Sabtu, 6 Februari 2010

Jiran Oh Jiran

Hari ni saya berkesempatan bersembang-sembang dengan beberapa orang jiran.Sebulan lalu,saya agak sibuk dengan rutin harian yang tak terkejar rasanya.Apa tidaknya,semua perkara perlu selesai pada masa yang sama.Sudah sebulan sesi persekolahan berlalu,tapi baru hari ini saya mengetahui seorang jiran telah bekerja sebagai guru ganti.Patutlah pada petang Khamis lalu saya melihat bajunya di ampaian basah kena hujan.Bila asyik dengan aktiviti sendiri dan tidak ambil tahu hal-hal sekeliling,apa-apa pun boleh berlaku.Itu yang bahayanya.

Apabila saya keluar untuk menyidai pakaian,saya dapati ada dua khemah didirikan di rumah corner lot.Mungkin mereka akan mengadakan kenduri sempena mendiami rumah baru.Bila petang sahaja,khemah itu sudah tiada.Cepatnya berakhir kenduri sedangkan kami tidakpun dijemput.Apa maknanya kenduri diadakan jika jiran tetangga tidak dijemput?Bukankah kenduri yang diadakan itu juga bertujuan untuk mengenali dengan lebih dekat siapa jiran tetangga?Bukanlah saya hendak menyibuk,tetapi zaman sekarang kita perlu berbaik-baik dengan jiran kerana apa-apa masalah yang timbul,kita tidak akan segan untuk meminta tolong.Apatah lagi sekarang ni kejadian menceroboh masuk ke rumah apabila ketiadaan tuan rumah masih berleluasa.Sekurang-kurangnya jiran boleh memasang telinga dan membuka mata jika ada sesuatu tak kena.Macam-macam ragam orang.