Sabtu, 29 Ogos 2009

Blog oh blog ...

Sejak dapat bina blog sendiri, saya makin seronok menerokai laman blog. Malang tak berbau apabila anak kecil saya pun seronok nak belajar sama. Tiba-tiba bahagian untuk buat editing menjadi kecil sekecilnya. Alamak, tak dapat nak bacalah pula. Kesannya nak buat editing pun tak boleh disebabkan tulisan tak dapat nak dibaca. Terbantut semangat nak belajar buat blog. Puas mencuba tapi tak berjaya sebab buta mata bab teknikal, akhirnya saya cuba untuk layari blog dengan windows internet explorer pula. Sebelum ni guna Mozilla Firefox. Alhamdulillah tak terjejas pun blog pada windows.Rupa2nya tak sama antara dua ni...Keadaan ini menyebabkan masa saya habis menghadap blog dan bukannya menyiapkan cerita yang tertangguh sekian lama. Apa2pun yang pasti saya bersungguh-sungguh apabila melakukan sesuatu perkara yang baharu.Itulah saya.Kini, saya belum pandai nak masukkan gambar.Puas mencuba tapi masih tak menjadi.Mesti cuba lagi. Cuba lagi...

Rabu, 26 Ogos 2009

CUTI SEKOLAH

Hari terakhir persekolahan, saya telah siap menanda kertas ujian.Rasa macam dah pecah rekod.Dalam masa seminggu saya siap tanda 4 kelas untuk subjek sejarah tingkatan 4 dan satu kelas untuk subjek sastera.Kalaulah dapat siapkan cerita dalam masa tu, memang bagus sangatlah rasanya.Bila cuti sekolah tiba, masa yang ada digunakan sepenuhnya menghadap laptop untuk menyiapkan cerita yang cuba-cuba ditulis empat tahun lalu.Masa yang agak lama sebab masa tu sekadar nak mencuba.Bila sekerat jalan, dah buntu dan tak ada idea, berhenti.Berhenti pula tu ambil masa lama.Terus lupa jalan cerita.Saya menulis main-main sebab masa pula terbatas. Kat sekolah, ada-ada saja aktiviti.Bila dah bulan Ogos, baru boleh tarik nafas lega sikit sebab aktiviti luar dah kurang.

Tahun ni saya mula serius dengan aktiviti menulis walaupun sekadar menulis di ruangan surat pembaca dalam majalah.Ada beberapa surat pembaca yang saya tulis telah disiarkan dalam majalah. Pernah juga saya bawa dalam kelas untuk dijadikan bbm bagi karangan berpandu.Nak menulis,banyak perkara dan genre yang boleh diteroka.Daripada genre yang pendek kepada yang panjang.Di situ ada minat, di situlah letaknya peluang.

Selasa, 25 Ogos 2009

Sekadar catatan diri

Keinginan untuk menghasilkan blog sendiri bermula apabila saya dapat bertukar sekolah.Pada minggu terakhir persekolahan di sekolah lama, saya mula bertukar-tukar alamat dengan murid kelas saya.Maka, salah seorang daripadanya iaitu ketua kelas yang agak becok mulutnya memberi alamat emelnya dan berserta blog kelas yang telah dibuatnya.Saya agak terkejut kerana murid yang baru berusia 13 tahun sudah pandai memanfaatkan teknologi. Murid2 sekarang lebih cepat meneroka bidang ini berbanding dengan gurunya.Apabila saya memberikan alamat emel, dia berkata,"dah maju cikgu sekarang". (Walaupun pada ketika itu saya menulis alamat emel di papan tulis,tapi dia seorang saja yang bersuara sebab dia memang banyak mulut.) Sememangnya saya agak maju kerana saya meminati IT dan cuba untuk menguasainya walaupun dengan inisiatif sendiri.

Pada mulanya saya minta dia yang ajar saya, tapi mungkin disebabkan dia sibuk kerana di sekolah, dia terlibat dengan perbagai aktiviti. Maklumlah murid2 kelas saya ni harapan sekolah. Mereka merupakan lepasan UPSR yang dapat 5A tapi tak nak ke mana-mana sekolah asrama.Saya faham keadaan mereka, jadi berpandukan buku, saya cuba sendiri.Kepada murid2 1 Gemilang SMK S19, jangan lupa diri.

Sabtu, 8 Ogos 2009

Pendidikan awal kanak-kanak

Rencana pendek ini ditulis unuk pertandingan anjuran taska sekolah.Dapat nombor tiga.Bersyukurlah...dapat juga tempat..

Pendidikan awal kanak-kanak bermula pada peringkat janin lagi kerana sentuhan yang dilakukan oleh ibu sejak bayi dalam kandungan dapat membantu mereka membesar dengan cergas dan sempurna.Peringkat ini, apa jua tingkah laku dan pemakanan ibu bapa akan mempengaruhi peribadi anak-anak.Pendidikan dilangsungkan apabila bayi dilahirkan. Bayi mula mempelajari sesuatu daripada persekitarannya apabila mereka boleh melihat dan mendengar. Pendedahan terhadap persekitaran yang positif sangat membantu perkembangannya untuk membesar dengan baik sebelum mereka terdedah dengan pendidikan formal.

Disediakan oleh: Ummi Ammar & Adib
(Wan Hanita bt Wan Drani

Isnin, 3 Ogos 2009

Kudrat Wanita

Rencana pendek ini sebenarnya dihasilkan untuk menyertai pertandingan sempena Hari Ibu pada bulan Mei yang lalu.Walaupun tak menang,namun pada masa inilah saya cuba mengenang kembali pengorbanan ibu saya.Catatan ini juga sebagai tanda menghargai jasanya.Terima kasih ibu...

Dengan kudratmu sebagai wanita, selut di bendang hingga paras paha tidak menjadi halangan untuk memastikan pada dapat dituai tepat pada masanya. Jika orang lain ke bendang bertemankan suami, namun ibu keseorangan kerana ayah yang mempunyai penyakit asma tidak dapat bersama-sama ibu membanting tulang empat kerat di tanah bendang. Namun, ibu tetap cekal. Padi yang disemai tetap dituai tepat pada masanya. Ibu gigih bekerja. Sedang tegak matahari, barulah ibu pulang.
Kemudian, ibu akan menyambungnya selepas solat zuhur dan makan tengah hari yang agak lewat. Ibu sendiri yang melakukan kerja di bendang tanpa mengupah sesiapa kerana kudrat orang lain digunakan pasti akan mengurangkan jumlah hasil tuaian. Cuma, ibu hanya mengupah orang untuk membajak tanah bendang yang liar dengan keladi bunting. Namun, selepas tanah dibajak, keladi itu masih segar di bendang ibu. Ibu jugalah yang akan meracun keladi tersebut. Ibu jugalah yang menghayunkan cangkul untuk membaiki batas yang telah rosak. Cuma, kadang kala anak-anak ibu datang membantu tetapi sekadar yang mampu kerana kami masih lagi remaja.
Habis musim menuai, ibu akan menorah getah pula. Semak samun ibu redah tanpa menghiraukan keselamatan diri.Apabila waktu petang, aku dan adikku akan menemani ibu mengutip getah. Semuanya ibu lakukan demi membantu ayah yang menjadi pemandu setia kepada teksinya. Kini, berkat kegigihan ibu, kami enam beradik berjaya menjawat jawatan yang boleh dibanggakan. Empat dalam kalangan kami merupakan guru siswazah. Anak lelaki sulung ibu berjaya menjadi jurutera dan anak lelaki kedua ibu pula telah menjadi pensyarah.
Tiada apa yang kami banggakan selain daripada usaha gigih ibu membantu ayah. Berkat kegigihan ibu, kami berusaha untuk mengubah nasib keluarga. Alhamdulillah, berkat doa ibu untuk melihat kami berjaya, kami dapat realisasikan hasrat ibu.