Pagi ni saya belajar untuk memasak nasi dagang kerana kakak yang datang dari Trg ada membawa beras nasi dagang dan rempahnya sekali.Sebelum ni saya hanya melihat dan membantu sahaja jika emak memasak nasi dagang di kampung.Jadi,ilmu yang dapat hanya kekal seketika sahaja kerana tidak dipraktikkan.Lagipun sukatan santan dan air untuk memasak nasi memang tidak lekat di kepala.Jadi, hari ini saya cuba mengingatinya dengan membuat catatan ini supaya tidak hilang dan saya akan mahir memasaknya nanti.
Bahan-bahan untuk nasi
• 1.5 kg beras nasi dagang
• 3 cawan santan pekat
• 6 ulas bawang merah
• 4 sm kecil halia
• 1 sudu kecil halba
• Garam secukupnya
• 5 cawan air panas
## 1kg beras = 2 cawan santan/3 cawan air
Cara membuat nasi
•Rendam beras selama 5 jam. Toskan dan kukuskan beras selama 30 minit.
•Angkat nasi yang dikukus dan tambahkan air panas ke atas nasi. Kacau hingga sebati dan taburkan halba, bawang merah & halia.Kukus hingga masak.
•Angkat nasi dan tuangkan santan serta gaul sehingga rata. Kukus seketika.
## Sekiranya air yang ditambah tidak mencukupi,nasi kemungkinan akan keras
## Boleh juga hanya 2 kali mengukus nasi.Sekiranya hanya 2 kali saja nasi dikukus,nasi akan lebih lemak berbanding dengan 3 kali kukus nasi kerana lemak santan telah diserap semasa nasi dikukus.
Bahan-bahan untuk kuah
• 2 ekor ikan tongkol
• santan
• rempah kari dan rempah nasi dagang
• cili boh
• bawang merah
• bawang putih
• halia
• 10 biji cili padi - diketuk
• 1 sudu besar gula pasir
• 3 keping asam gelugur
• gula melaka
• Minyak masak & garam
Cara membuat kuah
•Potong dan bersihkan ikan tongkol. Gaulkan dengan garam & asam gelugur dan gula melaka.Kukus selama 10 minit.
•Panaskan sedikit minyak masak dalam periuk. Tumiskan bahan bawang merah, bawang putih & halia hingga berbau. Kemudian masukkan rempah kari ikan,kari nasi dagang dan cili boh yang telah dibancuh bersama.Tumis hingga naik minyak.
•Seterusnya, masukkan santan. Apabila mendidih, masukkan ikan, garam, gula pasir & cili padi. Masak hingga kuahnya pekat.
Setelah kenyang bersarapan nasi dagang,kami bersiap-siap untuk ke Ikea kerana kakakku berhajat sangat hendak ke sana.Lebih kurang satu jam perjalanan dari Sungai Buloh,kami sampai juga ke tempat yang dituju.Masuk sahaja ke dalam bangunan Ikea,kereta sudah memenuhi kawasan parkir yang ada.Anak-anak sudah bising.Lalu, suami mengambil keputusan untuk ke Tesco yang terletak berhampiran Ikea sahaja.Tak dapatlah lagi saya nak masuk dan merasa suasana di Ikea.Hanya kakak saya dan keluarganya sahaja yang masuk ke Ikea.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan