Memaparkan catatan dengan label Air tangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Air tangan. Papar semua catatan

Ahad, 5 April 2015

Ayam Asam Pedas


 Drama Asam Pedas untuk Dia dah tamat minggu lepas.Dalam guruh dan hujan
 lebat,saya bertahan juga untuk tengok episod yang akhir.
Penangan drama ni agaknya,semalam saya masak ayam asam pedas.Bila dah GST ni,elok sangatlah tak membazir.Biasanya saya masak ayam asam pedas menggunakan perencah asam pedas ikan yang dibeli tapi kali ni buat perencah sendiri saja.Mudah saja pun tapi selama ni malas nak menumbuk bawang dan nak kerja mudah.
GST ni memang terasa kesannya.Semua barang kena cukai.Barang di Kedai RM 2 pun dah naik 12 sen.Seorang kawan di sekolah berkata,dia tak akan membeli sembarangan barang dah sekarang.Hanya akan beli barang perlu sahaja.Memang terkena dengan batang hidung saya yang suka membeli ni.Alang-alang dah dapat daun kesum dan bunga kantan percuma,memang kena digunakan,jika tidak akan membazir saja.Dahlah bunga kantan berharga RM 3 di kedai.
Kali ni sikit rasanya untuk anak-anak kerana daun kesum dimasukkan sekejap saja,api periuk dah dimatikan.Masak ikan keli tempoh hari,daun kesum dimasak agak lama kerana saya suka daun kesum tu layu dalam kuah untuk dijadikan ulam hingga bau dan rasanya menguasai kuah asam pedas tu.

Khamis, 5 Mac 2015

Koktel Jeli

Entah betul atau tidak tak pasti pula nama puding ni.Dah lama nak mencuba buat puding berkuah macam ni tapi tak terbuat-buat.Pagi tadi,sempatlah buat sebelum ke sekolah supaya boleh makan 
sejuk-sejuk lepas balik dari sekolah.Hari ni pula balik agak lambat sikit.Masa sampai rumah,  hujan agak lebat pula tu.Tak kisah pun,yang penting dapat rasa puding ni.

Jeli yang kecil ni memang satu suap saja dah habis.
Cara nak membuatnya agak mudah cuma agak manis sikit dan terasa berpasir sikit kerana dicampur dengan dua sudu kastard.Bahan-bahan lain,satu tin susu cair dan satu sudu setengah gula.Jika letak satu sudu gula saja,manisnya ok sikit...


Ahad, 22 Februari 2015

Puding Jagung

Pagi tadi,jam dua pagi saya masak puding jagung manis ni.Buang tabiat agaknya masak pagi-pagi buta macam tu.



 Tak pasti sebab jadi putih macam tu pula...mungkin kerana masih panas dah dimasukkan dalam peti ais

Kole yang dijadikan cawan untuk sukat tepung kastard dan gula.rasa manis ok sangat.

Bahan-Bahan
  • 1 cawan tepung kastard 
  • 3 cawan air 
  • 3/4 cawan gula 
  • Satu tin susu cair 
  • Setin jagung manis

Caranya 
1.Masukkan semua bahan-bahan di atas dalam periuk dan masak dengan api yang sederhana hingga adunan tadi menjadi sedikit pekat. 

2.Bila adunan dah pekat, padam api dan tuangkan terus dalam bekas.

4.Biarkan sekejap hingga adunan tadi sejuk dan sedia untuk dimasukkan dalam peti ais.

http://darihati-yatiefizzy.blogspot.com/2014/06/salam-ramadhan-al-mubarak-1435.html

Khamis, 9 Oktober 2014

Ikan Tongkol Gulai Kuning


Semalam,konon-kononnya malas nak masak kerana nak menanda kertas sejarah 3 dan nak beli nasi di pasar malam saja untuk makan malam.Bila dah jam 5 petang,tiba-tiba malas pula nak ke pasar apabila memikirkan kena bersiap-siap dan ambil masa juga untuk ke pasar malam tu.Makanya, inilah yang saya masak petang semalam.Mudah saja masak gulai ikan tongkol versi Kelantan ni.Tak seberapa pun tapi saya suka masak kuning berbanding kari.

