Blog ini sekadar untuk merakam detik-detik dalam kehidupan seharian kerana rumah duniaku,keluarga kebahagiaanku,minat kepuasanku dan kerjaya inspirasiku.
Ahad, 12 Disember 2010
I-city
Dah lama nak ke I-city di Shah Alam sejak mendengar cerita daripada kawan-kawan dan melihat gambarnya dalam album kawan-kawan di FB.Hari ni baru berkesempatan setelah pulang dari PWTC melihat pameran kereta.Dari Kl kami ke Shah Alam.Tidak susah nak mencari lokasi I-city kerana dari jauh cahaya lampu yang gemerlapan dapat dilihat.Memang cantik tempat tersebut dan sesuai untuk menikmati suasana malam.Setiap pokok yang ada disinari dengan cahaya lampu.Taman-taman kecil juga dibentuk engan sinaran cahaya lampu.Cahaya lampu yang berwarna-warni dibentuk di merata-rata tempat menyebabkan kawasan itu hidup pada waktu malam.Kawasan tersebut juga mempunyai deretan kedai yang kebanyakannya belum beroperasi lagi.Nasib baiklah malam ni tidak hujan.Untuk masuk ke kawasan tersebut,RM 10 dikenakan bagi setiap kereta.Kiranya kalau datang beramai-ramai dalam satu kereta,untunglah sikit.Jika berdua pun RM 10 juga dikenakan.Kereta boleh diletakkan di tempat letak kereta yang disediakan.Cumanya,lokasi tempat letak kereta kurang sesuai kerana jalan masuk dan keluar hanya satu arah menyebabkan kita terpaksa bernati-hati dengan kereta yang lalu lalang.Pada masa yang sama,sepanjang jalan juga sudah ada beberapa replika lampu menyebabkan pemandu juga perlu berhati-hati dengan gelagat pengunjung yang suka bergaambar tanpa mengira tempat,di tengah2 jalan mereka masih sempat bergambar.Sekiranya pengunjung membawa anak yang lincah seperti anak saya,nampaknya tangan mereka terpaksa dipegang kuat untuk mengelakkan kecelakaan.Sebelum tiba di satu kawasan padang yang mempunyai pelbagai corak lampu,saya mendengar bunyi wisel.Kenapa pula bunyi wisel?Apabila berada di kawasan tersebut,barulah saya tahu sebab wisel dibunyikan.Rupa-rupanya untuk menghalang pengunjung masuk ke kawasan lanskap yang ada di situ.
Kasihan Ammar,baru saja nak beraksi di samping burung tu,tiba2 wisel berbunyi...cepat2 dia lari sambil:alah,dah tak sempat.apa lagi,saya mulalah buat2 tak tahu dan meminta Ammar cepat2 berdiri di samping burung tersebut.Kalau tidak,kempunanlah pula dia.
terlalu ramai orang sehingga tidak dapat mengelakkan daripada mengambil gambar orang lain...
pengunjung tidak dibenarkan berada di tengah-tengah katak tersebut..

bayaran dikenakan sekiranya nak masuk ke kawasan ni.berapa ringgit,tak pasti pula

Isnin, 6 Disember 2010
Al Fatihah...
Al Fatihah...hari ini genap 3 tahun ayah saya meninggalkan kami.Perginya tidak kembali lagi.Pagi itu saya mendapat panggilan daripada kakak jam 7 pagi memaklumkan keadaan ayah yang kurang sihat.Jam 9 pagi pula sekali lagi saya mendapat panggilan daripada kakak.Ayah sudah tiada.Innalillah..Masa itu saya hanya baru berkemas-kemas untuk balik ke Terengganu.Sebagai seorang anak perempuan,memang saya kurang rapat dengan ayah.Mungkin itu lumrah antara anak dengan ayah pada masa dulu.Sebagai seorang anak,saya sedaya upaya berusaha untuk menjadi anak yang baik dan akur dengan kata-katanya.Keputusan untuk memilih kursus perguruan dibuat setelah saya ragu-ragu dengan keputusan sendiri.Kata-kata ayah menyebabkan saya berat hati untuk meletakkan keutamaan diri sendiri,tambahan pula pada masa itu kadar pengangguran amat tinggi.Dengan tawakkal kepada Allah,jika ada rezeki saya dalam bidang penulisan,maka akan tercampaklah saya ke UM atau USM dalam bidang komunikasi.Namun,saya tetap reda apabila pilihan perguruan yang diletakkan pada petak yang pertama dalam borang UPU telah menjadi rezeki saya.Belum pun habis menjalani praktikum,satu daripada sekolah di Sabah telah menunggu saya untuk berkhidmat di sana.Saya terlepas daripada masalah pengangguran.Terima kasih ayah atas segala pengorbanan.Sesungguhnya,sukar untuk mencari ayah sepertimu.Moga ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh...
Rabu, 1 Disember 2010
Buat baik dibalas baik...

Ungkapan ‘kita tolong orang,nanti orang akan tolong kita’ mula saya dengar semasa saya mengikuti latihan praktikum di Kepala Batas 9 tahun dulu.Semasa menjalani latihan praktikum dulu,saya menumpang di rumah adik kepada pensyarah yang mengajar dan akan mencerap saya.Pada masa itu, beliau hanya tinggal berdua kerana anak-anak yang lain sudah mempunyai keluarga sendiri.Kini,ungkapan itu digunakan lagi dan sering diucapkan oleh pentadbir sekolah kerana jika kita bersungguh-sungguh mengajar anak didik,suatu hari orang lain juga akan mendidik anak2 kita seperti yang kita lakukan.Dalam dunia perguruan,kata-kata itu perlu dipraktikkan agar kita ikhlas dalam mendidik anak murid.
Apa yang terjadi ke atas diri saya hari ini bolehlah saya samakan dengan kata-kata tersebut.Setiap pengawas dikehendaki menjadi pengiring ketua pengawas untuk mengambil kertas soalan di bilik kebal seawal jam 6.30 pagi.Mengikut jadual yang diberikan,saya mengalami masalah untuk satu hari kerana rakan yang saya tumpangi itu tiada peperiksaan pada hari tersebut. Sejak sekolah bercuti,anak-anak mula tidur lambat dan saya berasa berat hati untuk mengangkut mereka bersama apabila suami menghantar saya ke bilik kebal.Setelah tiada cara lain,saya terpaksalah juga akan berbuat demikian.Pada hari Isnin,seorang rakan ada memberitahu saya akan masalahnya untuk menjadi pengiring pada hari Rabu.Sekadar untuk menolongnya,saya menawarkan diri untuk menggantikannya.Tanpa disangka,masalah saya untuk ke bilik kebal juga dapat diselesaikan kerana saya dapat menumpang kereta rakan yang yang tinggal di depan rumah.
Kata-kata ini juga sesuai dengan satu lagi situasi yang kami lalui pada hari ini.Semasa calon SPM menduduki kertas Matematik Tambahan 2 pada petang tadi,tiba-tiba hujan turun dengan lebat berserta angin dan petir yang kuat.20 minit sebelum masa berakhir,tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan dan meminta guru pengawas tersebut mengambil satu helai kertas grafnya yang telah diterbangkan oleh angin dan melayang keluar dewan.Sudah pastinya kertas graf tersebut basah terkena hujan.Sedar akan kecuaiannya,murid tersebut meminta kertas graf yang lain untuk membuatnya semula.Kasihan kepada calon tersebut memandangkan masa hampir tamat,kakak yang prihatin tersebut mengeringkannya di bawah kipas dan meminta murid tersebut menjawab soalan yang seterusnya.Itulah prihatinnya seorang ibu dan guru.Jika anak saya atau anaknya yang mengalami masalah tersebut,akan adakah insan yang akan melakukan sedemikian?Nasib baik kertas graf (menggunakan pensel)yang terkena hujan,bagaimanalah agaknya jika kertas karangan calon(menggunakan pen dakwat basah)yang terkena hujan.Rasanya memang tidak dapat nak diselamatkan,pastinya tulisan-tulisan itu akan kembang dan merosakkan kertas tersebut.Dalam keadaan tertentu,kita tidak perlu berkira untuk melakukan sesuatu kebaikan tetapi kita juga perlu beringat dengan kata-kata buat baik berpada-pada...
Langgan:
Catatan (Atom)