Ahad, 26 Disember 2010

Minat Beralih Arah


Tahun 2010 sudah hampir ke penghujungnya.Dalam kerjaya,nampaknya tahun ini tahun yang menggembirakan.Paling gembira, Rumah Hang Nadim berjaya muncul juara keseluruhan setelah bertahun-tahun iaitu selama 12 tahun gelaran juara dipegang oleh Rumah Hang Lekiu.Penat melayan kerenah pelajar 3B yang tidak seperti lagak budak cerdik,keputusan PMR untuk subjek BM meningkat.Alhamdulillah..
Nampaknya tahun ini bidang penulisan saya yang seakan suam-suam kuku makin tidak menyerlah.Sememangnya saya bukanlah penulis yang tersenarai dalam golongan penulis yang ada,cuma minat untuk menggilap minat dan bakat dalam bidang penulisan mendorong saya untuk semakin maju demi kepuasan sendiri.Tapi,nampaknya pada tahun ini minat tersebut kian terpinggir kerana minat saya lebih tertumpu kepada seni dekorasi.Dalam kepala hanya ada idea untuk menghias rumah.Tiada idea, tangan pula cuba mencari idea dalam majalah yang bersepah di rumah sehingga tiada masa untuk idea bagi cerita baru.

Sabtu, 25 Disember 2010

Kitar Semula

Semalam sesi mengitar semula barang-barang yang tidak diperlukan giat dilakukan.Botol2,dan tin2 biskut berjaya diasingkan dan dibuangkan ke tempat tong sampah.Kerja-kerja mengasingkan barang2 tu dah dikira agak baik dalam usaha mengitar semula walaupun barang2 tersebut tidak dihantar ke tempat yang sepatutnya.Itulah sebab kempen kitar semula ni kurang berjaya.Masalah nak menghantar barang2 ke tempat pengumpulannya menyebabkan kebanyakan orang hanya mengasingkannya dengan harapan pemungut sampah akan melakukan apa2 yang patut.semasa di sekolah lama dulu,kempen kitar semula yang dijalankan oleh pihak sekolah membolehkan kita membawa semua barang yang berguna ke sekolah untuk membuangnya.Kelakarlah pula,buang sampah di sekolah.Tapi dengan cara itulah pihak sekolah boleh mengumpul banyak barang yang tidak digunakan lagi.Hasilnya,sekolah berjaya mendapat no 1 dalam kempen kitar semula.Bagus juga cara tu.Semasa mengemas botol2 yang tidak diperlukan,barulah saya terperasan mayonis yang digunakan semasa membuat telur dadar beberapa hari lalu telah luput tarikhnya.Patutlah berketul semacam je,tapi tak sangka pula dah tamat tarikhnya.Nasib baik tak sakit perut...

Khamis, 23 Disember 2010

Manuskrip Lama


Dah kuning manuskrip yang dihasilkan masa zaman sekolah dulu.Kerja yang dibuat senyap-senyap.Tak tahu pula sebabnya saya suka menulis senyap-senyap hingga sekarang.Patutlah tak produktif.Sayangnya esei yang dihasilkan semasa tingkatan 6 dulu sudah tiada dalam simpanan.Kertas kajang untuk menjawab peperiksaan STPM pun ada disimpan.Macam mana ni boleh ada dalam simpanan,padahal kertas tersebut tidak boleh dibawa keluar.Zaman sekolah dulu tak ada lagi komputer,sebab itulah ditulis dengan tangan saja.Manuskrip ni akan disimpan dalam fail sementara dimurnikan kembali.Bila masanya nak murnikan,tak dapat nak menjawab sebab dalam kepala ni terlalu banyak perkara yang nak dibuat tapi tak terbuat.Itulah manusia,keinginan memanglah banyak sedangkan keupayaan agak terbatas..

Rabu, 22 Disember 2010

Kelarai

Tiba-tiba teringat motif kelarai ni.Anak-anak asyik menonton cd,saya dengan kerja saya mencari kelarai ni dalam internet.Dengan broadband yang kurang laju,kesabaran kian diuji.Masa mengawas SPM lepas ternampaklah motif sebegini dijadikan hiasan di dewan.Mulalah berangan untuk dijadikan hiasan dalam rumah.Hari ni baru dapat menjejaknya.Tapi,mana nak mencarinya kalau tidak membuatnya sendiri.Cuti sekolah dah nak habis,sempat lagikah nak buat projek ni?











Gambar2 ni c&p dalam internet.tuan2 punya minta halalkan sajalah ye terutamanya yang bernama intan tu...

Selasa, 21 Disember 2010

Putera sulung:Ammar




Perihal anak sulung pula.Masa kecil dulu selalu ditimang-timang.Menjengah umur 6 bulan sudah dibacakan buku tetapi bila anak yang kedua,terlepas pula aktiviti tersebut kerana penat melayan mereka dua beradik yang lasak.agak lambat sikit berjalan jika dibandingka dengan adiknya yang sudah pandai berjalan semasa 11 bulan.Semasa 4 tahun dia sudah dihantar ke tadika kerana telah petah bercakap.Pernah dulu dia bertanyakan saya mengenai kawannya yang tinggal di sebelah rumah:
"Ummi,Ammar F(kebetulan nama sama)makan apa eh,dia pandai cakap BI.?"Saya hanya tersenyum kerana tak tahu nak jawab apa.Sememangnya kami jarang-jarang sekali bertutur dalam BI,maka tak mustahillah dia pun kurang fasih berbahasa Inggeris.
Sekarang,dia sudah boleh bertutur dalam BI walaupun kami masih jarang-jarang menggunakannya di rumah.Mungkin kerana selalu menonton cd dalam BI,dia mula belajar.Benar juga kata-kata rakan sekerja dulu,untuk mahir dalam BI,dia akan belajar melalui persekitarannya.Pendedahan di rumah akan memberi peneguhan kepadanya supaya lebih mahir.Namun,antara pendidikan agama dan sekular,agama patut dikejar.Betapa sukarnya menjadi ibu dan bapa masa kini,pendidikan agama yang diterapkan di rumah belum mampu untuk mendidik dia menjadi anak yang baik kerana persekitarannya dipenuhi dengan pelbagai pengaruh yang sukar ditangani.

Isnin, 20 Disember 2010

Adib oh Adib..

Sekarang Adib hampir 4 tahun,penghujung Mei depan genaplah 4 tahun tapi dia belum petah bercakap seperti abangnya dulu.Walaupun begitu,dia dapat bercakap beberapa ayat dalam bahasa Inggeris gara-gara selalu menonton cd Dora,Barney,dan seangkatannya.Ayat dalam BI itulah yang dapat kami faham berbanding dengan butir percakapan lain yang tidak jelas kedengarannya.Paling kelakar,dia memang sayang akan abangnya walaupun selalu kena buli.Kalau abangnya kena marah,dia boleh lagi bertanya:"are you ok?" kepada abangnya.Lain-lain ayat mudah yang selalu dututurkannya:
1.there is
2.oh no
3.i got it
4.sorry-selalu saja dia sebut perkataan ni walaupun kita yang salah.
Abangnya dah dihantar ke tadika bila saja menjengah 4 tahun,namun si Adib ni mungkin 5 tahun baru dapat ke sekolah.



Sabtu, 18 Disember 2010

Elak Jadi Hamba Suami

Saja nak kongsikan artikel ini.Tips yang ke-3 tu menarik sekali kerana ramai wanita sekarang yang berkerja.Ingatan untuk diri sendiri dan juga mereka yang berkerja.

Terpaksa Jua..




Saya pernah melihat seorang kawan membuang majalah yang baru dibeli setelah selesai membacanya.Tidak pernah sama sekali saya berbuat demikian kerana majalah yang dibeli itu nanti akan menjadi koleksi di rak buku di rumah nanti.Majalah-majalah tersebut saya akan membuangnya apabila rsa tidak diperlukan lagi.Itupun selepas dua atau tiga tahun kemudian.Entah macam mana hari ni baru tergerak hati nak membuang koleksi lama majalah yang ada.Sebelum ini saya pernah mengasingkan majalah-majalah ini utuk dibuang tetapi terasa sayang pula.Akhirnya,simpan kembali di bawah rak tv.Semalam nampaknya tak boleh sayang-sayang lagi sebab majalah tersebut bukannya dibelek pun,malah berhabuk saja di situ.Sebelum membuangnya kepada pembeli surat khabar lama,mulalah slot membelek-membelek kali terakhir untuk mengoyak mana-mana ruangan yang menarik.Terjumpalah beberapa artikel yang menarik dan boleh dibuat buku skrap yang kedua.

Khamis, 16 Disember 2010

Mengapa Saya Menjadi Blogger?

Sehingga kini,sudah 260-an bahan telah berjaya memenuhi di laman blog saya.Tak pasti pula blog saya ini ada peminatnya atau tidak,namun itu bukanlah penghalang untuk saya terus menulis di sini kerana saya ada beberapa sebab blog peribadi yang sunyi sepi ini terus hidup dalam aura tersendiri.
1.Minat menulis mendorong saya menjadi penulis bebas.Biarpun bahasa saya hanya bahasa biasa dan kata-kata yang disusun tidak seindah bahasa-bahasa orang lain,namun untuk menyusun bahasa yang biasa itupun kebiasaannya menjadi kelu.Berhadapan dengan netbok menyebabkan minda berfikir panjang untuk memulakan ayat dan menyusun kata-kata.Apatah lagi untuk menyusun kata-kata yang luar biasa.
2.Minat untuk mempunyai catatan sendiri mendorong saya untuk mewujudkan blog peribadi.Walaupun blog ini kurang dikunjungi oleh blogger lain,namun keinginan untuk merakam catatan sendiri tentang kehidupan seharian supaya tulisan saya dapat ditatap pada masa akan datang tidak mematahkan semangat saya untuk menghidupkan rumah alam maya ini.
3.Tulisan saya ini bukanlah untuk mendapat pujian daripada orang ramai,namun cukuplah sekiranya saya dapat berkongsi sesuatu dengan orang lain terutamnya tentang agama kerana sampaikanlah walaupun sepatah kata.Berdakwah melalui tulisan cuba saya terapkan dalam blog ini walaupun tidak banyak.
4.Minat dalam IT membolehkan saya memahirkan diri dalam IT walupun pengetahuan masih cetek.
5.Menambah kenalan melalui alam maya.Mengeratkan silaturrahim dituntut dalam agama.Saya memang suka berkawan.Zaman persekolahan dulu,ramai penpall.Kini dua antaranya masih berhubungan lagi...


berpandukan buku ini,saya berjaya membina blog sendiri...

Kerongsang Oh Kerongsang..

Banyak dah kerongsang yang ada sudah rosak kerana batunya telah tanggal.Sayang juga nak membuangnya.Kebiasaannya,saya jarang-jarang pakai ke tempat kerja kerongsang yang telah tanggal batunya.Maklumlah kerja sebagai guru ni,murid2 memang menilai dari atas hingga ke bawah.Jika pakai pun hanya didalam tudung.sekurang-kurang ia masih berguna.Kalau dapat baiki,alangkah baiknya.Disebabkan itu,kerongsang yang telah rosak masih disimpan.Hari ini,saya dapat manfaatkan kerongsang2 yang rosak itu dengan memberi imej baru kepada kerongsang yang masih boleh dibaiki.
batu warna kuning dan ungu di tengah-tengahnya baru ditampal.batu yang asal tersebut telah tanggal..

Rabu, 15 Disember 2010

Diari Hari Ini

Hari ni saya perlu menjadi pengiring sekali lagi,maknanya hari ini merupakan hari terakhir saya bertugas mengawas SPM.Jam 6 pagi saya telah bertolak ke bilik kebal bersama rakan di depan rumah.Nasib baik ada akak ni,selesai masalah saya.Terima kasih banyak2lah kerana sudi menumpangkan saya.Hari ni kertas EST.Hanya 5 orang saja yang mengambil subjek ini,maklumlah subjek yang susah,ramai yang tak sanggup.
Memandangkan subjek ni susah,soalannya pun tak banyak.Tamat kertas 1,kertas 2 pula jam 11 nanti. Dua jam nak menunggu kertas 2,terpaksalah saya berkurung di dewan dalam masa dua jam tu,bosan juga.Pengawas pula hanya 3 orang,yang lain2 direhatkan sebab calonnya pun hanya 5 orang saja.Kalau bawa netbok,boleh juga berinternet tapi tak perasan pula lama juga nak menunggu untuk kertas 2. Kertas 2 merupakan soalan objektif , hanya ada 30 soalan sahaja untuk dijawab dalam masa satu jam.Memanglah susah subjek ni.Mengantuk betul dalam masa satu jam tu.Saya tidur je,tapi tak boleh nak lena lama sangat sebab bimbang pula jika ada penyelia kawasan datang.Dah habis kertas 2,yahoo…saya dah merdeka.
Sampai rumah,petang ni ada orang nak datang untuk ukur ruang dapur.Masa nilah saya sempat mereka design baru.Entah ke berapa kali saya mereka kabinet dapur tambahan ni kerana idea selalu berubah-ubah mengikut keperluan dapur.Barang-barang dapur banyak lagi yang bersepah kerana kekurangan tempat penyimpanan.Untuk keselesaan mata dan ketenangan hati,terpaksalah dikorban sisa-sisa baki wang KWSP yang semakin nipis.Kononnya nak menabung sebab itulah tak digunakan kesemuanya dan ditinggalkan sedikit,tapi nampaknya duit tabungan tu pun makin susut.Alang2 nak susut,habiskan terus supaya nampak hasilnya..Baru saja siap mereka ruang dapur baru,kontraktor yang dipanggil telah menelefon saya,mereka dalam perjalanan...moga impian terlaksana.Lamanya nak menunggu 3 minggu lagi untuk melihat hasilnya...
nak tambah kabinet di tepi peti ais dan meja makan tu.sekarang ruang meja tu dah kosong..

Selasa, 14 Disember 2010

Ceritera Kereta Baharu

Dah lama menunggu kereta baharu.Sebelum ini pernah jengok2 kereta Savvy tapi tak jadi beli kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi.Kali ini baru jadi membeli kereta baharu untuk saya.Semestinya kereta auto.
Kali pertama-cuba dulu kaki sampai atau tidak pijak brek.Maklumlah tak cukup inci.Suami beli kereta Gen 2 pula tu.
Kali kedua- hanya tengok2 dulu mana tempat lampu isyarat.Masa mula2 nak cuba,anak lelaki pula yg cuba mmengajar saya.Dia yang baru 5 tahun tapi dah pandai.Saya cuba mainkan gearnya.Macam mana nak undur, ke depan.
Kali ketiga-baru nak cuba bawa kereta.Berkali-kali cuba untuk keluarkan kereta dari laman tapi tak berjaya.Jiran yang baru masuk rumah pula ada di luar,semakin segan jadinya.Mungkin dia tertanya-tanya,kenapalah susah sangat nak keluarkan kereta tu,pintu pagar bukan main besar lagi…Itu andaian sendiri.Tapi andaian itulah yang menyebabkan niat terbantut.Akhirnya tak jadi nak cuba bawa kereta hari itu.
Kali keempat-Susah sangat nak keluarkan kereta,minta suami letak kereta di luar pagar supaya senang.Alhamdulillah,kereta dah ada diluar.Tiba masa nak cuba memandu kereta,baru perasan cermin sisi tak diubah,pandangan sisi tak jelas.Satu lagi masalah..Akhirnya tak jadi juga nak keluar.Alahai..
Kali kelima-Dah semnggu kereta ada depan mata tapi tak berani nak bawa.Tak boleh jadi ni.Ajak suami pergi pasar.Nasib baiklah suami takjadi nak berkayuh nak temankan.Cuba bawa kereta.Alhamdulillah,sampai juga ke pasar.
Kali keenam-berjaya bawa kereta sampai ke pejabat pos walaupun si kecil tu jatuh tersungkur ke depan dan jatuh pula ke bawah gara-gara brek secara megejut apabila melihat ada motor yang laju keluar dari simpang. Masih nak berusaha untuk membiasakan diri di jalan raya.Masalahnya sekarang,perasaan takut masih belum dapat dibuang.Insya Allah,perlahan-lahan akan cuba mengikis perasaan itu.Untuk membawa kereta ke sekolah,buat masa ini belum bersedia lagi.

Isnin, 13 Disember 2010

Lakar Sejarah

Tak pernah dalam sejarah makanan yang dimasak habis masa tengah hari.Masak pun hanya makanan yang biasa sahaja,kari ayam dengan telur ikan goreng.Sayur tak sempat nak masak sebab anak-anak dah menjerit meminta nasi.Mungkin kerana makan bersama-sama empat beranak,apatah lagi apabila Ammar memnag suka makan kari ayam.Biasanya pada hujung minggu, suami makan tengah hari agak lewat.Selepas berkayuh,dia dah makan apa-apa yang patut,kenyanglah pula menjelang tengah hari.Saya dan anak-anak sajalah yang makan dulu.Bila menjelang malam,mati akal pula nak masak apa.Masak nasi,rasa macam kenyang sangat lagi tapi takkan tak makan malam pula?.Akhirnya ini yang jadi..

Ahad, 12 Disember 2010

Pameran Kereta di PWTC




Sememangnya bila tiba saja hari minggu,saya hanya berkurung di rumah sahaja sambil menyiapkan kerja-kerja rumah.Bosannya juga berada di rumah,setelah sesi memujuk suami untuk ke Bukit Fraser gagal,akhirnya suami membawa kami ke PWTC.Sebab apa masih dirahsiakan.Hidup penuh dengan rahsia.Ada pameran kereta rupa-rupanya.Nak sampai ke PWTC pun berkali-kali termakan buah langsat,gara-gara tersilap jalan.Itulah bila dua tiga tahun sekali ke sana.Seingat saya,dulu masa nak ke pameran buku pun tersalah juga masuk jalan.Ramainya orang.Adib mula buat hal,kakinya hanya tahu nak berjalan sahaja.

I-city

Dah lama nak ke I-city di Shah Alam sejak mendengar cerita daripada kawan-kawan dan melihat gambarnya dalam album kawan-kawan di FB.Hari ni baru berkesempatan setelah pulang dari PWTC melihat pameran kereta.Dari Kl kami ke Shah Alam.Tidak susah nak mencari lokasi I-city kerana dari jauh cahaya lampu yang gemerlapan dapat dilihat.Memang cantik tempat tersebut dan sesuai untuk menikmati suasana malam.Setiap pokok yang ada disinari dengan cahaya lampu.Taman-taman kecil juga dibentuk engan sinaran cahaya lampu.Cahaya lampu yang berwarna-warni dibentuk di merata-rata tempat menyebabkan kawasan itu hidup pada waktu malam.Kawasan tersebut juga mempunyai deretan kedai yang kebanyakannya belum beroperasi lagi.Nasib baiklah malam ni tidak hujan.Untuk masuk ke kawasan tersebut,RM 10 dikenakan bagi setiap kereta.Kiranya kalau datang beramai-ramai dalam satu kereta,untunglah sikit.Jika berdua pun RM 10 juga dikenakan.Kereta boleh diletakkan di tempat letak kereta yang disediakan.Cumanya,lokasi tempat letak kereta kurang sesuai kerana jalan masuk dan keluar hanya satu arah menyebabkan kita terpaksa bernati-hati dengan kereta yang lalu lalang.Pada masa yang sama,sepanjang jalan juga sudah ada beberapa replika lampu menyebabkan pemandu juga perlu berhati-hati dengan gelagat pengunjung yang suka bergaambar tanpa mengira tempat,di tengah2 jalan mereka masih sempat bergambar.Sekiranya pengunjung membawa anak yang lincah seperti anak saya,nampaknya tangan mereka terpaksa dipegang kuat untuk mengelakkan kecelakaan.Sebelum tiba di satu kawasan padang yang mempunyai pelbagai corak lampu,saya mendengar bunyi wisel.Kenapa pula bunyi wisel?Apabila berada di kawasan tersebut,barulah saya tahu sebab wisel dibunyikan.Rupa-rupanya untuk menghalang pengunjung masuk ke kawasan lanskap yang ada di situ.Kasihan Ammar,baru saja nak beraksi di samping burung tu,tiba2 wisel berbunyi...cepat2 dia lari sambil:alah,dah tak sempat.apa lagi,saya mulalah buat2 tak tahu dan meminta Ammar cepat2 berdiri di samping burung tersebut.Kalau tidak,kempunanlah pula dia.
terlalu ramai orang sehingga tidak dapat mengelakkan daripada mengambil gambar orang lain...
pengunjung tidak dibenarkan berada di tengah-tengah katak tersebut..

bayaran dikenakan sekiranya nak masuk ke kawasan ni.berapa ringgit,tak pasti pula

Isnin, 6 Disember 2010

Al Fatihah...


Al Fatihah...hari ini genap 3 tahun ayah saya meninggalkan kami.Perginya tidak kembali lagi.Pagi itu saya mendapat panggilan daripada kakak jam 7 pagi memaklumkan keadaan ayah yang kurang sihat.Jam 9 pagi pula sekali lagi saya mendapat panggilan daripada kakak.Ayah sudah tiada.Innalillah..Masa itu saya hanya baru berkemas-kemas untuk balik ke Terengganu.Sebagai seorang anak perempuan,memang saya kurang rapat dengan ayah.Mungkin itu lumrah antara anak dengan ayah pada masa dulu.Sebagai seorang anak,saya sedaya upaya berusaha untuk menjadi anak yang baik dan akur dengan kata-katanya.Keputusan untuk memilih kursus perguruan dibuat setelah saya ragu-ragu dengan keputusan sendiri.Kata-kata ayah menyebabkan saya berat hati untuk meletakkan keutamaan diri sendiri,tambahan pula pada masa itu kadar pengangguran amat tinggi.Dengan tawakkal kepada Allah,jika ada rezeki saya dalam bidang penulisan,maka akan tercampaklah saya ke UM atau USM dalam bidang komunikasi.Namun,saya tetap reda apabila pilihan perguruan yang diletakkan pada petak yang pertama dalam borang UPU telah menjadi rezeki saya.Belum pun habis menjalani praktikum,satu daripada sekolah di Sabah telah menunggu saya untuk berkhidmat di sana.Saya terlepas daripada masalah pengangguran.Terima kasih ayah atas segala pengorbanan.Sesungguhnya,sukar untuk mencari ayah sepertimu.Moga ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh...

Rabu, 1 Disember 2010

Buat baik dibalas baik...


Ungkapan ‘kita tolong orang,nanti orang akan tolong kita’ mula saya dengar semasa saya mengikuti latihan praktikum di Kepala Batas 9 tahun dulu.Semasa menjalani latihan praktikum dulu,saya menumpang di rumah adik kepada pensyarah yang mengajar dan akan mencerap saya.Pada masa itu, beliau hanya tinggal berdua kerana anak-anak yang lain sudah mempunyai keluarga sendiri.Kini,ungkapan itu digunakan lagi dan sering diucapkan oleh pentadbir sekolah kerana jika kita bersungguh-sungguh mengajar anak didik,suatu hari orang lain juga akan mendidik anak2 kita seperti yang kita lakukan.Dalam dunia perguruan,kata-kata itu perlu dipraktikkan agar kita ikhlas dalam mendidik anak murid.
Apa yang terjadi ke atas diri saya hari ini bolehlah saya samakan dengan kata-kata tersebut.Setiap pengawas dikehendaki menjadi pengiring ketua pengawas untuk mengambil kertas soalan di bilik kebal seawal jam 6.30 pagi.Mengikut jadual yang diberikan,saya mengalami masalah untuk satu hari kerana rakan yang saya tumpangi itu tiada peperiksaan pada hari tersebut. Sejak sekolah bercuti,anak-anak mula tidur lambat dan saya berasa berat hati untuk mengangkut mereka bersama apabila suami menghantar saya ke bilik kebal.Setelah tiada cara lain,saya terpaksalah juga akan berbuat demikian.Pada hari Isnin,seorang rakan ada memberitahu saya akan masalahnya untuk menjadi pengiring pada hari Rabu.Sekadar untuk menolongnya,saya menawarkan diri untuk menggantikannya.Tanpa disangka,masalah saya untuk ke bilik kebal juga dapat diselesaikan kerana saya dapat menumpang kereta rakan yang yang tinggal di depan rumah.
Kata-kata ini juga sesuai dengan satu lagi situasi yang kami lalui pada hari ini.Semasa calon SPM menduduki kertas Matematik Tambahan 2 pada petang tadi,tiba-tiba hujan turun dengan lebat berserta angin dan petir yang kuat.20 minit sebelum masa berakhir,tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan dan meminta guru pengawas tersebut mengambil satu helai kertas grafnya yang telah diterbangkan oleh angin dan melayang keluar dewan.Sudah pastinya kertas graf tersebut basah terkena hujan.Sedar akan kecuaiannya,murid tersebut meminta kertas graf yang lain untuk membuatnya semula.Kasihan kepada calon tersebut memandangkan masa hampir tamat,kakak yang prihatin tersebut mengeringkannya di bawah kipas dan meminta murid tersebut menjawab soalan yang seterusnya.Itulah prihatinnya seorang ibu dan guru.Jika anak saya atau anaknya yang mengalami masalah tersebut,akan adakah insan yang akan melakukan sedemikian?Nasib baik kertas graf (menggunakan pensel)yang terkena hujan,bagaimanalah agaknya jika kertas karangan calon(menggunakan pen dakwat basah)yang terkena hujan.Rasanya memang tidak dapat nak diselamatkan,pastinya tulisan-tulisan itu akan kembang dan merosakkan kertas tersebut.Dalam keadaan tertentu,kita tidak perlu berkira untuk melakukan sesuatu kebaikan tetapi kita juga perlu beringat dengan kata-kata buat baik berpada-pada...

Selasa, 30 November 2010

Tiga Sudut Bacaan

rak buku untuk novel,buku dan majalah yang lama di tingkat atas

rak buku untuk menyimpan majalah yang terbaru
rak buku untuk majalah dan buku yang masih baru.diletakkan di sini kerana malas nak memanjat tangga

Tanpa disedari,ada tiga sudut bacaan di rumah saya.Banyak membacakah jika begitu keadaannya?Sukar untuk menjawab soalan ini.Yang pastinya,saya memang banyak membeli majalah dan buku sehingga tiada ruang untuk menyimpannya.Nak dibuang terasa sayang.Rasanya masa cuti yang panjang inilah saya boleh melakukan sesuatu untuk mengecilkan ruang membaca kerana buku dan majalah disimpan tidak teratur.

Isnin, 29 November 2010

Ilham Datang Lagi..

sesuaikah meja Jepun diletakkan di situ?

antara almari dengan rak buku,mana satulah yang patut dialihkan..
Berkunjung ke Ikea selepas habis mengawas SPM tengah hari tadi memberi idea baru untuk ruang makan dan sudut di tepi tangga.Kedua-dua ruang tersebut baru saja berwajah baharu,tapi nampak seperti ada yang tidak kena.Tunggu jelah bila pula akan berubah wajah sudut itu.Hingga kini pun idea masih kabur untuk menghias ruang tersebut.Banyak idea pun susah juga.

Jumaat, 26 November 2010

Masam manis di Langkawi: Udara,darat dan air

Cerita percutian ke Langkawi sudah pun basi.Jika hari pertama balik dari Langkawi, rakan-rakan tidak sudi berkongsi cerita dengan mereka yang tidak mengikuti rombongan ini,namun kini cerita pengalaman di Langkawi sudah menjadi bahan gelak ketawa.Catatan ini bukanlah bermaksud ingin mengembalikan cerita panas tersebut di samping mengkritik pihak yang berkenaan,namun sekadar catatan peribadi untuk tatapan pada masa akan datang perihal pengalaman sepanjang empat hari empat malam di sana.Catatan ini juga untuk merakam keletah anak-anak saya yang pertama kali makan angin setelah mereka sudah membesar terutamanya yang kecil,si Adib.Penat umi dan ayah sepanjang 4 hari ni….sabar sajalah.

Rabu/3.11.
Sekolah sudah bercuti sempena Hari Deepavali.Dalam perkiraan antara ingin menghabiskan penandaan kertas jawapan murid atau ingin ke Shah Alam atas urusan Tabung Haji,kedua-duanya tidak dapat dijalankan kerana sibuk mencuci pakaian kerana akan bertolak pada pukul 4.30 pagi esok.Dalam kesibukan mengemas rumah dan melayan kerenah dua beradik yang tak nak diam,tiba-tiba dapat mesej bertanyakan sama ada boleh atau tidak saya bertolak jam 7 malam nanti.Ya Allah,manalah sempat.Saya sempat membalas mesej mengatakan tidak sempat pergi kerana barang2 belum dikemas lagi.Suami pula kerja sehingga lewat petang.Kemudian telefon saya yang hampir kehabisan bateri pula buat hal.Senyap dan tidak boleh dibuka walaupun telah dicas.Rupa-rupanya pengecas telefon saya sudah rosak.Petangnya dalam jam 3,Kak Sri datang ke rumah bertanyakan hal yang sama memandangkan banyak kali panggilan yang dibuat tidak diangkat.Macam manalah nak angkat,kebetulan pula telefon rosak.Penerbangan jam 7 pagi sudah tidak ada.Biar betul.Mengapa boleh jadi begini?Pada masa ini


saya tiada jawapannya.Kelam kabut saya mengemas pakaian.Hampir jam enam,pakaian belum siap dikemas dengan sempurna kerana sibuk melayan kerenah dua beradik tu.Hampir jam tujuh malam,kami bertolak kerana berhajat untuk menunaikan solat jamak sahaja.Dalam perjalanan,saya memesej Kak Sri untuk bertanyakan kepadanya sama ada dia sudah berrtolak atau belum.Kak Sri mengingatkan saya supaya jangan bertolak selagi tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak penganjur.Ya Allah,mengapalah banyak pula ceritanya?Dalam perjalanan untuk berhenti di r&r Elmina,saya mendapat isyarat sudah boleh mula bergerak sekarang.Alang2 sudah berhenti,kami makan malam terlebih dahulu.Barulah saya teringat akan makanan yang saya masak tengah hari tadi.Makanan tersebut tidak sempat disimpan,nasib baiklah mee goreng sempat saya bungkus.Kami sampai di LCCT agak awal berbanding dengan rakan-rakan yang lain.Walaupun tidak tergesa-gesa,namun kami penat melayan Adib yang hanya mahu berjalan tanpa henti.Semasa menunggu masuk ke pesawat, Adib tetap mahu berjalan tanpa penat.Bila masuk sahaja ke dalam pesawat,dia menangis tanpa henti menyebabkan pramugari memberikannya satu keping coklat supaya dia diam,namun dia tetap menangis kerana tidak dapat berjalan dan berlari-lari dalam pesawat tu.Susunya pula sudah kehabisan sejak petang tadi lagi,jika tidak boleh saja dirasuahkan dengan susunya supaya dia diam.Bila kapal terbang mula nak berlepas,barulah dia diam.Barulah kami lega.sepanjang perjalanan,dia hanya diam sahaja.Mungkin sudah kepenatan kerana seharian meragam.Hari ini dilalui dengan penuh tekanan.Sepanjang hari,entah berapa kali anak2ku menjadi mangsa kemarahan kami.Mencabarnya hari ini.Kami tiba hampir jam 9 malam di Langkawi.Hotel penginapan kami hanya bersebelahan dengan lapangan terbang.Jarak hotel yang agak dekat menyebabkan pemandu teksi keberatan untuk menghantar kami ke Hotel Helang.Dengan berat hati,kami terpaksa berjalan sambil membawa beg yang agak berat.


4/11
Hari ini tiada aktiviti kerana rombongan yang lain belum lagi tiba.Saya dan beberapa rakan sahaja yang agak awal sampai.Sementara tiada aktiviti,suami telah menyewa kereta Viva dengan harga RM 80 sehari untuk mengelilingi Langkawi.Berpandukan peta,kami mengelilingi Langkawi.Banyak tempat yang kami sampai.Cuaca hari ini pun sungguh baik.Panas terik.Sempat pula kami melalui Cable Car.Tak sabar rasanya nak menaiki Cable Car tu,tapi disebabkan esok kami akan ke sana,saya menyabarkan diri.Dari jauh,saya menyimpan hasrat untuk menaiki cable car itu esok.Kemudian kami ke Pusat Kraf.Bangunan yang berbentuk empat segi itu memang unik.Setiap bahagian mempunyai paeran yang berbeza.Masuk sahaja ke pameran batik dan lukisan,mata terpaku tetapi sayang saya tidak dapat merakamkan gambarnya kerana dilarang mengambil gambar.Batik yang dilukis dijual dengan harga yang mahal.alangkah untungnya jika pandai membuatnya sendiri.Saya juga berkesempatan melihat pelukis batik melukis batik.Saya sempat juga singgah ke Pekan Kuah sekadar menjamu mata melihat keadaan pekan Kuah.Sebelum ini,saya hanya membayangkan bahawa deretan kedai yang ada di pekan Kuah seakan deretan kedai yang ada di Labuan atau Rantau Panjang.Rupa-rupanya andaian saya salah kerana pekan Kuah memang telah maju.Masa inilah saya sempat mencari sudu dan beberapa pinggan Corelle untuk mencukupkan koleksi yang ada di rumah.Rupa-rupanya semua kedai menjual barang yang sama.Mungkin harganya saja yang agak berbeza terutamanya coklat.Untuk pinggan mangkuk,nampaknya hampir semua kedai menjual barang dengan harga yang sama.

ini saja yang saya beli.pinggan Corell...mangkuk untuk lauk tapi digunakan untuk  makan  RM29 setiap satu.mangkuk kecil RM24 setiap satu.beg comel tu RM50..






-semasa singgah di gerai tersebut,saya terkejut kerana menyangkakan bangunan hotel ini merupakan bangunan terbiar,rupa-rupanya masih beroperasi dan ada penghuninya.Mengapa boleh jadi begini?semak samun di depan hotel menutup pandangan hotel tersebut.macam2 ragam orang...

5/11
Semasa sarapan pagi,masa inilah saya mendapati ramai rakan sekolah yang mengikuti rombongan ini.Dua hari bersarapan, Adib tak pernah nak diam.Ada-ada saja aktivitinya nak berlari.Terpaksalah kami bergilir-gilir menjaga Adib.Nak dilepaskan bimbang pula kerana kolam renang berada di depan tempat makan.Kolam yang dibuat sempena sambutan Hari Deepavali berjaya dirosakkannya.Bersepah beras yang dibuatnya.Jam 10 pagi kami bertolak untuk aktiviti yang dirancang.
sebelum disepahkan oleh Adib
1.Mula-mula kami ke kedai menjual kain batik.Saya memang tidak berminat kerana di Terengganu pun ada kain batik.Apatah lagi dengan beg yang sudah berat yang kami bawa dari rumah,mana nak larat membawanya lagi kalau membeli-belah tidak sedarkan diri.Mana pula nak kawal anak-anak.

2.Selepas itu kami ke tempat menghasilkan ubat gamat.Biasanya minyak gamat yang kecil dijual RM 1,tetapi di sini harganya lebih murah.Dalam perjalanan,hujan turun.

3.Kemudian kami ke pusat beli belah bersebelahan Akuarium.Di sini saya berjumpa dengan adik ipar yang tinggal di Perak.Kecilnya dunia ni.Mereka pun menyertai rombongan ini.Tiada apa yang nak dibeli kecuali selipar Adib yang telah hilang semasa dalam bas.

4.Selepas hampir sejam merayau-rayau dalam pusat beli-belah tu,barulah kami ke Akuarium



5.Selepas itu,kami ke Makam Mahsuri pada petangnya selepas makan tengah hari di sebuah kedai yang menyediakan ikan bakar yang sedap.Keletah anak-anak yang tak nak diam memaksa kami makan sahaja lauk yang sudah sedia ada.Tiada masa kami nak menunggu ikan dibakar.






Dah masuk asar tapi bas tak juga berhenti di mana-mana surau atau masjid supaya kami boleh mengerjakan solat zohor.Inilah kelemahan yang saya lihat sebagai penganjur orang Islam.Kalau masa yang singkat diberikan untuk satu-satu destinasi,manalah sempat kami nak mencari surau untuk mengerjakan solat.

6.Kesempatan yang di perkampungan Melayu memberi kesempatan kepada beberapa orang rakan mengerjakan solat untk ke destinasi yang seterusnya menaiki bot menikmati hidupan laut.Memandangkan anak-anak tidur,saya berat hati untuk menyertai mereka.Maka,kami ditempatkan di Galeri Perdana.Di sinilah kami menunaikan solat.

7.Agak lama juga kami menunggu di Galeri Perdana,jam 6 barulah mereka yang menyertai aktiviti di laut tiba.Kami ke Pekan Kuah.Kami diperkenalkan dengan dua kedai yang popular di sini iaitu Idaman Suri.Kami hanya meninjau-ninjau barang yang ada di situ,memang rambang mata jika nak membeli-belah.
Maghrib baru kami pulang dengan kepenatan dan rasa hampa kerana tidak dapat menaiki kereta kabel.Kami tertipu dengan kata-kata pemandu pelancong kami.

6/11
Kecewa kerana tidak dapat menaiki kereta kabel,saya dan rakan2 yang lain menyewa van untuk mengelilingi Langkawi memandangkan hari ini tiada pula aktiviti seperti yang dirancangkan.Kami seramai 10 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanakmenyewa sebuah van dengan kadar RM 350 sehari.Destinasi kamai yang pertama ialah tempat kereta kabel.Sampai sahaja di sana,Ya Allah,ramainya orang.Untuk menaiki kereta kabel,kami terpaksa menunggu sehingga dua jam.Kami tak sanggup untuk menunggu dan nampaknya terpaksalah balik dengan rasa kecewa.
ramainya orang yang sedang menunggu giliran mereka

Selepas makan tengah hari,kami ke Telaga Tujuh.Pada mulanya saya bayangka Telaga tujuh merupakan tempat yang mempunyai tujuh telaga.Apa istimewanya telaga tujuh yang menjadi tanda tanya kepada kami mendorong kami memanjat juga bukit untuk sampai ke tempat dituju.Anak saya dan 3 rakan yang lain telah mendahului kami.Baru separuh jalan,saya dan seorang rakan sudah tidak mampu memanjat tangga untuk ke sana.Saya berhenti sambil menunggu mereka.Semasa berada berehat,saya menyapa seorang makcik yang baru saja turun dari atas.Menurutnya,air terjun dari atas tidak secantik air terjun di bhagian bawah.Melaluinya,barulah kami menyedari bahawa ada air terjun yang lebih cantik di bahagian bawah.Untuk tidak menghampakan diri,kami ke tempat air terjun tersebut.
telaga tujuh yg diambil daripada internet.ia merupakan 7 lekukan yang berbentuk telaga










Seharian kami meronda-ronda sekitar Langkawi.Kami sampai di Dataran Helang pada waktu maghrib.

7/11
Kami bertolak jam 10 pagi.Penerbangan dari Langkawi dibatalkan dan terpaksa ke Kuala Perlis untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.Memandangkan semua pengunjung yang mengikuti trip ini betolak balik pada masayang sama,pintu masuk ke jeti menjadi sangat sesak.Masing-masing berasak-asak untuk melepasi pintu kawalan imegresen.Nasib baiklah kami berada melebihi dua hari di Langkawi,jadi bagasi kami tidak diselongkar.Mungkin ini kelebihan apabila mengikuti rombongan.Dengan keadaan yang sangat sesak dan kami sememangnya mengejar masa,tidak dapat saya bayangkan keadaan apabila semua bagasi dibuka untuk diperiksa.Berapa lama masa yang perlu diambil?Bagaimana pula dengan keadaan anak-anak saya yang berasak-asak dengan orang ramai.selepas berasak di pintu imegresen,kami berasak-asak sekali lagi di pintu keluar untuk menuju ke feri.Dalam keadaan kelam kabut kerana orang ramai dan ditambah pula kami belum pun mendapat tiket feri,saya sentiasa memerhati kumpulan kami kerana bimbang akan mengalami masalah sekiranya kami terpisah dengan rakan yang lain.Tiba-tiba baju suami saya basah.Baru jam 11 pagi namun pampes Adib sudah bocor.Kami sempat menukarkan pampesnya.Kasihan suamiku.Ini kali kedua dia basah akibat pampes yang bocor semasa di Langkawi.Saya agak lega setelah melepasi pintu keluar,namun ada satu lagi halangan di hadapan.Untuk kali ketiga,kami berasak-asak untuk masuk ke dalam feri.Keadaan tempat perantaraan yang dipijak untuk ke dalam feri yang agak bergoyang amat membimbangkan saya dengan kehadiran Ammar yang tidak mahu diam.Bimbang jika saya terlepas pandang,dia terjatuh ke dalam laut.Akhirnya kami dapat masuk ke dalam feri dengan keletihan.Perjalanan satu jam memberi ruang untuk kami berehat sebelum meneruskan agenda perjalanan pulang kami yang belum pasti kesudahannya.Akibat bertolak lambat dari hotel,kami tidak sempat sampai ke Pulau Pinang sebelum masanya menyebabkan penerbangan jam 4.55 petang terpaksa dibatalkan.Begitu juga dengan rakan-rakan yang menaiki penerbangan jam 3.55 petang.Maka,kami dikehendaki menaiki bas balik ke Sungai Buluh.Itulah yang diberitahu oleh ketua bagi kumpulan kami setelah berhenti solat di Juru.Hanya sebuah bas sahaja yang meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang memandangkan penerbangan mereka lewat malam nanti.Dengan seorang pemandu yang masih keletihan kerana baru pulang dari Kelantan pagi tadi,kami mengambil risiko meneruskan perjalanan balik dengan harapan agar tiada apa-apa insiden tidak baik sepanjang perjalanan.Dalam perjalanan,kami sempat melihat keadaan Kedah yang dilanda banjir.Sawah padi musnah ditenggelami air banjir.Disebabkan pemandu yang agak kurang rehatnya, perjalanan kami agak tergendala.Bas kerap berhenti menyebabkan Adib mula tidak mahu diam.Ada-ada sahaja yang ingin dilakukannya.Hampir jam 9 malam,kami baru saja samai ke Ipoh.Jam 12.50 tengah malam,kami baru sampai di sekolah.Bagi mereka yang meletakkan kenderaan di sekolah,mereka sudah terus bertolak ke rumah,namun bagi kami yang meletakkan kenderaan di LCCT,satu lagi perjalanan yang perlu ditempuh.Bas kami meneruskan perjalanan ke LCCT dengan membawa dua keluarga sahaja.Jam dua lebih barulah kami sampai ke LCCT.Sampai sahaja di LCCT,kami perlu menambah jumlah wang di kad touch & go yang tidak mencukupi untuk membayar RM 40 satu hari.Empat hari kami tinggalkan kereta di situ,ini bermakna kami perlu membayar sebanyak RM 160.Sebaik sahaja sampai di kereta,kereta pula tidak dapat dihidupkan.Mujurlah suami telah meletakkan bateri simpanan dalam kereta.Proses menghidupkan enjin menjadi mudah.Kereta rakan saya juga mengalami nasib yang sama.Perjalanan paling panjang yang pernah saya lalui iaitu dari jam 10.30 pagi hingga 4.50 pagi.


Pengajarannya:
1.Pengurusannya yang tidak cekap akan memusnah diri sendiri dan kepercayaan orang lain terhadap diri kita.Jadi,berhati-hati untuk mengurus sesuatu perkara.
2.Belajar dari kesilapan agar pisang tidak berbuah untuk kali kedua.
.