Bahan bahan:
Ikan tongkol
4 biji lada
4 ulas bawang merah
4 hiris lengkuas
1 kunyit
1 sudu kecil rempah biji ketumbar
1 keping asam keping
Garam
Santan secukupnya
Timun, 

Cara cara:
1.Kesemua bahan di atas ditumbuk. Masukkan ke dalam santan dan dimasak dengan api kecil hingga menggelegak. Perlu dikacau selalu.

2.Masukkan ikan, asam keping,masak hingga pecah minyak.Masukkan timun yang dihiris.Bila hampir masak,  masukkan garam dan sedikit perasa.

Nota kaki:Jika ikan direbus dahulu,makin sedap kerana masin dan masam ikan akan terasa.


Ahad, 13 Julai 2014

Resepi Belimbing Buloh

Hari Jumaat ada salah seorang rakan yang meletakkan belimbing buloh di bilik guru untuk disedekahkan.Kerap juga belimbing buloh ni diletakkan di bilik guru tapi tak pernah pun saya ambil kerana tak tahu cara nak masaknya.Kali ni,teringin pula nak mencuba kerana sepanjang bulan puasa ni,hari-hari saya masak.Tak pernah lagi beli lauk yang telah masak.Lagipun,plastik dah disediakan,tunggu masukkan saja dalam plastik saja.Kalau tak ada plastik tu,masalah juga.
Hari Sabtu baru belimbing buloh tu dimasak tapi masih ada lagi bakinya.Simpan lama-lama akan rosak pula belimbing buloh ni.Masa nak masak tu,cubalah tengok dalam internet resipi belimbing buloh ni. Belimbing buloh ni boleh menggantikan asam keping.Memang begitupun akak-akak di sekolah beritahu tapi saja nak cari resipi lagi.


Saya masak lemak telur itik sebab telur saja yang ada tapi guna telur itik masin pula.Tak ada masalahpun malah taklah masinpun kuah ni kerana garam dimasukkan sikit saja,cuma telur putihnya hancur sikit,tak terlekat langsung di telur kuningnya.Walaupun macam tu,banyak pula kami berlima makan nasi hingga terpaksa masak lain untuk bersahur.Belimbing buloh ni sesuai untuk masak lemak bagi menggantikan asam keping.
resipinya macam biasa saja cuma saya tak letak asam keping pun tapi memang masam.

Resipi-resipi mudah yang lain ada di bawah ni.Saja kongsikan di sini supaya mudah nak merujuk nanti.
sambal bilis belimbing buloh.sumbernya: di sini

sambal udang ala Aceh.sumbernya di sini

Ahad, 27 Oktober 2013

Maggie Ketam

saya tak suka makan kuah sangat,ambil kering saja,kuahnya sekadar saja..
Tiba-tiba nak makan maggie ketam, macam megidamlah pula.Dua hari mencari ketam di pasar tetapi tidak dijual.Selepas mesyuarat post mortem SPM, bak kata salah seoarng KP yang hadir ke mesyuarat tersebut,baru kena marah jawabnya secara berseloroh apabila dia ditanya sebab balik lambat pada hari itu.

Disebabkan teringin sangat,ketam yang mahal pun saya beli di Econsave.RM 11 untuk dua ekor,satu besar dan satu lagi kecil.Mahal juga barang-barang basah di sana.Banyak plastik yang telah ditimbang dibiarkan saja.Mungkin pengguna tu tak berkenan dengan harganya,maka dia letak semula barang yang telah ditimbang di tempatnya.Bila sampai rumah,antara nak masak maggie kering atau maggie yang berperisa,saya memilih untuk memasak maggie berperisa tomyam kerana dah hampir jam 4 petang.

Sekadar menumis bawang dan rebus ketam hingga masak,maggie tomyam ketam tiada istimewanya.Yang beza,hanya ketam jelas kelihatan dalam pinggan,rasa tetap sama.Begitukah rasa maggie ketam?Tak pastilah pula tapi kehadiran ketam agak menyusahkan kerana kena kopek sebelum makan sedangkan isinya taklah banyak.Itulah yang melambatkan sebenarnya.


Sabtu, 7 September 2013

Sambal Mangga

Remaja dulu-dulu selalu turun ke dapur menolong emak memasak.Saya pun tak terkecuali walaupun sekarang taklah pandai sangat memasak.Beruntunglah jika ibu-ibu sekarang boleh mendidik anak remaja perempuan terutamanya turun ke dapur kerana remaja kini memang culas di dapur.

Apabila mangga di depan rumah sangat menjadi tahun ini,maka lidah mulalah tak tahan nak makan sambal mangga.Hari ni baru boleh mencuba sambal mangga ni.Resepipun berdasarkan pengetahuan yang sedia ada.Sukatannya, pandai-pandailah agak.



mangga muda yang ditumbuk bersama dengan 2 ekor ikan(saiz kecil) tawar(rebus dulu) dan dua biji cili

setelah lumat,masukkan secubit garam dan gula.disebabkan mangga yang digunakan agak banyak(separuh biji mangga),maka ikan tawar juga saya letak banyak.Hasilnya,masam mangga ditenggelamkan oleh rasa lemak-lemak ikan dan sedikit rasa pedas.

@@@Satu kepuasan apabila menumbuk dengan lesung batu ni.Kemudian,dengar pula jiran sebelah menumbuk juga...hahaha macam bertanding menumbuk pula...isyarat masing-masing dah ke dapurlah tu...

Sabtu, 1 Disember 2012

Catatan ke-500 Sayur Pedas Petola

Dah lama tak masak petola masak air seperti ini.Agaknya bila dah lama tak masak,namapun boleh lupa.Rupa-rupanya sayur pedas petola namanya.Juga masakan dari Terengganu.Nak memasaknya sangat mudah.
                                           saya suka letak cili kerana suka warnanya

Bahan-bahan:
petola
bawang merah-tumbuk
lada hitam-tumbuk
isi ikan yang direbus-tumbuk
air
garam dan gula

Cara membuatnya;
1.Masukkan petola yang telah dipotong nipis-nipis bersama bawang merah,lada hitam dan isi ikan.
2.Masukkan air dan biar mendidih.Masukkan gula dan garam secukup rasa.Sedia dihidang.

Nota kaki:Boleh juga digantikan ikan bilis dan ditambah udang baring.sayur-sayur lain yang boleh dimasak sebegini ialah timun,bayam,batang keladi(tambah asam keping),daun cekak manis.Masakan sebeginisaya tidak letakkan bawang putih kerana rasanya akan jadi lain macam.

                                          ikan dimasak dalam kuali 'non stick' dan sambal tomato

Dalam mangkuk tu pula sambal tomato.Saya mula mengenali sambal tomato semasa mengajar di Sabah.Rakan yang berasal dari Kedah suka makan sambal tomato ni.Apabila dah makan,suka pula.Dalam majalah Jelita suatu ketika dulu ada menyiarkan resipinya.Cara nak membuatnya,bawang merah yang dihiris nipis dicampurkan bersama dengan cili, belacan,sedikit perahan limau nipis.Kemudian,
masukkan tomato dan kicap.



Selasa, 27 November 2012

Sayur Masak Lemak Putih

Rasa-rasanya inilah kali pertama saya memasak sayur masak lemak.Mengapa begitu teruk?Masakan yang semudah inipun tak pernah dimasak.Sebenarnya saya kurang menggemari masakan yang bersantan.Nasi lemak,nasi dagang,kari,mee kari dan hampir semuanyalah.Jika jarang-jarang makan,tak jadi masalah tapi tidak akan menjadi makanan rutin.Maksudnya,saya makan tetapi dalan kuanitit sedikit.Jadi,jika saya tidak menggemari masak lemak,makanya saki-bakinya nanti tiada oranglah yang nak meratahnya.Memasak untuk membuang membazirlah pula.Tapi,itulah yang berlaku terhadap lebihan sayur masak lemak yang dimasak tempoh hari.Apa nak buat?

Disebabkan nak menghabiskan kubis yang dibeli,hari-hari makan kubis.Masak sup sayur,goreng,dan dibuat ulampun masih tidak habis.Rasa-rasanya kena masak tomyam sayur pula ni.Bahan-bahan untuk masak lemak:
kubis - hiris nipis serong
bunga kubis
lobak merah
bawang merah - tumbuk
bawang putih-tumbuk
bwang besar-hiris memanjang sederhana lebar
sedikit ikan bilis - tumbuk kasar
sedikit udang kering
sedikit lada hitam
cili merah -hiris memanjang
Santan
Garam

1.Masak santan,lada hitam dan udang kering  bersama ramuan yang ditumbuk sehingga hampir mendidih.
2.Masukkan sayur sehingga agak lembut, masukkan bawang besar, cili merah dan garam serta serbuk perasa.
3.Bila Apabila sayur lembut, angkat.

Saya perhatikan gambar masak lemak dalam GOOGLE,semuanya sama.Cili merah dihiris menyerong/melintang seperti untuk dimasukkan ke dalam sayur yang dimasak.Berdasarkan kursus KULINARI  daripada mak saya yang dipelajari semasa remaja dulu,jika ingin dimasukkan dalam masakan gulai,lemak atau sup,bawang besar dan cili merah dipotong MENEGAK.Mengapa?Tak pasti pula tapi itulah yang saya praktikkan sekarang.




Gambar yang ini baru menunjukkan potongan cilinya seperti yang buat selama ini.Gambar masakan saya tidak dapat ditunjukkan kerana masalah teknikal.



Apa-apapun sekadar berkongsi pengalaman.Selamat memasak.

Rabu, 26 Oktober 2011

Ikan Kering


Saja nak berkongsi cara membuat ikan kering yang mudah.Ikan kering ni sedap dimakan kerana tak terlalu masin tapi isinya manis pula.
1.Siang ikan belah belakang supaya garam boleh diletakkan di semua bahagian ikan
2.Sapukan garam dan perapkan semalaman di dalam peti ais di bahagian bawah
3.Boleh dibuat masak sama ada digoreng atau dibuat masak lemak.

Telur Masak Lemak Putih



Semalam dah tahu bahan-bahan dapur kebanyakannya sudah habis tapi malas pula nak minta suami belikan kerana hari ni cuti Deepavali,bolehlah saya keluar ke pasar sekejap.Bila hari ni,tiba-tiba malas pula nak keluar.Suami pula sibuk dengan kerja kayunya yang dah tertangguh agak lama.Malaslah tu sebab itulah tertangguh agak lama.Hari ni baru sambung semula.Tak naklah kacau kerjanya sebab saya pun malas nak keluar.Mulalah sesi memecah kebuntuan untuk masak tengah hari ni.Serai,dan bilis sudah habis.Akhirnya,inilah menunya.Telur masak lemak putih.Bahan-bahannya sangat mudah.Cara memasaknya sangat mudah.

Bahan-bahan:
Telur,
bawang merah yang dihiris,
halia yang dihiris
garam dan
santan serta
perasa

Cara membuatnya:
1.Masukkan santan,bawang dan halia di dalam periuk
2.Masakkan di atas api yang kecil agar santan tidak pecah minyak.
3.Apabila mendidih masukkan telur sebiji demi sebiji.
4.Tambahkan garam dan perasa.

Cumanya, telurnya agak pecah.Tak tau dah nak buat macam mana, masak dengan api kecilpun telurnya masih pecah walaupun makin berkurangan.Itulah yang tak puas hatinya.Walaupun begitu,Ammar berselera makan.Perasan pula dah lama saya tak masak menu ni.

Rabu, 3 Ogos 2011

Cek Mek Molek


Kuih yang selalu diidamkan apabila mengandung.Rasanya dah lama tak makan kuih ni.Hari ni operasi membuat kuih ini dijalankan walaupun agak kepenatan.Sambil duduk di kerusi, keledek dilenyek.Biasanya, mana ada saya buat kerja sambil duduk walaupun dah ada meja untuk kerja-kerja di dapur.Walaupun kurang menjadi kerana terlebih gandum, tapi puas hati juga menghadapnya.
1.Ubi direbus hingga lembut dan dikupas,kemudian dilenyek.
2.Campurkan gandum sedikit demi sedikit dan uli hingga jadi doh.
3.Bulatkan doh kecil2 menjadi bebola. Kemudian doh tadi dileperkan dgn tangan,kalau kemudian letakkan sedikit gula di tengah dan bentukkan menjadi bujur.
4.Setelah itu bolehlah digorengkan didalam kuali yang berisi minyak yang panas.

Isnin, 27 Jun 2011

Biji Nangka

Pencuci mulut yang mudah dimasak.Orang pantai timur biasanya makan pencuci mulut ni.Kebetulan dapat nangka yang manis pemberian rakan, saya simpan sedikit untuk dibuat pencuci mulut biarpun tak puas makan nangka itu sebenarnya.

Bahan2:
1. Tepung pulut
2. Pewarna
3. Santan
4. Daun pandan
5. Halba
6. Bawang merah-dimayang
7. Air
8. Gula melaka yang dipotong kecil
Nangka-beberapa ulas yang dihiris nipis

Cara membuat adunan:
1. Masukkan tepung,pewarna dan air.Uli hingga sebati.
2.Buat bebola kecil kemudian leperkan. Masukkan gula melaka sebagai isi tengahnya.Bentukkan menjadi bujur.
3.Masakkan air hingga mendidih.Masukkan adunan yang dibentuk bujur tadi ke dalam air mendidih. Angkat apabila ia terapung.

Cara membuat kuah:
1. Didihkan santan. Masukkan satu/dua sudu tepung beras yang telah dibancuh dengan air. Kacau hingga sebati.
2. Masukkan bawang merah,nangka,halba, dan daun pandan.Biarkan mendidih.
3. Masukkan adunan yang telah diangkat tadi.


Isnin, 13 Disember 2010

Lakar Sejarah

Tak pernah dalam sejarah makanan yang dimasak habis masa tengah hari.Masak pun hanya makanan yang biasa sahaja,kari ayam dengan telur ikan goreng.Sayur tak sempat nak masak sebab anak-anak dah menjerit meminta nasi.Mungkin kerana makan bersama-sama empat beranak,apatah lagi apabila Ammar memnag suka makan kari ayam.Biasanya pada hujung minggu, suami makan tengah hari agak lewat.Selepas berkayuh,dia dah makan apa-apa yang patut,kenyanglah pula menjelang tengah hari.Saya dan anak-anak sajalah yang makan dulu.Bila menjelang malam,mati akal pula nak masak apa.Masak nasi,rasa macam kenyang sangat lagi tapi takkan tak makan malam pula?.Akhirnya ini yang jadi..

Jumaat, 27 Ogos 2010

Sagu Gula Melaka

sagu gula Melaka yang telah dicampur dengan santan dan gula Melaka.Sedia untuk dimakan.Rasanya manis dan lemak.
gula Melaka yang dah dimasak tiada ...warna sagu yang asli kerana tiada pewarna

Diam tak diam, hari ni sudah masuk hari yang ke-17 kita berpuasa.Begitu cepat masa berlalu.Ujian 2 dan percubaan PMR sudah berlalu biarpun kertas untuk BM tingkatan belum habis ditanda. Kini,soalan untuk peperiksaan akhir tahun bagi kertas sastera pula yang perlu difikirkan.

Alhamdulillah,sepanjang berpuasa kali ini,sikap berjimat dalam berbelanja memang ketara.Setiap kali berbuka puasa, menu berbuka puasa seperti hari-hari biasa.Saya hanya memasak masakan yang ringkas kerana sepanjang hari persekolahan,saya berpeluang membeli makanan di kantin.Memanglah makanan tersebut dimasak dari pagi lagi,tetapi jika kita membeli di pasar Ramadhan,keadaan yang sama juga berlaku,bahkan kita tidak pasti sama ada masakan tersebut dimasak hari ini atau lebihan yang semalam.Kita juga tidak pasti sama ada masakan tersebut sedap atau tidak.Dengan berbelanja serendah RM 6,saya dapat membeli tiga jenis lauk,maklumlah setiap lauk dijual RM 2 sahaja.Memang jimat juga.Cuma,saya hanya memasak satu atau dua lauk lagi untuk tambahan dan kadang kala saya memasak kuih untuk pencuci mulut.Untuk memasak pencuci mulut,ia bergantung kepada kerajinan.

Kali ini teringin pula merasa sagu gula melaka.Sudah lama saya tidak memasak pencuci mulut ni.Kali pertama saya cuba memasak pencuci mulut semasa saya mengajar di Sabah dulu disebabkan ingin membalas kuih yang diberi oleh seorang kakak.Dah 8 tahun agaknya.Pertama kali membuatnya memang menjadi.Bila cuba memasaknya untuk kali kedua beberapa hari yang lepas,alahai tak berapa nak menjadi pula.Begitulah agaknya bila sesuatu perkara tu jarang dilakukan,untuk membuatnya dengan sempurna,ia mungkin akan makan masa.Silapnya kerana sagu kurang masak disebabkan tempoh merendamnya agak sebentar.Walaupun begitu, suami tetap makan dan tak pula dia komen apa-apa.Semalam cuba lagi kerana tdak puas hati.Alhamdulillah,kali ini sudah menjadi.Resipinya:

Bahan A :
* 2 cawan sagu
* 5 cawan air
Bahan B :
* 3 cawan santan
* 2 sudu tepung beras
* 1/2 sudu kecil garam
Bahan C :
* 1 keping gula Melaka @ 1 cawan gula merah
* 1 cawan air
* 1 cawan air
* 1 helai daun pandan

Cara-cara

1. Cara-cara Adunan A : Panaskan air hingga mendidih. Bersihkan biji sagu dan masukkan ke dalam air mendidih.
2. Masak hingga sagu menjadi jernih. Angkat dan cuci dengan air sejuk sehingga hilang kanjinya.
3. Masukkan ke dalam acuan2 kecil dan sejukkan.
4. Cara-cara Adunan B : Panaskan santan, garam, daun pandan dan tepung beras hingga mendidih.Masak hingga santan agak pekat
5. Buang daun pandan dan sejukkan.
6. Cara-cara Adunan C : Masakkan gula Melaka, daun pandan dan air hingga gula hancur.
7. Buang daun pandan, tapiskan dan biarkan ia sejuk.
8. Cara menghidang : Keluarkan sagu dari acuan2 kecil dan letak dalam mangkuk @ pinggan menghidang.
9. Curahkan Adunan B, diikuti oleh Aduna C

@@@saya suka makan dengan santan pekat.Kebiasaannya dalam resipi menggunakan santan cair sahaja

Jumaat, 20 Ogos 2010

Bubur Lambuk Citarasa Pantai Timur

pucuk miding yang sinonim dengan bubur lambuk

Sebut saja pucuk miding(sejenis pucuk paku),terbayang bubur lambuk.Sememangnya pucuk miding sinonim dengan bubur lambuk yang digemari pada bulan puasa.Hanya bubur lambuk versi pantai timur sahaja yang menggunakan pucuk miding.Teringatlah zaman remaja dulu,bila saja mak ingin memasak bubur lambuk,pasti saya akan dikerah masuk semak-samun untuk mengutip daun-daun yang akan dijadikan bahan dalam bubur lambuk.Bubur lambuk citarasa pantai timur memang berbeza dengan citarasa pantai barat kerana cara pantai timur menggunakan banyak ulam.Rasanya juga agak berlainan. Bubur lambuk pantai barat saya tidak suka,maklumlah dah sebati dengan citarasa pantai timur.Seingat saya,antara daun yang selalu diminta oleh emak untuk mencarinya ialah kangkung,kesum,mata ayam,serai kayu,pucuk manis dan pucuk miding.Apabila berada di bandar,ada antara daun tersebut memang sukar didapati,namun ia tidak membantutkan keinginan untuk memasak bubur lambuk.Pucuk miding sebenarnya hidup meliar di kawasan semak terutamanya di tepi jalan,namun tak pula saya sanggup untuk mengutipnya.Dalam banyak daun yang digunakan oleh ibu,saya hanya mengekalkan beberapa saja iaitu daun kesum dan pucuk manis.Daun kesum mesti ada supaya bubur lambuk mendapat aromanya.Tanpa pucuk miding,rasa bubur lambuk tidak terjejas.Hari ini saya berjaya memasak bubur lambuk dengan mengekalkan rasanya walaupun tanpa banyak ulaman.Sebenarnya senang sahaja untuk memasak bubur lambuk kerana ia tidak perlu banyak ramuan.
ini dah yang terakhir..jika banyak ulam/daun,lebih sedap rasanya.

Antara bahannya ialah:
beras-jika nak banyak,masukkan banyak beras.tapi saya hanya menggunakan setengah cawan sahaja
bawang merah - dikisar bersama lada hitam
1 inci halia - dihiris memanjang
ayam/daging yang dihiris nipis
sedikit kelapa goreng
serai
keropok keping-jika suka.sekadar nak mevariasi dalam masakan
daun kesum
pucuk manis
bayam
garam

Cara-cara

1. Masakkan beras dengan air yang banyak sehingga menjadi bubur.
2. Masukkan ayam yang dihiris nipis,bawang yang dikisar dan halia serta serai
3. Masukkan daun kesum
5. Masukkan kelapa goreng dan daun-daun yang lain
6. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa

Ahad, 15 Ogos 2010

Pulut Durian Vs Pengat Durian


Dah lama nak makan pulut durian tetapi selalu terbantut.Bila saja anak minta belikan durian pada hari sabtu yang lalu, nampaknya inilah peluang untuk merasa pulut durian yang dah lama mengidam.Jadi, menu untuk berbuka pada hari tu ialah pulut durian.Bila saja nak masak pulut durian, tak sampai hati pula memikirkan suami orang Selangor,manalah tekaknya boleh menerima menu pulut durian kerana pulut durian hanya dimakan oleh orang pantai timur.Jadi, terpaksalah buat pengat durian.Bila masa berbuka, makan sikit saya dah rasa muak, maklumlah kuahnya santan yang dimasak.Alahai,teringat-ingatlah pula kelazatan pulut durian tu..Cara membuatnya senang sangat.Masukkan santan yang telah dimasukkan secubit garam ke dalam pinggan,tambahkan gula secukup rasa dan masukkan pulut bersama durian.Gaulkan durian dengan pulut.Sedapnya...

Agar-agar Durian

1 Biji Durian (Isi Shaja)
1 Packet Agar-Agar Tali
1 Cawan Gula
750Ml Air
2 Sudu Teh Tepung Kastard
½ Cawan Susu Cair

Cara:
Masak agar-agar bersama air sehingga cair, masukkan gula ,Kacau sehingga larut dan mendidih.

1/2 cawan susu di kacau bersama tepung kastard dan, apabila sudah sebati masukkan ke dalam agar-agar yang sedang mendidih tadi kacau rata, kemudian masukkan isi durian.

Sejuk dan bekukan untuk hidangan.

#Belum memasaknya lagi,hanya menyimpan resipi sahaja dulu

Ahad, 20 Disember 2009

Nasi Dagang


Acar mentah

Pagi ni saya belajar untuk memasak nasi dagang kerana kakak yang datang dari Trg ada membawa beras nasi dagang dan rempahnya sekali.Sebelum ni saya hanya melihat dan membantu sahaja jika emak memasak nasi dagang di kampung.Jadi,ilmu yang dapat hanya kekal seketika sahaja kerana tidak dipraktikkan.Lagipun sukatan santan dan air untuk memasak nasi memang tidak lekat di kepala.Jadi, hari ini saya cuba mengingatinya dengan membuat catatan ini supaya tidak hilang dan saya akan mahir memasaknya nanti.

Bahan-bahan untuk nasi
• 1.5 kg beras nasi dagang
• 3 cawan santan pekat
• 6 ulas bawang merah
• 4 sm kecil halia
• 1 sudu kecil halba
• Garam secukupnya
• 5 cawan air panas
## 1kg beras = 2 cawan santan/3 cawan air

Cara membuat nasi
•Rendam beras selama 5 jam. Toskan dan kukuskan beras selama 30 minit.
•Angkat nasi yang dikukus dan tambahkan air panas ke atas nasi. Kacau hingga sebati dan taburkan halba, bawang merah & halia.Kukus hingga masak.
•Angkat nasi dan tuangkan santan serta gaul sehingga rata. Kukus seketika.

## Sekiranya air yang ditambah tidak mencukupi,nasi kemungkinan akan keras
## Boleh juga hanya 2 kali mengukus nasi.Sekiranya hanya 2 kali saja nasi dikukus,nasi akan lebih lemak berbanding dengan 3 kali kukus nasi kerana lemak santan telah diserap semasa nasi dikukus.

Bahan-bahan untuk kuah
• 2 ekor ikan tongkol
• santan
• rempah kari dan rempah nasi dagang
• cili boh
• bawang merah
• bawang putih
• halia
• 10 biji cili padi - diketuk
• 1 sudu besar gula pasir
• 3 keping asam gelugur
• gula melaka
• Minyak masak & garam

Cara membuat kuah

•Potong dan bersihkan ikan tongkol. Gaulkan dengan garam & asam gelugur dan gula melaka.Kukus selama 10 minit.
•Panaskan sedikit minyak masak dalam periuk. Tumiskan bahan bawang merah, bawang putih & halia hingga berbau. Kemudian masukkan rempah kari ikan,kari nasi dagang dan cili boh yang telah dibancuh bersama.Tumis hingga naik minyak.
•Seterusnya, masukkan santan. Apabila mendidih, masukkan ikan, garam, gula pasir & cili padi. Masak hingga kuahnya pekat.

Setelah kenyang bersarapan nasi dagang,kami bersiap-siap untuk ke Ikea kerana kakakku berhajat sangat hendak ke sana.Lebih kurang satu jam perjalanan dari Sungai Buloh,kami sampai juga ke tempat yang dituju.Masuk sahaja ke dalam bangunan Ikea,kereta sudah memenuhi kawasan parkir yang ada.Anak-anak sudah bising.Lalu, suami mengambil keputusan untuk ke Tesco yang terletak berhampiran Ikea sahaja.Tak dapatlah lagi saya nak masuk dan merasa suasana di Ikea.Hanya kakak saya dan keluarganya sahaja yang masuk ke Ikea.

Khamis, 5 November 2009

Resepi yg Mudah dan Cepat



Petang semalam ada pasar malam di kawasan perumahan.Ingatkan suami akan membeli makanan untuk makan malam nanti, tapi rupa-rupanya tidak.Terpaksalah masak.Fikir2,saya masak sotong masak serai saja sebab tak nak bergelumang lama sangat di dapur.Sekejap saja dah boleh makan.Bahan-bahan:

sotong,bawang merah yang dimayang,
garam dan sedikit perasa
sedikit cili padi ditumbuk sekiranya ingin pedas

Cara-cara membuatnya:
1.masukkan sotong yg telah dibersihkan ke dalam periuk bersama2 dengan bawang merah yang dimayang, garam, serai yang dititik ,bahan perasa dan cili.
2.masukkan sedikit saja air sebab nanti sotong akan mengeluarkan airnya.
3.masak dengan api sederhana. Apabila sotong sudah masak, bolehlah padamkan apinya