Semasa mendapati fail salah satu folder yang disimpan dalam notebook hilang,saya hilang arah sebab fail tersebut menyimpan semua tulisan saya.Setelah berjaya memujuk suami supaya membeli anti virus yang boleh mengesan fail tersebut,akhirnya fail tersebut dapat diselamatkan kembali.Lega rasanya bila barang penting dutemui semula.
Cerpen disiarkan ini merupakan hasil nukilan murid saya pada tahun 2006.Masa itu saya mengajar BM tingkatan 2.Salah satu karangan yang mesti saya ajar bagi kelas depan ialah karangan cerpen.Hajatnya nak buat koleksi untuk pameran di PSS,tapi tak pernah kesampaian sebab tiada orang yang nak menaip.Cerpen inilah yang sempat saya taip sebab tak panjang sangat.Cerpen2 yang lain panjang berjela.Cerpen ini jugalah yang dapat saya selamatkan.
Ibu…Kau Sentiasa di Hati
Sudah enam bulan pemergian ibu tersayangku. Namun, aku bagai terbayang-bayang ibu berjenaka dan ketawa di ruang tamu. Arwah ibu sempat berpesan agar aku belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi PMR tahun ini. Hatiku menjadi sebak apabila teringat bahawa ibu mengharungi penderitaan ini keseorangan.
Setelah kematian ayah akibat penyakit batuk kering, ibu terpaksa membanting tulang empat keratnya semata-mata ingin melihat kami tiga beradik bersekolah. Pada sebelah pagi, ibu menjual kuih-muih di tepi jalan dan pergi dari rumah ke rumah untuk mengutip pakaian-pakaian yang kotor untuk dibasuh. Pada sebelah malam pula, ibu akan mengambil upah menjahit baju sehingga tengah malam.
Begitulah rutin ibu setiap hari sehinggalah satu hari ibu rebah selepas habis bersembahyang. Kami menjadi panik seketika. Dengan bantuan jiran, ibu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur. Lututku menjadi lemah apabila mengetahui ibu sudah lama menghidap penyakit kanser darah dan dia kini berada dalam keadaan kritikal.
Tepat pukul lapan malam, ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mataku menjadi bengkak kerana sudah puas menangis semalaman. Wajah ibu kelihatan tenang saja dan seolah-olah tersenyum ke arah kami. Betapa pilunya hati ini kerana aku telah menjadi anak yatim piatu.
“Erin, Erin tak pergi belajar ke?” Tanya kakakku. Aku menyeka air mata yang jatuh lalu tersenyu kelat. Aku kasihan melihat kakak yang terpaksa berhenti belajar untuk menggantikan ibu. Kakak sanggup melupakan cita-citanya untuk menjadi doktor dan menolak tawaran universiti demi adik-adiknya. Betapa mulianya hati kau, kakak.
Aku berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan mensia-siakan pengorbanan ibu dan kaka. Mereka telah banyak mengorbankan masa depan mereka untukku. Aku terhutang budi pada mereka dan pasti membalasnya satu hari nanti.
“Doktor Erin!”Aku tersenyum bangga. Kini aku telah menjadi seorang doktor yang berjaya. Tanpa jasa ibu dan kakak, aku tidak akan berjaya seperti sekarang. Aku mahu merawat pesakit-pesakit seperti ibu dan ayahku. Mereka pasti tidak menderita lagi seperti keluargaku.