Ahad, 18 Julai 2010

Kepentingan Asid Folik

Tajuk ini merupakan antara maklumat yang telah dicari dalam internet untuk dimuatkan manuskrip.Info yang amat berguna untuk ibu yang mengandung.

KEKURANGAN vitamin ketika hamil memberi banyak kesan kepada janin dalam kandungan. Oleh itu, pengambilan asid folik misalnya amat penting kepada wanita hamil dan yang merancang kehamilan.

Asid folik adalah vitamin B (B9) yang penting bagi pertumbuhan sel dan janin sempurna. Asid folik boleh diperoleh daripada pil yang dibekalkan doktor dan alam semula jadi.

Ia juga boleh ditemui dalam sayur-sayuran hijau seperti bayam, selain buah-buahan sitrus dan bijirin.

Pelbagai kajian menunjukkan wanita yang mengambil 400 microgram (0.4 miligram) setiap hari sebulan sebelum hamil dan tiga bulan pertama kehamilan, berupaya mengurangkan risiko terhadap kerosakan tiub saraf sehingga 70 peratus.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Fatima Najla Mohd Jaffar, berkata kerosakan tiub saraf yang biasa terjadi ialah spina bifida.

“Spina bifida adalah kecacatan pada tulang belakang yang menjadikannya kelihatan menonjol, tetapi kekurangan asid folik juga boleh mempengaruhi pembentukan tempurung kepala yang tidak sempurna (anencephaly) dan terjadinya bibir sumbing,” katanya.

Begitupun, lazimnya kejadian spina bifida lebih kerap berbanding yang lain. Ia berlaku berikutan penutupan tidak sempurna sebahagian sistem saraf tengah (spinal cord) dan tulang belakang (spinal columm) yang menyebabkan pertumbuhan otak janin terjejas dan juga berada dalam keadaan encephalocele - otak menonjol melalui jurang trauma dan konginental dalam tempurung kepala.

Di Amerika, kerosakan tiub saraf dianggarkan berlaku kepada seorang daripada 15,000 bayi. Ia juga adalah masalah kecacatan tiub saraf yang paling biasa.

Malah, di kebanyakan negara barat, masalah spina bifida sangat biasa. Di Malaysia tidak ada statistik khusus mengenai spina bifida tetapi ia biasa ditemui.

Antara faktor kes spina bifida tinggi kerana sikap hampir 67 peratus wanita hamil malas mengambil asid folik.

Angka itu diperoleh dalam satu kajian membabitkan wanita hamil di Amerika. Menyedari pentingnya asid folik ketika hamil, pada 1998 Persatuan Ubat dan Makanan Amerika (FDA) mengarahkan semua jenis bijirin dan roti mesti mengandungi 140 mcg asid folik.

Bagi pasaran Malaysia, kebanyakan bijiran dan roti juga mengandungi asid folik sebagai makanan tambahan.

Selain itu, kata Dr Fatima, spina bifida juga terjadi kerana kebanyakan wanita tidak merancang kehamilan.

“Selalunya, seseorang wanita itu hanya menyedari dia hamil selepas kandungan berusia antara enam hingga tujuh minggu. Sedangkan ketika itu kebanyakan organ sudah terbentuk,” katanya.

Oleh itu, merancang kehamilan sangat penting dan melengkapkan diri dengan bekalan asid folik amat perlu. Pengambilan asid folik yang banyak tidak menjadi racun tetapi pengambilan yang kurang boleh menjejaskan pertumbuhan bayi.

Bagaimanapun, pengambilan asid folik yang kurang bukan satu-satunya faktor terjadinya masalah ini. Ada beberapa faktor turut mempengaruhinya.

Antaranya termasuk genetik, wanita yang mendapatkan rawatan dialisis dan wanita yang mengambil sesetengah jenis ubat, contohnya epilepsi.

Faktor lain mungkin menghisap rokok, pengambilan alkohol dan obesiti. Apabila janin berhadapan dengan spina bifida, ia boleh dikesan seawal 12 minggu kehamilan. Menerusi imbasan, bakal ibu boleh melihat pembentukan tulang belakang janin.

Ada bayi yang lahir dengan masalah spina bifida yang sedikit. Peluang untuknya hidup normal agak cerah, tetapi bagi bayi yang mengalami spina bifida yang teruk, dia akan lumpuh dan tidak berupaya mengawal pundi kencing.

“Bagi kes lain disebabkan kekurangan asid folik seperti anencephaly, ibu dinasihatkan menggugurkan janin pada awal kehamilan. Bagaimanapun, bagi spina bifida yang terjadi dengan beberapa keabnormalan lain yang serius, kandungan ini mungkin juga akan gugur sendiri.

“Jika tidak begitu serius, ia akan lahir seperti bayi lain. Begitupun peluang untuk memiliki hidup yang normal bergantung kepada serius mana kecacatan tulang belakang yang dialaminya,” katanya.

Dr Fatima berkata, wanita yang pernah melalui kandungan bermasalah seperti ini digalakkan mengambil lebih asid folik.

Begitupun ada juga wanita yang mengambil jumlah asid folik yang betul hamil dengan bayi spina bifida, bibir sumbing atau tempurung kepala yang tidak sempurna. Dalam kejadian begini, selalunya faktor genetik turut memainkan peranan.