Rabu, 30 Jun 2010

Kau Laksana Bulan


Sudah lama saya membaca novel ini dan kini hampir lupa jalan ceritanya.Disebabkan terbawa-bawa dengan satu daripada slot di tv2 yang mengadaptasi cerita ini,kini saya membelek semula novel tersebut.Nasib baiklah sekarang tv sudah ada dua(gara-gara bola,tv jadi dua),jadi dapatlah saya menonton cerita tersebut.Membaca dan menonton mempunyai kepuasan yang berbeza.Sebut sahaja cerita yang berkisarkan dunia penulisan,saya memang seronok menontonnya.Sinopsis ceritanya(dipetik daripada:caluk.kangooclubmalaysia.com)

Kau Laksana Bulan akan membawa anda bersama-sama Adrianna mengembara ke dunia karya dan alam cintanya!Dunia penulisan yang diterokai, merenyahkan perjalanan hidupnya. Terlalu banyak 'kejadian' yang membebankan semangat untuk teruskan kerjaya.Pun begitu, dunia percintaannya tidak mudah seperti diharapkan. Ibunya mahu melihat Adrianna berkahwin cepat, namun harapan dan impian tidak pernah terjadi sepertimana yang direncanakan. Walaupun sudah ada kriteria yang disusun rapi dalam hal memilih calon, malang baginya kerana sering terperangkap dalam bayangan yang dicipta.

Syafik merupakan cinta pertama, namun terputus buat seketika. Kini lelaki itu kembali mengetuk pintu hatinya. Sementara Razif pula, cinta kedua yang meninggalkan kesan perit dan sakit hinggakan hidupnya terumbang-ambing, kecewa, seterusnya menutup ruang-ruang di hati untuk bercinta lagi. Firas, pemuda yang berbeza karakter daripada kriteria yang ada. Dalam begitu, lelaki itu mampu mengganggu konsentrasinya. Akhir sekali, masih ada Eizlan yang muncul secara misteri, dan mula menghantui hidupnya!Kau laksana bulan yang menyinari hidupku... dan akulah punggukmu yang sanggup menanti sang bulan tersenyum di langit"
Kau Laksana Bulan pastinya merupakan novel yang mendebarkan dan akan membuat anda mahu terus membaca untuk mencari jawapan kepada teka teki dalam perjalanan cerita!

Ahad, 27 Jun 2010

Pecah Satu Ada Satu Lagi



Beberapa sms yang diterima daripada KKHome Deco menyebabkan hati ini meronta-ronta nak ke sana.Potongan harga untuk ahlinya mendorong saya meninjau-ninjau barangan yang akan dibeli.Melihat almari yang diberi potongan sebanyak 30% sedikit sebanyak menggugat hati untuk memilikinya.Tetapi apabila difikirkan semula, warna putihnya itu menggoyah minat.Jika warna hijau,rasanya memang saya akan membelinya.Saya bukanlah peminat deko Inggeris,tetapi disebabkan suka dengan suasana yang ceria dan meriah di dalam rumah,nampaknya saya juga seperti penggemar deko inggeris juga.Namun,seboleh-bolehnya saya ingin mengelakkan hiasan rumah yang ketara keinggerisannya.Jika dicat semula alamari tersebut, hilanglah pula corak bunga di atasnya, sayanglah pulak.Walaupun masih banyak ruang di rumah,namun saya lebih senang dengan almari murah yang dibeli dulu.Malas nak berfikir pasal almari dan rak bergantung yang dijual murah,saya ke bahagian lain.Entah apalah malang nasib hari ni,semasa hendak meletakkan mug,tiba-tiba satu cawan kecil jatuh.Berderai di atas lantai.Walaupun agak ramai orang masa itu, namun tiada seorangpun yang mengendahkannya dek kerana leka memilih barang.Pada masa itu,seorang kanak-kanak lelaki yang datang menjengok.Semasa saya meletakkan teko kecil,tiba-tiba penutupnya pula jatuh ke lantai.Berderai sekali lagi.Masa ini barulah ada mata yang memandang.Nasib baiklah tak mahal.Barangan tersebut juga akan dapat percuma satu apabila membeli satu.Selamat duit.Gara-gara nak membayar cawan yang telah pecah,terpaksalah saya mengambil cawan tu walaupun pada mulanya memang tak berminat. Nampaknya buat hiasan sahajalah cawan tu.

Ahad, 20 Jun 2010

Jantung Berlubang

Hari ini saya menerima pesanan melalui facebook daripada rakan semasa di Sabah.Artikel yang disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita tentang saya pada tahun lepas menjadi tanda tanya kepadanya.Apa-apa pun boleh berlaku kerana semuanya sudah takdir Ilahi.Sebagai manusia biasa, kita perlu reda atas apa yang telah ditakdirkan di samping tidak berputus asa.Siapa sangka, setelah berumur 30 tahun, saya disahkan menghidap jantung berlubang.Ya Allah,memang tidak diduga kerana selama ini saya sihat sahaja dan jarang-jarang sekali demam atau sakit.Sepanjang tempoh mengandung pun saya tidak pernah minta cuti kerana saya memang sihat.Itulah kebesaran-Nya.Ujian yang diturunkan kepada hamba-Nya berdasarkan kekuatan diri seseorang.

Di sini saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman tentang hal ini.Jantung berlubang yang saya hadapi itu ialah Astrial Septal Defect(ASD).ASD merupakan kecacatan jantung sejak lahir iaitu dinding yang memisahkan antara kebuk jantung atas (atria) tidak mampu tertutup sepenuhnya.Sewaktu kitaran janin berlaku, lazimnya terdapat ruang antara atria kanan dan kiri untuk membolehkan darah memintas paru-paru. Ruang ini bagaimanapun akan tertutup dengan sendirinya apabila bayi dilahirkan.Kesannya,lama kelamaan, tekanan darah pada jantung kanan semakin meningkat sehingga jantung membengkak dan jika dibiarkan boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru.

Simptom yang saya alami hanyalah cepat letih apabila berjalan dan berlari, jantung berdebar dan tiada stamina.Cara rawatan sama ada membiarkan saja dan membuat pemeriksaan doktor setahun sekali dan melakukan pembedahan bagi menutup lubang tersebut.Saya memilih untuk melakukan pembedahan jantung walaupun saya sendiri tidak pasti kesannya.Rupa-rupanya menjalani pembedahan jantung lebih sakit daripada bersalin.Alhamdulillah,saya telah berjaya melaluinya walaupun masuk minggu ketiga baru boleh berjalan dengan sempurna.Menjalani pembedahan ibarat bayi yang akan belajar berjalan.Sukarnya tiada siapa yang tahu.Siapa sangka juga,pada tahun saya menjalani pembedahan, saya telah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang.Saat saya ditimpa kedukaan, saya juga menerima ganjarannya.Setelah dua tahun menjalani pembedahan,saya sudah sihat seperti biasa walaupun kesan jahitan di dada memang masih terasa hingga kini.Apa-apapun, semangat yang kuat perlu ada dalam diri.

Sabtu, 19 Jun 2010

Cuti Sudah Berakhir


Sesi persekolahan akan bermula esok.Dua minggu bercuti,saya tidak ke mana-mana dan hanya berada di rumah.Masa yang agak panjag itu sepatutnya saya boleh menyiapkan semua kerja penandaan kertas peperiksaan,namun sebaliknya.Anak-anak yang suka membuat 'spot chek' di bilik menyebabkan kerja-kerja agak tergendala.Malam ini saya cuba untuk menyiapkannya kerana sudah sebulan kertas tersebut telah diduduki.Cuti persekolahan dua minggu menyebabkan mereka makin tertunggu-tunggu keputusan peperiksaan mereka walaupun tidak seberapa markahnya.

Isnin, 14 Jun 2010

KITARO Matsuri (Live) Kojiki: A Story in Concert

Zoo Negara




tahi gajah...

Hari ni suami bercuti lagi dan kesempatan ini kami ke Zoo Negara.Berada di rumah pun bukannya saya dapat memberi komitmen sepenuhnya menanda kertas peperiksaan.Kertas peperiksaan ada dua kelas lagi yang belum bertanda.Apa-apa pun ambil angin dulu,taklah tertekan sangat nanti.
Semasa kami sampai lebih kurang hampir jam 11 pagi,kebetulan pertunjukan haiwan akan dimulakan.Ada dua segi pertunjukan haiwan iaitu jam 11 dan 3 petang.Kiranya kedatangan kami kali ini agak beruntung kerana pertunjukan haiwan akan dimulakan seketika nanti.Sementara menunggu masa pertunjukan dimulakan,kami sempat meronda-ronda di kawasan sekitar.Apabila pertunjukan dimulakan,anak saya yang kedua memang tidak boleh duduk diam.Dia hanya ingin berjalan sahaja.Terpaksalah kami mengalah walaupun Ammar mula muncung mulut kerana terpaksa berlalu dan tidak dapat melihat persembahan hingga habis.
Disebabkan kami mula lapar,kami berhenti makan di tempat makan yang berdekatan.Semasa menunggu makanan yang dipesan,Adib mula berlari-lari dan terpaksalah saya turut berlari kerana bimbang dia akan jauh meninggalkan saya sehingga lelaki yang sedang makan di situ agak hairan dengan tindakan saya.Peduli apa pandangan orang lagi pun mereka tidak faham kerenah anak orang,yang penting kita tahu bagaimana nak mengawal anak sendiri.Belumpun habis makan,kami terpaksa meneruskan aktiviti menjelajah di sekitar zoo memandangkan Adib memang tak nak diam.Hari ini dia yang menarik tangan kami dan kami terpaksalah mengikut kerenahnya. Itulah kerenah Adib.Disebabkan dia sukar dikawal, maka kami jarang-jarang sekali membawanya keluar.Dugaan betul memiliki anak seperti Adib ni.Tunggu besarlah dulu...

Rabu, 9 Jun 2010

Aktiviti Anak-anak




Entah apalah yang dilukis...mural baru lagi

Rumah-rumah yang dibina oleh dua beradik...


Entah apalah anak-anak saya ni main.Beginilah keadaan rumah kebiasaannya.Sekarang mereka main rumah-rumah.Si abang punya akal, adik pun ikut serta.Bila masa pula Adib dapat satu batang pensel warna pun saya tak pasti.Bila dipujuk-pujuk, tak dapat juga nak simpan pensel warna tu.Untuk mengelakkan dia menconteng dinding, saya beri satu kertas.Di bawah kerusi tu pula tempat dia menconteng. Leka dengan kerja-kerja di dapur, tidak perasan pula sempat Adib menconteng dinding.Nampaknya raya ni memang kena cat secara besar-besaran. Seluruh dinding sudah ada mural...

Selasa, 8 Jun 2010

Bilalah Nak Siap Ni?


Kepada siapa nak diluahkan kemarahan apabila melihat anak-anak murid di tingkatan 4 masih belum dapat membezakan fungsi 'di' dan 'k'/'kk'.Perkataan yang tidak sepatutnya diletak dua k menjadi 'kk'.Geram juga apabila perkataan dibendung dieja jarak menjadi 'di bendung'. Bukannya tidak beritahu tetapi berulang-ulang kali.Sekarang saya sedang memikirkan denda yang patut dikenakan kepada mereka yang masih tak sedar-sedar lagi.Di samping kesabaran,ketegasan juga perlu ada.

Ahad, 6 Jun 2010

Bunga Di Laman






Bunga-bunga ni semua hasil tangan suami.Dia yang membeli,menanam,membaja dan menyiram.Tangan sejuk,semua yang ditanam menjadi.

Paprik Kuning...


Hari ini terasa malasnya untuk masuk ke dapur apabila bangun saja awal pagi badan-badan berasa sakit.Hari ini juga seorang daripada jiran di depan rumah mengadakan kenduri kahwin.Petangnya kami ke majlis kenduri.Orang-orang lain tenang sahaja menikmati juadah kenduri tetapi saya dan suami berlainan pula. Mata asyik meliar memerhatikan anak-anak yang bebas bergerak. Anak kedua pula suka pula bermain di tepi pokok serai yang berdekatan dengan longkang.Bimbang pula jika dia jatuh ke longkang buat kali kedua.Saya geli hati melihat suami berkejar-kejar untuk menangkap anak kedua yang suka berlari-lari.Itulah jadinya apabila anak lasak sangat. Jika ke mana-mana dengan kehadiran mereka, situasi itu memang tidak boleh dielakkan.Apabila malam,perasaan malas terpaksa dibuang jauh-jauh apabila anak-anak mula meminta nasi.Waaupun badan masih sakit,tapi saya memasak juga untuk mereka masakan yang ringkas.Ayam masak paprik kuning.Kuning disebabkan terlebih kunyit.Berselera juga mereka makan.

Sabtu, 5 Jun 2010

Kini Baru Kusedar...


Pinggan biru.Ada 3 semuanya..



Wajah terbaru.

Koleksi pinggan makin bertambah menyebabkan tiada tempat untuk menyimpan yang ada. Hari ini saya terpaksa merajinkan diri membuang mana-mana yang tidak patut untuk memberi ruang kepada pinggan biru ada tempatnya.pinggan biru ini sebenarnya sudah lama dimiliki tetapi hasil seninya kurang mendapat perhatian.Cuma baru-baru ini barulah saya menyedari akan hasil seni yang terdapat di pinggan tersebut.Pinggan ini sebenarnya hadiah setelah membeli almari buku setahun lalu.Hasilnya...

Dah Mula Cuti...


Hari ni cuti persekolahan telah bermula.Orang sudah sibuk merencana cuti mereka,namun saya baru nak menghabiskan kerja-kerja menanda kertas peperiksaan yang tertangguh dek kerana sibuk dengan kerja-kerja pengurusan dan perkeranian menjelang cuti persekolahan.Dua hari saya terpaksa mengambil masa untuk menyiapkan surat amaran kepada 13 orang murid.Urusan membuang seorang pelajar juga selesai pada hari Jumaat.Minggu depan operasi menanda kertas secara besar-besaran dan terpaksa melupakan untuk bercuti.Tak ke mana-manapun saya tak ralat kerana cuti-cuti sebeginilah masa yang sesuai untuk saya siapkan kerja-kerja penulisan.Sudah lama saya tidak menulis dek kerana kekangan masa.Menghasilkan satu cerpen juga memberi kepuasan.

Rabu, 2 Jun 2010

Sibuknya...

Minggu ini merupakan minggu yang memang sibuk terutamanya apabila dikehendaki bertugas di bilik peperiksaan.Kesibukan ini belum lagi ditambah dengan urusan perkeranian untuk memberhentikan pelajar.Dalam bulan 5,tiga pelajar saya telah diberhentikan.Sekarang,proses untuk membuang seorang pelajar lagi.Urusan memberhentikan pelajar tersebut sangat renyah kerana banyak prosedur yang perlu diikuti dan banyak juga borang yang perlu diisi.Itulah lumrah jika menjadi guru kelas bagi kelas yang tercorot.Kesibukan dengan kerja-kerja pengurusan dan perkeranian ini menyebabkan kertas peperiksaan tergendala lagi.Apa-apa pun, kerja-kerja tersebut perlu diselesaikan dengan tenang agar tidak tertekan.Seronoknya kalau kerja-kerja memberhentikan murid ini tidak melibatkan guru kelas.Alangkah bagusnya jika begitu...

Selasa, 1 Jun 2010

Ulang tahun dan Hari Lahir Adib




sedapnya kek ni....

Kek ini dibeli selepas saya balik dari sekolah.Cadangnya nak merasa makan kek ais krim tetapi disebabkan koleksi kek yang memang sama dengan kek ais krim, terpaksalah saya saya beli kek ini.Kek coklat lagi.Hari ini juga merupakan hari ulang tahun perkahwinan saya yang ketujuh.Tujuh tahun melayari alam rumah tangga,banyak cabaran yang dilalui.Apa tidaknya, hidup dengan orang yang memang berbeza karektor memang memerlukan kesabaran.Apa-apapun pegangan agama yang penting kerana didikan agamalah yang menjadi panduan untuk melayari hidup berumah tangga.Dengan didikan agamalah kita akan mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh.

Setia Bersama 2


 Setelah disiarkan pada penghujung 2009, saya cuba sekali lagi.Sekadar mencuba kerana hadiahnya pinggan mangkuk.Memang tergoda dengan hadiahnya.Bila niat tak betul, rezeki pun tidak menyebelahi.

Kali ini saya terpanggil untuk berkongsi mengenai hiasan dalaman yang ada di kediaman baharu saya.Hampir tiga tahun mendiami kediaman baharu merupakan tempoh masa yang masih singkat bagi saya untuk melengkapkan kediaman dengan sempurna. Menghias kediaman sendiri memang memberi kepuasan biarpun hasilnya tidak segah sentuhan pakar. Contoh dekorasi yang ditonjolkan di dalam Anjung Seri memberi inspirasi buat saya untuk menata rias rumah mengikut citarasa dan kehendak saya.
            Bermula dengan ruang dapur yang menempatkan kabinet pasang siap yang diolah berdasarkan buku Dapur Anjung Seri, kebanyakan teman-teman yang berkunjung ke rumah memuji ruang tersebut. Dari situ, dengan minat yang mendalam, saya berdikit-dikit menghias kediaman mengikut peranan ruang-ruang yang ada di kediaman dua tingkat saya. Tanpa konsep tertentu, saya bebas memilih perabot dan barang-barang perhiasan yang sememangnya tidak mewah tetapi ruang yang didekorasi itu dapat menggambarkan suasana ceria dan harmoni.
            Melihat kesungguhan saya menunjukkan kreativiti menghias kediaman, suami pula seolah-olah terpanggil untuk menyerlahkan kreativitinya. Maka, terhasillah bingkai bagi tiga lekuk yang berbentuk empat segi di sisi tangga.Bingkai tersebut dibentuk bagi memberi fokus kepada pinggan hiasan yang bermotif bunga. Tempat pamer kereta mainan juga diwujudkan di sisi pintu masuk.
            Walaupun sudah banyak majalah dekorasi yang terdapat di pasaran kini, Anjung Seri tetap menjadi pilihan untuk santapan mata dan minda kala mempunyai masa senggang kerana dekorasi di dalam Anjung Seri tidak mengecualikan para peminatnya yang terdiri daripada golongan sederhana seperti saya yang mengimpikan dekorasi kediaman yang ringkas tetapi kemas dan  menarik. Membelek Anjung Seri bukan sahaja dapat menjadi terapi mata dan minda, malah panduan yang dipaparkan dalam ruangan Soaljawab, Sebelum Selepas, Sudut Kerja dan Ruang Penyimpanan juga dapat dimanfaatkan.