Memaparkan catatan dengan label kejiranan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kejiranan. Papar semua catatan

Khamis, 8 Mac 2012

Cubit Paha kiri,Paha Kanan Terasa...Ketuk Dinding Sana,Dinding Sini Berlubang.

Selesanya bila satu hari jiran sebelah tidak membuat kerja mengetuk dinding.Semalam,tiba-tiba kerja tu disambung semula.Tergesa-gesa saya mencari kapas untuk menutup telinga Akmal.KAli ni tidurnya agak terganggu setiap kali bunyi dinding diketuk.KAli ini bunyinya agak kuat hingga terasa seakan nak roboh rumah dibuatnya.Tak semena-mena dinding rumah saya pula yang berlubang.Berterabur serpihan konkrik di lantai.Nasib baiklah Akmal tidur di dalam bilik.KAlau dah begini kerjanya,kepada siapa nak marah?NAsib baiklah suami ada di rumah,dialah yang pergi beritahu orang sebelah.Dia jugalah yang sapu serpihan tu.Kerja-kerja mengetuk dinding tu sebenarnya kerana nak menutup ruang ini.Lantai nak dibuat pada bahagian ruang terbuka yang memantulkan cahaya matahari



Susah juga nak menyelami karektor jiran baharu di sebelah kanan ni.Perlukah kita faham karektor jiran?Setakat luaran rasanya perlu juga kerana kita tak mahu hidup dalam dunia sendiri.Sekurang-kurang apa jua aktiviti kita tidak akan mengganggu jiran sebelah.Melihat renovasi yang dibuat oleh jiran sebelah,kami suami isteri agak tidak faham kerana pagar yang dibuatnya menutup pandangan kiri dan kanan,pintu besar juga ditutup.Pintu bilik di aras bawah juga ditutup.Mungkinkah mereka hanya ingin berada di dunia mereka sendiri tanpa bercampur dengan orang lain?Apa-apapun,kita tengoklah nanti.


Khamis, 1 Mac 2012

Jiran Baharu

Beberapa hari yang lepas,jiran sebelah kanan rumah telah giat melakukan renovasi.Baru sekarang mereka nak berpindah ke rumah baharu setelah tiga tahun kami menikmati keseronokan mendiami rumah baharu.
Maka,bisinglah jadinya kerana kerja-kerja menggerudi dinding amat dekat di pendengaran.Pagar kawat hijau telah dibuka untuk diganti dengan tembok batu setinggi 7 kaki.Dahlah kedudukan rumah saya ni agak rendah berbanding dengan rumahnya,ada tembok lagi di sebelah ampaian,hampir jam 11 pagi baru kain-kain yang dijemur kena cahaya matahari.

Isnin, 14 November 2011

Tahun Ketiga yang Meriah(2)



Pada awal-awal mendiami rumah baharu dulu,masing-masing masih mencari idea untuk menghias rumah.Kesempatan bertandang semasa hari raya merupakan masa yang sesuai untuk menjengah setiap ceruk rumah jiran-jiran bagi mendapatkan idea menata hias rumah.Kali ini,setelah lama menetap,rumah masing-masing ditata dengan idea sendiri.Rasanya rumah saya yang paling meriah dengan barang perhiasan.


Perumahan saya memang meriah pada waktu petang kerana menjadi tempat kanak-kanak bermain.Maklumlah,kami di kawasan jalan mati.Pada masa inilah sesetengah kaum ibu seperti saya mengambil peluang keluar rumah dan lepak-lepak di luar sambil memerhati anak-anak bermain.




Bagi mengenali satu sama lain,Malam Silaturahim telah diadakan pada bulan MAc dulu.Alhamdulillah,kami saling mengenali.Sesi terjah-menterjah pada hari raya juga rancak pada tahun ini.Tidak semua rumah saya dapat sertai memandangkan pada masa itu merupakan bulan terakhir untuk PMR.Persediaan perlu dibuat bagi mereka.Jadi,terpaksalah masa malam yang ada digunakan untuk kerja-kerja sekolah.Lagipun,saya juga kadangkala saya tidak mendapat informasi tentang sesi terjah-menterjah menyebabkan ketinggalan.Apa-apapun hampir keseluruhan mereka telah saya kenali walaupun tidak bertandang ke rumah mereka kerana telah berjumpa di runah jiran-jiran yang lain.


Semoga tahun-tahun akan datang ikatan kejiranan kami semakin kuat dengan adanya aktiviti-aktiviti seperti ini.

Ahad, 23 Oktober 2011

Mangga Oh Mangga..


Tahun ini merupakan kali ketiga buah mangga di luar pagar berbuah dengan lebatnya.Mangga-mangga kepunyaan jiran tetangga yang lain kebanyakannya sudah habis.Tidak pasti pula sama ada habis dimakan oleh tuan punya atau diambil oleh orang yang tidak bertanggungjawab kerana pada hari raya yang lalu sekumpulan kanak-kanak yang nakal sesuka hati telah memetik beberapa biji mangga kepunyaan jiran yang masih putik lalu dibuang begitu saja.Maka,bersepahlah buah mangga tersebut di jalan raya.Saya yang sedang mengandung memang berasa terkilan melihat buah mangga tersebut.

Hari ini, seorang anak yang makin meningkat remaja menyerang pokok mangga di luar pagar rumah saya.Bila mengambil benda orang lain tanpa pengetahuan tuannya, itu boleh dipanggil mencuri.Itulah yang berlaku.Sah-sah kereta ada di depan rumah,maka tuan rumah pasti ada di dalammya.Jika nak makan buah mangga tu,panggillah tuan rumah,minta izin.Takkan saya tak izinkan kerana mangga itu memang banyak.Tapi,kalau dah mencuri,sebiji pun rasa tak nak beri.Suara riuh rendah di luar pagar menyebabkan saya yang kebetulan keluar untuk menjemur pakaian memandang ke arah pokok mangga tersebut.Anak remaja itu membawa rakan bersama dalam misi mencurinya.Mereka yang sedang asyik memilih buah mangga itu ditegur, namun tidak diendahkannya.Dengan selambanya, mereka masih lagi berani menilik buah mangga yang dibalut dengan kertas surat khabar tanpa rasa bersalah.Sudahlah ditangkap semasa mencuri,cuba-cubalah minta izin.Ini tidak!

Masya Allah,anak remaja sekarang.Macamlah tidak diajar oleh ibu bapa apa itu mencuri dan cara untuk menghormati hak orang lain.Buat salah depan-depan orang pun tak tahu malu.Panas hati dengan gelagat mereka terutamanya yang kakak tu,saya menghalau mereka.Tidak pasti pula dapat atau tidak mereka memetik buah mangga itu.Pagi tadi ada tiga biji buah yang masih putik di bawah pokok dengan kesan lebam-lebam.Sebagai ibu, saya boleh menerima jika anak saya ditegur oleh jiran-jiran sekiranya dia melakukan kesalahan kerana kadangkala kita tidak boleh menjangkakan perbuatannya apabila bergaul dengan rakan-rakan.Persoalannya,tak pasti pula masyarakat di sini suka menegur jika melihat perbuatan serong anak-anak jiran yang lain.

Sabtu, 6 Februari 2010

Jiran Oh Jiran

Hari ni saya berkesempatan bersembang-sembang dengan beberapa orang jiran.Sebulan lalu,saya agak sibuk dengan rutin harian yang tak terkejar rasanya.Apa tidaknya,semua perkara perlu selesai pada masa yang sama.Sudah sebulan sesi persekolahan berlalu,tapi baru hari ini saya mengetahui seorang jiran telah bekerja sebagai guru ganti.Patutlah pada petang Khamis lalu saya melihat bajunya di ampaian basah kena hujan.Bila asyik dengan aktiviti sendiri dan tidak ambil tahu hal-hal sekeliling,apa-apa pun boleh berlaku.Itu yang bahayanya.

Apabila saya keluar untuk menyidai pakaian,saya dapati ada dua khemah didirikan di rumah corner lot.Mungkin mereka akan mengadakan kenduri sempena mendiami rumah baru.Bila petang sahaja,khemah itu sudah tiada.Cepatnya berakhir kenduri sedangkan kami tidakpun dijemput.Apa maknanya kenduri diadakan jika jiran tetangga tidak dijemput?Bukankah kenduri yang diadakan itu juga bertujuan untuk mengenali dengan lebih dekat siapa jiran tetangga?Bukanlah saya hendak menyibuk,tetapi zaman sekarang kita perlu berbaik-baik dengan jiran kerana apa-apa masalah yang timbul,kita tidak akan segan untuk meminta tolong.Apatah lagi sekarang ni kejadian menceroboh masuk ke rumah apabila ketiadaan tuan rumah masih berleluasa.Sekurang-kurangnya jiran boleh memasang telinga dan membuka mata jika ada sesuatu tak kena.Macam-macam ragam orang.

Isnin, 2 November 2009

Genap Setahun



Hari ni genap setahun kami tinggal di sini.Begitu cepat masa berlalu.Doa selamat belum lagi dilaksanakan.Kami merupakan keluarga keempat yang mendiami kediaman di sini.Pada mulanya perasaan bimbang memang tidak dapat dibuang apabila mula mendiami kediaman ini.Bagaimanakah dengan jiran sebelah??Persoalan itu yang selalu berlegar dalam fikiran kerana pengalaman menyewa di Shah Alam amat memeritkan.Kini perumahan fasa kedua di depan rumah saya mula didiami,moga-moga makin meriah dan bertambah jiran tetangga.