Isnin, 29 Disember 2014

Diari Perancangan Tahunan 2015

Masa ke kedai buku,nampak diari ni.Bagi yang tak berdisiplin untuk menulis di diari seperti saya ni,elok juga diari sebab tak mahal dan nipis saja.Bagi yang sudah biasa menulis dalam diari, tak jadi masalah nak membeli yang tebal dan mahal kerana diari tu semestinya akan dimanfaatkan.

Ada dua saiz iaitu kecil dan sebesar kertas A4.Yang saiz A4 tu berharga RM 4.90 tanpa kulit keras.Yang berkulit keras berharga RM8.90



Jam Tangan di Lazada

Jam hitam ni saya beli di Tesco pada bulan September dulu berharga RM 125 setelah dapat diskaun 20%.

Gara-gara kakak minta carikannya peralatan elektrik yang ada jualan murah di Lazada,saya mulalah masuk ke web Lazada,padahal sebelum ni tak pula berminat nak membelek-belek barang di Lazada.Bermula dari hari tersebut,mulalah iklan Lazada terpampang depan mata macam mempelawa saya untuk membeli-belah pula.Kemudian,ternampaklah jam jenama Casio seperti jam yang baru dibeli di Tesco baru-baru ni.Mulalah gatal tangan nak mencari jam yang murah di Lazada.Jumpalah dengan jam yang hilang tempoh hari tapi dah dijumpai selepas saya membeli yang baru pada hari yang sama.Nak buat macam mana,tak ada rezeki.Bagi orang macam saya yang bukannya mengejar jenama sangat bolehlah beli di Lazada.Yang mahal pun ada...

Nota kaki:baru perasan di Saujana Utama juga ada menjual jam sebegini.Dah bertahun-tahun saya membeli jam di Setia Alam ...

Ahad, 28 Disember 2014

Bentuk Bantuan untuk Mangsa Banjir

Catatan ini bukannya nak berkongsi agensi atau sesiapa yang membuat kutipan untuk mangsa banjir tetapi nak berkongsi barang-barang yang boleh disumbang kepada mangsa banjir.


Sebut saja makanan dalam tin,teringat biskut tawar yang menjadi kegemaran masa kecil-kecil dulu yang dicicah dengan air teh o panas,sedapnya.Tambahan pula pada musim hujan sebegini.Tapi,dah lama tak makan biskut ni.Bukannya dah berubah selera tapi tak pula dijumpai biskut ni di kedai.Sekarang ni kurang yakin bila beli biskut yang bertimbang.Nak juga cari biskut yang ada logo halal tu.Padahal masa kecil dulu memang beli bertimbang saja biskut tu tapi di kedai Melayu.


Nota kaki:Jika nak memberi sumbangan,banyak pihak yang tampil untuk tujuan tersebut di persekitaran kita.Anggaplah sumbangan tu sebagai sedekah...


Jumaat, 26 Disember 2014

Syarat Kemasukan ke Kelas Sains T4

Isu PT3 reda seketika dengan musibah terbaru,banjir di Kelantan.Moga-moga segalanya selamat.Doa dan solat hajat perlu dipergiatkan.
Masih lagi berkenaan dengan keputusan PT3.Jika sebelum ni,pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran akan masuk ke kelas sains,tapi untuk tahun depan,markah Pentaksiran Sekolah(PS/PBS-band),PT3 dan  Psikometrik digunapakai untuk pemilihan pelajar ke kelas sains.Pelaksanaan PBS digunapakai sepenuhnya.Jika sebelum ini,keputusan PMR sahaja dilihat untuk kelayakan kemasukan ke kelas sains.
PBS merangkumi 4 elemen iaitu PS,PT3,PAJSK dan Psikometrik.
@PS yang berkaitan band yang diperoleh oleh murid
@PT3 yang dijalani oleh pelajar dalam bulan Oktober menggantikan PMR dalam bentuk ujian bertulis
@PAJSK pula markah PJPK dan aktiviti kokurikulum pelajar
@Psikometrik yang dijalani oleh pelajar selepas menduduki PT3 yang dikendalikan oleh kauselor dan berkait rapat dengan minat dan kecenderungan pelajar.

Anak saya yang berada di Tahun 3 pun telah mendapat surat untuk menduduki ujian Psikometrik ini.Maknanya,di sekolah rendah pun pelaksanaan PBS tetap sama.Ujian Psikometrik juga penting untuk kemasukan ke sekolah Teknik atau Kolej Vokasional

tak ramai pelajar dapat keputusan semua A dalam mata pelajaran.Angka tak rasmi,tak sampai 100 orang pun.Di SMKBBSB,alhamdulillah,seorang pelajar yang juga anak kepada guru BI ni telah mendapat 10A.

Nota kaki:Saya mula memahami sebab guru-guru di sekolah meletakkan anaknya di sekolah yang sama,malah ada juga guru yang mengajar anaknya sendiri.Semuanya untuk memastikan kecemerlangan supaya mudah untuk memantau perkembangan anak-anak dalam pelajaran.

Beli Buku Atas Talian di Bachabooku

Memang tak suka dengan ejaan macam tu.Nasiblah BM.Tapi,nak kongsikan koleksi novel Aisya Sofea yang murah ni.







Khamis, 25 Disember 2014

Banjir di Pantai Timur...


    Sayu membaca dan melihatnya,namun apakan daya kita.Berdoalah saja kerana itu saja senjata kita.

Bangun pagi tadi,tiba-tiba terfikir:bagaimana keadaan mereka sekarang?Persoalan yang sama menjelma semasa kehilangan MH 370 dulu.Mudah-mudahan hari ni keadaan semakin reda dan mereka telah diselamatkan.

Nota kaki:Semasa di kampung dulu,fenomena biasa mengalami banjir semasa tengkujuh tapi belum sampai tahap kritikal sebegini.Dulu,banjir setakat berpindah saja  tapi rumah saya tak pernah pula sampai kena berpindah..

Kenyataan Akhbar Kementerian Pendidikan Malaysia Pentaksiran Tingkatan 3 Tahun 2014


Dari kaca mata saya,pelaksanaan PT3 sangat membebankan guru.Mengapa saya kata begitu?Prosesnya agak leceh dan perkara ini juga sulit.SULIT untuk memperkatakan perkara di belakang tabir di sini.Walaupun saya hanya guru biasa,namun sebagai guru yang mengajar dua subjek PT3,amat terasa bebanannya.Semasa pelaksanaan PMR,saya juga mengajar dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.Tahun ini pun saya mengambil pakej yang sama walaupun tahu bebanannya namun,demi kepakaran dan opsyen saya dalam dua subjek tersebut,saya sayang untuk menggugurkan salah satunya.Tidak perlu saya nak menyenangkan diri sendiri jika pihak lain pula yang bermasalah.
Alangkah baiknya jika pelaksanaannya seperti PMR dulu,pentabdiran soalan PT3 diurus oleh LP dan bukannya guru-guru sekolah.

Nota kaki:Tiba-tiba rasa kerjaya guru tidak semanis dulu dan jika ada jalan untuk pencen awal,memang akan pencen awal...
Di sekolah,semua perkara kena tahu.Bila di rumah,panjat tangga untuk tampal KD  dan pegang mesin gerudi pun dah tak jadi masalah kerana sifat serba boleh tu dah teruji di sekolah....

Isnin, 22 Disember 2014

Keputusan PT3 2014

Sukar nak menceritakan perihal PT3 kerana pelaksanaan PBS ni sering menjadi isu.Apa-apapun,terimalah seadanya keputusan hari ini dengan berlapang dada.PT3 agak berbeza dengan PMR kerana soalan PT3 tiada soalan objektif memandangkan semua soalan berbentuk struktur dan esei yang mempunyai KBAT-kemahiran berfikir aras tinggi.Jika anak-anak tidak suka berfikir,bolehkah tercapai KBAT tu?Cikgu di sekolah sukar nak ajar pelajar mencari jawapan KBAT tu jika tanpa pengetahuan dan pengalaman.Jadi,sebagai ibu bapa,jika anak-anak bertanya,layan sajalah mereka di samping doronglah mereka untuk membaca dan berfikir.Keputusan PT3 tidak dibuat penggredan secara keseluruhan seperti PMR.Jika PMR dulu,markah lulus dan markah A tiada sesiapa pun yang tahu kerana Lembaga Peperiksaan yang menentukannya.Pelajar di kelas yang hampir corot pun boleh lulus semua untuk BM tapi kali ini jenuh saya melihat pangkat F.Gred yang diperoleh di peringkat sekolah digunapakai untuk penggredan PT3 sebenar.Memanglah merudum.
inilah rupa slip.slip?dah nampak macam sijil.SU PT3 yang cetak.memang tabik springlah kerja SU PT3 ni..minggu lepas lagi mereka bekerja.hari ni baru habis kerja mereka.semuanya 10 subjek kerana ditambah dengan lisan BM dan BI....


masa inilah pelajar boleh berselfie.kalau masa lain,haruslah telefon tu kena rampas oleh cikgu


Nota kaki:pelajar tingkatan 1 sekarang tidak boleh main-main kerana masa yang panjang boleh memahirkan mereka untuk menguasai format PT3...

Nota kaki:Bagi mengubat lara,selepas habis penyerahan keputusan PT3,saya ke Aeon Big Kota Damansara untuk membeli kasut.Untungnya,beli satu dapat satu lagi.Oklah tu.Kalau beli di Bata,belum tentu dapat percuma.Masa balik,cadangnya nak singgah ke The Strand pula tapi tak jumpa jalan ke sana tapi masuk terus jalan balik.Ha3...Hingga sekarang masih terfikir,macam mana boleh jadi begitu?Kena pergi sekali lagi ni supaya betul-betul hadam jalan di situ....

Ke Diy- Gembira Dalam Duka

Jam yang baru 3 bulan dibeli dah hilang. 
Lupa tempat letaknya.Inilah bahana jika suka letak barang tak bertempat.Dah merata-rata tempat mencari tapi tak jumpa juga sedangkan Isnin dah mula kena ke sekolah.Jamlah aksesori yang perlu ada.Tak ada jam tangan,susah sikit rasanya.Memang ada alasan untuk ke Tesco Setia Alam kerana saya selalu membeli jam di situ.Bila masuk  ke Tesco,bukan kedai jam yang dituju dulu tapi Mr Diy kerana itu yang sangat teruja.
Dari jauh nampak merah saja kerana Diy dah bertukar deko untuk Tahun Baharu Cina.Masuk saja kedai tu,nampak kosong saja bahagian kertas dinding.Hati mula cuak.Bila ditanya dengan pekerjanya,barang dah berubah tempat di kedai satu lagi.Memang perasan,barang-barang di Diy ni selalu bertukar tempat.Macam kita juga,selalu buat perubahan dalam rumah.Sebelum keluar dari kedai ni,jengok dulu bekas hijau untuk letak stok makanan yang dibeli dulu tapi tak ada.Jengok lagi penimbang berat,ada pun tapi agak mahal.Rasa-rasanya sebelum ni pernah beli penimbang yang lebih murah daripada ini tetapi dah lupa tempatnya.Nak tak nak,beli jugalah penimbang yang berharga RM 38 tu kerana suami dah beberapa kali menyebut saya dah gemuk.
Sebelum beli penimbang berat tu,uji dulu sama ada ok atau tidak.Naiklah atas penimbang tu,oohhhh memang berat.Berat makin bertambah,seberat awal-awal mengandung dulu.Patutlah suami dah bising.Tak pernah saya mengalami penambahan berat badan macam ni melainkan masa mengandung saja.Memang tak mengandung pun sekarang ni sebab kilang dah ditutup kerana ketiga-tiga anak dilahirkan melalui pembedahan.Tak kan beli penimbang saja,kan?Urusan untuk membuang sekurang-kurang 5 kg tu akan difikirkan kemudian.

Bila lalu depan kedai jam,ramai pula orang di kedai tu menyebabkan tak jadi nak singgah tapi terus masuk ke Mr Diy satu lagi untuk cari kertas dinding.
 Kertas dinding yang bercorak kayu dan jubin saja yang banyak.Corak lain,hanya ada beberapa saja dan corak yang dicari langsung tiada.
Nak menjerit rasanya bila lihat corak hijau yang dicari selama ini ada depan mata tapi saya dah tampal corak lain di bawah kabinet dapur.Corak hijau ni memang sangat sesuai untuk bawah kabinet.Apa nak buat?Dah terlambat,bak kata Upin & Ipin.Memang kena redalah.Tak boleh nak tukar-tukar dah.Solusinya,kena cari satu tempat lagi atau campur corak saja kalau malas nak cari di tempat lain.
Masa nak balik barulah saya singgah semula di kedai jam.Masa tu dah tak ada orang lain kecuali seorang lelaki Cina(tuan kedai rasanya) saja.Tuan kedai nak beri 25% diskaun sedangkan dalam kedai tu ditulis 20% saja.oklah tu kalau tuan kedai sendiri nak beri,tak perlu nak tawar-menawar lagi kerana saya kalau bab membeli,memang tak pandai nak minta murah-murah.Saya minta jam yang senang dibuka sebab jam yang dibeli tempoh hari agak susah dibuka.Adapun tapi harganya mahal sikit.Tuan kedai tambah 5% lagi diskaun tanpa diminta.Jadi,saya dapat 30% diskaun untuk jam yang dibeli.Tak pastilah sama ada pelanggan  sebelum ini memang dapat harga tu atau rezeki saya saja untuk hari ini.Tapi,sekurang-kurangnya saya tak perlu nak tawar-menawar lagi.Kebiasaannya,saya hanya dapat harga diskaun yang ditulis sahaja.

beli juga kertas dinding ni...tiba-tiba ilham datang walaupun pada mulanya memang tak nak beli

Nota kaki:Mengapalah bersungguh sangat nak mencari kertas dinding ni?Makin tersuntik untuk buat dengan sempurna kerana kertas dinding yang ditampal sebelum dipuji oleh mak.Siap beritahu adik lagi...Cantik.Memang kembang semangkuklah...

Ahad, 21 Disember 2014

Dah Nak Mula Bekerja

Sekadar gambar hiasan

Selamat malam.Esok dah mula ke sekolah untuk penyerahan slip PT3.Khabarnya,keputusan agak teruk untuk tahun pertama ni.Lusa pula akan mula bermesyuarat untuk dua hari lagi.Maknanya,tiga hari sebelum Krismas ni akan ke sekolahlah sedangkan banyak lagi perkara yang nak dibuat belum dibuat lagi.Cepat betul masa berlalu.Apa-apapun,rutin akan berubah selepas ini tapi diharapkan tidak mengganggu hobi yang satu ni.

Bantal Hiasan Berenda

Masa ke Jakel tempoh hari ada jualan lelong untuk bantal hiasan yang bercorak bunga dengan harga RM25 untuk satu.Masa itulah baru tersedar bahawa bantal di Desa Murni Batik,KT tu memang murah.Mulalah teringat-ingat.Bila dah macam tu,memang kena beli.Nasib baiklah adik yang ada di KT tu kerap ke KL.Minta dia belikan.Semalam,dah dapat bantal hiasan tu tapi tak tahu tempat nak letak lagi.Warna putih tu memang tak boleh lasak,nanti cepat kotor.Mungkin sesuai letak di dalam kereta.


Empat semuanya.Memang susah juga nak bawa kalau beli tempoh hari dengan 4 beg yang ada..

Sabtu, 20 Disember 2014

KD Tak Cukup-Misi ke Diy Lagi

Petang semalam,saya sambung menampal kertas dinding di bahagian bawah kabinet dapur lagi kerana sudut kopi tu belum sempat dikerjakan lagi.Rasa macam banyak lagi kertas dinding tu tapi bila ditampal,hanya cukup untuk satu sudut saja.Satu sudut di atas ni belum cukup sedangkan sudah 10 meter dah digunakan.Maklumlah,banyak juga lebihan yang dipotong untuk menyambung coraknya.Jadinya,misi menerjah ke Mr Diy lagilah ni.Ye,ada alasan hujung minggu ni nak keluar jalan-jalan lagi.

Jumaat, 19 Disember 2014

Jalan-jalan di Bukit Malawati,Kuala Selangor

Sebelum ni perkhidmatan trem disediakan untuk naik ke puncak Bukit Malawati ni tapi semasa petang semalam,tidak nampak pun trem di kaki bukit.Tak pasti sama ada trem memang tidak disediakan atau tiada untuk waktu agak petang kerana dah lama tak datang ke sini.Pertama kali dulu masa 2004.Dah 10 tapi tak pasti pula waktu dulu tu dah ada trem atau tidak.
Yang menariknya di sini ialah kehadiran monyet-monyet.Ramai juga penjual makanan untuk monyet ni.Monyet-monyet ni pantang nampak makanan,ia akan menyambar di tangan orang.Itulah yang berlaku kepada Ammar.Baru saja pegang seikat kacang,dah disambar oleh monyet.Habis rugi RM 2.Lepas tu,Ammar dah jadi takut untuk pegang makanan monyet.Terpaksalah suami menyorokkan kacang panjang tu dalam bajunya.Bila nak beri monyet makan,barulah seluk dalam baju untuk ambil kacang panjang yang dipotong pendek-pendek tu.Bila tengok situasi ni,kelakar pun ada...alahai monyet.
inilah rupa trem yang diambil daripada GOOGLE tu.sangkakan akan boleh naik trem tapi tak ada rezeki..

Ammar tanya:tempat apa ni ummi?macam mana nak jawab dengan mudah supaya dia faham dan tak tanya-tanya lagi...Pasal Selangor dan Bugis ni ada dalam sejarah T1...masa saya belajar sejarah dulu dah ada cerita pasal Bugis ni..sukaran tak bertukar pun sejak 1990 lagi...
sumbernya di sini

peta.hanya singgah di Muzium dan kawasan yang hampir Perigi Beracun






Nak ke Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor













depan muzium






aksi monyet yang sedang mencuri pisang salah seorang pengunjung yang terleka kerana asyik bergambar..pisang dalam beg telah dikeluarkan oleh monyet dan dimakannya...


antara tiga beradik ni,Akmal saja yang berani dan dapat beri monyet makan dengan baik.abang-abangnya takut..






Lepas tu kami singgah di Borhan Cendol Durian.