Jumaat, 26 November 2010

Masam manis di Langkawi: Udara,darat dan air

Cerita percutian ke Langkawi sudah pun basi.Jika hari pertama balik dari Langkawi, rakan-rakan tidak sudi berkongsi cerita dengan mereka yang tidak mengikuti rombongan ini,namun kini cerita pengalaman di Langkawi sudah menjadi bahan gelak ketawa.Catatan ini bukanlah bermaksud ingin mengembalikan cerita panas tersebut di samping mengkritik pihak yang berkenaan,namun sekadar catatan peribadi untuk tatapan pada masa akan datang perihal pengalaman sepanjang empat hari empat malam di sana.Catatan ini juga untuk merakam keletah anak-anak saya yang pertama kali makan angin setelah mereka sudah membesar terutamanya yang kecil,si Adib.Penat umi dan ayah sepanjang 4 hari ni….sabar sajalah.

Rabu/3.11.
Sekolah sudah bercuti sempena Hari Deepavali.Dalam perkiraan antara ingin menghabiskan penandaan kertas jawapan murid atau ingin ke Shah Alam atas urusan Tabung Haji,kedua-duanya tidak dapat dijalankan kerana sibuk mencuci pakaian kerana akan bertolak pada pukul 4.30 pagi esok.Dalam kesibukan mengemas rumah dan melayan kerenah dua beradik yang tak nak diam,tiba-tiba dapat mesej bertanyakan sama ada boleh atau tidak saya bertolak jam 7 malam nanti.Ya Allah,manalah sempat.Saya sempat membalas mesej mengatakan tidak sempat pergi kerana barang2 belum dikemas lagi.Suami pula kerja sehingga lewat petang.Kemudian telefon saya yang hampir kehabisan bateri pula buat hal.Senyap dan tidak boleh dibuka walaupun telah dicas.Rupa-rupanya pengecas telefon saya sudah rosak.Petangnya dalam jam 3,Kak Sri datang ke rumah bertanyakan hal yang sama memandangkan banyak kali panggilan yang dibuat tidak diangkat.Macam manalah nak angkat,kebetulan pula telefon rosak.Penerbangan jam 7 pagi sudah tidak ada.Biar betul.Mengapa boleh jadi begini?Pada masa ini


saya tiada jawapannya.Kelam kabut saya mengemas pakaian.Hampir jam enam,pakaian belum siap dikemas dengan sempurna kerana sibuk melayan kerenah dua beradik tu.Hampir jam tujuh malam,kami bertolak kerana berhajat untuk menunaikan solat jamak sahaja.Dalam perjalanan,saya memesej Kak Sri untuk bertanyakan kepadanya sama ada dia sudah berrtolak atau belum.Kak Sri mengingatkan saya supaya jangan bertolak selagi tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak penganjur.Ya Allah,mengapalah banyak pula ceritanya?Dalam perjalanan untuk berhenti di r&r Elmina,saya mendapat isyarat sudah boleh mula bergerak sekarang.Alang2 sudah berhenti,kami makan malam terlebih dahulu.Barulah saya teringat akan makanan yang saya masak tengah hari tadi.Makanan tersebut tidak sempat disimpan,nasib baiklah mee goreng sempat saya bungkus.Kami sampai di LCCT agak awal berbanding dengan rakan-rakan yang lain.Walaupun tidak tergesa-gesa,namun kami penat melayan Adib yang hanya mahu berjalan tanpa henti.Semasa menunggu masuk ke pesawat, Adib tetap mahu berjalan tanpa penat.Bila masuk sahaja ke dalam pesawat,dia menangis tanpa henti menyebabkan pramugari memberikannya satu keping coklat supaya dia diam,namun dia tetap menangis kerana tidak dapat berjalan dan berlari-lari dalam pesawat tu.Susunya pula sudah kehabisan sejak petang tadi lagi,jika tidak boleh saja dirasuahkan dengan susunya supaya dia diam.Bila kapal terbang mula nak berlepas,barulah dia diam.Barulah kami lega.sepanjang perjalanan,dia hanya diam sahaja.Mungkin sudah kepenatan kerana seharian meragam.Hari ini dilalui dengan penuh tekanan.Sepanjang hari,entah berapa kali anak2ku menjadi mangsa kemarahan kami.Mencabarnya hari ini.Kami tiba hampir jam 9 malam di Langkawi.Hotel penginapan kami hanya bersebelahan dengan lapangan terbang.Jarak hotel yang agak dekat menyebabkan pemandu teksi keberatan untuk menghantar kami ke Hotel Helang.Dengan berat hati,kami terpaksa berjalan sambil membawa beg yang agak berat.


4/11
Hari ini tiada aktiviti kerana rombongan yang lain belum lagi tiba.Saya dan beberapa rakan sahaja yang agak awal sampai.Sementara tiada aktiviti,suami telah menyewa kereta Viva dengan harga RM 80 sehari untuk mengelilingi Langkawi.Berpandukan peta,kami mengelilingi Langkawi.Banyak tempat yang kami sampai.Cuaca hari ini pun sungguh baik.Panas terik.Sempat pula kami melalui Cable Car.Tak sabar rasanya nak menaiki Cable Car tu,tapi disebabkan esok kami akan ke sana,saya menyabarkan diri.Dari jauh,saya menyimpan hasrat untuk menaiki cable car itu esok.Kemudian kami ke Pusat Kraf.Bangunan yang berbentuk empat segi itu memang unik.Setiap bahagian mempunyai paeran yang berbeza.Masuk sahaja ke pameran batik dan lukisan,mata terpaku tetapi sayang saya tidak dapat merakamkan gambarnya kerana dilarang mengambil gambar.Batik yang dilukis dijual dengan harga yang mahal.alangkah untungnya jika pandai membuatnya sendiri.Saya juga berkesempatan melihat pelukis batik melukis batik.Saya sempat juga singgah ke Pekan Kuah sekadar menjamu mata melihat keadaan pekan Kuah.Sebelum ini,saya hanya membayangkan bahawa deretan kedai yang ada di pekan Kuah seakan deretan kedai yang ada di Labuan atau Rantau Panjang.Rupa-rupanya andaian saya salah kerana pekan Kuah memang telah maju.Masa inilah saya sempat mencari sudu dan beberapa pinggan Corelle untuk mencukupkan koleksi yang ada di rumah.Rupa-rupanya semua kedai menjual barang yang sama.Mungkin harganya saja yang agak berbeza terutamanya coklat.Untuk pinggan mangkuk,nampaknya hampir semua kedai menjual barang dengan harga yang sama.

ini saja yang saya beli.pinggan Corell...mangkuk untuk lauk tapi digunakan untuk  makan  RM29 setiap satu.mangkuk kecil RM24 setiap satu.beg comel tu RM50..






-semasa singgah di gerai tersebut,saya terkejut kerana menyangkakan bangunan hotel ini merupakan bangunan terbiar,rupa-rupanya masih beroperasi dan ada penghuninya.Mengapa boleh jadi begini?semak samun di depan hotel menutup pandangan hotel tersebut.macam2 ragam orang...

5/11
Semasa sarapan pagi,masa inilah saya mendapati ramai rakan sekolah yang mengikuti rombongan ini.Dua hari bersarapan, Adib tak pernah nak diam.Ada-ada saja aktivitinya nak berlari.Terpaksalah kami bergilir-gilir menjaga Adib.Nak dilepaskan bimbang pula kerana kolam renang berada di depan tempat makan.Kolam yang dibuat sempena sambutan Hari Deepavali berjaya dirosakkannya.Bersepah beras yang dibuatnya.Jam 10 pagi kami bertolak untuk aktiviti yang dirancang.
sebelum disepahkan oleh Adib
1.Mula-mula kami ke kedai menjual kain batik.Saya memang tidak berminat kerana di Terengganu pun ada kain batik.Apatah lagi dengan beg yang sudah berat yang kami bawa dari rumah,mana nak larat membawanya lagi kalau membeli-belah tidak sedarkan diri.Mana pula nak kawal anak-anak.

2.Selepas itu kami ke tempat menghasilkan ubat gamat.Biasanya minyak gamat yang kecil dijual RM 1,tetapi di sini harganya lebih murah.Dalam perjalanan,hujan turun.

3.Kemudian kami ke pusat beli belah bersebelahan Akuarium.Di sini saya berjumpa dengan adik ipar yang tinggal di Perak.Kecilnya dunia ni.Mereka pun menyertai rombongan ini.Tiada apa yang nak dibeli kecuali selipar Adib yang telah hilang semasa dalam bas.

4.Selepas hampir sejam merayau-rayau dalam pusat beli-belah tu,barulah kami ke Akuarium



5.Selepas itu,kami ke Makam Mahsuri pada petangnya selepas makan tengah hari di sebuah kedai yang menyediakan ikan bakar yang sedap.Keletah anak-anak yang tak nak diam memaksa kami makan sahaja lauk yang sudah sedia ada.Tiada masa kami nak menunggu ikan dibakar.






Dah masuk asar tapi bas tak juga berhenti di mana-mana surau atau masjid supaya kami boleh mengerjakan solat zohor.Inilah kelemahan yang saya lihat sebagai penganjur orang Islam.Kalau masa yang singkat diberikan untuk satu-satu destinasi,manalah sempat kami nak mencari surau untuk mengerjakan solat.

6.Kesempatan yang di perkampungan Melayu memberi kesempatan kepada beberapa orang rakan mengerjakan solat untk ke destinasi yang seterusnya menaiki bot menikmati hidupan laut.Memandangkan anak-anak tidur,saya berat hati untuk menyertai mereka.Maka,kami ditempatkan di Galeri Perdana.Di sinilah kami menunaikan solat.

7.Agak lama juga kami menunggu di Galeri Perdana,jam 6 barulah mereka yang menyertai aktiviti di laut tiba.Kami ke Pekan Kuah.Kami diperkenalkan dengan dua kedai yang popular di sini iaitu Idaman Suri.Kami hanya meninjau-ninjau barang yang ada di situ,memang rambang mata jika nak membeli-belah.
Maghrib baru kami pulang dengan kepenatan dan rasa hampa kerana tidak dapat menaiki kereta kabel.Kami tertipu dengan kata-kata pemandu pelancong kami.

6/11
Kecewa kerana tidak dapat menaiki kereta kabel,saya dan rakan2 yang lain menyewa van untuk mengelilingi Langkawi memandangkan hari ini tiada pula aktiviti seperti yang dirancangkan.Kami seramai 10 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanakmenyewa sebuah van dengan kadar RM 350 sehari.Destinasi kamai yang pertama ialah tempat kereta kabel.Sampai sahaja di sana,Ya Allah,ramainya orang.Untuk menaiki kereta kabel,kami terpaksa menunggu sehingga dua jam.Kami tak sanggup untuk menunggu dan nampaknya terpaksalah balik dengan rasa kecewa.
ramainya orang yang sedang menunggu giliran mereka

Selepas makan tengah hari,kami ke Telaga Tujuh.Pada mulanya saya bayangka Telaga tujuh merupakan tempat yang mempunyai tujuh telaga.Apa istimewanya telaga tujuh yang menjadi tanda tanya kepada kami mendorong kami memanjat juga bukit untuk sampai ke tempat dituju.Anak saya dan 3 rakan yang lain telah mendahului kami.Baru separuh jalan,saya dan seorang rakan sudah tidak mampu memanjat tangga untuk ke sana.Saya berhenti sambil menunggu mereka.Semasa berada berehat,saya menyapa seorang makcik yang baru saja turun dari atas.Menurutnya,air terjun dari atas tidak secantik air terjun di bhagian bawah.Melaluinya,barulah kami menyedari bahawa ada air terjun yang lebih cantik di bahagian bawah.Untuk tidak menghampakan diri,kami ke tempat air terjun tersebut.
telaga tujuh yg diambil daripada internet.ia merupakan 7 lekukan yang berbentuk telaga










Seharian kami meronda-ronda sekitar Langkawi.Kami sampai di Dataran Helang pada waktu maghrib.

7/11
Kami bertolak jam 10 pagi.Penerbangan dari Langkawi dibatalkan dan terpaksa ke Kuala Perlis untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.Memandangkan semua pengunjung yang mengikuti trip ini betolak balik pada masayang sama,pintu masuk ke jeti menjadi sangat sesak.Masing-masing berasak-asak untuk melepasi pintu kawalan imegresen.Nasib baiklah kami berada melebihi dua hari di Langkawi,jadi bagasi kami tidak diselongkar.Mungkin ini kelebihan apabila mengikuti rombongan.Dengan keadaan yang sangat sesak dan kami sememangnya mengejar masa,tidak dapat saya bayangkan keadaan apabila semua bagasi dibuka untuk diperiksa.Berapa lama masa yang perlu diambil?Bagaimana pula dengan keadaan anak-anak saya yang berasak-asak dengan orang ramai.selepas berasak di pintu imegresen,kami berasak-asak sekali lagi di pintu keluar untuk menuju ke feri.Dalam keadaan kelam kabut kerana orang ramai dan ditambah pula kami belum pun mendapat tiket feri,saya sentiasa memerhati kumpulan kami kerana bimbang akan mengalami masalah sekiranya kami terpisah dengan rakan yang lain.Tiba-tiba baju suami saya basah.Baru jam 11 pagi namun pampes Adib sudah bocor.Kami sempat menukarkan pampesnya.Kasihan suamiku.Ini kali kedua dia basah akibat pampes yang bocor semasa di Langkawi.Saya agak lega setelah melepasi pintu keluar,namun ada satu lagi halangan di hadapan.Untuk kali ketiga,kami berasak-asak untuk masuk ke dalam feri.Keadaan tempat perantaraan yang dipijak untuk ke dalam feri yang agak bergoyang amat membimbangkan saya dengan kehadiran Ammar yang tidak mahu diam.Bimbang jika saya terlepas pandang,dia terjatuh ke dalam laut.Akhirnya kami dapat masuk ke dalam feri dengan keletihan.Perjalanan satu jam memberi ruang untuk kami berehat sebelum meneruskan agenda perjalanan pulang kami yang belum pasti kesudahannya.Akibat bertolak lambat dari hotel,kami tidak sempat sampai ke Pulau Pinang sebelum masanya menyebabkan penerbangan jam 4.55 petang terpaksa dibatalkan.Begitu juga dengan rakan-rakan yang menaiki penerbangan jam 3.55 petang.Maka,kami dikehendaki menaiki bas balik ke Sungai Buluh.Itulah yang diberitahu oleh ketua bagi kumpulan kami setelah berhenti solat di Juru.Hanya sebuah bas sahaja yang meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang memandangkan penerbangan mereka lewat malam nanti.Dengan seorang pemandu yang masih keletihan kerana baru pulang dari Kelantan pagi tadi,kami mengambil risiko meneruskan perjalanan balik dengan harapan agar tiada apa-apa insiden tidak baik sepanjang perjalanan.Dalam perjalanan,kami sempat melihat keadaan Kedah yang dilanda banjir.Sawah padi musnah ditenggelami air banjir.Disebabkan pemandu yang agak kurang rehatnya, perjalanan kami agak tergendala.Bas kerap berhenti menyebabkan Adib mula tidak mahu diam.Ada-ada sahaja yang ingin dilakukannya.Hampir jam 9 malam,kami baru saja samai ke Ipoh.Jam 12.50 tengah malam,kami baru sampai di sekolah.Bagi mereka yang meletakkan kenderaan di sekolah,mereka sudah terus bertolak ke rumah,namun bagi kami yang meletakkan kenderaan di LCCT,satu lagi perjalanan yang perlu ditempuh.Bas kami meneruskan perjalanan ke LCCT dengan membawa dua keluarga sahaja.Jam dua lebih barulah kami sampai ke LCCT.Sampai sahaja di LCCT,kami perlu menambah jumlah wang di kad touch & go yang tidak mencukupi untuk membayar RM 40 satu hari.Empat hari kami tinggalkan kereta di situ,ini bermakna kami perlu membayar sebanyak RM 160.Sebaik sahaja sampai di kereta,kereta pula tidak dapat dihidupkan.Mujurlah suami telah meletakkan bateri simpanan dalam kereta.Proses menghidupkan enjin menjadi mudah.Kereta rakan saya juga mengalami nasib yang sama.Perjalanan paling panjang yang pernah saya lalui iaitu dari jam 10.30 pagi hingga 4.50 pagi.


Pengajarannya:
1.Pengurusannya yang tidak cekap akan memusnah diri sendiri dan kepercayaan orang lain terhadap diri kita.Jadi,berhati-hati untuk mengurus sesuatu perkara.
2.Belajar dari kesilapan agar pisang tidak berbuah untuk kali kedua.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan