Rabu, 1 Disember 2010

Buat baik dibalas baik...


Ungkapan ‘kita tolong orang,nanti orang akan tolong kita’ mula saya dengar semasa saya mengikuti latihan praktikum di Kepala Batas 9 tahun dulu.Semasa menjalani latihan praktikum dulu,saya menumpang di rumah adik kepada pensyarah yang mengajar dan akan mencerap saya.Pada masa itu, beliau hanya tinggal berdua kerana anak-anak yang lain sudah mempunyai keluarga sendiri.Kini,ungkapan itu digunakan lagi dan sering diucapkan oleh pentadbir sekolah kerana jika kita bersungguh-sungguh mengajar anak didik,suatu hari orang lain juga akan mendidik anak2 kita seperti yang kita lakukan.Dalam dunia perguruan,kata-kata itu perlu dipraktikkan agar kita ikhlas dalam mendidik anak murid.
Apa yang terjadi ke atas diri saya hari ini bolehlah saya samakan dengan kata-kata tersebut.Setiap pengawas dikehendaki menjadi pengiring ketua pengawas untuk mengambil kertas soalan di bilik kebal seawal jam 6.30 pagi.Mengikut jadual yang diberikan,saya mengalami masalah untuk satu hari kerana rakan yang saya tumpangi itu tiada peperiksaan pada hari tersebut. Sejak sekolah bercuti,anak-anak mula tidur lambat dan saya berasa berat hati untuk mengangkut mereka bersama apabila suami menghantar saya ke bilik kebal.Setelah tiada cara lain,saya terpaksalah juga akan berbuat demikian.Pada hari Isnin,seorang rakan ada memberitahu saya akan masalahnya untuk menjadi pengiring pada hari Rabu.Sekadar untuk menolongnya,saya menawarkan diri untuk menggantikannya.Tanpa disangka,masalah saya untuk ke bilik kebal juga dapat diselesaikan kerana saya dapat menumpang kereta rakan yang yang tinggal di depan rumah.
Kata-kata ini juga sesuai dengan satu lagi situasi yang kami lalui pada hari ini.Semasa calon SPM menduduki kertas Matematik Tambahan 2 pada petang tadi,tiba-tiba hujan turun dengan lebat berserta angin dan petir yang kuat.20 minit sebelum masa berakhir,tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan dan meminta guru pengawas tersebut mengambil satu helai kertas grafnya yang telah diterbangkan oleh angin dan melayang keluar dewan.Sudah pastinya kertas graf tersebut basah terkena hujan.Sedar akan kecuaiannya,murid tersebut meminta kertas graf yang lain untuk membuatnya semula.Kasihan kepada calon tersebut memandangkan masa hampir tamat,kakak yang prihatin tersebut mengeringkannya di bawah kipas dan meminta murid tersebut menjawab soalan yang seterusnya.Itulah prihatinnya seorang ibu dan guru.Jika anak saya atau anaknya yang mengalami masalah tersebut,akan adakah insan yang akan melakukan sedemikian?Nasib baik kertas graf (menggunakan pensel)yang terkena hujan,bagaimanalah agaknya jika kertas karangan calon(menggunakan pen dakwat basah)yang terkena hujan.Rasanya memang tidak dapat nak diselamatkan,pastinya tulisan-tulisan itu akan kembang dan merosakkan kertas tersebut.Dalam keadaan tertentu,kita tidak perlu berkira untuk melakukan sesuatu kebaikan tetapi kita juga perlu beringat dengan kata-kata buat baik berpada-pada...