung semasa perayaan.

Apa-apapun saya seronok menjadi anak Besut.Di sini saya ingin berkongsi dua adat dalam perkahwinan yang pada pandangan saya lain daripada yang lain kerana pengalaman 9 tahun saya berkahwin dengan suami yang merupakan orang Selangor,tidak pula saya nampak ia diamalkan.Antaranya ialah adat yang diamalkan oleh masyarakat Kelantan iaitu adat 'mengenal'.Semasa majlis perkahwinan,pengantin perempuan akan duduk berhadapan dengan bekas besar spt mangkuk,kemudian rombongan daripada pihak lelaki(wanita) akan bersalam dengan pengantin perempuan dan menghulurkan wang.Duit itu diletakkan dalam mangkuk tersebut.Biasanya wang yang diberikan dalam jumlah yang besar.Pengantin perempuan akan memberi sesuatu sebagai balasan kepada orang yang bersalam tadi.Saya lihat adat ini dilakukan semasa perkahwinan abang sulong saya dulu-dulu.Adat ini hanya segelintir sahaja yang mengamalnya dan ia sesuai jika kedua-dua pengantin orang Kelantan/Terengganu.Jika berkahwin dengan orang luar,tidak sesuailah adat ini kerana rasanya cara ini tidak diamalkan di negeri lain. Bagi saya,adat ini wajar diamalkan jika tidak membebankan pihak rombongan pengantin lelaki kerana inilah cara untuk mengenali pengantin perempuan dengan lebih dekat.Kebiasaannya,masyarakat pantai timur akan lakukan sesuatu adat sekiranya ia telah dilakukan sebelum ini kerana mereka seakan-akan terikat dengan kata-kata orang memberi,kita membalas.


Satu lagi adat yang diamalkan ialah bertandang ke rumah saudara-mara atau jiran terdekat dalam tempoh mula-mula berkahwin.Tak tau pula apa nama adat ini.Dalam tempoh seminggu saya berkahwin,saya menerima banyak undangan ke rumah sanak-saudara dan jiran.Jika undangan yang diterima ialah undangan untuk sarapan pagi atau makan tengah hari,maka juadah yang akan dihidangkan agak istimewa berbanding dengan undangan sahaja.Maksudnya,undangan perlu dipenuhi mengikut masa tuan rumah menjemput kerana mereka telah menyediakan makanan istimewa untuk undangan tersebut.Jika undangan sahaja,pihak pengantin boleh ke rumah orang yang menjemput bila-bila masa sahaja tanpa mengira masa.Tujuannya ialah untuk mengenali dengan lebih dekat pengantin lelaki/baharu yang baru menjadi sebahagian daripada keluarga.Sebagai penghargaan atas undangan,tuan rumah akan memberi buah tangan kepada pihak pengantin lelaki.Biasanya kain pelikat.Jika pengantin perempuan,biasanya kain pasang atau kain batik akan diberikan.Hingga kini,saya tidak perlu membeli kain pelikat kerana pemberian semasa kahwin dulupun ada lagi yang tidak dipakai.Sejujurnya,saya rasa adat ini perlu diteruskan kerana cara inilah kita dapat mengenali pengantin baru secara dekat di samping mengalu-alukan kedatangan pengantin baru sebagai sebahagian daripada keluarga.