Ahad, 25 Disember 2011

Pengalaman Bersalin Kali Pertama-Pembedahan


Membaca pengalaman bersalin pembaca lain dalam blog mengingatkan saya pengalaman yang ditempuhi enam tahun lalu. Inilah satu-satunya pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang hayat ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa susah atau senang proses bersalin seseorang bergantung kepada rezeki masing-masing. Yang pastinya ada hikmah di sebalik pengalaman tersebut.
Pertama kali saya disahkan mengandung 6 minggu, hati melonjak gembira. Itulah berita gembira yang kami nanti-nantikan sejak setahun berkahwin. Sepanjang tempoh mengandung, saya tidak mengalami masalah, malahan selera makin bertambah. Saya dijangkakan bersalin pada 1 April 2005.
Setelah balik dari sekolah pada hari Isnin 21.03.2005, saya dapati ada lendir yang agak banyak keluar dari faraj. Saya panik dan mula menanyakan kepada emak yang berada di kampung untuk mengesahkannya. Bagi saya, ibulah sumber rujukan untuk mendapatkan maklumat selain daripada membaca buku dan majalah yang ada di pasaran. Saya ke klinik untuk membuat pemeriksaan, namun disebabkan saya telah ‘tersalah’ klinik, pemeriksaan tidak dapat dijalankan. Akibatnya, keesokannya saya terpaksa pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan bagi mengesahkan keadaan kandungan.
Pada mulanya saya bercadang untuk bersalin di PPUM. Awal pagi lagi saya dan suami ke PPUM. Dalam perjalanan ke hospital, perut sudah terasa sakit. Setelah sampai di sana, saya dimaklumkan bahawa di sana tidak ada ‘first class’ seperti di hospital kerajaan yang lain. Gara-gara inginkan keselesaan, saya bergegas pula ke Hospital Klang dengan menahan kesakitan yang dialami. Di Hospital Klang nanti saya berharap akan mendapat tempat yang ‘baik’ di sana. Setelah doktor memeriksa, doktor mengesahkan pintu rahim baru terbuka 1 cm.
Disebabkan itu, saya ditahan di hospital. Di sana saya hanya ditempatkan di wad biasa memandangkan wad ‘first class’ sudah penuh. Saya ialah pesakit keempat yang menunggu. Tidak ada rezeki, getus saya. Tiga hari saya berada di hospital, namun tanda-tanda sakit yang saya alami sebelum ini sudah hilang walaupun lendir masih lagi keluar. Mengenangkan orang di sebelah katil silih bertukar ganti kerana masing-masing sudah selamat melahirkan bayi mereka, saya menjadi semakin tertekan dan tidak selesa berada lama di hospital dengan keadaan sihat walafiat.
Pada petang Khamis, saya telah dibenarkan pulang setelah diberi tarikh baru untuk pemeriksaan lanjut dua minggu kemudian. Saya gembira kerana selepas ini bolehlah saya pulang ke kampung untuk bersalin di sana. Atas nasihat abang, pada malam keesokannya saya terlebih dahulu ke klinik swasta untuk mendapat kepastian sama ada saya selamat atau tidak untuk balik ke kampung pada keesokan paginya.
“Saya tak jamin awak selamat balik ke Terengganu ni. Jalan awak dah buka ni.” Kata-kata doktor menyebabkan saya terdiam.
“Tak apalah, saya akan buat surat…kalau awak rasa sakit, awak singgah je mana-mana hospital.” Jaminan doktor itu sedikit melegakan saya.
Selepas balik dari klinik, saya mula mengemas pakaian untuk balik ke Terengganu walaupun agak berbelah bahagi. Belumpun siap mengemas pakaian, air ketuban mula pecah menyebabkan kerja-kerja mengemas beg pakaian tergendala. Itu petanda bahawa saya terpaksa bersalin di sini. Selepas itu perut mula terasa sakit lagi buat kali keduanya, namun saya cuba bertenang kerana masih lagi dapat bertahan.
Pukul 3.30 pagi hari Sabtu, barulah saya bergegas ke hospital setelah sakit kian terasa. Kali ini saya memang akan bersalin di PPUM. Setelah mendaftar, saya menjalani pemeriksaan faraj. Pintu rahim masih lagi 1 cm. Menurut doktor, sekiranya saya tidak bersalin dalam masa satu hari, saya akan ‘diindius’ bagi mempercepat proses kelahiran. Selepas pemeriksaan tersebut, jam 7.00 pagi barulah di tempatkan di wad. Pada malamnya, sakit perut makin menjadi-jadi. Bagi menahan rasa sakit, saya terpaksa berjalan-jalan menyebabkan saya tidak dapat tidur pada malam itu. Ternyata Allah betul-betul mahu menguji. Dalam masa satu hari saya menahan kesakitan, pintu rahim hanya terbuka 3 cm. Seingat saya,saya sememangnya tidak memanjakan diri agar tidak bermasalah apabila hendak bersalin. Setiap hari kerja, saya akan panjat tangga dua atau kali untuk ke tingkat 3 kerana hampir semua kelas saya mengajar berada di tingkat 3. Namun apakan daya, apa yang berlaku sebaliknya.
Pada pagi Ahad iaitu seawall jam 8 pagi, saya telah dibawa ke bilik bersalin. Masa itu pintu rahim baru terbuka 4 cm. Air ketuban dipecahkan. Jam di dinding selalu dipandang tetapi tanda-tanda untuk bersalin tak juga muncul. Mengenangkan pengalaman semasa di bilik bersalin, saya sebenarnya sukar menggambarkan keperitan yang dialami dalam tempoh 10 jam itu. Pukul 6 petang barulah pintu rahim saya terbuka 9 cm. Namun, disebabkan dua hari saya tidak dapat tidur dengan sempurna dan ditambah pula paginya itu saya hanya minum air milo sahaja, saya sudah tidak ada tenaga untuk meneran dengan baik.
Empat puluh minit saya cuka meneran tetapi bayi tetap tidak keluar sedangkan kesakitan kian terasa. Sekali lagi saya diuji. Memang sukar proses kelahiran bayi saya. Disebabkan kontraksi agak perlahan, bayi saya hampir lemas. Demi bayi yang dikandung 9 bulan, doktor mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan. Saya akur dengan keputusan itu kerana bimbang akan keselamatan bayi saya. Jam 7.30 malam pada 27 Mac, saya selamat melahirkan bayi yang comel seberat 2.93 kg setelah hampir dua hari bertarung dengan kesakitan. Semasa pembedahan dijalankan,saya dapat rasakan sesuatu telah dilakukan terhadap perut saya kerana pada masa itu saya telah dibius separuh badan. Selepas itu,saya tidak dapat rasa apa-apa lagi dan tersedar apabila semuanya telah selamat tetapi belum lagi ditempatkan di wad kerana kesan bius masih ada.Tengah malam barulah saya ditempatkan di wad. Saya agak beruntung kerana dapat berehat dengan lama.Paginya, saya ditegur oleh doktor,”tak nak bangun ke?” Sememangnya saya amat takut untuk bangun kerana terasa amat perit di bahagian perut. Patutlah ada tali di katil.Rupa-rupanya tali tersebut digunakan untuk bangun dari katil. Bayi lelaki itu saya namakan Muhammad Ammar Fathi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan