Ahad, 24 Januari 2010

Road Run ke-10



Semalam telah berlangsung kejohanan Road Run yang ke-10 dengan jayanya.Sebagai ketua rumah Hang Nadim(oren),perasaan bimbang terhadap prestasi murid-murid yang terlibat memang tidak dapat dielakkan.Kebetulan jiran sebelah sekolah saya iaitu SK BBSB juga menganjurkan acara yang sama pada pagi itu.Mereka diberi keutamaan untuk melepaskan murid-muridnya.Dengan masa yang ada,sempatlah guru-guru rumah saya memberikan nombor untuk peserta yang dipilih.

Memandangkan hanya 50 peserta untuk untuk setiap kategori,guru-guru yang ditugaskan untuk memberi nombor mengalami sedikit masalah kerana murid yang datang pada hari itu agak ramai.Mungkin disebabkan promosi yang telah dibuat dari kelas ke kelas, mereka bersemangat untuk hadir pada hari itu.Dengan demikian,nama perlu dipanggil bagi memastikan hanya mereka yang dipilih sahaja yang mendapat nombor.Walaupun begitu,ada juga murid yang telah dipilih tidak hadir pada pagi itu menyebabkan kami terpaksa memilih murid-murid yang betul-betul layak sahaja untuk menggantikan mereka.

Pada masa inilah budi bicara memainkan peranan.Alkisahnya salah seorang murid lelaki yang namanya tidak dipilih (mungkin kerana bakatnya tidak disedari oleh guru-guru)
menunjukkan rasa susah hati kerana tidak mendapat nombor.Sebenarnya ramai murid yang tidak dapat menyertai larian kerana hadnya hanya 50 orang sahaja.Disebabkan rasa kasihan terhadapnya,saya meminta seorang murid lain yang telah diberi nombor supaya memberikan nombornya kepada murid tadi.

Pada mulanya dia agak keberatan untuk memberikan nombornya.Namun, setelah dipujuk oleh dua orang guru,dia memberikan nombor tersebut.Saya memberikan ingatan kepada murid yang baru mendapat nombor tersebut agar dapat berlari dengan laju supaya dapat menyumbang mata kepada rumah Hang Nadim.Walau pun hanya 50 orang peserta untuk setiap kategori,ada juga rumah sukan yang kekurangan ahlinya.Apa boleh buat.Apabila keputusan diumumkan,murid yang diberi ingatan itu telah mendapat nombor dua.Nasib baik tidak tersalah pilih..

Kejayaan rumah Hang Nadim mendapat johan bagi kategori Lelaki Kelas 1 dan Johan Keseluruhan juga kerana murid tadi berjaya mendapat nombor dua.Jika saya tidak memberi peluang untuknya menyertai acara tadi,tak tahulah apa nak dikata.Mungkin Nadim tidak akan menjadi Johan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan