Memaparkan catatan dengan label Hasil Pena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hasil Pena. Papar semua catatan

Ahad, 14 Februari 2021

Melamar Bahagia



Assalamualaikum... Sempena cuti Tahun Baharu Cina baru berkesempatan singgah di blog ini. Gigihnya saya merangka bab dan mengumpul cerita daripada blog ini untuk dibukukan kisah hidup saya. Saya bukannya sesiapa tetapi hasrat untuk melihat kisah saya dalam satu buku sebagai kenangan agak menebal sehingga saya nekad untuk menghabiskan penulisan kisah hidup. Buku ini masih dalam proses edit oleh editor. Tajuknya pun belum terkini tapi itulah bayangannya. Mengapa ada kaitan dengan bahagia?Adakah saya tidak bahagia?Bahagia itu subjektif.
Dapat ke Sabah dan mencari pasu hijau seperti dalam gambar itu pun sudah membahagiakan.Buku ini mengisahkan seorang remaja yang sangat minat menulis sejak zaman sekolah tetapi terpaksa melupakan minatnya untuk mengambil kursus tersebut di U setelah melihat keadaan ekonomi keluarga dan negara juga mengalami kemelesetan pada masa itu. Setelah memperoleh kursus perguruan di universiti,dia berlapang dada kerana mungkin dia akan mengubah nasibnya nanti.Minat untuk menulis boleh diteruskan setelah bekerja kelak kerana ramai guru yang menjadi penulis.Penempatan pertamanya sebagai guru di Sabah tidak membuka peluang untuknya menulis.Setelah berkahwin dan berpindah di Shah Alam, dia cuba untuk merealisasikan minat menulisnya dengan menulis di blognya sendiri. Ternyata,menjadi guru di Semenanjung sangat banyak cabarannya.Bagi mengatasi stres yang dihadapi,dia lebih suka melakukan hobinya: menghias rumah,  menulis di blog, menjahit, dan melancong yang mendasari  cerita dalam bukunya.Tahun 2018, detik yang diingati apabila dia melihat banyak peluang untuk menulis berbanding sebelumnya.Paling manis, buku itu akan terbit sempena 20 tahun  bergelar guru. 

Menulis kisah hidup agak sukar sebenarnya berbanding menulis cerpen kerana cerita yang ditulis mesti betul-betul berlaku dan bukannya kisah yang direka-reka. Sukarnya hendak mengingat kisah lampau.

Ahad, 18 Oktober 2020

Antologi Cerpen Remaja:Kuntum Kasih



Cerpen yang ditulis masa tingkatan enam tak silapnya. Tulis tangan saja dan simpan untuk koleksi sendiri.Bila ada penerbitan untuk cerpen remaja, barulah saya murnikan semula masa PKP dulu.Latarnya diubah Sungai Buloh dan Kuala Selangor.
Saya menyukai novel Puteri Andalas yang bertajuk Tak Terluah.Disebabkan tak terluah perkara sebenar, banyak peristiwa yang berlaku.

Cerpen Ranting Kasih Bertaut Kembali ini pula disebabkan banyak mulut, timbul masalah. Cerpen ini mengisahkan hubungan kekeluargaan yang terputus disebabkan mulut tempayan.Watak Aku terputus hubungan dengan bapa kandung disebabkan fitnah.Teknik diari merupakan eksperimen saya masa remaja. Saya kekalkan.Dengan membaca diari, tersingkap satu rahsia.

Bila baca tajuk, pasti dah tahu penamat ceritanya. Susah juga nak mengadun cerita ni untuk menyamai tema kerana pada awalnya cerpen tersebut tidak bertema sedemikian. Bila dapat draf galei, terasa nak mengubah pula jalan ceritanya supaya tidak berbelit-belit, namun takkan nak menyusahkan editor pula nak mengubah banyak perkara. Terpaksa reda.

 

Buku Travelog:Terengganu


Buku travelog pertama, jalan-jalan di KT saja kerana nak melihat Jambatan Angkat setelah selesai urusan rasmi menjadi geng pen merah untuk SPM.Tak berapa nak seronok balik Terengganu ni kerana musim tengkujuh.Saya masih menunggu kehadiran buku ini dalam proses penerbitan.Tunggukan travelog Sarawak dan Sabah kerana mencari pasu.Cepat-cepatlah berlalu pandemik COVID-19, travelog menjejak pasar karat pula ditunggu-tunggu.






 

Sabtu, 23 November 2019

Ragam Cikgu-cikgu untuk Guru Bersara

Semasa saya sedang menulis anekdot ni,memang hujung tahun.Sebelum saya bercuti ke Sabah pada tahun lepas,saya sempat hantar karya ni.Kesemua lima karya yang tidak melebihi 500 patah perkataan seperti yang dikehendaki oleh penerbit dapat ditulis dengan baik apabila memperoleh 'punchline'.Bila dah hantar  karya,baru terfikir ada beberapa karya yang tidak menepati tema.Berserah sajalah bila karya telah dihantar.

Jika boleh diedit,penerbit akan menerimanya.Jika tidak sesuai,nama akan dicantas awal-awal lagi.Tidak lama kemudian,saya dimasukkan dalam kumpulan 'WhatsApp' Ragam Cikgu-cikgu.Alhamdulillah,karya saya telah diterima.Setelah dimurnikan oleh penerbit,karya makin selari dengan tema.Bukan mudah kerja seorang editor. 

 Anekdot merupakan genre yang ketiga selepas penulisan cerpen dan kisah hidup.Memandangkan saya guru Bahasa Melayu,kesalahan bahasa dapat saya kurangkan tetapi jalan cerita ada kalanya tak nampak untuk jadikannya menarik.

Disebabkan kakak di sebelah saya akan pencen pada tahun hadapan dan kebetulan pada masa itu dia bertugas mingguan,saya gunakan namanya.Untuk meletak nama seseorang yang dekat dengan kita dalam karya,cerita mesti memaparkan unsur baik sahaja supaya dia tidak terpalit dengan imej buruk.

Sebenarnya,dalam tulisan saya perkara yang tidak elok ditulis sepintas lalu saja dan tidak pula disebut nama.Kadangkala kisah buruk tidak dapat dielakkan terutamanya berkaitan penulisan kisah hidup,cuma tak perlu dipanjangkan hal itu dan sebut secara umum sahaja.





Dua-dua dah pencen


Nota kaki;Saya sedang menunggu dua lagi buku yang bakal diterbitkan  tentang guru.Satu karya masih penerbitan KTR dan satu lagi buku kisah hidup tentang gelagat 3 UIAM,ada panduan menulis ringkasan dalam tu.


Isnin, 13 Mei 2019

Dua Buah Buku Antologi



Salam Ramadan..
Lama menghilangkan blog ini dari radar kerana telah disalahgunakan oleh pihak lain secara tidak sihat.Blog biasa-biasa pun tetapi ada juga yang berniat jahat.
Tahun 2018,saya mula mencari peluang.Maka,inilah hasilnya.Bila dah terbitbuku,makanya diharapkan akan ada buku-buku yang lain pula.
Antologi cerpen Kali Pertama bertemakan kali pertama. Antologi kisah hidup bertemakan ibu merupakan fokus bagi buku yang satu lagi. Alhamdulillah, hasil dah nampak. Nantikan satu buku lagi selepas raya.. Surat beranaknya difahamkan sudah ada, cuma bukunya dalam proses.. 

Sabtu, 2 November 2013

E-Novel

Selamat berhujung mingggu.Alhamdulillah,selepas tiga hari bertungkus lumus di Bilik SPBT untuk pemulangan buku teks tingkatan 4,hari Jumaat dapat bercuti panjang hingga Selasa.Hari Jumaat nanti,sambung lagi kerja-kerja di SPBT untuk buku teks tahun hadapan pula.

Hari cuti ni santai-santai di rumah sambil belajar untuk buat e-novel pula.Novel dah ada,cuma disimpan saja.Biarpun temanya kahwin paksa seperti yang ada di pasaran sekarang,namun saya cuba untuk memberi kelaian dengan menyentuh soal agama dalam hal ini.Novel ni dah ditulis semasa Ammar masih kecil iaitu pada tahun 2005 lagi tapi disebabkan menulis secara suka-suka,tak tahu nak sambung cerita,makanya plot cerita itu dilompat.Banyak bab yang masih lompong.Sejujurnya,sangat susah untuk menjadi novelis.

Isnin, 27 Februari 2012

Cintamu Senipis Kulit Bawang


Cerpen kedua tulisan saya.Cerpen ini sebenarnya kisah benar yang berlaku semasa saya mengajar di pedalaman Sabah.Semasa saya mula-mula kahwin,rakan-rakan tidak berani nak menceritakan kisah ini memandangkan suami saya juga tinggal di Semenanjung sedangkan saya pula di Sabah.Apabila saya mendapat surat pertukaran ke Selangor,barulah ada rakan yang berani buka mulut dan menceritakan hal ini.Penamat cerita ini hanyalah rekaan mengikut pandangan saya saja sebagai wanita kerana saya tidak tahu cerita selanjutnya.Setahun kemudian,barulah cerpen ini disiarkan.Itupun rezeki saya kerana melanggan Majalah Keluarga,jika tidak melanggan majalah tersebut mungkin saya tidak tahu.Dilarang menyalin cerpen ini kerana ini hanya ialah karya kreatif saya yang perlu saya pertahankan.


Selepas loceng kedengaran menandakan tamat masa keempat, Aiza cepat-cepat berlalu meninggalkan kelas 4 Hamka. Tekaknya terasa semacam. Cuba ditahannya supaya tidak memuntahkan sesuatu.
Dia mempercepat langkah menuju ke bilik guru.
“Kenapa pucat sangat kau hari ni?” Tegur Kak Noraini yang berada di mejanya berhadapan dengan meja Aiza.
“Tak taulah. Tekak ni semacam je.” Jawab Aiza sambil menarik kerusinya. Kemudian laci meja ditarik dan mengeluarkan satu plastik yang berisi asam.
“Nak?” soal Aiza kepada Kak Noraini sambil menghulurkan plastik tersebut.
“Tak apalah. Akak rasa Aiza mengandung ni,” teka Kak Noraini guru siswazah dari USM yang serumah dengannya itu.
“Tak tahulah…tapi bulan ni dah lambat dah…”
“Tak nak ke kantin?” soal Kak Noraini lagi sambil bangun dan menolak kerusinya ke bawah meja.
“Tak apalah, lepas ni ada kelas.” Asam yang berada di tangannya ligat sahaja menjadi sarapannya.
“Nak kirim?”
“Tak apalah kak. Tak ada seleralah nak makan. Lagipun di kantin tu tak banyak pilihan makanan.”
“Tak elok biarkan perut tu masuk angin. Makan asam tu bukannya boleh kenyang.”
“Lepas kelas nanti Za pergilah kantin. Tengok ada lagi tak bihun sup.”
“Akak bungkus jelah untuk Za.”
“Macam mana nak makan bihun sup tu, Za bukannya ada mangkuk.”
“Akak ada kat dalam laci tu. Tak ada masalahlah kalau setakat nak makan bihun sup tu.”
“Kalau begitu, bolehlah. Terima kasih ye kak.”
Aiza menumpang kereta Kak Noraini balik dari sekolah. Kak Noraini yang sudah tiga tahun mengajar di sekolah itu memang pemurah dan peramah orangnya. Aiza memang menyenangi sikap Kak Noraini. Selepas balik dari sekolah, mereka singgah ke kedai makan Faizah satu-satunya restoran milik orang Pantai Timur yang dapat memenuhi seleranya sebagai orang Pantai Timur terlebih dahulu untuk membeli makanan tengah hari. Kadang kala sahaja mereka masak di rumah. Sambal mempelam dan masak asam pedas ikan pari memang memenuhi selera Aiza yang sejak dari pagi lagi terasa loya.
Aiza cepat-cepat berlari ke tandas semasa sedang menghadap makan tengah harinya. Kak Noraini yang tua dua tahun daripadanya itu memandang dengan tanda tanya.
“Muntah lagi?” soal Kak Noraini sekembalinya Aiza dari tandas.
Aiza menganggukkan kepala.
“Kita pergi hospitallah lepas ni.” Cadang Kak Noraini.
Sekembalinya dari hospital, Aiza menyandar di atas kerusi. Fikirannya melayang.
“Apa yang difikirkan tu Za?” pertanyaan itu melenyapkan lamunannya. Serta merta dia bingkas bangun dan membetulkan letak duduknya.
“Dah beritahu suami?” soal Kak Noraini lagi sambil melabuhkan punggung di sofa bersebelahannya. Remote televisyen ditekan.
“Belum lagi. Nak buat supriselah, beritahu bila balik cuti sekolah bulan lapan nantilah…” jawab Aiza selamba.
“Akak nampak Aiza macam risau je ni, kenapa? “soal Kak Noraini. Aiza yang menyandar di sofa bersebelahannya itu direnung.
“Macam tak bersedia lagi nak jadi ibu, kak,” ucap Aiza perlahan.
“Jangan kata macam tu. Dah rezeki, kan,” nasihat Kak Noraini. Aiza diam.
Bukan itu sebenarnya yang bersarang di hatinya, tetapi ada pekara lain yang menyebabkan hatinya dirundung kerisauan. Manakan mungkin dia bercerita perihal rumah tangganya kepada teman serumahnya yang belum berkahwin itu. Bukan sahaja membuka pekung di dada tetapi akan mengguris perasaan teman serumahnya itu.
Masa berlalu begitu cepat. Cuti persekolahan bagi pertengahan penggal kedua telah berlalu. Seminggu Aiza di Terengganu. Esok dia akan mula bertugas. Pagi itu dia berlepas ke Sabah dan telah tiba di daerah tempatnya bertugas selepas asar. Kak Noraini yang tidak balik bercuti menyambut kepulangannya dengan gembira. Selepas solat asar, dia terlena sehingga lewat menunaikan solat maghrib setelah penat seharian dalam perjalanan.
“Kenapa termenung tu? Teringat kat suami ke?” pertanyaan Kak Noraini segera mematikan lamunan Aiza. Aiza tersenyum kelat apabila nama suami disebut Kak Noraini.
“Ehh akak. Terkejut Aiza,” ucap Aiza perlahan. Dia tersenyum sipu kerana telah tertangkap oleh Kak Noraini. Aiza sedar, sejak dia kahwin, dia sering termenung dan mengelamun.
“Sedang mengelamun, macam mana tak terkejut.” Sinis Kak Noraini bersahaja.
“Akak ada berita nak beritahu Aiza. Nak dengar tak?” soal Kak Noraini sambil melabuhkan punggung di sisi Aiza di sofa panjang.
“Apa dia?’ Soal Aiza dengan tanda tanya sambil merenung tajam ke arah teman serumahnya itu.
“Kamal melamar akak tiga hari lepas.”
“Ye ke? Tahniahlah. Bila pulak nak makan nasi minyak? Patutlah akak nampak berseri je sekarang ni. Orang tengah dilamun cinta.” Segera terbayang di fikiran Aiza, guru yang agak berusia berbandingnya yang sama-sama mendaftar diri mengajar di daerah ini awal tahun lalu. Guru itu belum berpunya rupa-rupanya.
“Hujung tahun ni. Lama lagilah akak kat Sabah ni,” ucap Kak Noraini seakan mengeluh.
“Lama pun tak apa asalkan berada di sisi orang yang tersayang. Tak bertunang dulu ke?”
“Macam mana nak bertunang? Dua-dua kat sini.”
“Ye tak ye jugak. Tak bertunang tak apa. Dua-dua kat sini, tak ada masalah nak kenal hati budi masing-masing. Jangan jadi macam Aiza dahlah. Dahlah masa bertunang tiga bulan tu pun tak sempat nak kenal hati budi masing-masing, bila dah kahwin buat hal pulak.” Tukas Aiza seakan mengeluh.
“Kenapa dengan Aiza?” Soal Kak Noraini penuh tanda tanya.
“Entahlah kak. Suami Aiza tak mengaku anak dalam kandungan ni anak dia.” Meluncur kata-kata itu. Melopong seketika Kak Noraini mendengarnya.
“Kenapa jadi macam tu? Habis tu, sekarang ni macam mana?” soal Kak Noraini penuh berminat.
“Tunggu anak ni lahir dulu, baru uruskan penceraian kami.” ucap Aiza sambil meraba perutnya yang masih belum nampak kerana dia baru mengandung dua bulan lebih.
“Astaghafirullah..” Kak Noraini beristigfar panjang. Tak menyangka begitu sekali jadinya. Patutlah dilihatnya Aiza termenung panjang semasa menonton drama Sukma Rindu di kaca televisyen tadi. Rupa-rupanya sedih mengenangkan perkahwinannya yang tak seindah seperti yang diharapkan.
“Aiza bersabar jelah ye. Allah duga Aiza seperti ni, maksudnya Aiza boleh menghadapinya. Sabar ye.” Nasihat Kak Noraini setelah melihat ada genangan air mata di kelopak mata bundar Aiza.
Hari-hari yang berlalu dilaluinya dengan penuh kesabaran. Perkhabaran daripada suaminya tidak pernah sampai ke telinganya. Ibunya sering memujuk dirinya supaya bersabar kerana kita hanya boleh merancang tetapi hanya Allah jua yang menentukannya. Mengingatkan kata-kata itu, Aiza pasrah dan bersabar sahaja. Lewat sesi persekolahan akhir tahun, Aiza mendapat berita gembira kerana permohonannya untuk bertukar ke negeri kelahirannya telah diluluskan. Biarpun nanti dia akan sekampung dengan lelaki yang tidak mengakui janin dalam perutnya itu ialah anaknya, dia akan pastikan hidupnya nanti akan bahagia di samping anak yang bakal menjengah dunia kelak.
Biarpun sedih apabila mengenangkan perpisahannya dengan Kak Noraini yang banyak membantunya, tetapi demi anaknya yang bakal lahir kelak, dia perlukan keluarganya. Sakit pening mereka nanti biarlah ada tempat yang boleh bergantung harap meskipun suami sendiri tidak boleh diharap.
Aiza memandang kosong ke luar jendela. Diperhatikannya sekumpulan kanak-kanak yang sedang seronok bermain di tepi jambatan. Alangkah bahagianya mereka.
“Apa yang dimenungkan tu Za?” soal ibunya dari belakang. Aiza mengalih pandangan.
“Tengok budak-budak kat padang tu bermain. Seronok,kan jadi budak kecil. Tak ada apa-apa yang perlu difikirkan.”
“Budak-budak macam tulah. Apa yang Za sedang fikirkan tadi?” soal ibunya lagi.
Aiza mengusap-ngusap perutnya yang kian memboyot. Sesekali bayi dalam kandungannya itu menendang perutnya. Baru dirasainya nikmat seorang ibu. Soalan daripada ibunya itu dibiarkan tak berjawab kerana sukar untuk mencari kata-kata setelah banyak perkara yang difikirkan tadi.
“Tak usahlah dilayan perasaan tu, Za. Nanti tak elok untuk anak dalam kandungan tu. Perkara yang dah berlaku, biarlah. Nak buat macam mana, kita bukannya tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.”
“Kalau mak tahu macam ni jadinya, tak ingin mak bermenantukan Roslan tu.” Ibunya bersuara lagi sambil berlalu meninggalkan yang masih tercegat di tepi jendela hujan yang masih gerimis di luar.
Tiba-tiba kenangan silam datang menerjah di mindanya tatkala mendengar lagu Kuintai Cinta dalam Rahsia berkumandang di radio. Sayu pilu hatinya tiada siapa yang tahu.
“Macam mana? Kau dah fikirkan pasal tu? Mak rasa kau terima sajalah Roslan tu. Dia tupun cikgu, nanti senanglah sikit bila sama-sama cikgu. Tinggal dekat pulak tu,” nasihat mak kepada Aiza. Aiza mengeluh.
“Masalahnya mak, Aiza tak kenal dengan Roslan tu.”
“Dah kahwin nanti kau akan kenal dengan Roslan tu. Mak dulupun tak bercinta dengan ayah kau tu. Kami bertunang sebulan, lepas tu terus kahwin. Tak sempat pun nak kenal-kenal. Bahagia juga.”
“Dulu dengan sekarang tak sama, mak.”
“Kalau kali ni tak jadi jugak, dah lima kali kau tolak. Umur kau pun makin meningkat. Kalau kau tolak jugak kali ni, mak tak taulah bila pulak orang akan datang merisik kau lagi.”
“Umur saya baru 25 mak. Belum jadi anak dara tua lagi.”
“Disebabkan tak nak kau membujang lama-lamalah mak suruh kau cepat-cepat kahwin.”
“Kau fikirlah masak-masak. Mak rasa tak rugi kau terima lelaki tu.”
“Kalau mak dah setuju, saya setujulah. Malaslah saya nak fikir perkara ni lagi.” Aiza memberi kata putus. Yang pasti kata putus itu bukanlah datang dari hatinya, tetapi jawapan dari mulutnya yang penat bersoal jawab mengenai perkahwinannya.
Ibunya tersenyum mendengar jawapan itu. Gembira kerana anak gadisnya akan menamatkan zaman bujangnya setelah dua tahun si ibu tidak senang duduk apabila memikirkan pasal jodoh satu-satunya anak gadisnya itu.
Setelah tiga bulan mengikat tali pertunangan, mereka disatukan semasa cuti persekolahan. Namun, disebabkan tugas Aiza jauh nun di Sabah, setelah dua minggu bercuti, hujung minggu itu dia telah terbang ke Sabah semula bagi menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa di sana. Hidup berjauhan dengan suaminya memang satu penyiksaan tambahan pula sikap suaminya yang semacam endah tidak endah kepadanya. Tiga hari sekali barulah dia menerima panggilan daripada suaminya yang sekadar menanyakan khabar. Geram jika difikirkan perangai suaminya yang pendiam dan berkira itu. Tiba-tiba air mata membasahi pipinya apabila mengenangkan nasib anaknya kelak.
Semasa hari pertama Aiza memulakan tugas di sekolah baharu yang kebetulan berdekatan dengan rumahnya, dia dapati ada mulut yang berbisik sesama sendiri apabila memandangnya. Dia tidak pasti mengapa mereka perlu berbisik dan apa yang dibisikkan mereka. Yang penting dia mesti pandai membawa diri.
Rutin harian yang begitu sibuk menyebabkan Aiza jarang berpeluang bersembang dengan rakan sekerja yang lain. Apatah lagi apabila dia akan mula bercuti pertengahan bulan Mac menyebabkan dia tidak menang tangan menyiapkan kerja yang dipegangnya supaya tidak timbul masalah sepanjang ketiadaannya nanti. Tugasan untuk murid-muridnya juga perlu dibuat supaya murid-murid tidak akan ketinggalan sekiranya tiada guru ganti yang akan menggantikannya kelak.
“Cikgu Shamsul sibuk ke sekarang ni?” Soal Aiza.
“Taklah. Kenapa?” Cikgu Shamsul yang sedang tekun menulis rancangan mengajar itu mendongak memandang Aiza.
“Cikgu yang akan ambil alih kelas 2 Juara bila saya bersalin nanti?”
“Aahh..”
“Ini ialah murid-murid yang belum lagi menjelaskan yuran sekolah. Surat peringatan kedua dah saya buat. Nama murid untuk bulan April dan Mei dah saya tampalkan,” ucap Aiza sambil menunjukkan buku rekod kedatangan kepada guru Geografi itu.
“Bila masanya tu?” soal Cikgu Shamsul lagi sambil menunjukkan ke perut Aiza yang kian sedang sarat.
“Bila-bila masa ni.”
Dua hari kemudian, semasa Aiza sedang asyik menonton Cerekarama, tiba-tiba perutnya memulas. Pada malam iu juga dia bergegas ke hospital. Dia selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Tatkala mendengar berita kelahiran yang mengemparkan itulah, tengah hari itu suaminya bersama ibu mentua datang melawatnya di hospital.
“Bila boleh keluar wad?” soal Roslan yang berada di tepi katil sambil memandang ke arah Aiza. Aiza berpura-pura tidak nampak renungan itu. Geram betul hatinya bila mengingatkan apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu terhadapnya sebelum ini.
“Petang ni.”
“Nanti abang datang jemput ye. Kita balik ke rumah.”
“Tak payahlah datang jemput. Aiza balik dengan ayah nanti. Apa mimpi abang nak jemput Za. Abang dah tak ingat apa yang telah abang katakan kepada Za dulu?” Aiza bersuara keras.
“Aiza, perkara yang dah sudah tu, tak usahlah nak diungkitkan lagi. Kasihan kat anak ni, nanti tak berayah pula dia bila kamu berdua masih tak berbaik-baik.” Ibu mentuanya yang sedang asyik memerhatikan bayinya yang masih lena itu tiba-tiba bersuara memujuk.Geram Aiza mendengar kata-kata itu keluar daripada mulut ibu mentuanya yang seakan tidak sedar terhadap kesilapan anaknya sendiri.
“Sepatutnya itu yang abang fikirkan sebelum menuduh saya dahulu. Apa yang abang katakan kepada saya dulu tu memang saya tidak boleh lupakan. Apa gunanya hidup bersama sedangkan hati saya sudah tawar untuk menerima abang kembali. Biarlah kita hidup dengan cara masing-masing.” Aiza bersuara sayu.
“Sudah tidak ada peluang lagikah untuk abang menebus semula kesalahan abang?” soal Roslan sambil memegang erat tangan Aiza.
“Abang sudah tidak ada tempat di hati saya. Saya betul-betul serik dengan sikap abang sebelum ni,” jawab Aiza sambil merungkai genggaman Roslan.
“Sampai hati Aiza tak beri peluang kepada abang. Abang memang bersalah kerana menuduh Aiza yang bukan-bukan dulu. Tapi, demi anak kita, maafkanlah abang,” rayu Roslan.
“Aiza bukannya tidak maafkan abang, cuma untuk menerima abang kembali… itu tidak mungkin.”
Pengalaman dipandang serong masyarakat dan disisihkan oleh rakan sekerja memang perit baginya. Apa tidaknya, dia yang dituduh suami sendiri mengandungkan anak orang lain telah sampai ke pengetahuan masyarakat. Mulut manusia bukan seperti mulut tempayan yang mudah ditutup. Maka, tersebarlah berbagai-bagai cerita yang dibawa oleh masyarakat kampungnya. Dia hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Sesungguhnya Dia itu Maha Kaya. Doa hamba-Nya yang teraniaya dimakbulkan. Mulut masyarakat kampung yang suka mengata dan mengumpat itu seakan terkunci apabila dia telah melahirkan bayi lelaki yang seiras Roslan. Bayi itu akan menjadi bukti kesucian ibunya biarpun selama ini Aiza tidak berkata apa-apa untuk membela dirinya.




Khamis, 13 Januari 2011

Dapur Kering






Catatan dalam Setia Bersama(Majalah Anjung Seri Disember 2009)

Majalah Anjung Seri keluaran Jun 2006 merupakan koleksi pertama saya. Walaupun agak terlewat mengenali Anjung Seri, namun saya tetap berpuas hati kerana koleksi yang dimiliki amat besar peranannya. Bermula daripada keluaran tersebut, saya mula menjadi pembaca setia apatah lagi apabila mempunyai perancangan untuk membeli rumah sendiri pada tahun 2007. Majalah Anjung Seri merupakan salah satu panduan untuk menghias kediaman baharu yang akan didiami nanti.
Semasa menyewa, saya mengalami masalah untuk mewujudkan ruang dapur yang kemas dan menarik disebabkan tiada ruang penyimpanan yang khusus sedangkan peralatan dapur agak banyak. Saya berazam untuk mengubah keadaan tersebut apabila memiliki rumah sendiri kerana ruang dapur sering digunakan dan menjadi syurga bagi wanita. Dengan demikian, ruang dapur merupakan ruang pertama yang menjadi medan eksperimen saya. Saya cuba menzahirkan ruang dapur idaman dengan merujuk majalah Anjung Seri termasuklah majalah keluaran khas untuk dapur dan majalah Dapur Anjung Seri.

Memandangkan saya seorang ibu yang berkerja, tugas di dapur masih menjadi kemestian. Bagi memberi motivasi agar rajin turun ke dapur dan sentiasa berasa selesa serta tenang melakukan rutin-rutin harian walaupun agak kepenatan, saya cuba untuk menghidupkan ruang dapur. Dengan bajet yang sederhana disebabkan ruang dapur yang agak terhad, saya berjaya menjadikan ruang dapur saya berfungsi lebih daripada sebuah tempat untuk memasak dan menjamu makanan. Meja sarapan yang diwujudkan bersama kabinet pasang siap menjadi tempat untuk saya mengisi masa lapang dengan membaca dan menulis. Kini, Anjung Seri masih lagi menjadi tatapan untuk menjana idea bagi ruang-ruang yang lain.

Berdebar-debar menantikan keluaran Anjung Seri bulan Disember kerana artikel saya ini akan disiarkan dalam ruangan setia bersama.

Selasa, 1 Jun 2010

Setia Bersama 2


 Setelah disiarkan pada penghujung 2009, saya cuba sekali lagi.Sekadar mencuba kerana hadiahnya pinggan mangkuk.Memang tergoda dengan hadiahnya.Bila niat tak betul, rezeki pun tidak menyebelahi.

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi mengenai hiasan dalaman yang ada di kediaman baharu saya.Hampir tiga tahun mendiami kediaman baharu merupakan tempoh masa yang masih singkat bagi saya untuk melengkapkan kediaman dengan sempurna. Menghias kediaman sendiri memang memberi kepuasan biarpun hasilnya tidak segah sentuhan pakar. Contoh dekorasi yang ditonjolkan di dalam Anjung Seri memberi inspirasi buat saya untuk menata rias rumah mengikut citarasa dan kehendak saya.
            Bermula dengan ruang dapur yang menempatkan kabinet pasang siap yang diolah berdasarkan buku Dapur Anjung Seri, kebanyakan teman-teman yang berkunjung ke rumah memuji ruang tersebut. Dari situ, dengan minat yang mendalam, saya berdikit-dikit menghias kediaman mengikut peranan ruang-ruang yang ada di kediaman dua tingkat saya. Tanpa konsep tertentu, saya bebas memilih perabot dan barang-barang perhiasan yang sememangnya tidak mewah tetapi ruang yang didekorasi itu dapat menggambarkan suasana ceria dan harmoni.
            Melihat kesungguhan saya menunjukkan kreativiti menghias kediaman, suami pula seolah-olah terpanggil untuk menyerlahkan kreativitinya. Maka, terhasillah bingkai bagi tiga lekuk yang berbentuk empat segi di sisi tangga.Bingkai tersebut dibentuk bagi memberi fokus kepada pinggan hiasan yang bermotif bunga. Tempat pamer kereta mainan juga diwujudkan di sisi pintu masuk.
            Walaupun sudah banyak majalah dekorasi yang terdapat di pasaran kini, Anjung Seri tetap menjadi pilihan untuk santapan mata dan minda kala mempunyai masa senggang kerana dekorasi di dalam Anjung Seri tidak mengecualikan para peminatnya yang terdiri daripada golongan sederhana seperti saya yang mengimpikan dekorasi kediaman yang ringkas tetapi kemas dan  menarik. Membelek Anjung Seri bukan sahaja dapat menjadi terapi mata dan minda, malah panduan yang dipaparkan dalam ruangan Soaljawab, Sebelum Selepas, Sudut Kerja dan Ruang Penyimpanan juga dapat dimanfaatkan.

Sabtu, 13 Mac 2010

Akhirnya...


Hari ini mula menerima majalah Keluarga yang dilangganan untuk bulan April.Semasa membelek majalah tersebut,tiada yang menarik hinggalah ruangan cerpen ni.Cerpen saya telah disiarkan. Macam tak percaya sebab lama sangat.Sudah setahun lebih saya menghantar cerpen tersebut,kini baru disiarkan.Apa-apa pun saya mampu tersenyum lebar kali ni. Alhamdulillah, tersiar juga akhirnya.

Isnin, 22 Februari 2010

Ruang Dapur Minimalis


Rencana asal yang dihantar melalui emel pada bulan jun 2009:
Majalah Anjung Seri keluaran Jun 2006 merupakan koleksi pertama saya. Walaupun agak terlewat mengenali Anjung Seri, namun saya tetap berpuas hati kerana koleksi yang dimiliki amat besar peranannya. Bermula daripada keluaran tersebut, saya mula menjadi pembaca setia apatah lagi apabila mempunyai perancangan untuk membeli rumah sendiri pada tahun 2007. Majalah Anjung Seri merupakan salah satu panduan untuk menghias kediaman baharu yang akan didiami nanti.

Semasa menyewa, saya mengalami masalah untuk mewujudkan ruang dapur yang kemas dan menarik disebabkan tiada ruang penyimpanan yang khusus sedangkan peralatan dapur agak banyak. Saya berazam untuk mengubah keadaan tersebut apabila memiliki rumah sendiri kerana ruang dapur sering digunakan dan menjadi syurga bagi wanita. Dengan demikian, ruang dapur merupakan ruang pertama yang menjadi medan eksperimen saya. Saya cuba menzahirkan ruang dapur idaman dengan merujuk majalah Anjung Seri termasuklah majalah keluaran khas untuk dapur dan majalah Dapur Anjung Seri.

Memandangkan saya seorang ibu yang berkerja, tugas di dapur masih menjadi kemestian. Bagi memberi motivasi agar rajin turun ke dapur dan sentiasa berasa selesa serta tenang melakukan rutin-rutin harian walaupun agak kepenatan, saya cuba untuk menghidupkan ruang dapur. Dengan bajet yang sederhana disebabkan ruang dapur yang agak terhad, saya berjaya menjadikan ruang dapur saya berfungsi lebih daripada sebuah tempat untuk memasak dan menjamu makanan. Meja sarapan yang diwujudkan bersama kabinet pasang siap menjadi tempat untuk saya mengisi masa lapang dengan membaca dan menulis. Kini, Anjung Seri masih lagi menjadi tatapan untuk menjana idea bagi ruang-ruang yang lain

Khamis, 3 Disember 2009

Dapur Impiana Memberi Manfaat

Surat pembaca yang telah disiarkan dalam majalah Dapur Impiana April 2009.Gambar-gambar  ini merupakan sebahagian daripada aksesori di dapur.

Ruangan dapur bukanlah satu ruang yang tercorot dan tersembunyi dalam sesebuah rumah. Dapur juga wajar dihias sebagaimana kita menghias ruang-ruang lain. Dapur yang hanya dipenuhi dengan rak-rak penyimpanan akan menimbulkan mood yang kurang menarik. Justeru, berdasarkan pengamatan melalui majalah Dapur Impiana yang saya miliki kini, saya masih dalam proses untuk menghidupkan ruangan dapur di kediaman baru. Walaupun ruangan dapur di kediaman saya agak terhad, namun saya tetap berpuas hati kerana dapat mewujudkan ruang pamer dan ruang penyimpanan. Kemunculan majalah Dapur Impiana amat ditunggu-tunggu kerana di dalamnya banyak info yang dapat saya manfaatkan untuk ruang dapur saya.




Sekadar Surat Pembaca










Alang-alang minat membeli majalah,minat menulis saya manfaatkan untuk menulis surat pembaca.Dapat juga ganjarannya.Surat Pembaca ini disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita. Saya suka membeli majalah ini semata-mata berminat nak melihat Ruangan Rumahku Syurgaku dan beberpa ruangan lain.Biasanya saya tidak membaca kesemua ruangan yang ada.Saya membaca ruangan tersebut kerana saya minat nak mengetahui tentang sesuatu perkara yang ditulis.Bukan majalah MW,majalah Keluarga,Harmoni dan Nur pun sama.Majalah-majalah ini ada dalam simpanan saya.Bahkan saya juga turut membeli majalah Midi. Walaupun tidak pernah saya membaca kesemua ruangan yang ada,namun tiada pula perasaan membazir bagi diri saya.Bila dah suka...

Rabu, 25 November 2009

Mencari Kepuasan Diri(2)



Saya hanya tersenyum apabila menatap tulisan saya di Ruangan Setia Bersama.Tulisan tersebut yang dihantar beberapa bulan dahulu telah disiarkan dalam Anjung Seri untuk bulan Disember.Tulisan tersebut akan disiarkan oleh pihak penerbit telah diketahui lama, cuma tidak pasti sama ada tulisan tersebut diedit atau tidak kerana agak panjang tulisannya dan tidak pasti kesemua gambar yang dihantar akan disiarkan kerana saya menghantar beberapa keping gambar melalui emel.

Projek ini saya lakukan semasa cuti persekolahan bulan Jun yang lalu. Anak sulung saya yang berumur 4 tahun yang membantu mengambil gambar saya. Tulisan ini merupakan hasil tangan yang kedua disiarkan dalam majalah Anjung Seri.Tulisan tersebut merupakan tulisan yang paling mahal kerana hadiahnya sebuah dapur yang bernilai RM1###.Dapur ini juga nanti akan menggantikan dapur induksi yang digunakan sekarang.Tahun lepas,tulisan saya untuk ruangan surat pembaca disiarkan.Hadiahnya juga dapur.

Hadiah yang diperoleh dan nama terpampang di majalah yang memberi kepuasan.Bukannya ingin sombong dengan hasil yang tidak seberapa,cuma sekadar mencari kepuasan.Apa jua bidang yang diminati,pasti ada ganjarannya jika bersungguh-sungguh.Pastinya ibu saya akan tersenyum lagi apabila menatap majalah ini seperti senyumannya semasa menatap majalah Mingguan Wanita dulu.

Selasa, 17 November 2009

Pakaian Diri



Jahilnya manusia siber
Budaya dan agama digauli
Tanpa rasa ada batasannya

Lihatlah cermin tiliklah diri
Sempurnakah kita di sisi-Nya
Menunaikan tuntutan-Nya hamba kerdil

Pakaian diri ada dalam hati
Iman, amal dan takwa
Perlu dibaja dan disemai sentiasa

Sempurnakah pakaian diri
Jika kewajipan-Nya diremeh-remehkan
Melaksanakannya sekadar menurut citarasa
Tanpa memahami erti sebenar
Setiap perlakuan ada sasarannya

Sempurnakah pakaian diri
Jika bertudung ala berfesyen
Ketentuan syarak tidak difahami
Bertudung tetapi tidak menutup aurat

Sempurnakah pakaian diri
Jika Al Quran tidak pernah disentuh
Kalam-kalam Allah langsung tiada dibibir

Sempurnakah pakaian diri
Jika solat fardhu
Jarang mencecah lima waktu
Rukuk dan sujud tidak disempurnakan

Tepuklah dada tanyalah iman

Khamis, 1 Oktober 2009

Manuskripku...


Ilyana merupakan seorang wanita yang meminati bidang seni terutamanya penulisan. Semasa di universiti, Ilyana telah menaruh hati terhadap Irfan. Walaupun mereka berkawan rapat, namun Irfan tidak pernah menjanjikan apa-apa harapan tentang hubungan mereka. Lantas, Yana reda dengan pilihan keluarga iaitu Roslan, sepupunya sendiri. Berpegang kepada kata-kata bahawa cinta akan datang kemudian setelah berkahwin dan demi menjaga maruah keluarga, Yana tetap meneruskan perkahwinannya dengan lelaki pilihan keluarganya dengan lelaki pilihan keluarganya walaupun pada saat-saat hari pernikahannya, hatinya masih kepada Irfan. Perkahwinan yang dibina tanpa perasaan cinta antara dua pihak menyebabkan rumah tangganya menjadi hambar. Selepas perkahwinnanya, Yana melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan di USM. Di USM, Yana bertemu semula dengan Irfan apabila mereka mengambil jurusan yang sama. Irfan cuba menjalinkan hubungan dengan Yana setelah terputus setengah tahun. Yana terpaksa mengelakkan diri daripada Irfan kerana dirinya sudah menjadi isteri orang. Yana cuba untuk memberitahu Irfan tentang kedudukannya yang sebenar, namun Irfan menganggap kata-kata Yana hanyalah sebagai alasan untuk menjauhkan diri daripadanya. Demi mengelakkan diri daripada Irfan dan melupakan masalah rumah tangga, Yana bergiat aktif semula dalam bidang penulisan. Setelah Irfan mengetahui bahawa Yana ialah isteri Roslan, Irfan mula menyimpan dendam dan berusaha untuk memporakperandakan rumah tangga Yana. Dendam Irfan telah menyedarkan Yana akan ketulusan hati suaminya Roslan yang tidak pernah mengambil kesempatan terhadapnya. Dia menyesal akan kesalahannya dan ingin kembali kepada Roslan, namun mulutnya berat untuk berterus-terang. Kecewa dengan sikap Yana dingin terhadapnya, cinta Roslan telah berubah arah. Roslan menyintai Ida, rakan serumah adik iparnya iaitu Yati.Perhubungan Ida dengan Roslan ditentang oleh Yati. Irfan masih belum puas dengan tindakannya untuk mengeruhkan rumah tangga Yana. Fitnah disebarkan kepada Roslan sehingga Roslan termakan dengan tipu dayanya. Hal ini menyebabkan Roslam mula tidak mempercayai Yana dan mengabaikannya. Tertekan dengan masalah yang melanda, Yana meluahkan segala perasaan hiba dalam diari yang turut dimuatkan dalam novelnya. Pada masa yang sama Roslan turut meminati tulisan Faten Liyana. Novel nukilannya yang pertama itu telah dibaca oleh Roslan. Dari situ, Roslan mula menyedari bahawa Faten Liyana yang diminatinya sebelum ini rupa-rupanya isterinya sendiri. Luahan hati dalam novel tersebut juga menyedarkan Roslan bahawa Irfanlah yang bertanggungjawab mengeruhkan rumah tangganya. Saat Roslan ingin memberikan kejutan kepada Yana di majlis pelancaran novel pertamanya, Roslan terlibat dengan kemalangan jalan raya dan dia koma.


Untuk menghasilkan buku yang mempunyai ilmu kekeluargaan dan penulisan rujukan amat diperlukan. Moga usaha saya ini berjaya. Insya Allah

Sabtu, 8 Ogos 2009

Pendidikan awal kanak-kanak

Rencana pendek ini ditulis unuk pertandingan anjuran taska sekolah.Dapat nombor tiga.Bersyukurlah...dapat juga tempat..

Pendidikan awal kanak-kanak bermula pada peringkat janin lagi kerana sentuhan yang dilakukan oleh ibu sejak bayi dalam kandungan dapat membantu mereka membesar dengan cergas dan sempurna.Peringkat ini, apa jua tingkah laku dan pemakanan ibu bapa akan mempengaruhi peribadi anak-anak.Pendidikan dilangsungkan apabila bayi dilahirkan. Bayi mula mempelajari sesuatu daripada persekitarannya apabila mereka boleh melihat dan mendengar. Pendedahan terhadap persekitaran yang positif sangat membantu perkembangannya untuk membesar dengan baik sebelum mereka terdedah dengan pendidikan formal.

Disediakan oleh: Ummi Ammar & Adib
(Wan Hanita bt Wan Drani

Isnin, 3 Ogos 2009

Kudrat Wanita

Rencana pendek ini sebenarnya dihasilkan untuk menyertai pertandingan sempena Hari Ibu pada bulan Mei yang lalu.Walaupun tak menang,namun pada masa inilah saya cuba mengenang kembali pengorbanan ibu saya.Catatan ini juga sebagai tanda menghargai jasanya.Terima kasih ibu...

Dengan kudratmu sebagai wanita, selut di bendang hingga paras paha tidak menjadi halangan untuk memastikan pada dapat dituai tepat pada masanya. Jika orang lain ke bendang bertemankan suami, namun ibu keseorangan kerana ayah yang mempunyai penyakit asma tidak dapat bersama-sama ibu membanting tulang empat kerat di tanah bendang. Namun, ibu tetap cekal. Padi yang disemai tetap dituai tepat pada masanya. Ibu gigih bekerja. Sedang tegak matahari, barulah ibu pulang.
Kemudian, ibu akan menyambungnya selepas solat zuhur dan makan tengah hari yang agak lewat. Ibu sendiri yang melakukan kerja di bendang tanpa mengupah sesiapa kerana kudrat orang lain digunakan pasti akan mengurangkan jumlah hasil tuaian. Cuma, ibu hanya mengupah orang untuk membajak tanah bendang yang liar dengan keladi bunting. Namun, selepas tanah dibajak, keladi itu masih segar di bendang ibu. Ibu jugalah yang akan meracun keladi tersebut. Ibu jugalah yang menghayunkan cangkul untuk membaiki batas yang telah rosak. Cuma, kadang kala anak-anak ibu datang membantu tetapi sekadar yang mampu kerana kami masih lagi remaja.
Habis musim menuai, ibu akan menorah getah pula. Semak samun ibu redah tanpa menghiraukan keselamatan diri.Apabila waktu petang, aku dan adikku akan menemani ibu mengutip getah. Semuanya ibu lakukan demi membantu ayah yang menjadi pemandu setia kepada teksinya. Kini, berkat kegigihan ibu, kami enam beradik berjaya menjawat jawatan yang boleh dibanggakan. Empat dalam kalangan kami merupakan guru siswazah. Anak lelaki sulung ibu berjaya menjadi jurutera dan anak lelaki kedua ibu pula telah menjadi pensyarah.
Tiada apa yang kami banggakan selain daripada usaha gigih ibu membantu ayah. Berkat kegigihan ibu, kami berusaha untuk mengubah nasib keluarga. Alhamdulillah, berkat doa ibu untuk melihat kami berjaya, kami dapat realisasikan hasrat ibu.