Selasa, 26 Januari 2010

Subjek Sastera Melayu Wajar diwajibkan

Oleh Zulfazlan Jumrah

MEMETIK hasrat Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Firdaus Abdullah yang meminta Kementerian Pelajaran supaya membuat pertimbangan agar Kesusasteraan Melayu dijadikan subjek wajib bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Lima, memang ada baiknya. Secara analoginya, subjek Kesusasteraan Melayu boleh diertikan sebagai satu subjek yang diajar kepada pelajar mencakupi pelbagai genre sastera seperti puisi, cerpen, drama, prosa tradisional dan lain-lain diperkenalkan sama ada dalam bentuk komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) atau subjek Kesusasteraan Melayu tulen.

Peredaran perkembangan subjek ini ternyata memberi impak besar apabila pelajar dapat mengkaji karya besar hasil nukilan sasterawan negara sama ada yang berbangsa Melayu atau sebaliknya. Namun, polemik yang menjangkiti kini ialah subjek ini kian dipandang sepi, lebih-lebih lagi apabila Kabinet memutuskan agar pengajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Tindakan ini sebenarnya ada pro dan kontranya. Sememangnya tidak dinafikan, pembelajaran bagi subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mampu membentuk pelajar yang mampu bersaing pada peringkat global.

Namun pada masa sama, ia dilihat mengurangkan nilai jati diri pelajar terbabit. Di sinilah peranan sastera diperlukan. Ketika anak kita cukup lantang bertutur dalam bahasa kedua, kita sebenarnya tidak sedar bahawa jati diri mereka kian terhakis apatah lagi desakan ekonomi memustahilkan pengawasan ibu bapa terhadap anak mereka. Di Eropah, sastera dipandang tinggi peranannya, apatah lagi pelaksanaannya di dalam kurikulum secara kreatif berjaya membentuk pemikiran positif dalam diri masyarakat mereka yang cukup mencintai seni dan budaya. Hal ini juga boleh berlaku di Malaysia.

Jika bangsa Eropah pada hari ini berbangga menatap karya `master piece' hasil tulisan Shakespeare, tidak mustahil pelajar di Malaysia mengulit hidup mereka dengan karya tokoh tersohor sasterawan negara. Pelaksanaan subjek Kesusasteraan Melayu tidak semestinya berorientasikan peperiksaan dengan enakmen pemarkahan secara formal dalam bentuk digital. Subjek ini boleh dilaksanakan dalam satu bentuk yang tidak formal dan lebih santai tetapi penghayatannya tetap ada. Dengan itu generasi muda kita akan terus dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya untuk bangsa, agama dan negara. ZULFAZLAN JUMRAH, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
(Sumber : Berita Harian (02/07/2007) )