Selasa, 1 Jun 2010

Setia Bersama 2


 Setelah disiarkan pada penghujung 2009, saya cuba sekali lagi.Sekadar mencuba kerana hadiahnya pinggan mangkuk.Memang tergoda dengan hadiahnya.Bila niat tak betul, rezeki pun tidak menyebelahi.

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi mengenai hiasan dalaman yang ada di kediaman baharu saya.Hampir tiga tahun mendiami kediaman baharu merupakan tempoh masa yang masih singkat bagi saya untuk melengkapkan kediaman dengan sempurna. Menghias kediaman sendiri memang memberi kepuasan biarpun hasilnya tidak segah sentuhan pakar. Contoh dekorasi yang ditonjolkan di dalam Anjung Seri memberi inspirasi buat saya untuk menata rias rumah mengikut citarasa dan kehendak saya.
            Bermula dengan ruang dapur yang menempatkan kabinet pasang siap yang diolah berdasarkan buku Dapur Anjung Seri, kebanyakan teman-teman yang berkunjung ke rumah memuji ruang tersebut. Dari situ, dengan minat yang mendalam, saya berdikit-dikit menghias kediaman mengikut peranan ruang-ruang yang ada di kediaman dua tingkat saya. Tanpa konsep tertentu, saya bebas memilih perabot dan barang-barang perhiasan yang sememangnya tidak mewah tetapi ruang yang didekorasi itu dapat menggambarkan suasana ceria dan harmoni.
            Melihat kesungguhan saya menunjukkan kreativiti menghias kediaman, suami pula seolah-olah terpanggil untuk menyerlahkan kreativitinya. Maka, terhasillah bingkai bagi tiga lekuk yang berbentuk empat segi di sisi tangga.Bingkai tersebut dibentuk bagi memberi fokus kepada pinggan hiasan yang bermotif bunga. Tempat pamer kereta mainan juga diwujudkan di sisi pintu masuk.
            Walaupun sudah banyak majalah dekorasi yang terdapat di pasaran kini, Anjung Seri tetap menjadi pilihan untuk santapan mata dan minda kala mempunyai masa senggang kerana dekorasi di dalam Anjung Seri tidak mengecualikan para peminatnya yang terdiri daripada golongan sederhana seperti saya yang mengimpikan dekorasi kediaman yang ringkas tetapi kemas dan  menarik. Membelek Anjung Seri bukan sahaja dapat menjadi terapi mata dan minda, malah panduan yang dipaparkan dalam ruangan Soaljawab, Sebelum Selepas, Sudut Kerja dan Ruang Penyimpanan juga dapat dimanfaatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan