Isnin, 22 Februari 2010

Ruang Dapur Minimalis


Rencana asal yang dihantar melalui emel pada bulan jun 2009:
Majalah Anjung Seri keluaran Jun 2006 merupakan koleksi pertama saya. Walaupun agak terlewat mengenali Anjung Seri, namun saya tetap berpuas hati kerana koleksi yang dimiliki amat besar peranannya. Bermula daripada keluaran tersebut, saya mula menjadi pembaca setia apatah lagi apabila mempunyai perancangan untuk membeli rumah sendiri pada tahun 2007. Majalah Anjung Seri merupakan salah satu panduan untuk menghias kediaman baharu yang akan didiami nanti.

Semasa menyewa, saya mengalami masalah untuk mewujudkan ruang dapur yang kemas dan menarik disebabkan tiada ruang penyimpanan yang khusus sedangkan peralatan dapur agak banyak. Saya berazam untuk mengubah keadaan tersebut apabila memiliki rumah sendiri kerana ruang dapur sering digunakan dan menjadi syurga bagi wanita. Dengan demikian, ruang dapur merupakan ruang pertama yang menjadi medan eksperimen saya. Saya cuba menzahirkan ruang dapur idaman dengan merujuk majalah Anjung Seri termasuklah majalah keluaran khas untuk dapur dan majalah Dapur Anjung Seri.

Memandangkan saya seorang ibu yang berkerja, tugas di dapur masih menjadi kemestian. Bagi memberi motivasi agar rajin turun ke dapur dan sentiasa berasa selesa serta tenang melakukan rutin-rutin harian walaupun agak kepenatan, saya cuba untuk menghidupkan ruang dapur. Dengan bajet yang sederhana disebabkan ruang dapur yang agak terhad, saya berjaya menjadikan ruang dapur saya berfungsi lebih daripada sebuah tempat untuk memasak dan menjamu makanan. Meja sarapan yang diwujudkan bersama kabinet pasang siap menjadi tempat untuk saya mengisi masa lapang dengan membaca dan menulis. Kini, Anjung Seri masih lagi menjadi tatapan untuk menjana idea bagi ruang-ruang yang lain