Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan

Isnin, 12 Jun 2017

Novel Manuskrip Cinta

Novel penulisan yang saya suka.Dah habis baca 20.12 lagi tapi dalam draf agak lama.Dah lama terpendam minat yang satu ni,bila baca novel ni timbul pula minat nak menulis lagi tapi disebabkan kurang disiplin,minat tinggal minat.Dalam novel ni disertakan beberapa proses kreatif.






Selasa, 18 November 2014

Setitis Kasih Darmia

Sekarang seronok pula layan cerita ni di tv 9 setiap Selasa dan Rabu jam 8.30 malam.Suami dan anak sulung pun suka tonton drama yang diadaptasi daripada novel SR Productian.Ada 3 episod lagi.Episod malam ni,lega apabila Amir tu bukan abang kandungnya.Kahwin dengan abang kandung,tak bestlah cerita.Tak sabar nak tahu jalan ceritanya sebelum episod malam tadi hingga tercari-cari di kedai buku tapi tak ada pula.Tunggu sajalah di tv lagipun episod yang mendebarkan dah terjawab tadi.




Setitis Kasih Darmia mengisahkan kehidupan gadis bernama Darmia yang kehilangan kasih ibu dan terjebak dengan perkahwinan yang dia sendiri tidak rela. Lelaki yang bernama suami meninggalkannya kerana maruahnya tercalar. Mujur ada Opah dan Haliza sepupunya. Namun, lelaki bernama Khairul Amir yang pernah melafaz ijab kabul kepadanya merangkap kekasih dan majikan Haliza, mengharu birukan hidupnya. Lelaki itu muncul dengan dendam yang tidak dilupakan. Rahsianya harus disimpan sebaik mungkin.

Dari benci datang kasih. Jauh Darmia pergi, semakin kuat Khairul Amir mengejar dan rahsia yang terpendam selama ini terbongkar jua. Kasih Haliza pada Darmia juga berkecai. Buatlah apa saja, Darmia rela asalkan Haliza tidak disakiti. Khairul Amir nekad, biar hilang segalanya di dunia, setitis kasih Darmia dinanti.

Ahad, 20 Oktober 2013

Love You Mr.Arrogant

Saya beli novel ni kerana terpengaruh dengan slot Akasia di tv.Antara nak beli atau tak, akhirnya beli juga.Satu lagi tema kahwin paksa.Sekarang, tema ni makin laris.
Zaara Amirah mempunyai impian yang sama seperti impian gadis biasa, iaitu membina rumah tangga yang bahagia bersama insan yang dicintainya. Namun impiannya musnah sebaik saja dia terjerat di dalam perangkap lamaran paksa dari seorang jejaka yang asing dalam hidupnya, Zafriel Irham. Dek kerana ingin terlepas dari genggaman Sherry, menantu pilihan ibunya, Zafriel Irham memaksa Zaara Amirah menjadi isterinya dengan menjadikan sebuah janji sebagai modal.
Demi sebuah janji, Zaara Amirah reda menerima kehendak Ilahi. Biarpun tiada cinta, Zaara Amirah rela demi menjaga maruah diri dan keluarganya dari dipijak-pijak jejaka bongkak itu sewenang-wenangnya. Namun Zaara Amirah tidak menyangka, keputusannya itu membuatkan hidupnya kacau-bilau melayan karenah Zafriel Irham yang berhati kering dan tinggi egonya.
Berhadapan pula dengan Puan Sri Maryam, ibu mertuanya dan Sherry yang membenci dirinya, hidup Zaara Amirah tidak lagi aman. Kehadiran Hadry Hakimi, sepupu Zafriel Irham yang cuba merapatinya, mengeruhkan lagi keadaan. Keadaan bertambah parah apabila tanpa sedar, dia telah jatuh hati pada suaminya biarpun dia tidak dilayan seperti seorang wanita yang bergelar isteri.
Adakah kebahagiaan akan menjenguk hidup Zaara Amirah apabila dia sudah jatuh hati pada jejaka bongkak itu? Atau menunggu balasan jejaka itu ibarat bulan pada waktu malam menanti matahari menjelma pada waktu siang? Zaara Amirah terus menanti…

Novel Nasi Lemak Buah Bidara

Novel ni termasuk dalam senarai novel yang perlu dibeli untuk memenuhkan koleksi novel di perpustakaan mini di rumah.Beli dah agak lama tapi tak sempat nak baca.Beberapa hari yang lalau,saya ada membeli beberapa buah novel lagi.Antara 3 novel yang menjadi keutamaan untuk dibaca,sememangnya novel dari Karya Seni amat mendukacitakan.Belek saja novel Love You Mr.Arrogant,bahasanya memang saya tak berkenan.Memang dah ada dalam hati,jangan beli novel dari Karya Seni kerana bahasanya kurang menarik untuk pencinta bahasa seperti saya.Saya guru bahasa,makanya bahasa menjadi keutamaan apabila membeli novel.
Makanya,saya membeleklah pula novel ni.Bahasanya baik sikit dan agak menarik novel ni kerana dimuatkan hadis di dalamnya.Setiap bab dimulakan dengan hadis.Pertama kali saya jumpa cara sebegini dalam novel.







Sinopsis:
Pahitnya perjalanan hidup Siti bermula sedari umurnya masih hijau lagi. Sejak kecil dia dipinggirkan, tidak punya teman… apatah lagi ahli keluarga. Nenek angkat yang dipanggil wan pula telah pergi menghadap Ilahi sebelum sempat membongkar identiti sebenar ibu dan bapanya. Hanya pesanan wan agar Siti bertanyakan hal tersebut kepada Datin Junainah mampu meleraikan persoalan yang bersarang di benaknya.

Namun, tidak semudah itu Siti mendapat jawapannya. Dia dijadikan hamba abdi di rumah Datin Junainah. Benci benar Datin Junainah kepadanya. Kata-kata cacian, herdikan, penghinaan, maki hamun adalah santapan telinganya sehari-hari. Ditambah pula dengan pembulian demi pembulian yang dilakukan oleh Zurene (anak Datin Junainah) terhadap dirinya. Sabarnya Siti menahan segala penyeksaan tersebut bertunjangkan akidahnya kepada Yang Maha Esa. Siti percaya, dengan kesabaran yang berpanjangan, in sya Allah doanya akan termakbul. Dia akan tahu juga siapa ibu dan bapanya.

Akibat tindakan Siti yang keluar dari biliknya semata-mata mahu melihat pernikahan Zurene, Datin Junainah bertindak mengasarinya sekali gus menghalaunya keluar dari banglo mewah yang memayungi hidupnya selama lebih enam bulan di situ. Mujurlah ada insan-insan yang berhati mulia, menerima kehadirannya yang tidak diketahui asal usulnya itu.

Di rumah baru, Siti dijadikan pengasuh kepada Ben, anak tunggal Akhmal. Budi pekertinya telah mencuri hati Ben dan neneknya, Puan Aishah. Puan Aishah pantas sahaja jatuh sayang kepada Siti. Dia ingin sekali bermenantukan Siti setelah Akhmal lama menduda akibat kematian isterinya. Mujur sahaja Akhmal dan Siti saling jatuh cinta. Mudah kerja Puan Aishah.

Akhmal : “Saya mungkin tak pandai nak susun katakata atau merangkai ayat-ayat berbunga. Jauh sekali nak menyulam bahasa berjiwa-jiwa tapi saya nak Siti tahu… saya sukakan Siti sejak pertama kali melihat Siti. Saya... sayangkan Siti. Dan... sehingga kini sayang itu makin utuh di hati saya. Saya... harap Siti faham maksud saya.”

Siti: “Saya tak tahu nak cakap apa Encik Akhmal, cuma... saya rasa sangat gembira hari ini. Gembira sekali. Terima kasih kerana sudi terima saya yang entah dari mana asal usulnya ini. Terima kasih kerana sudi menerima saya yang serba kekurangan ini. Terima kasih kerana sudi membuatkan saya rasa sangat bahagia hari ini. Terima kasih!”

Dua jiwa saling mengerti bahasa hati masing-masing. Janji diikat. Catatan jodoh yang terpahat di lohmahfuz termeterai penuh adat dan hukum di kanvas hidup kedua-duanya namun, bahagia itu bukan mudah digenggam. Dugaan hidup itu lumrah.

Kisah silam yang masih samar terus mengejar. Siapa sebenar dirinya ini? Siti pasrah. Akhmal tahu cinta itu tidak mudah. Onaknya sukar diramal. Siti tidak akan sesekali dipersia. Janji kepada-Nya tidak akan sesekali dipermain. Jawapan pasti ditemui. Dia pasti. Sangat pasti!


Kebanyakan novel sekarang bertemakan kahwin paksa.Membaca novel ni memberikan kelainan.Agak menarik.

Ahad, 6 Oktober 2013

Doa & Tip Keluarga Bahagia

Melihat anak-anak hari ini sama ada anak-nak kecil mahupun remaja sangat bermasalah akhlak,maka ibu bapalah yang sangat memainkan peranan.Peranan ibu bapa bermula dari rumah.Jika di rumah mereka sudah tiada akhlak yang baik,maka di sekolah perangai mereka makin terserlah.Kebiasaannya anak-anak tidak menunjukkan perangai kurang baik di rumah tapi di sekolah dialah hero. 
Buku ni banyak panduan dan doa untuk diamalkan oleh ibu bapa.







Jumaat, 21 Jun 2013

Sebenarnya Saya Isteri Dia



Tiba-tiba terlayan cerita ni di tv.Tak pernah tengok pun sebelum ini tapi entah macam mana boleh tertonton siri-siri yang ditayangkan di youtube.Tak sabarlah pula nak tengok penamat cerita ni.Nampaknya kena beli novellah pula ni.

Sinopsis novel:

Cinta pertama tidak semestinya akan bersatu. Syaf tidak pernah terfikir bahawa jodohnya tertulis dengan Firash, adik kepada kekasihnya, Farish walhal Syaf dan Farish sudah merancang untuk ke jinjang pelamin. Namun, satu peristiwa hitam telah mengubahkan segalanya. Syaf, Farish dan Firash masing-masing dijemput hadir ke sebuah majlis sambutan harijadi oleh Raina dan Raimy.

Raina dan Raimy telah merancangkan sesuatu untuk mendapatkan Syaf dan Firash tetapi akhirnya, Syaf dan Firash ditangkap tidur sebilik dalam keadaan yang mencurigakan. Datin Farizah (Wilma) telah menasihati anaknya Firash untuk berkahwin dengan Syaf yang juga merupakan anak angkatnya. Farish amat kecewa dengan sikap Firash yang dituduh terlanjur dengan kekasihnya sehingga berlaku pergaduhan besar antara adik beradik.

Firash pula menentang habis-habisan kerana tidak sanggup berkahwin pada usia 21 tahun tambahan pula Syaf lebih tua 4 tahun daripadanya. Syaf bersetuju dengan cadangan ibu angkatnya demi menjaga maruah Datin Farizah dan tidak mahu hubungan dua adik beradik terjejas disebabkan oleh dia. Farish amat kecewa dengan keputusan Syaf yang bersetuju untuk berkahwin dengan Firash walaupun tidak ada rasa cinta.

Syaf mengganggap dirinya sudah tidak suci dan tidak layak untuk Farish. Perkahwinan antara Firash dan Syaf diteruskan juga tetapi dilakukan secara rahsia. Tiada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai yang dikhabarkan dan dijemput termasuk ayah kandung Farish dan Firash, Datuk Fakhrul. Farish telah membawa diri kerana tidak sanggup kehilangan Syaf. Pada hari berlangsungnya akad nikah, Farish telah terlibat dengan kemalangan maut.

Lebih memilukan hati Syaf apabila Firash telah melarang Syaf untuk datang ke majlis pengembumian Farish kerana tidak mahu status mereka diketahui ramai. Kehidupan sebagai seorang isteri langsung tidak dipedulikan apatah lagi perkahwinan mereka dirahsiakan atas permintaan Firash. Firash dan Syaf tinggal berasingan di rumah bujang masing-masing. Firash yang lebih dikenali sebagai Chad di kalangan rakan-rakannya meneruskan kehidupannya sebagai seorang pelajar universiti dalam jurusan kejuruteraan.

Datin Farizah terpaksa ikut kehendak anaknya yang kurang matang itu dan berusaha untuk menyatukan Firash dan Syaf di bawah satu bumbung satu hari nanti. Syaf kembali bekerja sebagai jurutera. Jarang sekali Firash dan Syaf berjumpa. Kalau bertemu, Firash sering melemparkan kata-kata sinis untuk menyakitkan hati Syaf manakala Syaf hanya menelan dan memendamkan dalam hatinya. Suatu hari, Datin Farizah telah merancang kenduri arwah buat Farish yang akan diadakan di kampung mereka di Terengganu. Syaf dipelawa ikut bersama.

Syaf hanya dikenali sebagai anak angkat kepada Datin Farizah sahaja untuk mengelakkan sebarang kemusyikilan. Di sana, Syaf bertemu dengan rakan universitinya, Haqimy yang juga merupakan abang sepupu kepada Firash. Pertemuan itu membawa kembali nostalgia mereka semasa belajar. Melihat kepada kemesraan Syaf dan Haqimy, Firash berasa cemburu. Syaf telah ditugaskan ke Kerteh, Terengganu. Firash memberi persetujuan kerana dia juga bakal menjalani latihan pratikal di tempat Syaf bekerja. Syaf terkejut apabila berjumpa dengan Haqimy yang juga bekerja di situ.

Bermulalah pelbagai insiden yang melucukan kerana Haqimy yang tidak mengetahui status sebenar Syaf dan Firash telah mula mengambil berat dan menyayangi Syaf. Dalam marah dan cemburu kepada Haqimy, Firash mula mengambil hati Syaf. Apabila Syaf mula terharu dengan usaha Firash, dia menerima sepucuk surat misteri yang berbau ugutan beserta VCD yang menunjukkan kemesraan Rania dan Firash. Raina tidak pernah berputus asa untuk menggoda Firash walaupun mereka ialah adik-beradik tiri kerana Firash bakal menjadi waris tunggal harta Datuk Fakhrul.

Firash cuba memberi penjelasan tetapi keadaan bertambah rumit sehingga Syaf meletak jawatan dan menghilangkan diri. Sejak itu, baru Firash sedar akan ego dan sikap kurang matangnya telah mensia-siakan cinta Syaf kepadanya. Bagaimanakah Firash membuktikan kesungguhannya untuk menyayangi dan menjaga Syaf sebagai isterinya?

Sinopsis Novel Mak Datin Isteri Cikgu...

Ayra, seorang gadis yang ceria mula berubah sikap dengan kehadiran SMS daripada seseorang yang tidak dikenali. SMS yang diterimanya itu jelas menunjukkan bahawa si pengirim itu mengetahui kisah silamnya yang cuba dilenyapkan dari kotak ingatan. Dia bukan pembunuh! Itu hanyalah satu kemalangan! Dia tidak akan membiarkan lelaki itu berlumuran darah dan menanggung kesakitan jika lelaki itu tidak melayannya bak seorang tawanan. Segalanya sudah terlambat. Jalan penyelesaiannya ialah dengan melarikan diri dan cuba membina hidup baru di perantauan. Kehadiran seorang lelaki seiras wajah insan yang paling dibencinya suatu ketika dulu mengeruhkan lagi keadaan. Sudikah Ayra menerima Shahin Adiy kembali setelah segala kekusutan dileraikan? Sanggupkah dia melukakan hati Nadira, teman yang telah banyak membantunya?

Novel ini saya beli semasa ke Pesta Buku Selangor di Shah Alam.Tak tahu nak beli novel apa,buku ini yang saya capai.Semasa cuti pertengahan lepas.sempatlah membacanya.Keseluruhannya,bagus tetapi tidaklah terbaik kerana pada masa yang sama saya juga membaca novel Aisya Sofea-Selagi Ada Dia.Novel Aisya Sofea begitu berkesan dan kuat di hati.

Satu lagi tema kahwin paksa yang diutarakan.Ayra terpaksa kahwin dengan Shahin Adiy setelah ditangkap khalwat selepas tamat SPM semata-mata untuk menutup malu.Satu kemalangan berlaku menyebabkan Ayra berjaya melarikan diri daripada Shahin Adiy walaupun Shahin Adiy telah kaku.Bertahun-tahun Ayra meninggalkan bumi Sabah,Shahin Adiy berjaya menjejakinya.SA sudah berubah dan dapat menerima Ayra tetapi pada masa yang sama juga SA juga menjadi buruan Nadira.Watak Nadira seorang guru yang agak gedik pada mata kasar saya menyebabkan otak berfikir,wujudkah guru sebegitu?Memalukan saja jika ada guru yang sebegitu.

Nadira disenangi oleh Datin(mak SA) menyebabkan wujud persaingan untuk menjadi mendapat kedudukan yang baik di rumah Datin.Datin berkomplot dengan anak perempuannya untuk mengenakan dan menyingkirkan Ayra namun tidak berjaya.Saat SA sakit akibat kemalangan dan fitnah terhadap Ayra memberi peluang untuk Nadira  mendekati SA sedangkan Ayra langsung tidak diberi peluang untuk melawat suaminya.

Dah lupa cerita seterusnya,akhir sekali Nadira berjaya ditangkap setelah cuba untuk membunuh Ayra semasa Ayra balik ke Sabah.Datin pula telah insaf,maka Ayra diterima dengan baik oleh keluarga Datin.

Bila menyebut  Mak Datin Isteri Cikgu...otak berfikir,apa maksudnya?Baru dua minggu bercuti,otak cikgupun sudah beku.Sebutan Mak Datin, Isteri Cikgu barulah dapat faham...suspens juga tajuknya...

Maknya seorang yang berpangkat Datin tetapi isteri hanya cikgu.Dua darjat yang berbeza...


@@Suka dengan kerja cikgu sebab boleh jadi apa-apa saja...sekarang musim sukan,kena jadi pegawai sukan pula...

Jumaat, 29 Mac 2013

Novel Mak Datin Isteri Cikgu

Agak lama saya tidak membaca blog penulis novel yang agak sebaya dengan saya ni.Dulu,membaca blognya menyebabkan hati terasa seronok apabila ada blog sendiri.Sedikit sebanyak saya berusaha untuk membina blog sendiri.Beberapa tahun kemudian,saya tidak dapat menjejakinya di alam maya walaupun saya ini hanyalah 'silent reader' di blognya.Apa sebabnya saya tak pasti.Hari ni saya cuba lagi walaupun sudah hampir lupa nama penanya.Macam tak percaya pula apabila dapat menjejakinya.Macam peminat misteri pula ni.Dah ada karya baru pula tu.



Sinopsis:
Ayra, seorang gadis yang ceria mula berubah sikap dengan kehadiran SMS daripada seseorang yang tidak dikenali. SMS yang diterimanya itu jelas menunjukkan bahawa si pengirim itu mengetahui kisah silamnya yang cuba dilenyapkan dari kotak ingatan. Dia bukan pembunuh! Itu hanyalah satu kemalangan! Dia tidak akan membiarkan lelaki itu berlumuran darah dan menanggung kesakitan jika lelaki itu tidak melayannya bak seorang tawanan. Segalanya sudah terlambat. Jalan penyelesaiannya ialah dengan melarikan diri dan cuba membina hidup baru di perantauan. Kehadiran seorang lelaki seiras wajah insan yang paling dibencinya suatu ketika dulu mengeruhkan lagi keadaan. Sudikah Ayra menerima Shahin Adiy kembali setelah segala kekusutan dileraikan? Sanggupkah dia melukakan hati Nadira, teman yang telah banyak membantunya?

Misteri pula apabila difikirkan tajuk dengan jalan ceritanya semacam tidak ada kaitan.

Sabtu, 15 Disember 2012

Buku Penulisan

Seronok membaca kedua-dua buah buku ni.Rasa bersemangat nak menulis setelah sudah agak lama tak mengasah fikiran menghasilkan cerpen untuk koleksi sendiri.

Tidak perlu bercerita panjang mengenai buku-buku ini kerana gambar boleh menceritakannya.


kulit belakang
menariknya,doa untuk dapatkan jodoh diselitkan dalam buku ini..boleh diamalkan oleh sesiapa  yang belum berkahwin






















kulit belakang

Selasa, 4 Disember 2012

Buku Dapur Anjung Seri

Buku Dapur Anjung Seri yang menjadi rujukan saya untuk mereka kabinet dapur yang diidam-idamkan.Buku ini turut dipinjam oleh seorang daripada kontraktor yang saya minta untuk mengubahsuai dapur basah.Banyak contoh rekaan dapur berserta harganya dikemukakan.
Muka depan

Muka belakang

















Isnin, 3 Disember 2012

Novel Hanya Sebatas Ini-Indah Hairani


Membaca ayat-ayat ini memberi semangat pula untuk kembali menulis setelah pena yang suam-suam kuku hampir setahun tidak terasah.


Agak menarik novel ini.Kata-kata ini memotivasikan saya.

Selasa, 14 Februari 2012

Novel dan drama Tangisan Bulan Madu




Drama ini sudah disiarkan pada Mei 2008 dulu.Saya sudah menontonnya tapi tak ingat sama ada sampai episod akhir.Dua tiga hari lepas,kebetulan minggu lepas semasa Akmal berjaga malam dalam jam 3-5 pagi,saya memasang tv sebagai teman dan kebetulan juga jam 4 pagi drama ini diulang tayang setiap hari.Mulalah saya menunggu cerita ini jika kebetulan Akmal berjaga malam pada masa tersebut.Saya terfikir-fikir sendiri,ada ke episod pencemaran dalam novel.Rasa macam tak ada.Tak puas hati,saya terpaksa membelek-belek semula keempat-empat novel yang ada dalam simpanan saya.Patutlah saya rasa babak pencemaran tu kerana drama tersebut telah disunting.YAng paling ketara dalam novel ini ialah hubungan kekeluargaan yang akrab selain konflik dalaman watak.Cerita tantang watak adik-beradik Mira juga tidak ditonjolkan.

SINOPSIS DRAMA TANGISAN BULAN MADU

Tangisan Bulan Madu mengisahkan saat tiga minggu paling bermakna yang dikecapi pasangan Bogatt dan Amira ketika berbulan madu. Amira, seorang gadis kampung miskin yang bertemu jodoh dengan Bogatt, anak ahli perniagaan berjaya di Kuala Lumpur.

Namun belum sempat mengecapi kebahagiaan suami isteri, Bogatt meninggal dunia kerana penyakit barah otak yang dirahsiakan. Bogatt tidak menyentuh Amira walaupun berkeinginan mengecap kebahagiaan suami isteri yang sah bersama wanita yang amat bermakna dalam hidupnya itu. Bogatt memutuskan mahu meninggalkan Amira dalam keadaan “suci” agar boleh menyambung impian bulan madu dengan lelaki lain. Lalu di depan Bogatt, Amira bersumpah untuk tidak berkahwin sekali lagi buat selamanya.

Amira kemudiannya menjadi guru di samping menghasilkan puisi menggunaka nama pena Delima. Antara puisinya yang terkenal termasuklah Pengantin yang diangkat daripada kisah benarnya dengan arwah suaminya. Dalam diam puisinya diminati R.Q.Amir yang sering menghubunginya melalui e-mel tapi tidak pernah dibalasnya.

Tetapi pertemuannya dengan penyair saling tidak tumpah seperti Bogatt mengejutkan Amira. Apatah lagi setelah lelaki bernama Razlan itu memperkenalkan diri sebagai R.Q.Amir yang meminatinya. Malah lebih mengejutkan, Razlan adalah adik kepada Bogatt tetapi berlainan ibu.

Razlan berterus-terang menyatakan rasa cintanya terhadap Amira tetapi ditolak kerana Amira masih setia terhadap sumpahnya pada arwah Bogatt. Kecewa dengan penolakan Amira,Razlan bersetuju menerima cadangan ibunya untuk menjodohkannya dengan Johanna.Pada hari pertunangan Razlan,Amira tidak datang ke majlis tersebut.Hakikatnya baik Razlan mahupun Amira memendam rasa di atas keputusan itu.

Masa berlalu Razlan asyik menunda pernikahan yang akhirnya membuatkan Johanna nekad memutuskan pertunangan mereka. Kemunculan Bada, seorang doktor yang menabur budi mengubati ibu Amira berkesudahan Amira terpaksa melunaskan wasiat ibunya supaya Amira menerima Bada sebagai suami.

Razlan kecewa lalu membawa diri ke luar negara menyertai projek kebajikan membantu mangsa perang. Sementara Amira pula tidak dapat menerima Bada sepenuh hati kerana kesetiaann cintanya terhadap Bogatt.

Lima tahun berlalu, hubungan Amira dan Bada masih dingin. Bada sengaja menyibukkan dirinya dengan tugas di hospital. Amira masih terdera perasaannya mengingati Bogatt yang sudah bertahun-tahun tiada. Dia kemudiannya berhenti mengajar lalu menguruskan perniagaan Butik Marina. Razlan pula kembali ke pangkuan keluarga untuk menguruskan perniagaan milik keluarganya.

Bada yang bosan dengan situasi itu nekad menceraikan Amira dengan talak satu. Detik itulah Amira semakin tertekan dan kerap mengunjungi pusara Bogatt.

Mampu kah Amira berpegang kepada sumpah setia itu? Apatah lagi dengan kemunculan semula Razlan yang tidak pernah putus asa menyatakan rasa cintanya terhadap Amira.

Sumber:http://www.budiey.com/tangisan-bulan-madu-

Masalahnya dalam pembikinan drama:
novel TBM TIDAK ADA watak jahat. Watak-wataknya lebih banyak berkonflik dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Ini bermakna watak utama adalah protagonis dan juga antagonis. Amira VS Amira?

Sikap pengarangnya:
Samsiah cukup sporting dan mudah dibawa berunding. Beliau banyak bertolak ansur bagi menyesuaikan dengan kehendak stesyen. Sekalipun tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi TV, Samsiah mengakui dia memahami. Atas restu Samsiah sendiri, kami menjahatkan beberapa watak kecil dalam novel ini. Syafura, Cindy, Makcik Hindun dan Hakim terpaksa memainkan peranan besar di kaca TV. Kehadiran mereka dalam novel hanya tempelen sedangkan di TV mereka cukup dominan.

Sabtu, 24 Disember 2011

Novel Berita Dari Hati



Pertama kali melihat novel ni semasa berkunjung ke kedai buku di The Store pada penghujung bulan November lalu,saya terus terpanggil untuk membelinya kerana nama penulisnya sering saya lihat dalam majalah kerana banyak cerpennya disiarkan dalam majalah.Patutlah saya perasan namanya popular dalam penghasilan cerpen kerana sudah 200 buah cerpen telah disiarkan dalam beberapa majalah di pasaran.Bila buka novel ni,bahagian yang menjadi sasaran utama ialah pada bahagian belakang novel untuk mengetahui siapa penulis ni sebenarnya.Tak disangka,rupa-rupanya penulisnya ialah seorang lelaki.Selama ini saya memang terbayangkan dia seorang perempuan.Apa-apapun semangatnya untuk menulis memang boleh dipuji kerana masa tidak menghalang untuk berkarya.

Pada 20.12 yang lalu saya telah membaca novel ni.Novel yang memaparkan keluarga yang amat mementingkan kedudukan dan pangkat menjadi penghalang kepada cinta yang tidak setaraf.Tidaklah membosankan walaupun antiklimaksnya terlalu cepat bergerak.Kerana cinta,seseorang itu boleh bertindak melulu.Itulah yang banyak dipaparkan dalam novel ini.Cinta Zaqyah terhadap Hazali mendorong Zaqyah untuk lari bersama kekasihnya walaupun telah bertunang.

Mengenai Penulis
TEKS novel Berita dari Hati saya taip terlebih dahulu di dalam telefon bimbit pada waktu-waktu emas seperti menunggu seseorang, ruang-ruang bersendiri, menghayun buaian anak dan sebagainya kerana idea datang tanpa dijangka, melimpah-ruah tidak mengira masa.

Kemudian baru saya masukkan ke dalam laptop maka jadilah novel ini. Mungkin ada kelemahan di mana-mana, kepincangan yang amat ketara melalui novel ini tetapi saya berjanji akan mengatasinya pada novel-novel yang akan datang (insya-Allah) .


Saya seorang lelaki jadi saya bukan Zaqyah Zulayqa. Zaqyah Zulayqa hanya imaginasi penulis yang diadun dengan pengalaman, cerita benar dari kawan-kawan dan orang sekeliling melalui pengamatan dan pemerhatian serta kisah-kisah rekaan
penulis semata-mata.

Akhir kata, dipanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Yang Maha Esa kerana dengan izin-NYA tertunai impian termanis ini. Teristimewa didedikasikan novel ini buat isteri tercinta, Fauziah binti Mohd Ismail yang sudi meminjamkan telinga dan berkongsi rasa yang sama serta pengertian yang tulus. Buat putera-puteri mahkota hati - Putri Ainfarisya, Muhammad Arieffarhan, Muhammad Aqiilfaeiz dan Muhammad Airielfirdaus.

Tanpa kalian hidup ini tidak mungkin bererti. Tidak lupa, Bonda tersayang – Nek bt Salleh. Kau tiada duanya di dunia ini dan terima kasih kerana melahirkan aku ke dunia ini.


SINOPSIS NOVEL:
Zaqyah hampir mengkhianati tali pertunangan dengan Aizzel. Gadis itu menerima lamaran Aizzel bukan atas nama cinta, tetapi kerana rasa kasihan. Lantas, saat dipujuk kekasih lama, Hazali, supaya mengikutnya berkahwin di sempadan, Zaqyah tidak berfikir panjang. Malangnya, kelibat Hazali tidak kunjung tiba di stesen kereta api, lokasi pertemuan seperti yang dijanjikan.

Gadis itu pulang dengan penuh kehampaan dan nekad mengotakan kata setuju yang sudah dilafazkan. Fikirannya menyuruh berlaku waras sedangkan hatinya masih tegar diulit memori indah bersama Hazali. Di gerbang perkahwinan, dia masih tidak mampu membuat pilihan dan akhirnya sengsara itu tetap menunggunya. Aizzel seorang suami yang gagal menterjemah cinta lantaran hati tersiat oleh ego lelaki yang keras seperti konkrit. Zaqyah tertanya-tanya mengapa semua lelaki yang dikenali sering mengecewakan hatinya.

Selasa, 6 Disember 2011

Novel Akukan Novelis



Buku ini saya beli semasa pesta buku Karangkraf beberapa hari yang lalu.Melihat tajuknya,macam best tapi bila saya membacanya,Ya Allah…bosan teramat menyebabkan saya sendiripun tak tahu jalan ceritanya.Membelek-belek untuk mencari keistimewaan watak sebagai penulis tapi tak juga jumpa bahagian yang menarik.Cerita tentang dunia penulisannya hanya sedikit sahaja.Rupa-rupanya cerita ini yang berkisar tentang kehidupan seorang novelis yang ketandusan idea. Safiah cuba untuk cari idea tapi tak dapat-dapat. Dalam masa sama, dia sibukkan diri selesaikan masalah cinta Iza dan Helmi. Patutlah sikit saja hal-hal pores kreatif dan penulisan digarap dalam novel ini.Nampaknya penulis hanya menggunakan perlambangan sahaja tajuknya itu.Kebiasaannya novelis berjaya menyelesaikan semua konflik yang timbul kerana dia yang merencana watak-watak dalam ceritanya.Novel ini bukanlah cerita tentang liku-liku seorang novelis yang saya harapkan.

Rasanya tak sesuai tajuk itu kerana novel-novel lain yang lebih menyerlah penceritaaan tentang liku-liku seorang novelis pun tidak menggunakan tajuk sedemikian.Akhirnya dia menemui cintanya iaitu dengan Roul.Roul yang berambut merah dan mata merah memang bukan lelaki pilihan saya.Kerjanya sebagai pelukis bebas tiada masalah kerana tak semestinya watak hero mempunyai kerjaya yang hebat.Mungkin untuk menunjukkan Roul itu seorang pelukis bebas,maka karektornya berambut merah.Dari segi bahasa,memang saya tidak menyukainya kerana terdapat bahasa pasar yang agak ketara.Memanglah novel ini ditulis oleh remaja,tapi jika remaja yang masih dibangku sekolah didedah dengan tulisan sedemikian maka mereka akan terikut-ikut dengan gaya bahasa begitu dalam penulisan bagi subjek BM.

