Isnin, 30 Januari 2012

Hafiz AF7 - Awan Nano Juara AJL 26


Tak sangka pula persembahan pada malam tadi untuk AJL 26 merupakan idea daripada video klipnya terdahulu.Bajudan seluar yang dipakai juga sama.Jika dinilai daripada pakaian yang dipakai,layakkah lagu ini diangkat sebagai Juara Lagu?Mungkin bukan pakaian yang menjadi syarat utama untuk menjadi juara tapi persembahan dan keunikan lagu tersebut.Sememangnya layaklah kerana lagunya bukan ditujukan kepada kekasih walaupun temanya juga merupakan tema kebanyakan lagu yang dipertandingkan pada malam tadi iaitu cinta. Jika dilihat daripada usahanya belajar vokal sebelum majlis AJL,memang layaklah Hafiz mendapat gelaran Vokal Terbaik.

Ahad, 29 Januari 2012

Pasang Tarikh Lahir

Ntahlah betul atau tidak tajuknya.Yang pastinya nak memberitahu tarikh lahir anak-anak saya seperti yang ada di sebelah kanan tu.Terima kasih kepada Cute Mum.Baca catatan pada blog tersebut barulah terbuka minda untuk membuatnya.

JAm 4 pagi saya mengodek laptop setelah tidak mengantuk gara-gara si kecil Akmal berjaga dari jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.2 pagi dia dah lena,umminya pula yang tidak dapat tidur.Apa lagi,sambung kerja tadi yang terbengkalai sebab Adib suka kacau.NAmpak laptop dipasang,dia mesti nak tengok Ultraman padahal dah berlambak cd Ultraman yang ada,di You Tube juga dia nak tengok.

Info tentang ini dalam http://mamiuyun.blogspot.com/2011/01/cara-meletak-kod-heartbeat.NAk buat link,tak pandai lagi.Ambil masa lain untuk belajar,sekarang dah mengantuk.

Sabtu, 28 Januari 2012

Serba Hijau

Akmal dengan aksi mulut kecilnya...

Catatan kali ini sebenarnya nak berkongsi satu-satunya kedai jahit yang saya jumpai di Saujana Utama yang menerima tempahan menjahit sarung bantal dan membaiki baju.Lokasinya di SU2,bersebelahan dengan kedai makan Shida Tomyam.Lepas ini bolehlah saya menghantar beberapa helai blaus yang dipakai semasa mengandung.Takkan nak pakai baju saiz 48 lagi bila dah tak mengandung,nanti orang tanya,mengandung lagi ker?Aktifnya.Baju tu memnag tak pakai jika tidak mengandung kerana saiznya terlalu besar.

Susahnya nak mencari kedai jahit tersebut.Yang ada hanya menerima tempahan menjahit baju sahaja.Beberapa hari sebelum bersalin barulah saya menemui kedai tersebut.
Disebabkan sudah saat akhir,saya hanya mahu sarung bantal tersebut dijahit biasa saja.Cukuplah untuk mengalas tilam kekabu warna pink untuk Akmal.

Saja saya memilih warna hijau kali ini kerana saya memang gemarkan warna hijau.Pergi ke kedai kain,terus cari kain warna hijau.Memang tak banyak pilihan kain di kedai tu,inilah hasil sarung bantal dan tilam daripada kain yang dibeli.

Khamis, 26 Januari 2012

AYAT KURSI:
1) Baca pada saat keluar rumah , 70000 malaikat akan menjagamu dari semua sisi..
2) Baca pada saat masuk rumah , kemiskinan tidak akan memasuki rumahmu..
3) Baca setelah berwudhu , darjatmu akan dinaikkan 70 tingkat..
4) Baca pada saat tidur , malaikat akan menjagamu sepanjang malam..
5) Baca setelah solat , maka jarak antara kamu dan syurga hanyalah kematian..
kpd adik2 akak, anak2 ibu semua... jom amalkannya

Lelaki Oh Lelaki...

Isteri malas solat + isteri suka maki hamun + isteri suka gaduh + isteri suka melepak dgn kwn2 + isteri suka bersolek di luar rumah + isteri abaikan keluarga sendiri + isteri pakai seksi + isteri tak hormat suami = SALAH SUAMI

Suami malas solat + suami suka maki hamun + suami suka gaduh + suami suka melepak tmpt maksiat + suami suka mengorat wanita lain + suami abaikan keluarga sendiri + suami dedah aurat + suami menganiaya isteri = SALAH SUAMI

♥ ♥ besarkan tanggungjawab SUAMI @ LELAKI . .

Besarnya tanggungjawab seorang lelaki,sepadanlah dengan peranannya sebagai KETUA ATAU PEMIMPIN.Mungkin orang yang bernama LELAKI tidak sedar akan tanggungjawab ini.Salah siapa jika keadaan ini berlaku?Mungkin mereka dan keluarga mereka atau diri sendiri...

Pengalaman saya berhadapan dengan lelaki,sukarnya nak mencari lelaki yang betul-betul bertanggungjawab.Memanglah semua orang tidak sempurna,tetapi mengapalah ketidaksempurnaan itu yang ditonjolkan?Bukankah ketidaksempurnaan itu perlu disimpan dalam diri?

Besarnya tanggungjawab saya sebagai seorang ibu kepada tiga anak lelaki.Insya Allah,moga-moga ketiga-tiga putera saya akan menjadi lelaki yang tahu akan tanggungjawabnya dan pandai melaksanakannya.

Rabu, 25 Januari 2012

Sabar dan Reda...

FB dan blog sering menjadi tempat luahan perasaan.Sekadar ingin menagih simpati atau berkongsi masalah,itu tuan punya luahan hati yang tahu tujuannya.Yang pastinya masing-masing ada cara tersendiri untuk meluahkan perasaan.Walaupun blog ini berjudul Luahan Hati Kongsi Bicara,saya cuba bataskan catatan dalam blog ini supaya tidak terlalu peribadi kerana hal-hal peribadi,mengadulah kepadaNya dan bukannya untuk tatapan umum.Jika semua perkara nak diceritakan kepada umum,kita tidak punya apa-apa rahsia lagi.

Tapi,tak semua orang berpendapat sebegitu.Seorang sahabat lama saya juga tidak terkecuali.Belakangan ini,fbnya sering memaparkan luahan hatinya yang seakan kecewa dengan rumah tangganya.

Hidup berumahtangga memang ada pasang surutnya.Andai kata jodoh tak lama,apa boleh buat kerana semuanya atas ketentuan Ilahi.Bercakap pasal kecewa,saya teringat pesan Ustaz Mohamed Hanafiah b Abdul Malek dalam rancangan SP1M yang ditonton tempoh hari.Katanya,

Dalam menghadapi sebarang masalah,kita perlu sabar dan reda dengan ketentuanNya.
Andai kata jodoh tak panjang,kita perlu reda dan bersyukur kerana sekurang-kurangnya kita pernah berkahwin dan dapat mengalami alam berumahtangga.Dengan perkahwinan itu,kita mempunyai anak yang menjadi penyambung zuriat.Memang patut bersyukur kerana ada juga sesetengah orang yang tidak ada zuriat.

Redai ketentuanNya,nescaya bertambah hikmahnya.Jika kita berpegang kepada kata-kata ini,kita akan bersyukur dengan setiap perkara yang kita alami.

Ahad, 22 Januari 2012

20 tahun...

Macam nilah cara nak pakai barut perut.Tabur bedak di atas,maka tak perlulah nak bedakkan lagi belakang Akmal..Abangnya Adib yang suka buat kerja ni kerana dia memang suka main bedak...

Sudah 20 tahun umur barut perut ni.20 tahun jugalah umur cucu sulung ibu saya.Barut perut ni dialah yang punya.Kecil elok saja ukurannya,tapi dah dipakai lama,mulalah jadi barut dada.
dah jadi barut dada.Baju tadi belum sempat dipakai tapi sudah basah kena kencing...mulut ternganga kerana sedang tersedu...tisu yang dibasahkan di kepalanya untuk hilangkan sedu...

Syaitan Dasim

"Ada syaitan namanya Dasim yg sentiasa duduk di atas jenang pintu, menunggu tuan rumah melintas masuk. Kerja si Dasim jahanam ini memberi panas di hati para suami isteri, dia akan memporakperandakan rumah tangga anak2 Adam sampai bercerai berai. Kejayaannya akan diberi ganjaran tinggi oleh kerajaannya. Oleh itu dia akan turun lalu bertenggek di bahu suami atau isteri yg melintas di kelangkangnya lalu ikut masuk ke dlm rumah. Utk mengelak bahu kita dihuninya lalu kita dipanaskannya, suami atau isteri tersebut haruslah
1) baca bismillah,
2) baca surah Al-Ikhlas
3) senyum pada diri sendiri
4) beri salam pd penghuni di dlm.
Insyaallah, kita terpelihara dari kejahatan makhluk jahat itu. Wallahhualam... saya salinnya daripada fb. Tak salahkan, kita mengikut nasihat yg baik ini demi kebaikan diri sendiri & agama kita. Jom renung2kan...

Selasa, 17 Januari 2012

Khasiat Surah Alam Nasyrah



Info yang diperoleh pagi Isnin(semalam) dalam slot Motivasi:Jiwa Kosong dalam SP1M(Selamat Pagi Satu Malaysia) bersama ustaz Hanafi b Abdul Malik.

Baca surah ini,setiap ayat tiup dan sapu pada bahagian-bahagian tertentu badan:
Ayat 1-dada-berlapang dada
Ayat 2-bahu-ringan bebanan
Ayat 3-belakang-rajin
Ayat 4-muka hingga atas kepala bertujuan disukai ramai.Cth,cikgu yang disukai oleh muridnya,isteri yang disukai suaminya


Kesimpulannya,ayat ini bertujuan untuk lapangkan dada supaya jiwa tidak kosong.

Gagal Menyusu Kerana Tiada Ilmu!

Ada berbagai2 cara untuk menambahkan penghasilan susu badan, antaranya ialah :

1. Susukan bayi bila-bila masa dia berasa lapar : Lebih banyak bayi menyusu lebih banyak susu yang akan terhasil

2. Susukan bayi pada kedua-dua belah payudara sehingga bayi itu sendiri yang melepaskan puting setelah dia kekenyangan. Ini akan meransang lebih banyak penghasilan susu.

3. Jarak antara penyusuan mestilah tidak melebihi 2 jam. Susukan sekerap yang boleh, berikan bayi peluang untuk menghisap dari payudara untuk merangsang penghasilan susu

4. Jangan lupa untuk berasa tenang sewaktu menyusukan bayi. Ini kerana perasaan tertekan atau kurang keyakinan tentang kemampuan untuk menyusukan bayi juga boleh menyebabkan susu berkurangan. Dapatkan rehat yang secukupnya

5.Dinasihatkan tidak memberi bayi makanan lain selain daripada susu badan terlalu awal, seperti makanan tambahan, jus2, air masak atau buah buahan kepada bayi berumur kurang 6 bulan, kerana apabila baby mendapat makanan tambahan, bayi akan kurang menyusu dan ini sekaligus akan mengurangkan penghasilan susu pada ibu.

6. Penghasilan susu juga boleh terjejas akibat pemakanan. Bagi memastikan anda makan dengan betul, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:

Ambil hidangan seimbang berpandukan Panduan Piramid Pemakanan.
Banyakkan minum air (digalakkan air Kosong suam) sepanjang hari.
Mengambil suplemen seperti alfalfa,multivitamin,vitamin c dan juga kalsium
Makan pelbagai jenis makanan yang kaya dengan nutrien.

7. Amalkan surah Al-Baqarah ayat 60 atau surah hujurat dan sapu di kedua belah payudara. Sambil menyusukan, sentiasalah usap rambut bayi, cium bayi.

Anda Akan Berjaya Bila Anda Inginkan Yang Terbaik
Anda Akan Menjadi Ibu Yang Cukup Hebat
Anda Boleh! dan Modalnya hanya Semangat,Istiqamah&Doa.InsyaAllah!

Sumber:alinalan.blogspot.com


Nampaknya ilmu baru diperoleh hari ini iaitu catatan nombor 4 dan 7.Rasanya betullah tu,gagal menyusu kerana tiada ilmu.

Doa untuk Menambah Susu

Kecewanya bila susu hampir kering padahal baru 17 hari bersalin.Moga-moga usaha yang dilakukan ini tidak akan mengecewakan.Perkongsian yang menarik apabila terjumpa artikel ini.Mudah-mudahan ini jalan untuk memecah kekecewaan.

Ya ALLAH...permudahkanlah segala urusan kehidupanku, banyakkanlah susuku untuk bayiku, dan permudahkanlah perjalananku untuk menyusukan anakku agar menuruti segala yang telah Engkau syariatkan...AMIN..."

Lagi satu amalan yg bagus untuk ibu yg BF anak, amalkanlah membaca surah al-Baqarah ayat 60. Sambil baca ayat tu letakkan tangan pada breast, usap2, and doa dalam hati semoga Allah murahkan rezeki anak kita & supaya kita mampu menghasilkan susu yg cukup pd anak kita hingga sekurang-kurangnya umurnya 2 tahun...


Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi".

Lagi satu, amalkanlah berzikir dgn kalimah
YA MATIN (Maha Sempurna KekuatanNya) 70 kali setiap hari. Waktu yg paling bagus adalah pada waktu malam dan subuh
. Anda juga boleh bacakan zikir tersebut dan hembuskan ke dalam segelas air lalu diminum. Yakinlah...insyaALLAH susu badan kita akan bertambah jika kita istiqamah dgn amalan yg tersebut di atas....

Sumber:alinalan.blogspot.com

Isnin, 16 Januari 2012

Berpantang dengan Shaklee

Saya ditegur oleh suami kerana keluar rumah semasa berpantang.Peliknya,tak boleh keluar rumahkah semasa dalam tempoh berpantang?Tempoh hari semasa hari ke-10,kita dah bersiar-siar banyak tempat di perumahan ni kerana nak mengambil anak di sekolah.Kenapa pula masa tu,boleh?Peliknya...Untuk berpantang tidak keluar dari rumah,sememangnya saya pasti tidak boleh ikut kerana saya manalah boleh terperak di dalam rumah saja.Walaupun jarang-jarang sekali keluar berjalan-jalan,tetapi tidaklah bermakna saya tidak keluar dari rumah langsung.Sekurang-kurang akan keluar dari rumah untuk menyedut udara di sekitarnya.Itu wajib rasanya.

Setahu saya,selepas bersalin,kita perlu berpantang makan benda2 sejuk tujuannya supaya urat tak kembang dan berpantang drpd buat keja berat utk mengembalikan tenaga & menguatkan rahim yg sedang dlm proses mengecut.Beberapa perkara penting tentang berpantang iaitu:

@Keluaran darah nifas, darah bantal dan darah bayam yang lancar selepas bersalin akan menentukan kembali kejelitaan dan kesihatan ibu

@Cara bertungku yang salah akan menyebabkan masalah lain seperti mulut peranakan tidak menghadap saluran faraj atau terpusing ke belakang. Ini boleh menyebabkan sukar untuk hamil atau jika hamil kerap keguguran

@Demam bentan urat berlaku jika menggunakan tenaga secara berlebihan ketika masih berpantang. Rawatan mengurut hanya akan memburukkan keadaan.

@Gila meroyan adalah kesan daripada darah bantal yang tidak keluar dengan sempurna, berkumpul dalam rahim dan menjadi busuk.

Untuk berpantang kali ini,saya mengambil set Shaklee yang mengandung 5 vitamin dengan harga RM 150.
(1) B-Complex : sebagai penenang (anti-stress), elak kemurungan (meroyan) & menstabilkan hormon.
(2) Vitamin C : penting untuk pembentukan kolagen, mempercepatkan penyembuhan luka, serta memperbaiki tisu sel yang rosak akibat bersalin.
(3) Multivitamin with Iron : Multivitamin lengkap dengan pelbagai kumpulan vitamin & mineral yang diperlukan oleh badan tetapi sukar diperolehi sewaktu berpantang kerana kebanyakan makanan perlu dielakkan (berpantang makan). Iron pula penting untuk tubuh terutama kerana ibu banyak kehilangan darah selepas bersalin.
(4) Zinc Complex : membantu mempercepatkan proses baik pulih luka, terutama luka dalaman (rahim). Selain itu, turut mengurangkan masalah rambut gugur. Bagi anda yang tidak makan ikan haruan, mahupun pati ikan haruan, Zinc supplements adalah yang terbaik untuk anda. Zinc turut membantu masalah 'kedinginan' selepas bersalin.
(5) Calcium-Magnesium with Vitamin-D (Shaklee OsteMatrix). Boleh membantu mengurangkan risiko jaundice, memberi tenaga dan membantu melancarkan penyusuan susu ibu. Bagi yang menghadapi masalah sukar membuang air besar, boleh ambil Lecithin kerana ianya tidak mengganggu penyusuan bayi, serta melancarkan sistem penghadaman dengan cara yang lembut sekali.

Percubaan set C Shaklee ini bertujuan untuk menambah susu badan dan melawaskan pembuangan air besar.Setakat ini pembuangan air besar tiada masalah walaupun prosesnya tidak hari-hari.Sebelum ini,terpaksalah ambil ubat sembelit untuk memastikan prosesnya senang tapi sekarang tidak perlu lagi.

Masalah kekurangan susu masih lagi berlaku memandangkan saya baru makan kesemua vitamin ini.Sebelum ini,hanya vitamin untuk memulihkan luka yang didahulukan kerana terlalu banyak ubat yang perlu dimakan,makanya terpaksalah dahulukan yang dirasakan penting dulu.

Cara Sendawakan Bayi

Sudah seminggu Akmal tidak menyusu badan.Dahlah dia masih belum pandai lagi menyusu badan,kena berhentikan seketika kerana saya perlu makan ubat antibiotik supaya luka pembedahan cepat baik.Bila tidak diberhentikan susu badan,badannya pula panas dan kerap berak hingga merah punggungnya.Kasihan juga.Berhentikan susu badan pun kasihan juga,tapi disebabkan nak cepat baik terpaksalah berkorban.Hingga kini,nampaknya luka tersebut kian baik.Dengan susu yang tak banyak mana,harap-harap dia dapat menyusu badan lagi selepas ni.

Selepas menyusu,memang saya tak lupa sendawan Akmal.Gerun juga bila mengingatkan ada bayi yang tercekik susu.Catatan ini untuk mengingatkan saya supaya sentiasa menyusukan Akmal dalam posisi yang betul dan menyendawakannya selepas menyusu biarpun kadangkala angin tidak keluar daripada mulutnya.


Terdapat 3 cara untuk sendawakan bayi:

* Sandarkan bayi anda pada bahu dan tampu punggungnya dengan lengan anda sementara tangan anda yang sebelah lagi menggosok belakang bayi. Ini kebiasaannya cara yang paling mudah untuk sendawakan bayi anda.

* Dudukkan anak anda dengan merehatkan dagunya di atas lengan anda apabila tangan anda memegang bahunya yang bertentangan dan gosok belakang bayi.

* Letakkan bayi anda dengan mukanya menghadap riba anda dan gosokkan belakangnya.

Ahad, 15 Januari 2012

Kaedah Memerah Susu Badan

Bila terpaksa berhentikan susu badan,sakit pula b.Adakah ini tanda akan banyak susu selepas mengambil set bersalin Shaklee,Insya Allah mudah-mudahan.Dengan susu yang tak seberapa dan selalu kecewa bila mengingatkan sejarah penyusuan susu ibu,tak beranilah pula nak membeli pam susu yang mahal.Dengan pam Pureen,Ya Allah,kecewanya nak mengepam kerana hasilnya tak seberapa.Bukanlah permasalahan ini yang nak dikongsi tapi beberapa perkara tentang penyusuan ibu:

Sebenarnya,memerah susu ibu adalah bertujuan untuk
@membekalkan susu ibu ketika ibu tiada bersama dengan bayi, terutamanya bagi ibu-ibu yang bekerja.
@memerah susu ibu boleh merangsang pengeluaran serta meningkatkan pengeluaran susu ibu.
@bagi bayi pra-matang yang belum bersedia menghisap susu secara terus dari ibunya, susu diperah dan disalurkan kepada bayi melalui saluran tiub atau pun menggunakan shringe.
@ibu-ibu jugak memerah susu ibu untuk mengelakkan pembengkakan buah dada yang boleh menyebabkan kesakitan kepada ibu.

Bagi mendapatkan hasil yang lebih baik, lakukan urutan lembut pada buah dada. Selain dari itu, penggunaan tuala suam juga membantu melancarkan pengaliran susu ketika memerah.

Antara kaedah memerah yang boleh dilakukan ialah menggunakan tangan:
Selain daripada mudah, ia juga murah dan bagi ibu yang sudah mahir, mereka dapat memerah susu yang lebih banyak berbanding menggunakan pam.
>Kaedah<
(A) Basuh tangan dan bekas yang akan anda gunakan untuk menadah susu badan. Duduk dalam keadaan yang anda selesa. Letakkan bekas tadi di bawah puting anda. Letakkan tuala basah yang suam untuk merangsang pengaliran susu. Urut payudara dan puting untuk mendapatkan refleks ejeksi susu. Tekan perlahan-lahan sambil membuat bulatan di sekeliling payudara.
(B) Tekan payudara dengan lembut, gerakkan jari-jari anda dari bahagian dada ke arah puting.
(C) Posisikan ibu jari dan 4 jari lain 2-3 cm di belakang puting dan tekan payudara anda.
(D) Tekan jari-jari anda sambil menggolekkannya ke arah puting. Lepaskan dan tekan semula untuk mengeluarkan susu. Anda sepatutnya tidak merasa sakit semasa proses ini.
(E) Tukar posisi jari-jari anda ke bahagian lain pula untuk memerah duktus-duktus susu yang lain pula. Selepas 3-5 minit, aliran susu akan semakin perlahan. Tukar Payudara sebelah pula. Lakukan proses yang sama dan selepas itu anda boleh beralih semula ke payudara pertama tadi. Ulang semampu anda. Kebiasaannya, sesi-sesi awal mengambil masa 20-30 minit. Setelah anda menguasai teknik ini, masa yang diambil akan semakin pendek.

Khamis, 5 Januari 2012

Pengalaman Bersalin Kali Ketiga:Pedihnya Perut!

Akmal divakum kerana posisinya masih di atas tapi air ketuban sudah pecah.Menjadi tanda tanya doktor juga ni..
Wajah Akmal sehari kemudian..dibedung dgn kain bedung hospital

Tak perasan pula tajuk entri sebelum ni bertajuk Tahun Baharu di PPUM.Rupa-rupanya nak memberi petanda bahawa saya akan menyambut tahun baharu di hospital.Sekadar membuat catatan terhadap pengalaman bersalin kali ketiga.

Pagi:
Hari ni suami tak bekerja.Pada sebelah paginya sempatlah suami membeli peralatan sekolah Ammar dan membawa saya ke bank sebelum solat Jumaat kerana kad ATM telah buat hal.Satu jam menunggu giliran,pertukaran kad tidak juga dapat dibuat kerana saya terlupa membawa buku bank.Sebagai alternatif untuk membaik kerosakan cip pada kad atm,pekerja bank tersebut hanya memadam cip tersebut dengan menggunakan pemadam.Jika boleh digunakan,tidak perlu ditukar yang baharu.saya hanya berharap agar menjadi kerana leceh pula nak ke bank selepas solat Jumaat dan membuat kerja dua kali.Alhamdulillah,kad tersebut boleh digunakan.Sebelum ini ada juga saya melihat pekerja bank berbuat demikian untuk membaik cip pada kad atm tapi tak terfikirlah pula cara ini.Selepas itu sempatlah singgah di kedai bayi untuk membeli beberapa kelengkapan bayi.

Lewat petang:
Saya keluar untuk mengambil serai yang ditanam di luar pagar kerana nak memasak tomyam.Dua hari tak memasak,kasihan pula melihat anak tak makan nasi terutamanya yang kedua kerana dia hanya suka makan nasi putih.Nasi goreng tak dimakannya.Menurut mak mentua,kalau dah rasa malas nak ke dapur,itu tandanya dah tak lama lagilah nak bersalin.Wallahualam.
Kebetulan pula jiran yang bekerja di PPUM ada bersembang di luar pagar,saya sempat bersembang untuk bertanya tentang wad untuk satu orang di wad bersalin PPUM.Itupun setelah membacanya di internet.Bila dah maghrib baru memasak,maka makan malam agak lambat sikit,lebih kurang jam 9 lebih.

Malam:
Lebih dalam jam 9.15 baru makan malam.Lepas makan,nak kena menyeterika pakaian sekolah Ammar kerana esok pagi dia mula beroreintasi.Jam dah 10 lebih tapi kedua-duanya tak mahu tidur lagi malah asyik menonton tv saja.Memang rasa malas nak menggosok baju,tapi kalau tak dibuat sekarang,nanti kelam kabut pula.Bila saja saya bangun dari kerusi,tiba-tiba ada air keluar dari paha.Sempat pula Ammar bersuara:Ummi kencing ye bila saya menjerit.Macam manalah tak menjerit,saya sentiasa berdoa supaya bersalin pada tahun baharu tetapi belum lagi tahun baharu muncul,tiba-tiba air ketuban dah pecah.Dahlah beg pakaian saya tidak dikemas lagi,air ketuban tak henti-henti keluar.Itulah yang buat keadaan jadi bertambah cemas.Hampir 12 malam, kami bertolak ke PPUM.12.30 tengah malam dah sampai PPUM,terus masuk bilik bersalin. Dalam hati,harap-harap biar dapat ditunggu hingga tahun baharu.Apabila masuk saja doktor untuk memeriksa,tak boleh simpan lagi ni.Pagi ni juga kena caesar.Ya Allah,ralatnya rasa tapi apakan daya.Lepas tu datanglah pula doktor bius bertanyakan perkara yang sama.Dia juga bertanya sebab saya diberi bius penuh semasa kelahiran yang kedua dulu.Entahlah,saya pun tak pasti.Kali ini saya akan diberikan bius separuh badan dan epidul.Mendengar kata-kata itu,saya teringat akan cerita tentang yang pernah didengar mengenai pesakit yang dibedah hidup-hidup apabila ubat bius belum lagi berfungsi sepenuhnya,operasi pembedahan telah dilakukan.Mengingatkan cerita itu saya menjadi ngeri dan bimbang.Disebabkan makan malam agak lambat,maka pembedahan akan dilakukan pada jam 3 pagi.Pada masa inilah mula terasa nak membuang air besar tapi tak juga keluar-keluar.Tetapi disebabkan ada satu kes kecemasan,pembedahan ke atas saya ditunda pada jam 4 pagi.

Operasi pembedahan:
Bila saja nak ditolak ke Dewan Bedah,tiba-tiba hilang rasa nak membuang air besar.Kali ini memang sangat mendebarkan apabila masuk ke Dewan Bedah.Apa sebabnya tak pasti.Masa saya diberi bius,saya hanya dapat berdoa saja supaya semuanya berjalan dengan lancar.Agak lama juga setelah ubat bius berikan,saya masih dapat merasa kesakitan apabila doktor cuba memastikan saya betul-betul bersedia untuk dibedah.Doktor juga agak hairan sebab ubat bius tersebut mengambil masa yang agak lama untuk berfungsi dengan sepenuhnya.Semasa pembeahan dimulakan,saya dapat rasakan sesuatu di perut tetapi tidak sakit.Mungkin pemotong yang berelektrik digunakan untuk 'membuka jalan' di perut kerana terasa semacam sahaja di perut.Tak pula saya bertanya kepada doktor alat yang digunakan tapi saya memang tidak berani untuk berhadapan dengan keadaan itu.Nasib baiklah ada kain di depan saya yang menghalang pandangan untuk melihat kerja-kerja doktor.Semasa bayi ditarik keluar,saya dapat rasakan keselesaan di perut.Mungkin inilah yang dirasakan oleh ibu yang mengalami proses bersalin secara normal apabila bayi mula keluar dari rahim.Apabila tiba sesi untuk menjahit tempat pembedahan,saya dapat rasakan kesakitannya.Terasa pedih-pedih di perut walaupun tidak ketara.Namun,saya masih boleh bertahan.Menurut doktor,saya sepatutnya tidak akan berasa sakit sepanjang peoses pembedahan dijalankan tetapi kuasa Allah menidakkan situasi itu.Mungkin pertahanan badan setiap orang tidak sama,saya terpilih untuk berasa sakit semasa menjalani pembedahan.Mungkin inilah yang menjadi petanda kebimbangan saya tadi.Perasaan berdebar-debar lagi kerana saya belum mengetahui jantina anak saya.Memanglah semasa ultrasound dibuat,jantinanya ialah lelaki,tetapi manalah tahu,keajaiban berlaku.Semasa saya ditunjukkan jantina bayi,saya reda bahawa itulah hakikatnya.Tiada juga keajaiban yang berlaku walaupun ini kali ketiga saya mengharapkan dapat bayi perempuan.Setelah operasi selesai dengan selamatnya,doktor bius meminta maaf kerana saya terpaksa melalui kesakitan semasa pembedahan.Sebagai seorang yang profesional,dia menurut kata-kata saya untuk melengahkan pembedahan apabila saya mengatakan saya masih boleh berasa sakit apabila dicubit dan meminta maaf dengan saya kerana apa yang berlaku tidak seperti kebiasaannya sudah memadai.Hal ini kerana terdapat sesetengah golongan profesional yang langsung tidak mahu merendah diri dan sangat berbangga dengan kedudukannya.Saya tidaklah menyalahkan doktor tersebut kerana dia telah cuba buat yang terbaik,cuma rezeki saya saja pada hari itu untuk melalui pengalaman sebegitu yang tidak semua orang akan melaluinya.Enam jam kemudian,ubat bius akan hilang dan saya diletakkan di bilik bersalin yang dikhaskan.Sebelum ini,tiada pula bilik sedemikian.Disebabkan kencing yang tidak mencukupi,jam 5 petang barulah saya dibawa ke wad bersalin itupun setelah memujuk doktor bahawa saya belum melihat bayi lagi.Semasa di Dewan Bedah,saya hanya dapat melihat jantinanya saja tanpa sempat melihat mukanya kerana sekejap sahaja bayi itu ditunjukkan kepada saya.

Muhammad Akmal Fathi(2.945 kg):menyempurnakan
Apabila ujian ultrasound mengesahkan jantina bayi dalam kandungan ialah lelaki,saya mencari-cari nama yang sesuai.sebelum ini,suami hanya menerima saja nama yang saya berikan,mungkin dia sendiri malas nak berfikir soal remeh seperti ini.Akmal merupakan nama yang akan diberikan jika lelaki dan jika perempuan,saya juga sudah mempunyai namanya.Jika difikirkan semula apa yang telah berlaku dalam seminggu ini,nama Akmal memang sesuai kerana kelahirannya walaupun pada penghujung tahun 2011 iaitu pada 31.12.2011 pada jam 4.20 pagi,namun telah menyempurnakan urusan suami pada 4.1.Sesungguhnya ada hikmah di sebalik kelahiran awal Akmal kerana pada 3.1,saya sudah boleh keluar wad.(Sejak bersalin kali kedua dulu,saya mesti tinggal di hospital selama 5 hari selepas bersalin memandangkan saya mempunyai masalah jantung)Itupun setelah memujuk doktor supaya membenarkan saya keluar wad awal memandangkan 4.1 merupakan hari pertama persekolahan Ammar masuk darjah satu.Sudah pastinya keadaan akan kelam kabut jika pada hari itu saya masih berada di wad.Saya sendiri juga ingin melihat reaksi anak sulung masuk darjah satu meskipun tidak berkemampuan untuk menghantarnya ke sekolah dan melihat situasi yang dialaminya di sekolah.

Rabu, 4 Januari 2012

Istimewanya 4.1.2012

Sekadar mengimbas semula tarikh keramat 4.1.2012 kerana tarikh ini amat bermakna.Sebab apa ye,
1.Hari lahir yang ke 35.Wow...dah tua dah.Alhamdulillah...dah ada keluarga,kerjaya dah ok.Tiada yang istimewa sebab masih berpantang hari yang kelima...

2.Hari pertama persekolahan Ammar ke tahun 1.Semua kelengkapan dan persediaan untuk ke sekolah dibuat oleh suami dari A-Z.Saya tidak masuk campur langsung sebab sibuk dengan Akmal dan luka yang masih belum baik.Menjahit lencana pun suami yang buat.Alhamdulillah...

3.Mula berpantang di rumah.Biasanya suami yang mandikan bayi tapi kali ini agak sibuk dengan Ammar yang dah masuk tahun 1,tidak berkesempatan pula nak mandikan bayi.

4.Demi meraikan kenaikan pangkat,rasanya kereta ini akan menjadi milik nanti.Kereta yang kedua mesti dibeli untuk mengambil dan menghantar anak ke tadika/taska.