Blog ini sekadar untuk merakam detik-detik dalam kehidupan seharian kerana rumah duniaku,keluarga kebahagiaanku,minat kepuasanku dan kerjaya inspirasiku.
Isnin, 27 Februari 2012
Cintamu Senipis Kulit Bawang
Cerpen kedua tulisan saya.Cerpen ini sebenarnya kisah benar yang berlaku semasa saya mengajar di pedalaman Sabah.Semasa saya mula-mula kahwin,rakan-rakan tidak berani nak menceritakan kisah ini memandangkan suami saya juga tinggal di Semenanjung sedangkan saya pula di Sabah.Apabila saya mendapat surat pertukaran ke Selangor,barulah ada rakan yang berani buka mulut dan menceritakan hal ini.Penamat cerita ini hanyalah rekaan mengikut pandangan saya saja sebagai wanita kerana saya tidak tahu cerita selanjutnya.Setahun kemudian,barulah cerpen ini disiarkan.Itupun rezeki saya kerana melanggan Majalah Keluarga,jika tidak melanggan majalah tersebut mungkin saya tidak tahu.Dilarang menyalin cerpen ini kerana ini hanya ialah karya kreatif saya yang perlu saya pertahankan.
Selepas loceng kedengaran menandakan tamat masa keempat, Aiza cepat-cepat berlalu meninggalkan kelas 4 Hamka. Tekaknya terasa semacam. Cuba ditahannya supaya tidak memuntahkan sesuatu.
Dia mempercepat langkah menuju ke bilik guru.
“Kenapa pucat sangat kau hari ni?” Tegur Kak Noraini yang berada di mejanya berhadapan dengan meja Aiza.
“Tak taulah. Tekak ni semacam je.” Jawab Aiza sambil menarik kerusinya. Kemudian laci meja ditarik dan mengeluarkan satu plastik yang berisi asam.
“Nak?” soal Aiza kepada Kak Noraini sambil menghulurkan plastik tersebut.
“Tak apalah. Akak rasa Aiza mengandung ni,” teka Kak Noraini guru siswazah dari USM yang serumah dengannya itu.
“Tak tahulah…tapi bulan ni dah lambat dah…”
“Tak nak ke kantin?” soal Kak Noraini lagi sambil bangun dan menolak kerusinya ke bawah meja.
“Tak apalah, lepas ni ada kelas.” Asam yang berada di tangannya ligat sahaja menjadi sarapannya.
“Nak kirim?”
“Tak apalah kak. Tak ada seleralah nak makan. Lagipun di kantin tu tak banyak pilihan makanan.”
“Tak elok biarkan perut tu masuk angin. Makan asam tu bukannya boleh kenyang.”
“Lepas kelas nanti Za pergilah kantin. Tengok ada lagi tak bihun sup.”
“Akak bungkus jelah untuk Za.”
“Macam mana nak makan bihun sup tu, Za bukannya ada mangkuk.”
“Akak ada kat dalam laci tu. Tak ada masalahlah kalau setakat nak makan bihun sup tu.”
“Kalau begitu, bolehlah. Terima kasih ye kak.”
Aiza menumpang kereta Kak Noraini balik dari sekolah. Kak Noraini yang sudah tiga tahun mengajar di sekolah itu memang pemurah dan peramah orangnya. Aiza memang menyenangi sikap Kak Noraini. Selepas balik dari sekolah, mereka singgah ke kedai makan Faizah satu-satunya restoran milik orang Pantai Timur yang dapat memenuhi seleranya sebagai orang Pantai Timur terlebih dahulu untuk membeli makanan tengah hari. Kadang kala sahaja mereka masak di rumah. Sambal mempelam dan masak asam pedas ikan pari memang memenuhi selera Aiza yang sejak dari pagi lagi terasa loya.
Aiza cepat-cepat berlari ke tandas semasa sedang menghadap makan tengah harinya. Kak Noraini yang tua dua tahun daripadanya itu memandang dengan tanda tanya.
“Muntah lagi?” soal Kak Noraini sekembalinya Aiza dari tandas.
Aiza menganggukkan kepala.
“Kita pergi hospitallah lepas ni.” Cadang Kak Noraini.
Sekembalinya dari hospital, Aiza menyandar di atas kerusi. Fikirannya melayang.
“Apa yang difikirkan tu Za?” pertanyaan itu melenyapkan lamunannya. Serta merta dia bingkas bangun dan membetulkan letak duduknya.
“Dah beritahu suami?” soal Kak Noraini lagi sambil melabuhkan punggung di sofa bersebelahannya. Remote televisyen ditekan.
“Belum lagi. Nak buat supriselah, beritahu bila balik cuti sekolah bulan lapan nantilah…” jawab Aiza selamba.
“Akak nampak Aiza macam risau je ni, kenapa? “soal Kak Noraini. Aiza yang menyandar di sofa bersebelahannya itu direnung.
“Macam tak bersedia lagi nak jadi ibu, kak,” ucap Aiza perlahan.
“Jangan kata macam tu. Dah rezeki, kan,” nasihat Kak Noraini. Aiza diam.
Bukan itu sebenarnya yang bersarang di hatinya, tetapi ada pekara lain yang menyebabkan hatinya dirundung kerisauan. Manakan mungkin dia bercerita perihal rumah tangganya kepada teman serumahnya yang belum berkahwin itu. Bukan sahaja membuka pekung di dada tetapi akan mengguris perasaan teman serumahnya itu.
Masa berlalu begitu cepat. Cuti persekolahan bagi pertengahan penggal kedua telah berlalu. Seminggu Aiza di Terengganu. Esok dia akan mula bertugas. Pagi itu dia berlepas ke Sabah dan telah tiba di daerah tempatnya bertugas selepas asar. Kak Noraini yang tidak balik bercuti menyambut kepulangannya dengan gembira. Selepas solat asar, dia terlena sehingga lewat menunaikan solat maghrib setelah penat seharian dalam perjalanan.
“Kenapa termenung tu? Teringat kat suami ke?” pertanyaan Kak Noraini segera mematikan lamunan Aiza. Aiza tersenyum kelat apabila nama suami disebut Kak Noraini.
“Ehh akak. Terkejut Aiza,” ucap Aiza perlahan. Dia tersenyum sipu kerana telah tertangkap oleh Kak Noraini. Aiza sedar, sejak dia kahwin, dia sering termenung dan mengelamun.
“Sedang mengelamun, macam mana tak terkejut.” Sinis Kak Noraini bersahaja.
“Akak ada berita nak beritahu Aiza. Nak dengar tak?” soal Kak Noraini sambil melabuhkan punggung di sisi Aiza di sofa panjang.
“Apa dia?’ Soal Aiza dengan tanda tanya sambil merenung tajam ke arah teman serumahnya itu.
“Kamal melamar akak tiga hari lepas.”
“Ye ke? Tahniahlah. Bila pulak nak makan nasi minyak? Patutlah akak nampak berseri je sekarang ni. Orang tengah dilamun cinta.” Segera terbayang di fikiran Aiza, guru yang agak berusia berbandingnya yang sama-sama mendaftar diri mengajar di daerah ini awal tahun lalu. Guru itu belum berpunya rupa-rupanya.
“Hujung tahun ni. Lama lagilah akak kat Sabah ni,” ucap Kak Noraini seakan mengeluh.
“Lama pun tak apa asalkan berada di sisi orang yang tersayang. Tak bertunang dulu ke?”
“Macam mana nak bertunang? Dua-dua kat sini.”
“Ye tak ye jugak. Tak bertunang tak apa. Dua-dua kat sini, tak ada masalah nak kenal hati budi masing-masing. Jangan jadi macam Aiza dahlah. Dahlah masa bertunang tiga bulan tu pun tak sempat nak kenal hati budi masing-masing, bila dah kahwin buat hal pulak.” Tukas Aiza seakan mengeluh.
“Kenapa dengan Aiza?” Soal Kak Noraini penuh tanda tanya.
“Entahlah kak. Suami Aiza tak mengaku anak dalam kandungan ni anak dia.” Meluncur kata-kata itu. Melopong seketika Kak Noraini mendengarnya.
“Kenapa jadi macam tu? Habis tu, sekarang ni macam mana?” soal Kak Noraini penuh berminat.
“Tunggu anak ni lahir dulu, baru uruskan penceraian kami.” ucap Aiza sambil meraba perutnya yang masih belum nampak kerana dia baru mengandung dua bulan lebih.
“Astaghafirullah..” Kak Noraini beristigfar panjang. Tak menyangka begitu sekali jadinya. Patutlah dilihatnya Aiza termenung panjang semasa menonton drama Sukma Rindu di kaca televisyen tadi. Rupa-rupanya sedih mengenangkan perkahwinannya yang tak seindah seperti yang diharapkan.
“Aiza bersabar jelah ye. Allah duga Aiza seperti ni, maksudnya Aiza boleh menghadapinya. Sabar ye.” Nasihat Kak Noraini setelah melihat ada genangan air mata di kelopak mata bundar Aiza.
Hari-hari yang berlalu dilaluinya dengan penuh kesabaran. Perkhabaran daripada suaminya tidak pernah sampai ke telinganya. Ibunya sering memujuk dirinya supaya bersabar kerana kita hanya boleh merancang tetapi hanya Allah jua yang menentukannya. Mengingatkan kata-kata itu, Aiza pasrah dan bersabar sahaja. Lewat sesi persekolahan akhir tahun, Aiza mendapat berita gembira kerana permohonannya untuk bertukar ke negeri kelahirannya telah diluluskan. Biarpun nanti dia akan sekampung dengan lelaki yang tidak mengakui janin dalam perutnya itu ialah anaknya, dia akan pastikan hidupnya nanti akan bahagia di samping anak yang bakal menjengah dunia kelak.
Biarpun sedih apabila mengenangkan perpisahannya dengan Kak Noraini yang banyak membantunya, tetapi demi anaknya yang bakal lahir kelak, dia perlukan keluarganya. Sakit pening mereka nanti biarlah ada tempat yang boleh bergantung harap meskipun suami sendiri tidak boleh diharap.
Aiza memandang kosong ke luar jendela. Diperhatikannya sekumpulan kanak-kanak yang sedang seronok bermain di tepi jambatan. Alangkah bahagianya mereka.
“Apa yang dimenungkan tu Za?” soal ibunya dari belakang. Aiza mengalih pandangan.
“Tengok budak-budak kat padang tu bermain. Seronok,kan jadi budak kecil. Tak ada apa-apa yang perlu difikirkan.”
“Budak-budak macam tulah. Apa yang Za sedang fikirkan tadi?” soal ibunya lagi.
Aiza mengusap-ngusap perutnya yang kian memboyot. Sesekali bayi dalam kandungannya itu menendang perutnya. Baru dirasainya nikmat seorang ibu. Soalan daripada ibunya itu dibiarkan tak berjawab kerana sukar untuk mencari kata-kata setelah banyak perkara yang difikirkan tadi.
“Tak usahlah dilayan perasaan tu, Za. Nanti tak elok untuk anak dalam kandungan tu. Perkara yang dah berlaku, biarlah. Nak buat macam mana, kita bukannya tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.”
“Kalau mak tahu macam ni jadinya, tak ingin mak bermenantukan Roslan tu.” Ibunya bersuara lagi sambil berlalu meninggalkan yang masih tercegat di tepi jendela hujan yang masih gerimis di luar.
Tiba-tiba kenangan silam datang menerjah di mindanya tatkala mendengar lagu Kuintai Cinta dalam Rahsia berkumandang di radio. Sayu pilu hatinya tiada siapa yang tahu.
“Macam mana? Kau dah fikirkan pasal tu? Mak rasa kau terima sajalah Roslan tu. Dia tupun cikgu, nanti senanglah sikit bila sama-sama cikgu. Tinggal dekat pulak tu,” nasihat mak kepada Aiza. Aiza mengeluh.
“Masalahnya mak, Aiza tak kenal dengan Roslan tu.”
“Dah kahwin nanti kau akan kenal dengan Roslan tu. Mak dulupun tak bercinta dengan ayah kau tu. Kami bertunang sebulan, lepas tu terus kahwin. Tak sempat pun nak kenal-kenal. Bahagia juga.”
“Dulu dengan sekarang tak sama, mak.”
“Kalau kali ni tak jadi jugak, dah lima kali kau tolak. Umur kau pun makin meningkat. Kalau kau tolak jugak kali ni, mak tak taulah bila pulak orang akan datang merisik kau lagi.”
“Umur saya baru 25 mak. Belum jadi anak dara tua lagi.”
“Disebabkan tak nak kau membujang lama-lamalah mak suruh kau cepat-cepat kahwin.”
“Kau fikirlah masak-masak. Mak rasa tak rugi kau terima lelaki tu.”
“Kalau mak dah setuju, saya setujulah. Malaslah saya nak fikir perkara ni lagi.” Aiza memberi kata putus. Yang pasti kata putus itu bukanlah datang dari hatinya, tetapi jawapan dari mulutnya yang penat bersoal jawab mengenai perkahwinannya.
Ibunya tersenyum mendengar jawapan itu. Gembira kerana anak gadisnya akan menamatkan zaman bujangnya setelah dua tahun si ibu tidak senang duduk apabila memikirkan pasal jodoh satu-satunya anak gadisnya itu.
Setelah tiga bulan mengikat tali pertunangan, mereka disatukan semasa cuti persekolahan. Namun, disebabkan tugas Aiza jauh nun di Sabah, setelah dua minggu bercuti, hujung minggu itu dia telah terbang ke Sabah semula bagi menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa di sana. Hidup berjauhan dengan suaminya memang satu penyiksaan tambahan pula sikap suaminya yang semacam endah tidak endah kepadanya. Tiga hari sekali barulah dia menerima panggilan daripada suaminya yang sekadar menanyakan khabar. Geram jika difikirkan perangai suaminya yang pendiam dan berkira itu. Tiba-tiba air mata membasahi pipinya apabila mengenangkan nasib anaknya kelak.
Semasa hari pertama Aiza memulakan tugas di sekolah baharu yang kebetulan berdekatan dengan rumahnya, dia dapati ada mulut yang berbisik sesama sendiri apabila memandangnya. Dia tidak pasti mengapa mereka perlu berbisik dan apa yang dibisikkan mereka. Yang penting dia mesti pandai membawa diri.
Rutin harian yang begitu sibuk menyebabkan Aiza jarang berpeluang bersembang dengan rakan sekerja yang lain. Apatah lagi apabila dia akan mula bercuti pertengahan bulan Mac menyebabkan dia tidak menang tangan menyiapkan kerja yang dipegangnya supaya tidak timbul masalah sepanjang ketiadaannya nanti. Tugasan untuk murid-muridnya juga perlu dibuat supaya murid-murid tidak akan ketinggalan sekiranya tiada guru ganti yang akan menggantikannya kelak.
“Cikgu Shamsul sibuk ke sekarang ni?” Soal Aiza.
“Taklah. Kenapa?” Cikgu Shamsul yang sedang tekun menulis rancangan mengajar itu mendongak memandang Aiza.
“Cikgu yang akan ambil alih kelas 2 Juara bila saya bersalin nanti?”
“Aahh..”
“Ini ialah murid-murid yang belum lagi menjelaskan yuran sekolah. Surat peringatan kedua dah saya buat. Nama murid untuk bulan April dan Mei dah saya tampalkan,” ucap Aiza sambil menunjukkan buku rekod kedatangan kepada guru Geografi itu.
“Bila masanya tu?” soal Cikgu Shamsul lagi sambil menunjukkan ke perut Aiza yang kian sedang sarat.
“Bila-bila masa ni.”
Dua hari kemudian, semasa Aiza sedang asyik menonton Cerekarama, tiba-tiba perutnya memulas. Pada malam iu juga dia bergegas ke hospital. Dia selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Tatkala mendengar berita kelahiran yang mengemparkan itulah, tengah hari itu suaminya bersama ibu mentua datang melawatnya di hospital.
“Bila boleh keluar wad?” soal Roslan yang berada di tepi katil sambil memandang ke arah Aiza. Aiza berpura-pura tidak nampak renungan itu. Geram betul hatinya bila mengingatkan apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu terhadapnya sebelum ini.
“Petang ni.”
“Nanti abang datang jemput ye. Kita balik ke rumah.”
“Tak payahlah datang jemput. Aiza balik dengan ayah nanti. Apa mimpi abang nak jemput Za. Abang dah tak ingat apa yang telah abang katakan kepada Za dulu?” Aiza bersuara keras.
“Aiza, perkara yang dah sudah tu, tak usahlah nak diungkitkan lagi. Kasihan kat anak ni, nanti tak berayah pula dia bila kamu berdua masih tak berbaik-baik.” Ibu mentuanya yang sedang asyik memerhatikan bayinya yang masih lena itu tiba-tiba bersuara memujuk.Geram Aiza mendengar kata-kata itu keluar daripada mulut ibu mentuanya yang seakan tidak sedar terhadap kesilapan anaknya sendiri.
“Sepatutnya itu yang abang fikirkan sebelum menuduh saya dahulu. Apa yang abang katakan kepada saya dulu tu memang saya tidak boleh lupakan. Apa gunanya hidup bersama sedangkan hati saya sudah tawar untuk menerima abang kembali. Biarlah kita hidup dengan cara masing-masing.” Aiza bersuara sayu.
“Sudah tidak ada peluang lagikah untuk abang menebus semula kesalahan abang?” soal Roslan sambil memegang erat tangan Aiza.
“Abang sudah tidak ada tempat di hati saya. Saya betul-betul serik dengan sikap abang sebelum ni,” jawab Aiza sambil merungkai genggaman Roslan.
“Sampai hati Aiza tak beri peluang kepada abang. Abang memang bersalah kerana menuduh Aiza yang bukan-bukan dulu. Tapi, demi anak kita, maafkanlah abang,” rayu Roslan.
“Aiza bukannya tidak maafkan abang, cuma untuk menerima abang kembali… itu tidak mungkin.”
Pengalaman dipandang serong masyarakat dan disisihkan oleh rakan sekerja memang perit baginya. Apa tidaknya, dia yang dituduh suami sendiri mengandungkan anak orang lain telah sampai ke pengetahuan masyarakat. Mulut manusia bukan seperti mulut tempayan yang mudah ditutup. Maka, tersebarlah berbagai-bagai cerita yang dibawa oleh masyarakat kampungnya. Dia hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Sesungguhnya Dia itu Maha Kaya. Doa hamba-Nya yang teraniaya dimakbulkan. Mulut masyarakat kampung yang suka mengata dan mengumpat itu seakan terkunci apabila dia telah melahirkan bayi lelaki yang seiras Roslan. Bayi itu akan menjadi bukti kesucian ibunya biarpun selama ini Aiza tidak berkata apa-apa untuk membela dirinya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan