Ahad, 31 Januari 2010

Tiga dalam Satu



Hari ini saya melakukan kerja pengubahsuaian yang ketiga untuk bilik di tingkat bawah.Mula-mula pengubahsuaian dilakukan apabila ibu saya dari kampung datang bertandang.Daripada bilik yang penuh dengan barang-barang (sehingga anak sulung memanggil bilik ini stor besar,kini ia telah berubah wajah.Walaupun tidak secantik yang diharapkan,namun bilik kerja yang juga merupakan bilik tetamu serta bilik solat ini agak selesa untuk dipandang.Di bilik inilah saya melakukan kerja-kerja sekolah kerana senang untuk memantau aktiviti anak-anak.Sambil saya berinternet,saya masih lagi berkesempatan untuk memasak.

Khamis, 28 Januari 2010

Ruang untuk Menarik Nafas

Leganya apabila borang SSM telah siap sepenuhnya.Berminggu-minggu saya terpaksa berhadapan dengan karenah murid-murid semata-mata untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.Semuanya gara-gara sikap yang sambl lewa. Borang yang dihantar tidak lengkap menyebabkan saya terpaksa merujuk borang yang lama berkali-kali.

Buku kedatangan juga siap walaupun ada beberapa maklumat yang belum ditulis.Tiga hari saya terpaksa pulang lambat untuk menulis maklumat tersebut.Jika dihitung masa, mungkin lima jam juga saya terpaksa menghadap ruangan buku kedatangan itu.Pengalaman yang tidak pernah dilalui kerana sebelum ini saya hanya menampal maklumat tersebut.

Selasa, 26 Januari 2010

Subjek Sastera Melayu Wajar diwajibkan

Oleh Zulfazlan Jumrah

MEMETIK hasrat Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah yang meminta Kementerian Pelajaran supaya membuat pertimbangan agar Kesusasteraan Melayu dijadikan subjek wajib bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Lima, memang ada baiknya. Secara analoginya, subjek Kesusasteraan Melayu boleh diertikan sebagai satu subjek yang diajar kepada pelajar mencakupi pelbagai genre sastera seperti puisi, cerpen, drama, prosa tradisional dan lain-lain diperkenalkan sama ada dalam bentuk komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) atau subjek Kesusasteraan Melayu tulen.

Peredaran perkembangan subjek ini ternyata memberi impak besar apabila pelajar dapat mengkaji karya besar hasil nukilan sasterawan negara sama ada yang berbangsa Melayu atau sebaliknya. Namun, polemik yang menjangkiti kini ialah subjek ini kian dipandang sepi, lebih-lebih lagi apabila Kabinet memutuskan agar pengajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Tindakan ini sebenarnya ada pro dan kontranya. Sememangnya tidak dinafikan, pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mampu membentuk pelajar yang mampu bersaing pada peringkat global.

Namun pada masa sama, ia dilihat mengurangkan nilai jati diri pelajar terbabit. Di sinilah peranan sastera diperlukan. Ketika anak kita cukup lantang bertutur dalam bahasa kedua, kita sebenarnya tidak sedar bahawa jati diri mereka kian terhakis apatah lagi desakan ekonomi memustahilkan pengawasan ibu bapa terhadap anak mereka. Di Eropah, sastera dipandang tinggi peranannya, apatah lagi pelaksanaannya di dalam kurikulum secara kreatif berjaya membentuk pemikiran positif dalam diri masyarakat mereka yang cukup mencintai seni dan budaya. Hal ini juga boleh berlaku di Malaysia.

