Ahad, 20 Jun 2010

Jantung Berlubang

Hari ini saya menerima pesanan melalui facebook daripada rakan semasa di Sabah.Artikel yang disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita tentang saya pada tahun lepas menjadi tanda tanya kepadanya.Apa-apa pun boleh berlaku kerana semuanya sudah takdir Ilahi.Sebagai manusia biasa, kita perlu reda atas apa yang telah ditakdirkan di samping tidak berputus asa.Siapa sangka, setelah berumur 30 tahun, saya disahkan menghidap jantung berlubang.Ya Allah,memang tidak diduga kerana selama ini saya sihat sahaja dan jarang-jarang sekali demam atau sakit.Sepanjang tempoh mengandung pun saya tidak pernah minta cuti kerana saya memang sihat.Itulah kebesaran-Nya.Ujian yang diturunkan kepada hamba-Nya berdasarkan kekuatan diri seseorang.

Di sini saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman tentang hal ini.Jantung berlubang yang saya hadapi itu ialah Astrial Septal Defect(ASD).ASD merupakan kecacatan jantung sejak lahir iaitu dinding yang memisahkan antara kebuk jantung atas (atria) tidak mampu tertutup sepenuhnya.Sewaktu kitaran janin berlaku, lazimnya terdapat ruang antara atria kanan dan kiri untuk membolehkan darah memintas paru-paru. Ruang ini bagaimanapun akan tertutup dengan sendirinya apabila bayi dilahirkan.Kesannya,lama kelamaan, tekanan darah pada jantung kanan semakin meningkat sehingga jantung membengkak dan jika dibiarkan boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru.

Simptom yang saya alami hanyalah cepat letih apabila berjalan dan berlari, jantung berdebar dan tiada stamina.Cara rawatan sama ada membiarkan saja dan membuat pemeriksaan doktor setahun sekali dan melakukan pembedahan bagi menutup lubang tersebut.Saya memilih untuk melakukan pembedahan jantung walaupun saya sendiri tidak pasti kesannya.Rupa-rupanya menjalani pembedahan jantung lebih sakit daripada bersalin.Alhamdulillah,saya telah berjaya melaluinya walaupun masuk minggu ketiga baru boleh berjalan dengan sempurna.Menjalani pembedahan ibarat bayi yang akan belajar berjalan.Sukarnya tiada siapa yang tahu.Siapa sangka juga,pada tahun saya menjalani pembedahan, saya telah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang.Saat saya ditimpa kedukaan, saya juga menerima ganjarannya.Setelah dua tahun menjalani pembedahan,saya sudah sihat seperti biasa walaupun kesan jahitan di dada memang masih terasa hingga kini.Apa-apapun, semangat yang kuat perlu ada dalam diri.