P/S:Maaf kepada penulis.Catatan ini sekadar lahir daripada hati seorang guru BM yang meminati dunia penulisan dan mahu menjadikan novel sebagai alternatif kepada pelajar-pelajar untuk menguasai bahasa dengan baik.Hal ini demikian kerana subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah saya telah diungguli oleh pelajar perempuan India yang sangat suka membaca novel.

Isnin, 5 Disember 2011

Novel Diari Seorang Guru



sinopsis bahagian belakang novel
Antara catatan yang dimuatkan dalam novel ini.

Sudah lama saya membaca novel ini.Memandangkan tidak menjumpainya di kedai buku,saya memesan melalui pos daripada Alaf 21.Gaya penulisan yang tidak pernah dijangka oleh sesiapa.Novel dalam bentuk catatan diari.Jika seseorang itu pandai menulis,sebenarnya dia juga boleh menjadi penulis kerana catatan dalam bentuk diari juga diterima oleh pembaca.Membaca novel ini mengingatkan saya pengalaman mengajar di pedalaman Sabah.Mungkin sama daerah dengan penulis.

Watak utama cerita ini iaitu Kamaliah,banyak mencoret tentang sikap guru-guru lama di sekolah, pengalaman minggu pertama berada di sekolah, kesibukan dan kebuntuan memikirkan teknik pengajaran dan ABM yang sesuai dan paling menarik, hubungan dengan rakan guru di sekolah, keseronokan dan kekecewaan dalam mengajar, masalah keluarga di rumah.
Pengalaman tersebut telah saya rasai sewaktu tempoh praktikum yang lalu.Mungkin penulis buku ini ialah seorang guru, malah tidak mustahil cerita ini sebuah kisah benar, yang mungkin benar2 berlaku pada penulis. Jika bukan seorang guru, atau paling tidak, pernah menjadi seorang guru, mana mungkin beliau dapat bercerita tentang ABM, tentang set induksi dan kepentingannya, tentang hati seorang guru dalam menilai pengajarannya, tentang penyediaan soalan peperiksaan yang harus memenuhi semua aras kognitif dalam taksonomi Bloom!

Apa-apapun,cerita ini agak menarik.

















Novel Penghujung Rindu-S.Hawa

Saya beli novel ni masa ke Pesta Buku Karangkraf dengan harga RM 3 saja.Harga sebenar RM 10.Bila terpandang saja nama S.Hawa,saya terus ambil buku ni sebab saya sudah membaca sebuah novel karyanya sebelum ini.Ok saja novel tersebut.Ingatkan boleh kenal siapa S.HAwa ni tapi tiada apa-apa latar belakangnya di bahagian novel ni.Saya membaca novel ni masa berada di PPUM.Dalam tempoh dua jam,saya dapat habiskan membacanya.

Farha, gadis yang selama ini mempercayai ketiadaan ibunya sejak bertahun lalu, tidak dpat menahan rasa apabila mengetahui cerita rekaan tersebut palsu belaka. Keputusan dibuat, ibu yang dikatakan telah tiada perlu dicari. Tidak ada siapa yang dapat menahannya. Untuk itu,dia telah ke Sabah untuk menjejak ibunya.Sabah memang saya tahu.Nama-nam yang disebut dalm novel memang tidak asing bagi saya.Novel sebelim inipun penulisnya menggunakan Sabah sebagai latar tempatnya.Mungkin Sabah merupakan tanah kelahiran penulis ini.

Semasa tiba di KK,Farha telah bertemu dgn Adam secara tidak sengaja.Pertemuan ini berjaya merungkai persoalan yang terpendam selama ini kerana melalui Adam,dia mendapat tahu bahawa orang yang dicari-cari selama ini mempunyai hubungan dengan Adam yang juga merupakan anak buah ibunya.Dia menumpang di rumah kedai milik Adam sebagai pengurus Restoran Seri Selera untuk menjalankan misinya.Semasa menumpang di rumah kedai tersebut,Farha telah cuba menyiasat perkara pelik yang sering berlaku di restoran tersebut yang bertujuan untuk cuba mensabotaj restoran milik ibunya Puan Noor.Dia mendapat tahu ada dalang dalam restoran ibunya setelah terjumpa nota yang dikirimkan kepada neneknya.Dia cuba menyiasat siapakah dalang di sebalik kejadian tersebut dan bagaimana dalang tersebut boleh bersubahat untuk menjatuhkan ibunya.

Akhirnya dia menemui jawapannya iaitu Betty.Betty telah mendapat upah daripada nenek Farha untuk memastikan usaha Puan Noor mengukuhkan kedudukannya dengan mengusahakan restoran tidak berjaya.Hal ini demikian kerana nenek Farha bimbang Puan Noor akan mengambil Farha dan tinggal bersamanya. Saat dia ingin meninggalkan Keningau,dia menulis satu nota kepada ibunya.Perjalanannya ke KK terbantut apabila ribut berlaku dan kejadian itu memberi kesempatan kepada Adam untuk mencarinya setelah Adam menemui nota yang ditinggalkan oleh Farha kepada ibunya.Walau bagaimanapun,Farha dan Adam akhirnya mempunyai hubungan yang istimewa kerana Adam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan wanita lain seperti yang disangkakan oleh Farha.

Isnin, 28 November 2011

Sara Kirana



Dah lama saya baca novel ni tapi hari ni baru teringin untuk menulis pasal novel ni.Dalam banyak novel yang ada di pasaran,saya lebih berminat nak membaca novel tentang liku-liku seorang penulis tapi sayangnya tak banyak novel sebegitu.Novel tentang cinta antara dua darjat tu memang bersepah menyebabkan minat untuk membaca novel kian luntur.Rasanya dah lama saya tak membaca novel biarpun banyak novel yang dibeli.Apa-apa pun sinopsis novel ni dipetik dalam internet,saya salin saja.Jimat masa.

Soal hati sukar untuk dimengertikan. Sayang bukan bererti cinta, kasih bukan bererti sayang. Maisarah seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya, Zulfakar. Namun tanpa sebab yang kukuh dia telah diceraikan. Melayari kehidupan rumah tangga bersama Zulfakar membuatkan Maisarah bahagia dengan caranya walaupun Zulfakar tidak menghargainya sebagai seorang isteri. Zahrin, adik Zulfakar telah membantu Maisarah kerana tiada siapa lagi yang boleh diharapkan. Di saat Maisarah memerlukan Zahrin tiba-tiba Zahrin telah pergi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bertolak dari rasa kecewa akibat diceraikan, Maisarah bangkit semula sebagai Sara Kirana, seorang penulis novel yang disegani. Dalam meniti hari-hari yang mendatang, Zahrin muncul menagih cinta Maisarah. Sebenarnya, Zahrin telah mencintai Maisarah sebelum dia bergelar isteri Zulfakar. Namun percintaan mereka mendapat tentangan dari bekas mentua Maisarah. Puan Zulaikha dan Haji Salam tidak bersetuju kerana dianggap kurang manis memandangkan Zulfakar masih hidup. Kerana sayangkan anak, akhirnya mereka menerima Maisarah sekali lagi menjadi menantu. Selepas mereka berkahwin, Zulfakar cuba mendekati Maisarah kembali. Perkahwinan barunya dengan Elly tidak bahagia. Zahrin mula cemburu akan abangnya. Malang tidak berbau, tiba-tiba Zahrin ditimpa kemalangan di tempat kerja dan terlantar koma berbulan-bulan. Apakah yang terjadi kepada Maisarah setelah mengetahui Zahrin koma? Dapatkah dia menerima kembali cinta Zulfakar? Dan apa pula tindakan Elly setelah mengetahui Zulfakar cuba memikat Maisarah?

Rabu, 23 November 2011

Kau Laksana Bulan

Kau Laksana Bulan akan membawa anda bersama-sama Adrianna mengembara ke dunia karya dan alam cintanya!Dunia penulisan yang diterokai, merenyahkan perjalanan hidupnya. Terlalu banyak 'kejadian' yang membebankan semangat untuk teruskan kerjaya.
Pun begitu, dunia percintaannya tidak mudah seperti diharapkan. Ibunya mahu melihat Adrianna berkahwin cepat, namun harapan dan impian tidak pernah terjadi sepertimana yang direncanakan. Walaupun sudah ada kriteria yang disusun rapi dalam hal memilih calon, malang baginya kerana sering terperangkap dalam bayangan yang dicipta.
Syafik merupakan cinta pertama, namun terputus buat seketika. Kini lelaki itu kembali mengetuk pintu hatinya. Sementara Razif pula, cinta kedua yang meninggalkan kesan perit dan sakit hinggakan hidupnya terumbang-ambing, kecewa, seterusnya menutup ruang-ruang di hati untuk bercinta lagi. Firas, pemuda yang berbeza karakter daripada kriteria yang ada. Dalam begitu, lelaki itu mampu mengganggu konsentrasinya. Akhir sekali, masih ada Eizlan yang muncul secara misteri, dan mula menghantui hidupnya!

"Kau laksana bulan yang menyinari hidupku... dan akulah punggukmu yang sanggup menanti sang bulan tersenyum di langit"
Kau Laksana Bulan pastinya merupakan novel yang mendebarkan dan akan membuat anda mahu terus membaca untuk mencari jawapan kepada teka teki dalam perjalanan cerita! Kau Laksana Bulan dijadikan siri drama dan novel itu telah diulangcetak sebanyak lima belas kali sejak ia diterbitkan dua tahun lalu.

Ini pula dramanya

Kisahnya bermula pada babak Adrianna Johan, gadis yang dilahirkan dalam sebuah keluarga sederhana. Dia telah memilih untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian dalam bidang penulisan sambil melanjutkan pelajaran untuk mengikuti program sarjana di Universiti Malaya.

Walaupun ayahnya sentiasa memberi sokongan, ibu Adrianna, Salmah tidak pernah merasakan bahawa kerjaya anaknya sebagai seorang novelis sesuatu yang boleh dibanggakan. Baginya, lebih elok sekiranya Adrianna bekerja seperti graduan lain dan beri perhatian untuk mencari jodoh. Rungutan demi rungutan daripada ibunya itu meresahkan hidup Adrianna namun dia cuba memahami ibunya yang kebetulan tidak berpelajaran dan merupakan seorang suri rumah yang lebih suka bergosip dengan jiran-jirannya. Adrianna tidak senang dengan tabiat buruk ibunya dan dia juga sentiasa rimas dengan kerenah jiran-jiran tetangga yang suka jaga tepi kainnya.

Dalam bidang kerjayanya pula, Adrianna yang menggunakan nama samaran ‘Jenna Johan’, merupakan seorang novelis ‘Romance Thriller’ yang sedang mengukir nama dalam pesada dunia penulisan. Semasa memulakan program sarjananya, Adrianna sedang sibuk menulis manuskrip untuk novel ketiga yang berjudul ‘Penantian di Hujung Kabus’.

Dalam kesibukan mencari perwatakan yang sesuai untuk manuskripnya itulah Adrianna terserempak dengan Firas Ali di dalam tren komuter Nilai-KL. Dengan tidak sengaja, Adrianna terduduk di atas riba Firas semasa cuba mendapatkan tempat di suatu pagi, semasa menaiki tren komuter itu. Mereka bertemu lagi beberapa kali selepas itu dan pertemuan itu telah mendorong Adrianna untuk melakarkan watak Firas ke dalam manuskrip novelnya.

Adrianna juga pernah suatu ketika dahulu bercinta dengan Syafik, seorang lelaki yang sebaya dengannya, sejak zaman persekolahan lagi. Malangnya, pertalian mereka terputus ketika mereka sama-sama sedang melanjutkan pelajaran di menara gading. Namun Syafik telah muncul kembali dalam hidup Adrianna dengan tiba-tiba sahaja. Kemunculan Syafik itu menggembirakan Salmah, ibu Adrianna yang terlalu suka kepada Syafik dan mengharapkan sangat agar Adrianna memilih Syafik sebagai bakal suaminya sebaliknya kemunculan Syafik telah menimbulkan kekeliruan dalam hidup Adrianna.

Dalam begitu, Adrianna tetap keliru bila Firas berulang kali meminta agar pertalian mereka dirapatkan lagi bukan sekadar kawan biasa tetapi sebagai kekasih. Adrianna tidak mampu melakukannya kerana dia masih terikat dengan bayangan Razif, seorang lelaki yang pernah wujud dalam hidupnya selepas Syafik.

Razif merupakan seorang lelaki yang romantis dan puitis dan Adrianna yang mengenalinya melalui Internet, telah jatuh hati dengannya. Malang buat Adrianna, pertalian percintaan mereka terputus kerana Razif telah meninggal dunia. Malang juga buat Adrianna, kerana kematian Razif telah menutup ruang-ruang di hati untuk jatuh hati dengan lelaki lain.

Keadaan ini merumitkan lagi hidup Adrianna, bila dengan tiba-tiba muncul pula Eizlan yang terlalu mengingatkan Adrianna kepada Razif. Eizlan juga merupakan seorang peminat novelnya yang suka menghantar mesej-mesej puitis dan romantis yang seringkali menggugatkan perasaan ‘wanita’ Adrianna.

Perjalanan cerita di teruskan bila pada suatu ketika nanti, Adrianna dan Firas terpaksa berpisah kerana Firas tidak mempercayai kepada kejujuran Adrianna. Bila berpisah dengan Firas, Adrianna kecewa dan berasa hampa. Tetapi keadaan terus menekannya dan kerana itu, Adrianna telah bersetuju untuk menerima Syafik sebagai bakal suaminya. Malangnya, perancangan itu tidak kesampaian dengan perbuatan Syafik yang dianggapkan sebagai tidak serius.

Ketika itulah, Adrianna mula memberi perhatian kepada Eizlan. Kerana layanan Adrianna, Eizlan mula menaruh harapan untuk berkasih dengan Adrianna. Tiba-tiba, Adrianna sekali lagi terserempak dengan Firas yang sudah lama hilang dalam hidupnya. Kemunculan Firas kali ini telah mewujudkan perasaan cintanya yang sudah tidak berbelah-bahagi lagi. Mereka memilih untuk mendirikan rumah tangga.

Walaupun itu merupakan perancangan Adrianna, hidupnya menjadi kucar-kacir bila Razif (yang pernah dikatakan meninggal dunia) muncul semula. Dalam begitu, Eizlan terus mengganggu hidupnya. Ke mana sahaja Adrianna pergi, Eizlan menunggunya. Perbuatan Eizlan membuatkan Adrianna menjadi tidak tentu arah.

Pelbagai kejadian kini berlaku membuatkan hidupnya tercabar, penuh suspens dan sentiasa cemas. Begitu juga dengan kehadiran Razif yang telah memporak-purandakan rumah tangga Adrianna bersama Firas.

Dah dua kali tengok drama ni di TV2 tapi dua-dua terlepas slot ni.Sekarang baru tahu macam mana mereka boleh berjumpa.

Rabu, 30 Jun 2010

Kau Laksana Bulan


Sudah lama saya membaca novel ini dan kini hampir lupa jalan ceritanya.Disebabkan terbawa-bawa dengan satu daripada slot di tv2 yang mengadaptasi cerita ini,kini saya membelek semula novel tersebut.Nasib baiklah sekarang tv sudah ada dua(gara-gara bola,tv jadi dua),jadi dapatlah saya menonton cerita tersebut.Membaca dan menonton mempunyai kepuasan yang berbeza.Sebut sahaja cerita yang berkisarkan dunia penulisan,saya memang seronok menontonnya.Sinopsis ceritanya(dipetik daripada:caluk.kangooclubmalaysia.com)

Kau Laksana Bulan akan membawa anda bersama-sama Adrianna mengembara ke dunia karya dan alam cintanya!Dunia penulisan yang diterokai, merenyahkan perjalanan hidupnya. Terlalu banyak 'kejadian' yang membebankan semangat untuk teruskan kerjaya.Pun begitu, dunia percintaannya tidak mudah seperti diharapkan. Ibunya mahu melihat Adrianna berkahwin cepat, namun harapan dan impian tidak pernah terjadi sepertimana yang direncanakan. Walaupun sudah ada kriteria yang disusun rapi dalam hal memilih calon, malang baginya kerana sering terperangkap dalam bayangan yang dicipta.

Syafik merupakan cinta pertama, namun terputus buat seketika. Kini lelaki itu kembali mengetuk pintu hatinya. Sementara Razif pula, cinta kedua yang meninggalkan kesan perit dan sakit hinggakan hidupnya terumbang-ambing, kecewa, seterusnya menutup ruang-ruang di hati untuk bercinta lagi. Firas, pemuda yang berbeza karakter daripada kriteria yang ada. Dalam begitu, lelaki itu mampu mengganggu konsentrasinya. Akhir sekali, masih ada Eizlan yang muncul secara misteri, dan mula menghantui hidupnya!Kau laksana bulan yang menyinari hidupku... dan akulah punggukmu yang sanggup menanti sang bulan tersenyum di langit"
Kau Laksana Bulan pastinya merupakan novel yang mendebarkan dan akan membuat anda mahu terus membaca untuk mencari jawapan kepada teka teki dalam perjalanan cerita!

Sabtu, 14 November 2009

Novel Yang Tak Terluah


Saya memang menggemari karya Puteri Andalas.Bila dapat tahu novelnya yang terbaharu dah lama berada di pasaran, tanpa berfikir panjang saya terus mendapatkannya.Dah lama saya membeli novel tu tapi tak mood nak baca lagi.Semalam saya cuba menghabiskannya.Bermula di sekolah saya membacanya hinggakan pot luck saya tidak hiraukan.Masuk ke kelas bawa lagi novel ni. Tengok budak2 dalam kelas hanya beberapa orang saja sebab yang dah mula bercuti,saya menyambung lagi bacaan saya.

Puteri Andalas memang ada gaya penceritaan yang tersendiri.Unsur pengembaraan untuk merungkai identiti diri memang menjadi stail penulisannya.Plotnya disusun dengan baik.Setiap peristiwa ada sebab dan akibatnya yang dijalin dengan teliti sehingga setiap peristiwa yang berlaku dapat difahami sebabnya dan kesannya.Sekecil-kecil peristiwapun ada sebabnya.Walaupun latar tempatnya hanya berkisah di Kedah dan Selangor, plotnya tetap berkembang dengan baik.Kadang kala latar yang banyak akan mengelirukan pembaca jika tidak bijak mengadunnya.Memang tidak mendukacitakan apabila membaca buku ini.

Apabila kita sukar untuk meluahkan kata-kata,keadaan akan menjadi semakin keruh.Bukan semua perkara boleh diluahkan dan kadang kala perlu disimpan.Tapi ada juga kata-kata yang ingin diluahkan tapi tak terluah kerana sikap orang yang nak diluahkan.Tak terluah, lama-lama akan menjadi nanah dalam diri.Membengkak dan bernanah hinggalah pecah dengan sendirinya.Itulah yang bahayanya.