Jika bangsa Eropah pada hari ini berbangga menatap karya `master piece' hasil tulisan Shakespeare, tidak mustahil pelajar di Malaysia mengulit hidup mereka dengan karya tokoh tersohor sasterawan negara. Pelaksanaan subjek Kesusasteraan Melayu tidak semestinya berorientasikan peperiksaan dengan enakmen pemarkahan secara formal dalam bentuk digital. Subjek ini boleh dilaksanakan dalam satu bentuk yang tidak formal dan lebih santai tetapi penghayatannya tetap ada. Dengan itu generasi muda kita akan terus dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya untuk bangsa, agama dan negara. ZULFAZLAN JUMRAH, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
(Sumber : Berita Harian (02/07/2007) )

Ahad, 24 Januari 2010

Road Run ke-10



Semalam telah berlangsung kejohanan Road Run yang ke-10 dengan jayanya.Sebagai ketua rumah Hang Nadim(oren),perasaan bimbang terhadap prestasi murid-murid yang terlibat memang tidak dapat dielakkan.Kebetulan jiran sebelah sekolah saya iaitu SK BBSB juga menganjurkan acara yang sama pada pagi itu.Mereka diberi keutamaan untuk melepaskan murid-muridnya.Dengan masa yang ada,sempatlah guru-guru rumah saya memberikan nombor untuk peserta yang dipilih.

Memandangkan hanya 50 peserta untuk untuk setiap kategori,guru-guru yang ditugaskan untuk memberi nombor mengalami sedikit masalah kerana murid yang datang pada hari itu agak ramai.Mungkin disebabkan promosi yang telah dibuat dari kelas ke kelas, mereka bersemangat untuk hadir pada hari itu.Dengan demikian,nama perlu dipanggil bagi memastikan hanya mereka yang dipilih sahaja yang mendapat nombor.Walaupun begitu,ada juga murid yang telah dipilih tidak hadir pada pagi itu menyebabkan kami terpaksa memilih murid-murid yang betul-betul layak sahaja untuk menggantikan mereka.

Pada masa inilah budi bicara memainkan peranan.Alkisahnya salah seorang murid lelaki yang namanya tidak dipilih (mungkin kerana bakatnya tidak disedari oleh guru-guru)
menunjukkan rasa susah hati kerana tidak mendapat nombor.Sebenarnya ramai murid yang tidak dapat menyertai larian kerana hadnya hanya 50 orang sahaja.Disebabkan rasa kasihan terhadapnya,saya meminta seorang murid lain yang telah diberi nombor supaya memberikan nombornya kepada murid tadi.

Pada mulanya dia agak keberatan untuk memberikan nombornya.Namun, setelah dipujuk oleh dua orang guru,dia memberikan nombor tersebut.Saya memberikan ingatan kepada murid yang baru mendapat nombor tersebut agar dapat berlari dengan laju supaya dapat menyumbang mata kepada rumah Hang Nadim.Walau pun hanya 50 orang peserta untuk setiap kategori,ada juga rumah sukan yang kekurangan ahlinya.Apa boleh buat.Apabila keputusan diumumkan,murid yang diberi ingatan itu telah mendapat nombor dua.Nasib baik tidak tersalah pilih..

Kejayaan rumah Hang Nadim mendapat johan bagi kategori Lelaki Kelas 1 dan Johan Keseluruhan juga kerana murid tadi berjaya mendapat nombor dua.Jika saya tidak memberi peluang untuknya menyertai acara tadi,tak tahulah apa nak dikata.Mungkin Nadim tidak akan menjadi Johan.

Jumaat, 22 Januari 2010

Minggu Sibuk Melanda...

Hampir seminggu saya tidak meninggalkan catatan di blog ini.Kesibukan yang melanda menyebabkan saya kesuntukan masa untuk menghadap blog sama ada singgah ke rumah teman-teman mahu pun membuat catatan sendiri.

Minggu ini saya agak memandangkan esok merupaka acara Road Run.Sebagai ketua rumah,sudah pasti saya tidak menang tangan untuk membuat persiapan meskipun tugasan telah diagih-agihkan kepada guru-guru yang lain.Kerjasama daripada semua guru memang diperlukan saat-saat akhir membuat persiapan.Alhamdulillah...semangat kerjasama antara kami memang terserlah malah sebagai ketua,saya tidak menganggap diri sebagai ketua yang menurun perintah tapi lebih kepada ketua yang menurut perintah.Apa jua cadangan daripada guru-guru yang lebih berpengalaman,saya terima dan laksanakan sekiranya mampu.

Nombor berserta pin untuk peserta telah disediakan oleh pihak sekolah memang meringankan tugas saya.Cuma,saya hanya perlu mengenalpasti peserta yang akan mengambil bahagian esok.Mungkin disebabkan sambutan murid yang kurang memberangsangkan,maka pihak sekolah telah menetapkan setiap rumah sukan perlu menghantar 100 orang peserta sahaja.Dengan cara ini,semua rumah sukan akan mempunyai peserta yang sama rata.Jika mereka sengaja menguzurkan diri esok,nasiblah rumah sukan tersebut.

Dalam kesibukan berlatih dan mencari peserta acara road run,sebagai guru kelas saya juga perlu menyiapkan borang SSM.Maklumat yang banyak perlu dimasukkan dalam borang yang ditetapkan menyebabkan hujung minggu saya dihabiskan dengan menghadap komputer.Lebih malang apabila borang yang dikembalikan oleh murid tidak lengkap.Terpaksalah pula mengejar mereka.Habis ikhtiar tersebut,terpaksalah pula membelek buku keatangan tahun lepas...macam2 hal menyebabkan kadang kala apabila tiba masa untuk masuk ke kelas,saya telah kepenatan.Hingga kini buku rujukan untuk persediaan mengajar pun belum sempat dibeli.Nasib baiklah pengalaman sebelum ini dapat membantu.

Minggu depan nampaknya agak lapang sedikit dan bolehlah saya menghadap buku kedatangan untuk menulis maklumat di bahagian belakang buku tersebut.Sebelum ini memang tidak berkesempatan.Selama menjadi guru kelas, saya tidak pernahpun menulis di bahagian tersebut kerana maklumat2 tersebut boleh disaring dalam komputer.Guru kelas hanya perlu tampal sahaja maklumat itu di bilik HEM.Setelah lima tahun menikmati kemudahan untuk mengemaskini buku kedatangan, kini perkara tersebut menjadi sukar kembali.Maklumat murid tiada langsung.Nombor pendaftaran pun tiada dalam komputer.Terpaksalah menggeledah fail mereka yang bertaburan di kelas-kelas tahun lepas.Jalan senang,saya hanya merujuk buku kedatangan tahun lepas yang kini di stor tempatnya.Berat hati,beratlah tulang.Apa-apapun,terpaksalah jua.

Ahad, 17 Januari 2010

Hujung Mingguku

Hujung minggu ini masa memang terisi dengan aktiviti-aktiviti seharian sebagai suri rumah dan juga cikgu.Pagi sabtu yang tiada aktiviti di sekolah membolehkan saya merencana kerja2 rumah seawal pagi.Walaupun masa yang ada masih tidak mencukupi,namun kekalutan untuk menyelesaikan segala yang perlu sebelum mula bekerja esok kian reda.Kerja sedikit demi sedikit telah dilaksanakan petang Jumaat lagi.Bosan menatap note book untuk menyiapkan SMM, saya menatap majalah untuk mencuci mata.

Khamis, 14 Januari 2010

Hukum Sertai Facebook

Dipetik daripada Harian Metro:

SAYA ditanya soalan: “Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?”

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:

1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.

3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:


a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.

d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

g. Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.

Dipetik daripada:www.hmetro.com


PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN

Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih bermakna di luar sana.

Tepuk dada, tanyalah Iman!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Rabu, 13 Januari 2010

Jeriji Kasih atau Papa(...)

Semasa saya masuk ke kelas 4H semalam,beberapa murid mengeluarkan novel Papa.Saya hanya tersenyum.Sah budak ni keliru lagi padahal senarai buku sastera mereka telah saya maklumkan minggu lepas.

Saya menghampiri salah seorang daripada mereka dan berkata,"ini buku teks BM,bukannya sastera."Mereka tidak puas hati dengan kata-kata saya dan tetap menpertahankan buku yang dibawanya itu ialah buku teks sastera sambil menunjukkan tulisan teks komponen sastera kepada saya.

Nasib baiklah apa yang ditunjukkan itu membuktikan bahawa memang dia sudah tersilap dan masih keliru dengan buku-buku yang ada.Alahai budak-budak,komponen sastera dengan Kesusasteraan Melayu pun boleh tak faham.Dah dimaklumkan dan dah ditulispun dalam buku nota tapi masih tidak faham.Inilah akibatnya bila teks yang sebenar belum kunjung tiba.Buku teks BM untuk komponen sastera pun masih tidak mencukupi..

Selasa, 12 Januari 2010

Boleh Pinjam Tangan?

Hujung minggu pertama sesi persekolahan merupakan hari santai yang agak kelam kabut.Dengan tugasan yang ada ,dua hari yang ada belum cukup untuk melangsaikan segala-galanya.Jika tidak dirancang dengan baik,kerja-kerja hujung minggu akan dibawa ke minggu yang berikutnya.Saat ini,barulah terasa bagusnya jika dapat diputar semula masa yang ada.Tetapi mana mungkin.Kekangan masa menyebabkan kerja-kerja rumah yang terbengkalai terutamanya kain untuk dilipat.Disebabkan kerja melipat kain tiada date linenya,maka kerja inilah yang selalu ditangguhkan.

Alhamdulillah,latihan road run yang pertama telah selesai petang tadi dengan lancar walaupun hujan lebat turun saat-saat acara berakhir.Empat bekas air mineral besar yang dibancuh telah habis tanpa pembaziran.Walaupun hujan turun,air sirap yang disediakan tetap laku.

Pada mulanya,perasaan terkejut memang ada apabila mendapati guru rumah sukan perlu menyediakan minuman untuk murid-muridnya yang datang menjalani latihan.Lain tempat,lain pula caranya.Lagi terkejut,yuran hanya RM 1 saja.Dalam hati,manja sangatkah murid-murid di sini?Apalah sangat yang boleh dilakukan dengan kutipan sebanyak itu.Tambahan pula,setiap kali latihan,minuman perlu disediakan.Pening juga nak berfikir cara untuk berjimat.

Jumaat, 8 Januari 2010

Terima kasih semua...

Mesyuarat agung rumah sukan telah dijalankan pagi tadi.Alhamdulillah,semuanya berjalan lancar kerana semua guru telah memainkan peranannya.Terima kasih kepada kakak-kakak yang banyak membantu.Kerjasama yang diberikan amat dihargai.

Tazkirah Jumaat:Apabila al Quran Bersuara

Hari ini merupakan hari Jumaat pertama persekolahan.Seperti biasa pada hari Jumaat,bacaan Yasin akan diadakan.Alhamdulillah, pagi tadi bacaan Yasin berjaya dilaksanakan walaupun bermula agak lewat kerana pada mulanya cuaca mendung di tapak perhimpunan. Selepas bacaan Yasin, tazkirah telah disampaikan oleh ustazah yang bertugas.

Tazkirah pada pagi tadi agak berlainan sedikit berbanding hari-hari sebelumnya kerana pagi tadi ustazah yag bertugas telah menyampaikan sajak.Kepelbagaian cara penyampaian tidak menjejaskan fungsi tazkirah tersebut,malah kelainan yang ditonjolkan dapat memberi pendedahan bahawa dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Saya agak tersentuh dengan mesej yang ingin disampaikan dalam tazkirah tadi.Dalam kesibukan mengaturjavascript:void(0) masa,sememangnya masa untuk membaca al Quran dan menghayatinya sering diabaikan.Kita boleh membaca surat khabar setiap hari,namun untuk membaca al Quran pada setiap hari Jumaat kadang kalanya agak sukar.Mengapa boleh terjadi begitu,tepuklah dada,tanyalah diri sendiri.



Waktu engkau masih kanak-kanak...
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu',
Aku kau sentuh dalam keadaan suci,
Aku kau pegang
Aku,kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra

Sekarang engkau telah dewasa..............
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku...
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?
Menurutmu,
mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......
Sekarang,
Aku tersimpan rapi sekali,
sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pngisi setormu.

Kadang kala Aku dijadikan mas kawin agar engkau dianggap bertaqwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian, kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, aku engkau pendamkan.
Dulu...
pagi-pagi surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.
Di waktu petang,
Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau.....

Sekarang...
seawal pagi sambil minum kopi...
engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau engkau abaikan dan engkau lupakan...

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku(Bismillah).
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati muzik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan,radiomu selalu tertuju ke stesyen radio kesukaanmu
Mengasyikkan.

Di meja kerjamu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di komputermu pun kau putar muzik kegemaranmu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku.........
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku


Bila malam tiba
engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran telivisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekedar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktupun cepat berlalu.........
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama

Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkaupun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah s.w.t

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu.....
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu

Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kuburmu nanti....
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah "Al-Qur'an",kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah Aku kembali.. ..
aku kembali aku setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu...
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu.
Sentuhilah Aku kembali...

Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi,
petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu....
Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri....
Dalam bisu dan sepi....

Rabu, 6 Januari 2010

3 hari 3 Ragamnya


Sesi persekolahan hari Isnin lalu merupakan hari pertama anak sulung saya bersekolah tadika setelah direhatkan setengah tahun.Tahun lepas tiada pula ragamnya untuk ke tadika kerana tadika dan taskanya merupakan tempat yang sama. Oleh sebab itu,urusan untuk menguruskan diri ke tadika diswastakan kepada cikgunya di taska.Tapi, tahun ini ketara pula ragamnya apabila perlu menguruskan dirinya.Nasib baiklah suami yang menguruskannya untuk ke tadika.Ayahnyalah juga yang memandikannya.

Hari Isnin, Ammar merajuk tidak mahu pakai baju seragamnya setelah selesai mandi.Puas memujuk,dia tetap tidak mahu pakai dan tak nak ke tadika.Ayahnya mengalah.Hanya Adib seorang saja yang dihanatar ke taska.Setelah menghantar saya ke sekolah, suami terpaksa menguruskan Ammar pula.Sekali lagi suami memujuknya dan menyelesaikan urusan pengangkutan.Nampaknya Ammar mengalah untuk ke tadika.Bila tiba di tadika, terpaksalah dia menyarung sahaja baju seragam tanpa menukarnya terlebih dahulu.Disebabkan urusan untuk menempatkan Ammar di Pasti dibuat saat-saat akhir,urusan transit dan pengangkutan hanya dilakukan pada hari Isnin.Hari Isnin,suami ambil cuti untuk menguruskan Ammar ke tadika.

Hari selasa pula Ammar tidak mahu menaiki bas untuk ke tadika.Walaupun suami telah memberitahunya supaya menaiki bas apabila tiba waktu pergi dan balik tidak seperti ynag diharapkan.Bila tiba di taska,dia tidak mahu turun dari kereta.Dia memang berkeras tidak mahu turun dari kereta.Sekali lagi,suami mengalah.Terpaksalah suami menghantar dia ke tadika selepas menghantar saya ke sekolah.Kali ini,saya memujuk Ammar supaya dapat menaiki bas ke tadika.Saya pasti kali ini kami tidak akan mengalami masalah apabila dia berkata seronok naik bas dengan kawan-kawan.Saya rasa lega bila dia kata begitu.

Bila tiba hari Rabu,bangun saja dari tidur, tiba-tiba dia berkata,"Ammar tak nak ke tadika. Ammar nak tengok Wonder Pets.Hari-hari ke tadika." Saya melopong.Tak sangka itu pula alasannya.Puas di pujuk,Ammar memang tak nak ke tadika.Mandipun dia tak nak.Alahai...kalau 20 hari 20 ragamnya,apalah nak dibuat.Disebabkan tidak mahu terlambat, suami hanya memujuknya supaya menukar pakaian sahaja.Hari ini dia janji akan ke tadika esok dengan menaiki bas.Tidak tahulah sama ada esok dia masih meragam atau dia sudah berasa seronok ke tadika mnaiki bas bersama-sama kawannya yang lai

Isnin, 4 Januari 2010

Selamat Hari Lahir



Hari pertama persekolahan merupakan sambutan hari lahir saya.Tiada yang istimewanya kerana saya tidak pernah menyambut hari lahir dengan istimewa.Setakat potong kek dan solat hajat jika ada peluang.

Acara potong kek sekadar pancingan untuk bergambar sekeluarga.Jika tidak,tak tahulah bila berkesempatan untuk bergambar sekeluarga.Tiba masa nak bergambar,Adib pula tidur selepas mengamuk kerana tidak puas hati berjalan-jalan di luar.

Harapan agar perjalanan hidup sepanjang tahun ni lebih bermakna.

Ahad, 3 Januari 2010

Perjuangan Akan Bermula

Esok merupakan hari pertama persekolahan dan juga merupakan hari pertama peruangan untuk tahun 2010.Getarnya memang ada kerana setiap tahun,saya akan mendapat murid yang berlainan.Tugas sebagai guru tingkatan 4K memang agak mencabar kerana kebiasaannya murid-murid kelas K akan bermasalah.Harap-harap 4K tahun ini akan baik berbanding murid-murid tahun lepas.

Persiapan masih lagi dalam proses.Tudung belum lagi digosok dan beg untuk ke sekolah juga belum disiapkan.Rancangan mengajar untuk esok sudah disiapkan.Peringatan daripada PK semasa mesyuarat yang pertama lalu amat mencemaskan juga kerana saya masih lagi dalam kategori guru baharu di SMKBBSB.Tersilap hari bulan,saya pula kan dipantau oleh pelawat.Kebiasaannya pelawat akan datang ke sekolah pada hari pertama untuk meninjau keadaan dan perjalanan hari pertama.Sekolah lama pun begitu juga,cuma saya tidak pernah dipantau oleh pihak luar kecuali oleh KB sahaja.

Anak-anak juga telah dikerahkan supaya tidur awal kerana esok terpaksa keluar awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.Tahun ini juga cabaran untuk saya mempersiapkan anak sulung kerana dia akan ke sekolah tadika.

Jumaat, 1 Januari 2010

Hari Pertama 2010

Tiada apa-apa sambutan pun untuk tahun baharu.Begitulah selalunya.Jika diizinkan,saya akan menunaikan solat hajat.Menghitung hari persekolahan bermula,saya mula mengira tugas yang dipikul di sekolah.Berat beban tugas yang dipikul,berat lagi tugas nak mendidik murid dan mendidik anak2 yang makin lasak.

Dua tugas yang berbeza tapi memerlukan kesabaran yang tinggi.Buku rekod mengajar belum lagi berbalut,bukunya pun belum ditulis apa-apa.Banyak perkara yang belum diselesaikan menjelang dua hari saja lagi sesi persekolahan bermula.

Kelebihan Solat Berjemaah

Kelebihan Solat Berjemaah Menjelang 1 Syawal
Sesungguhnya pahala menunaikan solat Subuh dan Isyak dengan berjemaah sama dengan melakukan solat semalam suntuk yang dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api. Sebagaimana hadis riwayat Muslim dan Usman bin Affan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa melakukan solat Isyak dengan berjemaah, maka seolah melakukan solat separuh malam. Dan barangsiapa yang melakukan solat Subuh dengan berjemaah maka seolah melakukan solat semalam suntuk.”

Tahun baharu baru menjengah,tiba-tiba ada cerita mengenai hari raya pula.Kebetulan saya sedang menyambung manuskrip yang bercerita mengenai hari raya,saya selitkan dalam hadis ni dalam novel tu.Supaya mudah dicari,saya poskan ke sini.


Kelebihan Solat Berjemaah

1) Orang yang melakukan solat subuh berjemaah akan mendapat cahaya yang sempurna di hari kiamat. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Berilah khabar gembira pada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa ia akan mendapat cahaya yang sempurna di hari akhirat.” (HR Abu Daud dan Tarmizi)

2) Sesungguhnya melakukan solat jemaah Subuh dan Asar tepat pada waktunya termasuk sebab yang memasukkan seseorang ke syurga dan selamat dari seksa neraka. Rasulullah bersabda: “Tidak masuk neraka seseorang yang melakukan solat sebelum matahari terbit dan sebelum terbenam (solat subuh dan Asar.”) (HR:Muslim)

3) Malaikat berkumpul di waktu solat Asar dan Subuh. Merekalah yang membawa rahmat dan berkat.

4) Sesungguhnya satu langkah orang yang berjalan ke masjid adalah menghapuskan kesalahan dan yang lain mengangkat darjat. Maka langkah yang banyak ke masjid termasuk hal yang membawa kesalahan dihapus dan darjat diangkat, sebagaimana hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan Iman Muslim.

Betapa besarnya ganjaran Allah yang menanti bagi mereka yang solat Subuh berjemaah khususnya di masjid.Apakah alasan yang hendak diberikan oleh mereka yang tidak hadir ke masjid di waktu Subuh? Mereka diberi kemudahan motor dan kereta oleh Allah. Mereka diberi tilam yang empok oleh Allah. Masjid melaungkan azan pertama sejak jam 5.00 pagi lagi (azan pertama) untuk mereka bersedia ke rumah Allah. Mereka belum ada urusan lain, yang kerap dijadikan alasan kerana tak mahu ke rumah Allah. Jika kita dihadapkan di depan Allah kelak,dengan alasan bagaimanakah akan kita jawab? Bagi mereka yang tidak datang bersolat berjemaah Subuh di masjid, marilah kita berubah.

KERUGIAN ORANG YANG TIDAK SOLAT SUBUH.

Berikut adalah kerugian yang akan dialami oleh orang yang tidak melakukan solat Subuh dan solat lain secara berjemaah:

1) Memiliki sifat-sifat orang munafik yang tidak menjalankan solat (kecuali dalam keadaan malas) Rasulullah bersabda bermaksud: “Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (Muttafa Alaih)

2) Kesengajaan tidur hingga tidak solat subuh dan meninggalkan solat berjemaah merupakan perbuatan kufur dan diancam dengan ancaman yang sangat berat. Allah berfirman bermaksud: “Maka celakalah orang-orang yang melakukan solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya.” (Al Ma’un 4-5)

3) Seorang lelaki berada di sisi Nabi SAW dan dia tidur hingga pagi, lalu Nabi SAW bersabda bermaksud: “Itulah lelaki yang kedua telinganya dikencing syaitan.” (Muttafa Alaih)

Allah SWT sendiri mengatakan bahawa mereka yang susah untuk solat Isyak dan Subuh adalah orang munafik. Jadi tak susahlah kita hendak kenali orang munafik. Dan kita sendiri dapat mengukur adakah kita ini orang munafik atau tidak.

Datangilah masjid-masjid dan surau-surau untuk bersolat Subuh.

Dipetik daripada laman web SMK Agama Baling

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini