Selasa, 30 Ogos 2011

Indahnya Ramadan 2011

Ramadan telah berlalu,moga-moga tahun depan akan bertemu Ramadan lagi supaya apa yang kurang dapat dibaiki.Mudah-mudahan.
1.Nampaknya anak sulung berjaya berpuasa selama 25 hari tanpa apa-apa rasuah atau habuan .Alhamdulillah, walaupun banyak ragamnya dia berjaya juga berpuasa hampir penuh meskipin umurnya baru enam tahun.Tahun depan, puasa mesti disusuli dengan solat pula.tulah yang telah diingatkannya.Harap-harap dia akan ingat itu.

2.Saya dapat berpuasa penuh kali ini. Alhamdulillah.Tak susah-susah nak menggantikan puasa nanti.

3.Puasa kali ini pun saya kerap memasak walaupun hanya sejenis masakan saja.Dua minggu terakhir asyik memasak kari saja untuk memenuhi permintaan Ammar.Sejak tinggal di SU ni, suami pun kurang membeli makanan di bazaar Ramadan.Maka, makin berkuranglah makanan yang dibuang.

4.Proses menghias rumah pun memakan masa yang lama.Sebulan puasa pun belum siap-siap juga.Ada baiknya juga kerana bulan puasa ialah bulan untuk mengejar ibadah,bukannya mengejar menyiapkan perhiasan rumah.

5.Satu-satunya amalan yang boleh saya pertingkatkan pada bulan Ramadan ialah amalan membaca Quran. Tahun ni hampir separuh juz dapat dihabiskan walaupun tak dapat dikhatamkan.Sememangnya tak pernah pun dapat dikhatamkan dalam masa sebulan.Paling kurang pun setahun.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Penghujung Ramadan

Sekejapnya masa berlalu.Tinggal dua hari lagi untuk berhari raya.Pada penghujung Ramadan seperti ini,tangan umpama tak tercapai untuk membuat yang mana satu antara menyiapkan penandaan kertas peperiksaan percubaan PMR,membuat persiapan raya dan mengimarah hari-hari terakhir pada bulan puasa.
1.Persiapan raya
Nampaknya antara tiga perkara yang perlu dilakukan,kerja-kerja membuat persiapan raya terpaksa ditunda dahulu.Apa lagi,kerja-kerja mengemas rumahlah yang terpaksa ditunda kerana kudrat yang tak seberapa.Bendera Malaysia dah dinaikkan.Depan rumah masih bersepah dengan perlatan kerja suami.Entah bila siap, tak tahulah.Dah dikemas tapi bersepah semula.Akhirnya, buat tak nampaklah perkakasan yang berselerak di depan rumah.Nak lalu, langkah jer.. Baju belum dikemas lagi untuk dibawa balik ke kampung.Saat nak membasuh,mesin basuh pula buat hal.Ruginya…dahlah petang ni panas dan tak mendung seperti biasa.Berkat doa pagi tadi agaknya.Tapi tak ada rezeki juga nak menjemur baju.Lepas ni terpaksa menyiapkan kerja-kerja memotong jubah untuk raya.Kali ni terpaksa pakai jubah kerana baju mengandung tak mengancam untuk hari raya.Nak melawa juga walaupun perut dah agak boyot.

2.Penandaan kertas percubaan PMR
Hingga hari ini, saya masih di rumah menyiapkan kerja menanda kertas BM PMR.Tinggal satu kelas saja lagi.Itupun kelas yang tercorot.Sekejap je tu.

3.Imarah hari terakhir puasa
Nampaknya kali ini dapat meningkatkan amalan pada bulan puasa walaupun tak banyak.Memandangkan ada beberapa amalan yang tak dapat dilaksanakan,nampaknya kena menebusnya dengan amalan-amalan lain.Harap-harap amalan-amalan tersebut diterima dan akan bertemu lagi dengan Ramadan pada tahun depan.

Isnin, 22 Ogos 2011

Ahad, 21 Ogos 2011

Menghidupkan Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadhan ialah:
1.Menghidupkan malam-malam tersebut dengan memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah SWT.

2.Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadhan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.

Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini adalah berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah SWT, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya.

Dalam sebuah hadis yang lain Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari"(hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi).

3.Kita juga turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, para Ulama telah bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.

Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah.

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”

Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku" (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak" (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65). Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

4.Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

5.Berzikir

6.Bersedekah





Jumaat, 19 Ogos 2011

Tip agar sentiasa segar semasa mengandung di bulan Ramadan

#Jangan lupa selalu makan makanan berzat baik pada saat sahur atau berbuka puasa. Walau menu sederhana, yang penting mengandungi lima unsur zat lengkap seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan mineral

#Usahakan untuk mencegah dehidrasi tubuh dengan banyakkan meminum air putih pada malam hari. Hal ini penting dilakukan, kerana pada siang hari, aktiviti kita cenderung banyak mengeluarkan keringat baik di ruangan terbuka atau berhawa dingin
Pada saat berbuka, mulakan dengan makanan atau minuman hangat dan manis seperti Milo, susu atau minuman manis lainnya. Tapi ingat, jangan mengambil minuman yang mengandungi soda, kerana dapat menimbulkan akibat buruk bagi perut anda

#Jangan minum air dingin atau ais. Biasakanlah berbuka dengan minuman yang hangat. Perut yang kosong kerap menjadi kembung, bila anda terus berbuka puasa dengan air dingin

#Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka. Tujuannya untuk memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan kita. Ingat, jangan mengambil makanan berlebihan dan makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti telur dan ikan masin

#Berbuka puasa hendaknya dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terburu-buru agar perut tidak terkejut. Untuk meringankan kerja penghadaman, kunyah makanan dengan baik
supaya anda mampu menahan rasa lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadamkan makanan yang banyak serat

#Selain memperbanyakkan makanan berserat dan berprotein, sebaiknya anda juga menyediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.Vitamin yang penting diambil setiap hari adalah vitamin A, B dan C. Tetapi, kalau anda sudah makan buah berwarna kuning atau merah, sayur berwarna hijau tua dan kekacang, maka tidak perlu khuatir kekurangan vitamin tersebut.

Rabu, 17 Ogos 2011

Ragam Pada Bulan Puasa

Pada bulan puasa ni,masing-masing dengan perangai tersendiri.Apa-apapun, ia menjadi penyeri dalam keluarga kami.
1.Gelagat si ibu
Alhamdulillah, sudah enam belas hari saya dapat berpuasa tanpa sebarang masalah.Selera makan tiada masalah walaupun waktu sahur.Itulah seronoknya sepanjang tempoh mengandung.Harap-harap dapat puasa penuh lagi sepanjang tempoh mengandung yang ketiga ni.Walaupun agak keletihan, setelah tidur dan berehat, jam empat petang badan kembali bertenaga.Masa inilah baru boleh menjengah ke dapur untuk memasak ala kadar sahaja kerana sebahagian lauk telah dibeli di kantin sekolah.Hari minggu pula, kalau banyak kerja yang nak dibuat adalah sampai tiga kali saya tidur. Walaupun anak-anak dengan kerenah mereka yang tak tahu nak diam, saya tetap dengan diri saya.Walaupun rutin agak berbeza dengan hari-hari biasa,kerja-kerja rumah tetap dilakukan seperti biasa malah usaha untuk memperbanyak bacaan al Quran dapat dilakukan dengan baik.

2.Gelagat si ayah
Seperti tahun lepas,ada-ada saja perubahan menjelang raya.Tiga hari menjelang puasa, suami telah berdikit-dikit mengecat dinding yang telah dipenuhi mural anak-anak yang tidak tahan mata melihatnya.Di samping mengecat, suami juga ada membuat perkara lain yang tidak faham pada pengamatan saya.Tunggu siap barulah tahu.Walaupun kerja mengecat dinding pada bahagian depan pintu dan sebelah tangga telah siap,namun barang-barang perhiasan yang digantung belum lagi digantung di tempatanya menyebabkan keadaan menjadi sedikit semak.Misi mengecat dinding ruang tamu belum diselesaikan, tambahan pula kesihatannya tidak berapa baik.Nasib baiklah saya yang menjadi pembawa budak jarang-jarang sakit sebegitu melainkan hanya selesema saja.

3.Gelagat si abang
Tahun ni dia dipaksa berpuasa penuh memandangkan tahun depan akan mencecah tujuh tahun.Walaupun selalu merengek hendak berbuka, namun berjaya juga menyempurnakan puasanya.Cuma,semasa baru-baru berpuasa, ada juga dia mencuri makan,kasihannya.Tapi sekarang, dia berjaya berpuasa penuh. Waktu sahur, berselera juga dia makan.

4.Gelagat si adik
Bila si abang sudah bangun untuk bersahur, dia juga akan bangun awal memandangkan dia amat penakut untuk tidur keseorangan.Bila si abang mula nak mandi untuk ke tadika, dia juga akan mandi bersama abangnya.Jam enam pagi,rumah kami sudah riuh rendah dengan gelagat mereka dan kucing-kucing yang menjadi penghuni rumah.

Jumaat, 12 Ogos 2011

Perubahan Lagi Menjelang Raya

Setiap kali menjelang raya, ada-ada saja idea untuk membuat perubahan dalam rumah.Tahun lepas, ruang dapur mengalami sedikit perubahan.Tahun ini pula kami cuba untuk memberi kelainan di ruang tamu.Kerja-kerja mengecat dinding belum selesai sepenuhnya namun sudah ada beberapa perubahan yang dapat dibuat dari segi kedudukan perabot.Warna silver pada bahagian sisi tangga dan depan pintu memang tidak menonjolkan ruang tersebut,namun dengan perhiasan yang digantung, diharapkan ruang tersebut dapat menyerlah.Kerja-kerja megemas dan menggantung barang perhiasan belum sempurna lagi, maka tak dapatlah nak ambil gambar untuk melihat kesesuaiannya.


Rabu, 10 Ogos 2011

Penghuni Baru di Rumah Kami

Entah macam mana, tiba-tiba suami berminat membela kucing.Bermula dengan ada lima ekor anak kucing yang selalu bertandang ke rumah untuk mencari makan, suami terdorong untuk membela kucing. Tidak lama kemudian saya disahkan mengandung.Kebetulan agaknya atas kemurahan hati memberi makan kepada binatang.Atas nasihat saya akan kesan yang dibawa oleh kucing kepada ibu yang mengandung,kucing-kucing itu yang selalu dibelai oleh anak-anak mula dijauhkan tetapi minat anak-nak terhadap kucing mengatasi segalanya. Bila saja kucing tersebut terlepas ke dalam rumah, mulalah si adik membelai-belainya seperti adiknya sendiri.Memandangkan kucing-kucing tersebut tidak pernah dimandi(rasanya),suami mula membeli seekor kucing untuk dibela dan dibelai oleh anak-anak manakala kucing-kucing tersebut hanya diberi makan di luar rumah saja tanpa membenarkannya masuk ke dalam rumah.Malangnya, sehari saja kucing itu dibela, ia telah melarikan diri dan tidak dapat dijejaki.Hairannya, macammana kucing itu boleh memanjat gril di ruang dapur yang begitu tinggi untuk melepaskan diri.

Alang-alang sudah ada sangkar kucing yang agak besar, suami mula mengurung anak kucing yang selalu bertandang ke rumah kerana kucing tersebut tidak dijaga dengan dengan baik oleh tuannya(sentiasa merayau-rayau ke rumah oang lain untuk mencari makan).Tidak tahan dengan baunya yang kuat,tiga daripada lima kucing tersebut telah dihantar ke kampung.Maka tinggallah dua ekor sahaja kucing yang diletakkan di bahagian belakang dapur.Kini, bilangannya sudah bertambah menjadi empat. Jarang-jarang sekali mereka dilepaskan ke dalam rumah.Usaha untuk meletakkan kucing-kucing tersebut di luar rumah masih dalam proses.Jika dah itu minat suami, saya tak boleh nak kata apa melainkan memberi syarat kepadanya kerana bimbang kucing-kucing itu akan membawa masalah kepada saya dan bayi kelak.

DAH BESAR KUCING NI SEKARANG...DULU KECIL2 LAGI



Rabu, 3 Ogos 2011

Cek Mek Molek


Kuih yang selalu diidamkan apabila mengandung.Rasanya dah lama tak makan kuih ni.Hari ni operasi membuat kuih ini dijalankan walaupun agak kepenatan.Sambil duduk di kerusi, keledek dilenyek.Biasanya, mana ada saya buat kerja sambil duduk walaupun dah ada meja untuk kerja-kerja di dapur.Walaupun kurang menjadi kerana terlebih gandum, tapi puas hati juga menghadapnya.
1.Ubi direbus hingga lembut dan dikupas,kemudian dilenyek.
2.Campurkan gandum sedikit demi sedikit dan uli hingga jadi doh.
3.Bulatkan doh kecil2 menjadi bebola. Kemudian doh tadi dileperkan dgn tangan,kalau kemudian letakkan sedikit gula di tengah dan bentukkan menjadi bujur.
4.Setelah itu bolehlah digorengkan didalam kuali yang berisi minyak yang panas.

Selasa, 2 Ogos 2011

Selamat Berpuasa...

Hari ni dah hari yang kedua kita berpuasa.Semalam, saya hanya masak bubur lambuk saja.Hari ni nampaknya kenalah jengok kat kantin untuk menapaunya.Bila dah puasa, rutin mengaji Quran makin rancak. Bila dah habis Ramadan, bacaan Quran makin sepi.Alahai...Susahnya nak amalkannya..