Memaparkan catatan dengan label Susun atur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Susun atur. Papar semua catatan

Selasa, 8 Disember 2015

Kemaskan Sudip dan Senduk

Inilah susun atur di rumah saya.Pada awal tahun lepas,saya cuba minimumkan peralatan yang digantung tapi perkakas yang digantung itulah penyeri untuk dapur.Baru nampak jiwa dapur.Makanya,perkakas dapur dibiarkan bergantungan.Lagipun,tiada tempat juga nak menyimpannya bila kerap membeli peralatan baru.

Jika lihat gambar ni dan bandingkan dengan susun atur di rumah,alahai serabutnya hingga nak ambil barang pun susah sebab bertindan.Tak pernah pula nampak penyangkut seperti ini bertahan lama.Hampur setahun dah dia guna penyangkut yang dibeli di Lazada ni.Kebiasaan penyangkut seumpama ini yang saya beli memang tak tahan langsung.Nak lekat di dinding pun tak berapa nak sudi,inikan pula nak menanggung beban.Krefit untuk sumber fb.

Pada mulanya nak gunakan penyangkut yang ada skru tu tapi kena gerudi dinding pula.Sebagai alternatif lain,saya gunakan ni tapi tak boleh untuk barang yang berat.

Yang ini pun tahan tapi dah tak jumpa penyangkut besi seperti daun tu di kedai RM 2.Yang ini hanya buka plastik di bahagian bawahnya dan akan melekat elok di dinding.Tak pernah jatuh pun sejak saya gunakan ni.

Untuk sudip dan senduk yang berat boleh digantung di sini.Tiga penjuru jadinya tempat gantung peralatan sudip ni bila ruang yang ada digunakan sepenuhnya.

Ini hasilnya.Harap-harap mood nak mengemas ni sentiasa ada.Kebiasaannya sukar nak bertahan lama kerana mood sentiasa ada pasang dan surutnya macam air juga.



Ahad, 4 Oktober 2015

Gantung Tudung


Tiba-tiba rasa penyangkut baju yang kerap dibeli belakangan ni masih tidak cukup-cukup.Bila nak menjemur baju,masih perlu mencari penyangkut baju yang kosong.Hairan betul,ke manakah penyangkut baju ni hilang?Mulalah terfikir sendiri mencari jawapannya.Kemudian,barulah teringat.Baru-baru ni saya kerap menbeli tudung yang jenis siap pakai, “instant shawl” kata orang.Sebelum tu,baru saja beli beberapa tudung De Salma.Memang akan menambah bilangan penyangkut baju.Bila diasingkan,banyak juga tudung instant ni.Patutlah penyangkut baju masih tidak mencukupi apabila tudung bawal pun kadang-kadang masih dipakai dan disangkut di penyangkut baju sahaja.
Sekarang,hanya tudung yang ada 'awning' saja digantung dengan penyangkut baju


Sabtu, 28 Februari 2015

Rak Penyangkut Baju

Masa nampak rak penyangkut baju ni,memang tak fikir panjang,terus ambil dua.Nak baca pun memang tak faham.Bila sampai rumah,cubalah susun penyangkut baju tu,tapi tak muatlah pula.Rupa-rupanya rak ni untuk penyangkut baju yang besar sedangkan penyangkut baju di rumah hanya bersaiz sederhana saja.Semua penyangkut baju yang ada tak muat.Alahai,ralatnya.RM 10 terbang kerana saya beli dua,satu untuk penyangkut baju saya dan suami  serta satu lagi untuk baju anak-anak.Takkan tak digunakan,sayanglah kalau simpan saja.Mulalah saya cuba juga untuk susun penyangkut baju di rak tu kerana tak tak mahu membazir.
depan plastik..

sepatutnya penyangkut baju disusun begini


Terpaksa buat inovasi,jika tidak, memang akan simpan saja.Beginilah jadinya.Yang penting, dapat digunakan.


Ahad, 1 Februari 2015

Susun Atur Bilik Kerja

sebelum ni..

Bilik bawah merupakan bilik tetamu dan bilik kerja saya.Di situlah juga saya bersiap-siap untuk ke sekolah.Bilik tu juga tempat solat.Malah,boleh dikatakan bilik bawah merupakan bilik pertama saya.Kebanyakan baju harian saya letak di bilik ni kerana malas nak memanjat tangga untuk mencari baju apabila balik dari sekolah.Saya hanya tidur di bilik atas.Makanya,bilik ni agak susah nak lihat berada dalam keadaan kemas dan teratur.Bilik ni agak besar sikit berbanding bilik kedua dan ketiga.Perabot yang mesti ada dalam bilik ni ialah meja tulis,katil,almari dan tempat simpan baju anak.
Agak sukar untuk mencari kesesuaian untuk meletak meja kerja.Masa kabinet dapur dipasang,saya meminta satu rak buku dipasang di dinding dalam bilik bawah ni.Tanpa melihat tempat suisnya,rak buku tersebut dah tersalah pasang di dinding yang tak ada tempat suisnya.Makanya,terpaksalah sambung wayar pula.Berseliratlah pula wayar.

Susun atur selepas 

ada 5 beg yang selalu digilirkan untuk dibawa ke sekolah.sekarang bawa beg oren tu.berat sangat dah,kena tengok barang-barang yang dibawa tu

rak buku.masih dalam proses untuk menyimpan buku-buku dan barang-barang yang penting saja disimpan dalam rak ni.alat kawalan jauh kipas digantung di situ kerana tempat letaknya memang tak ada.kalau tak digantung di situ,memang akan hilang...



Di Sebalik Ceritera Mekap


Bekas seperti  ini yang berwarna hijau  saya beli di Cosway kerana konon-kononnya nak buat susun atur alat tulis di sekolah. Tapi disebabkan menang membeli dan alah memakai,agak lama bekas tersebut tersimpan saja hingga lupa kewujudannya.Bila saya google untuk mencari bekas alatan mekap,keluarlah gambar bekas ni.Barulah saya ingat bahawa saya ada membeli bekas ni dan tidak digunakan lagi.
Makanya,bermulalah proses mengemas buku-buku dalam almari yang ada untuk membolehkan saya meletakkan bekas alatan mekap dengan selesa.Sebelum ini,bedak dan gincu hanya diambil daripada beg tangan saja kerana hanya satu tu saja bedak dan gincu yang ada.Krim muka pula hanya diletakkan  depan susunan buku dalm rak.Kalau tersalah cara ambil buku,memang akan jatuh dan pecahlah botol pelembab muka.
Sebenarnya,saya tidak ada pun alatan mekap yang banyak tapi hanya menggunakan bedak kompak,gincu dan set krim muka saja.Makanya,memang letak agak bersepah.
bedak dan gincu kedua yang dibeli...tak perlu nak mencari bedak dan gincu dalam beg tangan setiap pagi apabila bersiap-siap nak ke sekolah

toner Nour Ain yang nampak tu...memang pakai set krim muka Nour Ain kerana  tonernya tidak pedih apabila digunakan.Jika tidak guna krim muka,muka akan tak sekata dan berjeragat... 

di tingkat atas yang berkunci lagi tu tempat alatan mekap yang tak seberapa tu diletakkan kerana Akmal suka sangat mengemas

Menulis tentang entri mekap ni,teringatlah beberapa peristiwa perihal mekap semasa berada di sekolah.Kebiasaannya saya memakai gincu yang agak nipis saja.Apabila ke kantin dan bersarapan pagi,gincu tersebut akan tanggal.Jarang-jarang sekali mencalit gincu di bibir semula.Kebiasaannya juga,saya akan sarapan dulu sebelum masuk ke kelas.Tapi hari tu jadual kelas satu kelas ni agak awal menyebabkan saya   tak sempat nak makan dulu.Bila masuk ke kelas,adalah seorang pelajar lelaki bersuara,”pakai gincu hari ni”.Saya yang mendengar kata-katanya tu hanya buat-buat tak tahu.Malas nak melayan kerenahnya walaupun tak berkenan dengan caranya.
Satu lagi peristiwa yang berlaku pada tahun lepas.Pada hari tu saya berpuasa(dah lupa masa bukan puasa atau saya berpuasa ganti)Memang gincu akan kekal hingga balik ke rumahlah jika masa berpuasa.Nak dijadikan cerita,pada hari itu saya hanya mencalit gincu saja tanpa melihatnya di cermin.Saya hanya mencalit gincu di bibir bawah saja dan kemudian akan menekap dengan bibir atas untuk meratakan gincu tu.Masa saya masuk ke kelas,seorang pelajar lelaki menegur,”peliklah hari ni cikgu.” “Kenapa pula?” “Terang sangat gincu cikgu hari ni.” “Oh,ye ke?”Selamba saja saya menjawab.Patutnya saya menjawab,”yelah,cikgu nak kamu bersemangat sikit belajar hari ni.”Kemudian seorang pelajar perempuan bersuara,”orang perempuan,biasalah macam tu.

Perbualan memang tak melarat panjang kerana saya terus mengajar.
Bila habis kelas dan masuk ke bilik guru,barulah saya melihat cermin. “oo…patutlah budak bersuara,rupa-rupanya memang agak merah sikit pada hari ni.Dahlah berpuasa.” Kawan-kawan perasan.

Ahad, 18 Januari 2015

Susun Atur Selipar

Suami yang biasa susun atur selipar di luar rumah.Kadang-kadang,bising dengan anak-anak kerana letak kasut sekolah bersepah.Ini tak semua selipar yang ada.Selipar yang lain diletak di dalam rak supaya tak bersepah di luar rumah sedangkan lima orang saja penghuni rumah tapi selipar yang ada di luar membayangkan ramai sangat penghuninya.


Sabtu, 17 Januari 2015

Susun Buku

Tahun lepas saya dah mulakan meletak pelekat di buku untuk membezakan buku-buku pelajar.Saya mengajar bahasa Melayu yang mengkehendaki pelajar mempunyai lima buah buku setiap pelajar.Saya pula mengajar dua kelas.Memang perlu membezakannya kerana buku- buku pelajar sering bercampur aduk.Habis warna untuk membeli pelekat bagi membezakannya.
Nampak warna sama saja.Tak semua buku dipungut setiap minggu kerana kena fikirkan juga tempat letaknya dan kekangan masa untuk menanda buku..

Melihat blog(tak pasti tajuk blognya) yang dikongsikan di fb ni,terfikir juga untuk membuat begini bagi buku Ammar.Rasa-rasanya tak perlu pelekat tu ditampal begitu,boleh saja samakan pelekatnya kerana dah dibezakan dengan warna..

Isnin, 15 Disember 2014

Cuti-cuti,Mengemaslah Rumah(2)

Cerita bab mengemas rumah memang tak sudah-sudah kerana kerja-kerja mengemas tak dibuat sekali gus tapi sikit-sikit.Lama-lama selesailah juga tapi ruang ysng dikemas dulu mungkin dah bersepah semula.Hu..hu.hu.Nasiblah kalau begitu.
Hasrat nak mengemas bahagian kabinet ni dah lama ada hingga bakul hijau untuk simpan barang tu tak sabar-sabar nak beli.Dah tak boleh nak tunggu ke Mr Diy dah sebab tak pasti pula bila nak ke sana,makanya bakul tu dibeli di kedai berhampiran rumah saja.Harganya pun mahal sikit tapi tersimpan saja bakul tu beberapa bulan.
Bila orang pos entri mengenai mengemas rumah,...mulalah terfikir:dah lama tak mengemas terutamanya bahagian dapur belakang
Bila lihat cara orang mengemas,...ooo ada idea ni.
Bila tatap gambar rumah yang cantik dan kemas,
tak boleh jadi ni,saya pun boleh kemas sekemas macam ni juga,mulalah diri tercabar dan bersemangat nak mengemas.
Tak besar pun ruangnya tapi nak ada semangat untuk menyusun barang-barang tu tak pasti bila sedangkan masa lepas raya lagi bakul-bakul tu dibeli.Kabinet tertutup,bolehlah lupa pasal ruang yang serabut tu.Kalau tempat senang nampak,mungkin takkan lama keadaannya macam tu.

Tak sanggup nak tunjuk gambar tapi nak tunjuk juga untuk pertama kalinya...
Ada yang nak pitam bila tengok gambar ni?semua barang main letak saja

Botol kosong pun disimpan juga...huhu...


 Ada tupperware merah di atas bekas kaca.Terfikir sejenak,siapa punya ni?Sendiri beli pun tak ingat sebab lama tak digunakan...

Sebenarnya tak lamapun mengemas ruang ni.Sebelum ke rumah kakak,sempat lagi saya kemaskan bahagian ni.Sekadar mengemas dan membuang barang yang tak perlu.Untuk mengubah kedudukannya,perlu masa yang lain.

Bahagian bawah:
bolehlah macam ni.kurang sikit serabutnya...sepatutnya kabinet ni hanya ada barang-barang dapur saja tapi entah macam mana boleh tersesat barang-barang lain pula
Bahagian atas:
pengering rambut disimpan di sini untuk memudahkan suami mengeringkan bulu kucing setelah kucing-kucingnya dimandikan..Tupperware simpan bersepah saja kerana tak ada ruang khas untuk semua Tupperware yang ada..

Nota kaki:Mula terfikir, bersepahnya peralatan rumah.Kalau dapat buat satu tempat,senangnya nak cari...

Sabtu, 6 Disember 2014

Simpan Baju Dalam Beg Cara Gulung

Masa nak balik dari KT tempoh hari,saya cuba pula susun baju dalam beg cara gulung bila kakak kata cara tu lebih jimat ruang.Memang pun cara tu lebih jimat ruang tapi agak susah nak cari baju pula kerana bertindih satu sama lain jika menggunakan beg sebegini.
Apabila gulung pakaian yang besar,gulungannya tak kemas pula.Mungkin kena ada caranya tapi saya lebih suka cara susun baju menegak.



Selasa, 25 November 2014

Memfailkan Dokumen-dokumen Semasa

Sambungan untuk projek memfailkan dokumen.

Catatan sebelum ini yang disimpan dalam draf dengan tidak sengaja diterbit.Padahal nak buat satu saja catatan untuk projek fail ni tapi tersalah terbit pula.
Dalam catatan sebelum ini,failnya  lain.Bila dah jadi,failnya lain pula.Itulah,bila ditenung-tenung semula,tak menariknya fail tu,dahlah besar pula tu.Masa beli,memang fikir yang tebal dan besar akan menjimatkan tapi bila nak buat,rasa macam tak sesuai pula.Tak terfikir pula fail untuk PBS yang dibeli sendiri untuk sistem fail di sekolah dah tak digunakan lagi kerana PBS yang terkini tak memerlukan cikgu menyimpan evidens pelajar.Pihak sekolah manalah nak menyediakan fail untuk cikgu.Nak sistematik,kena keluarkan wang sendiri.Jadi,fail tebal tu,fail PBS manakala fail yang nipis tu fail pelajar.Dia dah masuk ke Kolej Vokasional,ditinggalkan fail sejarah begitu saja.Menyemak mata,nak dibuang sayang,saya guna semula.Sekarang,fail ni dah ada isinya tapi belum sempurna lagi.Banyak bahagian yang masih kosong,perlahan-lahanlah proses mengemas rumah dan mencari surat-surat yang terselit.
kebetulan kertas berbunga tu ada dalam simpanan.gunakan saja.Kertas berbunga,kertas A4,alat tulis mesti ada untuk hiasan kelas.

di bahagian tulangnya perlu ditulis tajuk supaya senang nak nampak..tiada masalah untuk mencetak kerana dari 2006 lagi saya dah guna komputer untuk menulis Buku Rekod Mengajar.sekarang,kalau ada apa-apa masalah tentang pencetak,hantar ke kedai saja.

bahagian dalamnya.penanda tu dibahagi dua...nak jimat.tapi,fail ni tak disediakan pembahagi tu.pembahagi tu diambil daripada fail lama
fail ni akan diletak di depan pintu utama.ada rak buku di situ.lecehnya guna fail macam ni kerana kena buka satu-persatu kalau nak masukkan bil di bahagian bawah..

Untuk menyimpan dokumen kereta,rumah dan sijil-sijil yang ada,dokumen-dokumen tu dah ada rumahnya yakni failnya tersendiri.Hanya dokumen-dokumen itu saja yang melalui proses pemfailan pada awalnya tetapi dokumen-dokumen lain agak berterabur.Sekarang,alhamdulillah,semuanya dah tersusun cuma kena pastikan proses penyimpanannya dilakukan secara berterusan.In sya Allah...

Nota kaki:Teringin untuk kumpulkan sijil-sijil yang dapat di sekolah tapi sekarang ni kena mendobi dan menyimpan baju dulu.Pagi esok nak bertolak ke Terengganu.Mudah-mudahan dipermudahkan kerana sekarang musim hujan..Beli tiket bas pun kena melepasi hari Selasa supaya dapat tengok Setitis Kasih Darmia dulu...

Khamis, 20 November 2014

Projek Memfailkan Dokumen

Dah lama nak memfailkan dokumen yang berselerak tempat penyimpanannya tapi belum terbuat lagi.Bila dah ada cabaran 'Home Binder' ni,sekurang-kurangnya saya lihat tiga kebaikan untuk saya.Pertama,menyegerakan projek yang belum mula lagi ni.Kedua,mendorong untuk menggeledah serata tempat penyimpanan sementara(semestinya ni main selit saja hingga banyak tempat simpanannya) dan ketiga memdapat idea yang lebih baik untuk sistem fail di rumah.

1.Fail poket yang telah dibuang semasa sesi mengemas bilik guru pada tahun lepas,saya ambilnya untuk memulakan projek menyimpan resit-resit dan sebagainya.Memandangkan barang yang disimpan di dalamnya akan jatuh apabila tersalah cara angkatnya,maka timbullah idea lain.Fail ni dah digunakan untuk perkara lain pula sekarang
2.Beli fail yang agak tebal(RM8.90) dan longgokkan di dalam tu semuanya
3.Peralatan untuk memulakan projek 
4.Beli fail yang ada indeksnya supaya menjimatkan kerana tak perlu membeli bahagian pembahagian indeksnya secara berasingan

Apabila nak memulakan projek,terfikir pula tentang ketidakrasionalnya cara saya menyimpan bil-bil semasa.Cadangnya fail ini akan diletakkan di tingkat atas.Jika begitu,susah juga nak merujuk bil-bil semasa.Maka,timbullah pula idea nak mengasingkan fail untuk simpan bil dan perkara-perkara lain.Sebab itulah saya sanggup ke Giant hujung minggu lepas tapi terlupa pula nak membeli fail.Terpaksalah pula tinjau-tinjau di pasar raya yang berdekatan rumah tapi mahallah pula.
Maka,saya permudahkan dengan menggunkan fail yang ada sahaja.Fail ni dalam RM 2.20 saja.
Untuk isi dalamnya,belum sempat dimasukkan lagi kerana sibuk dengan kerja akhir tahun di sekolah.

Sabtu, 15 November 2014

Catatan Harian di Telefon Bimbit

Untuk pengurusan aktiviti seharian sama ada melibatkan hal-hal kerja atau peribadi,saya kurang mencatat kerana semua perkara ada dalam kepala.Boleh ingatkah semua perkara?Kebiasaannya ingat tapi kadangkala lupa juga.Untuk mendisiplinkan supaya menulis perkara-perkara penting dalam diari,saya tidak berjaya.Diari tahun 2014 yang saya dapat percuma pada tahun lepas tersimpan elok saja dalam bonet kereta.Nama pun tak ditulis.Sebenarnya,saya tidak pandai nak menggunakan diari dalam kehidupan kerana rutin harian saya sama saja untuk setiap hari.

Tapi,untuk kali ini,saya nak berkongsi tentang penulisan catatan harian dalam telefon bimbit.Sebenarnya,saya baru nak memulakan cara ini supaya nampak perkara yang nak dilakukan.Mungkin cara ini perlu diperbaiki supaya lebih sistematik.

Untuk hal-hal sekolah,semuanya ada dalam Takwim Sekolah,hanya rujuk sahaja di buku tersebut.Hal-hal dan tindakan semasa hanya perlu lihat dalam TELEGRAM SEKOLAH saja.Cuma,apabila sudah banyak maklumat,maklumat yang penting dah jauh ketinggalan.Terpaksa cari semula dari atas.
belum diambil tindakan lagi...pernah pekerja pejabat bertanya saya:cikgu,kenapa semua cikgu asyik main telefon?itu bukan sebarang main,tapi lihat maklumat terkini...

akan mula kongsikan makluman penting ke telefon satu lagi supaya maklumat terdahulu tidak jauh ke belakang.kadang-kadang lupa juga,nak mencari semula maklumat tersebut,kenalah banyak bersabar membelek-belek yang lama...

Untuk catatan peribadi,saya suka gunakan My calendar tu.Kalendar tu sebenarnya sangat sesuai untuk orang yang merancang kehamilan.Kalendar ni sesuai juga untuk merancang puasa ganti dan melihat kesuburan kita.





Disebabkan My Calendar tu tiada tarikh cuti umum,saya juga terpaksa gunakan Calendar supaya senang nak tahu tarikh cuti umum.



baru mula menulis tugasan untuk akhir tahun ni..kalau tak siap kerja,nanti dipanggil ke sekolah semula pada cuti hujung tahun nanti

Cuti umum ada tapi cuti sekolah tiada pula.kena tulis sendirilah nanti.

Nota kaki:tahun depan nak cuba ubah rutin memasak selepas balik dari sekolah dan aktiviti hujung minggu.biasanya hujung minggu sibuk dengan rutin mengemas rumah dan mencuci pakaian

Selasa, 11 November 2014

Penyangkut Sikat

Penyangkut ni saya beli 5.Apabila dicuba di pintu kabinet dapur,alamak:tak sesuailah pula.Dua masih berbaki.
Idea datang bila selalu saja sikat hilang.Alang-alang dah beli banyak penyangkut ni,gunalah saja.Penyangkut ni tak sesuai letak di setiap pintu kabinet dapur kerana pintu tak akan rapat.Penyangkut ni juga hanya sesuai untuk pintu yang nipis,pintu kayu nyatoh yang tebal  pun tak muat.Jadi,kena bertukar tempat tapi masih untuk sangkut barang.Boleh juga untuk gantung jam tangan,pengikat rambut dan sebagainya.Yang penting,tak perlu nak pakukannya tapi hanya sangkut  saja di pintu.
Hanya RM 2 saja di Mr Diy.

Moga tak hilang lagi bila kedudukannya dah tinggi dah tersorok dalam almari